Nuffnang advertisement

Isnin, 29 November 2010

Insurans perubatan jaminan rawatan pesakit, ringan beban keluarga

Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my

2010/11/21


TAHAP kesedaran untuk melindungi diri dan keluarga dengan Insuran Perubatan dan Kesihatan (IPK) di negara ini masih rendah jika dibandingkan dengan jiran di selatan tanah air. Keadaan ini didorong faktor kos perubatan yang sangat tinggi di negara berkenaan berbanding Malaysia yang sebahagian besar kos rawatan dan ubat-ubatan masih ditanggung kerajaan.

Walaupun hospital kerajaan mempunyai lebih kepakaran dan kelengkapan namun peningkatan jumlah pesakit yang perlu dirawat menjadikan proses berkenaan mengambil masa yang lama terutama bagi mereka yang disahkan mengalami penyakit kritikal yang memerlukan rawatan segera.

Di sini, IPK iaitu polisi yang melindungi kos rawatan perubatan swasta yang mungkin mahal, seperti kos kemasukan ke hospital dan pembedahan, memainkan peranan. Polisi insurans ini juga memastikan anda tidak perlu bimbang mengenai kos penyakit kritikal tetapi juga bagi mendapatkan rawatan kecemasan. Selain itu, IPK juga membayar sejumlah wang tertentu semasa menjalani rawatan.

Ketua Pegawai Produk dan Pemasaran Prudential Assurance Malaysia Berhad, Heng Zee Wang, berkata selain kesedaran sejak awal lagi untuk dilindungi IPK, pelanggan perlu tahu butiran penting seperti apa yang mereka mahu lindungi, memahami istilah yang terkandung dalam polisi, tempoh matang atau menunggu, bayaran bersama, tempoh membuat keputusan dan syarat berkaitan.

Malah, tegasnya, tidak cukup dengan minat terhadap polisi insurans itu saja kerana pelanggan juga perlu mengetahui skop perlindungan dan had-had polisi atau pelan berkenaan. Dengan maklumat ini, pelanggan dapat memastikan perlindungan menyeluruh untuk dirinya.

"Sekiranya anda bercadang untuk mendapatkan polisi insuran, kami sarankan memilih polisi yang asas dan mengikut kemampuan seperti jenis polisi utama yang biasa ditawarkan iaitu Insuran Hospital dan Pembedahan, Insuran Penyakit Kritikal, Insuran Pendapatan Akibat Hilang Upaya dan Insuran Pendapatan Hospital.

"Insurans melindungi pelanggan daripada risiko dan keadaan yang tidak diduga yang boleh meragut nyawa. Oleh itu, adalah penting bagi anda untuk mengetahui jenis insurans yang terdapat di pasaran agar dapat memilih perlindungan yang sesuai," katanya.

Lazimnya, kata Heng, pelanggan akan berurusan dengan seorang pengantara ketika membeli polisi insurans. Sama ada pengantara itu seorang ejen broker atau penasihat kewangan, ketahuilah perkara penting ketika berurusan dengan mereka untuk memastikan hak sebagai pengguna sentiasa terpelihara. Ini seperti mengetahui senarai panel hospital, cara membuat tuntutan, tarikh luput polisi insuran dan sebagainya.

"Mengenalpasti senarai panel hospital adalah antara perkara utama selain memaklumkan kepada ahli keluarga terdekat mengenai syarikat insuran dan jenis polisi insuran yang melindungi diri anda.

"Di sini, pentingnya hubungan baik antara pemegang polisi dengan ejen atau penasihat kewangan kerana mereka adalah pengantara yang akan menghulurkan sebarang maklumat mahupun bantuan setiap kali diperlukan," katanya yang menegaskan maklumat dan dokumen lengkap mengelakkan sebarang masalah ketika membuat tuntutan.

Pemegang polisi juga, kata Heng, perlu tahu dan dimaklumkan mengenai pengecualian dalam polisi IPK dan perlu bertanya kepada ejen insuran sekiranya kurang faham. Antara pengecualian itu termasuk syarat pra wajib iaitu tidak mendedahkan masalah kesihatan sedia ada ketika membeli polisi; mengalami masalah mental, peperangan mahupun rusuhan, tempoh menunggu di mana anda tidak layak membuat tuntutan dalam tempoh empat bulan pertama perlindungan kecuali kecederaan akibat kemalangan dan banyak lagi.

Jelasnya, usaha menyedarkan masyarakat mengenai pentingnya perlindungan insuran bukan kerja mudah dan mengambil masa yang lama.

"Membeli insuran bukan seperti membeli barangan di kedai. Polisi insuran adalah jaminan yang dibeli bagi melindungi perkara yang belum pasti bila dan di mana ia berlaku, namun kesedaran awal terhadap kepentingan polisi insuran mampu mengelakkan insiden sudah terhantuk baru nak terngadah.

"Kami di Prudential mengambil langkah drastik dalam usaha memberikan pendedahan awal kepada masyarakat mengenai kepentingan polisi insuran demi masa depan yang lebih terjamin. Bertindaklah awal ketika usia masih muda dan sihat, kerana apabila usia sudah meningkat senja, agak sukar untuk mendapatkan polisi insuran yang sesuai selain harga premium yang ditawarkan agak tinggi," katanya.


INFO: Panduan membeli insurans

  • Pastikan anda membeli daripada syarikat insurans berlesen dan ejen insurans yang sah.
  • Buat perbandingan kadar premium.
  • Fahami had perlindungan, terma dan syarat polisi.
  • Pilih polisi asas dan mampu.
  • Periksa tarikh kuat kuasa insuran.
  • Isi borang permohonan dengan teliti.
  • Pastikan premium dibayar kepada syarikat insurans dan bukan ejen.
  • Baca dan fahami polisi anda apabila anda menerimanya.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...