Nuffnang advertisement

Khamis, 25 Oktober 2012

Layanan Terhadap Isteri Mengikut Sunnah Rasulullah SAW

video

Rasulullah SAW bersabda: "Lelaki yang terbaik antara kamu adalah yang berbuat baik kepada ahli keluarganya dan akulah yang terbaik untuk keluargaku."

1. Kajian membuktikan suami yang mengucupi isterinya setiap pagi hidup lebih lama daripada mereka yang tidak melakukannya. 

2. Baginda SAW bergurau senda dengan isteri-isterinya, makan bersama mereka dan bersihkan rumah.


3. Apabila Nabi SAW duduk bersama isterinya, baginda akan tunaikan haknya. Baginda menghias diri untuk mereka dan dengan penuh kelembutan baginda akan bergurau senda dengan isteri-isterinya.

4. Baginda SAW menuruti pendapat isterinya dalam keadaan tertentu.

5. Nabi SAW tidak akan keluar bermusafir melainkan ditemani salah seorang isterinya.

6. Ketika menunaikan haji wada', baginda membawa semua isterinya bersama-sama.

7. Baginda SAW tidak pernah menganggap bahawa wanita sebagai beban. 

8. Nabi SAW tidak pernah walau sekalipun memukul wanita sepanjang hidupnya.

9. Baginda SAW seorang yang mengambil berat, sabar, penyayang dan sentiasa tersenyum jika berjumpa ahli keluarganya.

10. Antara pesanan terakhir Rasulullah SAW ialah "Pertahankan wanita dan berbuat baiklah dengan mereka."

Jika nak berada dekat dan disayangi Rasulullah SAW, bergaullah dengan isteri anda dengan pergaulan yang baik. Bersabar, berlembut dan bermesra dengan mereka. Berbuat baiklah dengan menunaikan hak-hak mereka.

Wallahu 'A'lam.

Isnin, 22 Oktober 2012

Menyambut Kelahiran Bayi Mengikut Sunnah

video


Antara perkara yang Rasulullah SAW letakkan keutamaan yang tinggi adalah pada didikan untuk generasi akan datang. Nabi SAW jadikannya penting sejak sebelum perkahwinan lagi, semasa memilih calon, kemudian ketika proses mengandung dan juga kelahiran dengan memastikan anak yang lahir itu dikelilingi oleh adab-adab yang menjadikan kelahiran tersebut sebagai persiapan kepada anak itu untuk menjadi hamba Allah yang soleh, terpelihara daripada syaitan dan daripada penyakit dalaman dan luaran yang mungkin menimpa manusia. Sunnah-sunnah ketika menyambut kelahiran bayi ialah:

1. Mengazankan bayi

Nabi SAW mengambil berat tentang bayi yang baru lahir dari rahim ibunya dengan mengalunkan azan ke telinganya supaya sejak lahir lagi bayi tersebut didendangkan dengan zikrullah dan supaya ia menjadi pelindungnya daripada syaitan yang direjam.

Nabi SAW apabila mendapat tahu tentang kelahiran cucunya Hasan, baginda bergegas mendapatkannya lalu mengalunkan azan ke telinga kanannya dan iqamah ke telinga kirinya.

Baginda bersabda bahawa bayi yang diazankan tidak akan diganggu oleh 'ummu sibyan' iaitu sejenis syaitan yang dikhaskan untuk menganggu bayi yang baru lahir.

2. Bertahnik



Nabi SAW akan mengambil sedikit air liur baginda dan dimasukkan ke dalam mulut bayi yang baru lahir dan meratakannya ke seluruh mulutnya.

3. Menamakan bayi

Menamakan bayi pada hari yang ke-7 selepas kelahirannya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Namakan mereka dengan nama pada nabi. Dan sebaik-baik nama ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Semolek-moleknya ialah Haris dan Hamam. Manakala seburuk-buruknya ialah Harb dan Murrah."

4. Bercukur

Mencukur kepala bayi. Disunatkan pada hari ke-7 kelahiran bayi untuk dicukur kepalanya sehingga habis.

5. Menderma berdasarkan berat rambut bayi yang dicukur

Menimbang rambut bayi yang dicukur itu kemudian mendermakan perak dengan timbangan tersebut. Namun, ulamak menyatakan jika hendak didermakan dalam bentuk emas maka ia lebih baik untuk muslimin dan fakir miskin. 

6. Aqiqah

Menyembelih dua ekor kambing untuk anak lelaki dan seekor kambing untuk anak perempuan. Disunatkan untuk menyediakan sembelihan tersebut dan menjemput orang ramai untuk menikmatinya. Disunatkan bagi yang dijemput untuk memenuhi jemputan aqiqah kerana Nabi SAW menggalakkan kita memenuhi undangan aqiqah sehinggakan ada sebahagian ulamak mewajibkan kita untuk memenuhi undangan aqiqah.

7. Berkhatan

Berkhatan diwajibkan kepada anak lelaki dan digalakkan bagi anak perempuan.

Keinginan untuk menyampaikan berita gembira dan mengucapkan tahniah
 
Jika kita mendapat tahu tentang kelahiran baru, disunatkan untuk kita mengucapkan: "Moga Allah berkatimu dengan pemberian-Nya, semoga kamu bersyukur kepada-Nya, semoga Allah kurniakanmu keberkatan dan petunjuk-Nya."

Jika kita perhatikan ketujuh-tujuh sunnah ini dan mengamalkannya kepada anak-anak, mereka akan hidup bersama sunnah Rasulullah SAW. 

Wallahu 'a'lam.

Jumaat, 19 Oktober 2012

Amalan Sunnah Hari Jumaat

video

Hari Jumaat adalah hari yang mulia dan penuh barakah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Dalam Islam, hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Terdapat adab-adab mengikut sunnah Rasulullah SAW yang boleh diamalkan pada hari Jumaat.

Pertama: Adab bersedia menyambut hari Jumaat

1. Mandi sunat hari Jumaat.
2. Menyimpan dan memakai pakaian yang terbaik berwarna putih untuk hari Jumaat.
3. Memakai wangi-wangian daripada 'atar dan haruman-haruman lain.
4. Memotong kuku, mencukur dan menggunting bulu yang dibolehkan.
5. Melumurkan badan dengan minyak, losyen atau krim.

Kedua: Adab keluar ke masjid

1. Berjalan ke masjid selagi mampu dan jika masjid berada berdekatan.
2. Keluar awal dan masuk ke masjid sebelum imam berada di mimbar.
3. Menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid.
4. Sunnah untuk mendekati imam.
5. Memberi perhatian terhadap khutbah yang disampaikan.

Ketiga: Adab pada hari Jumaat dan malam sebelumnya

1. Membaca surah Al-Kahfi untuk melindungi kita daripada fitnah dajjal.
2. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
3. Banyakkan berdoa dan menunggu saat doa dimakbulkan iaitu ketika matahari mula terbenam.


Semoga kita dapat bersama-sama mengamalkan adab-adab hari Jumaat di atas dengan istiqamah dan mendapat ganjaran daripada Allah SWT. Insya Allah.

Khamis, 18 Oktober 2012

Panduan Ketika Hamil dan Bersalin Mengikut Sunnah

video

Nabi Muhammad SAW mendidik manusia bermula dari awal penciptaan. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Pilihlah tempat engkau menanamkan air mani (benih)mu. Kerana sesungguhnya keturunan itu menjadi pertikaian. Atau kerana mereka (para wanita) melahirkan anak seperti ibu saudara mereka."

1. Pertamanya Nabi SAW meminta kita agar pandai memilih pasangan hidup kita. Maka pilihlah yang beragama, maka engkau akan beruntung. 

Rasulullah SAW mengajar kita bagaimana melindungi zuriat kita bermula dari masa kehamilan, kelahiran dan didikan dengan cara yang betul.

2. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Jika antara kamu ingin mendatangi isterinya, dia perlu membaca doa : "Dengan nama Allah. Wahai Tuhanku, jauhkan syaitan daripada kami dan jauhkan syaitan daripada rezeki yang Engkau kurniakan kepada kami." 

Hasil hubungan itu, mereka dikurniakan seorang anak yang tidak akan dapat dimudaratkan oleh syaitan sepanjang hidupnya.


3. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya wanita ketika dia hamil merupakan berjihad di jalan Allah."

Sesungguhnya wanita ketika waktu hamil, kelahiran dan ketika penyusuan adalah perjuangan di jalan Allah. Jika dia mati, matinya dianggap mati syahid.

4. Seorang ibu apabila dia merasai kehamilan hendaklah dia berniat dengan niat yang baik. Nabi Zakaria a.s. ketika memohon dikurniakan zuriat berdoa kepada Allah SWT iaitu "Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku daripada sisi-Mu zuriat keturunan yang baik."

Setiap apa yang difikirkan oleh manusia mempengaruhi manusia atau janin dalam kandungan yang mula membentuk ketika itu.

5. Jika wanita yang hamil berzikir kepada Allah SWT maka janin dalam kandungan akan suci dan terpelihara.

Ramai ulamak menganjurkan agar wanita hamil perbanyakkan berzikir kepada Allah SWT dan sentiasa membaca Al-Quran Al-Karim.

6. Setiap kali si ibu merasakan pergerakan janin, dia perlu membaca doa berikut iaitu: "Moga Allah melindungimu, menerimamu dan dilindungi daripada syaitan. Wahai Tuhanku, lindungilah dia daripada syaitan. Wahai Tuhanku, lindungilah dia daripada malapetaka. Wahai Tuhanku, jadikan dia orang yang soleh."

7. Baginda SAW begitu gembira menyambut kelahiran anak perempuan yang ke-4 iaitu Saidatina Fatimah Az-Zahra'. Baginda memanja, memeluk dan menciumnya.

Wallahu 'a'lam.

Jumaat, 12 Oktober 2012

Zulhijjah & Idil Adha : Beberapa Isu & Hukum



Zulhijjah & Idil Adha :
Beberapa Isu &  Hukum
Oleh
Uztaz Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.

Disebutkan oleh Nabi SAW : "Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu." (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).

Allah SWT pula berfirman :

Ertinya: “Demi waktu fajar.” (Surah Al-Fajr: 1)

Ertinya: “Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah.” (Surah Al-Fajr: 2)

Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).

Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain: 
"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini." (Riwayat Al-Bukhari).

AMALAN-AMALAN UTAMA 10 HARI AWAL ZULHIJJAH

Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-

a) Zikir Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar. Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. 

Allah SWT juga berfirman:
  
Maksudnya: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan qurban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang qurban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin." (Surah Al-Haj: 28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

b) Berpuasa Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :
"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa Saidina `Ali k.w menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

f)  Berqurban : Allah SWT berfirman :

Ertinya : “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah qurban (sebagai bersyukur).” (Surah Al-Kawthar: 2)

Allah SWT juga berfirman :

Ertinya : “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.” (Surah Al-Haj: 32)

Sebuah hadis menyebut  yang bermaksud: 
"Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari qurban kecuali berqurban ( dengan menyembelih binatang)." ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )

POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN



Hukum berqurban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a,  Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.[1]

Bagi menggandakan pahala qurban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, yang bermaksud: 
"Barangsiapa yang ingin menyembelih (berqurban), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya  SEHINGGALAH sampai qurban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.

TIDAK DIBENARKAN juga berqurban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya qurban yang disyariatkan di Hari Raya Aidiladha.

Pahala qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.  [2]

Adalah diingatkan jua agar meniatkan qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah :

Ertinya : “Daging dan darah binatang qurban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.” (Surah Al-Haj: 37)

KONGSI LEMBU

Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]

Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban yang bermaksud: "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama."

BINATANG TERBAIK UNTUK QURBAN

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.

Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

PEMBAHAGIAN DAGING

Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :

1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,
1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Ia berdasarkan firman Allah SWT :

Ertinya : “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan qurban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang qurban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin." (Surah Al-Haj: 28).

Dan juga firman Allah :

Ertinya: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. " (Surah Al-Haj: 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKANNYA. [4]

Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.

Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil qurban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]

DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging qurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Muslim.

MEMBERI DAGING QURBAN KEPADA ORANG KAFIR

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]

Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.

BERQURBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG

Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berqurban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.

Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam berkenaannya.  Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah qurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.

Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.

Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semuanya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu  barulah ibadah qurban menjadi utama untuk dilaksanakan.

Ia amat jelas kerana ibadah qurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab manakala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.

Jika disebabkan oleh ingin berqurban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berqurban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berqurban. Demikian pandangan ringkas saya.

QURBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT

Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan bajet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berqurban atas nama syarikat?

Jawab ringkas saya: "Tidak boleh !"

Ibadah qurban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, jika sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana pengarah atau kakitangannya.

Ketika itu qurban barulah sah dan ia menjadi qurban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau qurban, pahala qurban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.

Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara spesifik 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.

APAKAH HAJI AKBAR ?

Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah  sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).

Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab:
"Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)

Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah [7]

Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya "tiada asalnya".

Kesimpulannya : Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat, manakala Saidina Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 Zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari Wuquf di Mina (hari Tasriq).

Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh Hari Raya ‘Idil adha ini hendaklah menurut ijtihad pemerintah kerajaan Arab Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia (kecuali jika benar-benar sesebuah negara itu mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti Negara Arab Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari Lailatul Qadar dan Hari Raya Idilfitri akan berterusan. Wallahu 'alam.



[1] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197
[2] Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni, 9/436
[3] Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313
[4] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200
[5] Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225
[6] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201
[7] Ahkam al-Quran, Al-Jassas

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...