Nuffnang advertisement

Sabtu, 18 Disember 2010

PruBSN Ummah Bantu Tampung Kos Tunai Haji

Pelan simpanan, insurans boleh selesai masalah di luar jangka

AZIM (kanan) bersama Ahmad Saruji ketika
merasmikan PruBSN Ummah di Kuala Lumpur.

PRUDENTIAL BSN Takaful Bhd (PruBSN) melancarkan produk terbarunya, PruBSN Ummah, satu Pelan Takaful Keluarga pertama di pasaran yang memenuhi keperluan pelanggan untuk menunaikan haji selain mendapat perlindungan takaful dan simpanan serentak.

Ketua Eksekutif PruBSN, Azim Mithani, berkata pengenalan produk takaful inovatif itu menandakan komitmen berterusan syarikat itu kepada pelanggan bagi membolehkan mereka memenuhi keperluan berkenaan menerusi kaedah yang baru dan menarik.

"Salah satu daripada objektif khusus PruBSN Ummah adalah untuk membantu mengurangkan kos menunaikan haji bagi membolehkan bakal jemaah haji membahagikan kos menerusi penyediaan simpanan bagi melengkapkan simpanan Tabung Haji mereka," katanya pada majlis pelancaran produk terbaru itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

JEMAAH haji boleh manfaat pelan perlindungan
PruBSN Ummah ketika berada di Tanah Suci.


Hadir sama, Ketua Pegawai Pemasaran Amanah Raya Bhd (ARB), Ahmad Saruji Abd Aziz. Jelasnya kos menunaikan ibadat haji kian meningkat dari tahun ke tahun dan berdasarkan brosur Lembaga Urusan dan Tabung Haji, ia menelan belanja kira-kira RM10,000 untuk menunaikan ibadat haji bersama mereka.

Jumlah itu katanya akan berganda jika ia diuruskan oleh agensi pengurusan Haji yang lain. Azim berkata, menerusi produk itu, pelanggan boleh membuat simpanan tambahan yang akan membantu mereka mencapai matlamat mereka dengan lebih cepat.

"Apabila tiba masanya untuk menunaikan haji atau umrah, peserta boleh mengeluarkan sebahagian daripada simpanan mereka pada bila-bila masa selepas tahun sijil kelima," katanya.

Selain kemudahan itu, PruBSN Ummah turut menyediakan manfaat lain kepada pelanggan yang didatangkan semuanya dalam satu produk. Ia merangkumi:
  • Badal haji (upah haji)
  • Ganjaran wang tunai kepada pelanggan setia
  • Jaminan kewangan terhadap kematian yang tidak dijangka dan hilang upaya kekal dan menyeluruh
  • Perlindungan terhadap penyakit kritikal, dan
  • Penulisan wasiat.
Selain itu, pelanggan setia yang membayar semua sumbangan mereka sepanjang tempoh takaful, akan diberi ganjaran oleh PruBSN menerusi bonus kesetiaan yang meningkat setara dengan sumbangan mereka.

Elaun haji juga adalah sebahagian daripada bonus kesetiaan itu.

Pelanggan juga boleh memilih untuk menggunakan elaun berkenaan bagi menambahkan perbelanjaan mereka atau menggunakannya untuk menjamin keperluan kewangan keluarga semasa mereka berada di Makkah.

Selain itu, selepas elaun haji itu dibayar kepada pelanggan, bonus kesetiaan akan terus meningkat selagi pelanggan terus menjelaskan sumbangan mereka.

Satu lagi ciri unik PruBSN Ummah ialah ia membolehkan peserta mencapai niat mengerjakan haji jika mereka meninggal dunia dengan tiba-tiba atau mengalami hilang upaya kekal dan menyeluruh.

PruBSN Ummah akan membayar RM3,000 kepada penama yang dipilih oleh peserta atau kepada Tabung Haji Travel and Services untuk melaksanakan haji badal bagi pihak mereka.

Untuk memberi ketenangan minda kepada peserta, PruBSN Ummah akan membayar perlindungan berganda jika mereka meninggal dunia secara tiba-tiba atau mengalami hilang upaya kekal dan menyeluruh semasa menjalankan ibadat haji atau umrah.

Selain daripada manfaat takaful, keluarga mereka juga akan menerima manfaat tambahan khairat kematian berjumlah RM2,000 apabila peserta meninggal dunia.

Sebagai tambahan, peserta juga boleh meningkatkan pelan PruBSN Ummah mereka dengan 'rider Crisis Shield dan Contributor' yang akan menyediakan mereka dengan perlindungan komprehensif terhadap penyakit kritikal utama.

Dengan rider itu, peserta yang mengidap mana-mana satu daripada 36 penyakit kritikal yang dilindungi akan menerima jumlah perlindungan yang relevan sebagai bantuan kewangan untuk perubatan.

Sumbangan tahunan mereka juga dilindungi bagi memastikan mereka dapat terus menabung dan menikmati perlindungan yang diperlukan sepanjang tempoh takaful.

Sempena pelancaran PruBSN Ummah, PruBSN turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ARB bagi menyediakan perkhidmatan penulisan wasiat kepada peserta pelan yang dapat meningkatkan lagi nilai tambah produk itu.

Ahmad Saruji berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan PruBSN dalam aspek pemasaran dan menjual produk ARB terutamanya penyediaan wasiat bagi golongan beragama Islam dan bukan Islam.

"Wasiat adalah penting dalam pengurusan pusaka. Ia adalah sebahagian daripada perancangan kewangan. Adalah benar bahawa dengan mempunyai wasiat bukan suatu perkara yang muktamad, tetapi ia akan membantu dalam menyelesaikan pentadbiran hartanah," katanya.

PruBSN Ummah menyediakan satu keperluan perancangan istimewa kepada umat Islam yang merangkumi kira-kira 60 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

Azim berkata, produk yang direka khas itu akan membolehkan PruBSN menarik minat lebih ramai umat Islam di Malaysia yang kebanyakannya masih belum mempunyai perlindungan takaful atau insurans.

"PruBSN Ummah adalah satu produk yang unggul dan menarik dengan ciri-ciri yang menggabungkan simpanan dan perlindungan dan pada masa yang sama membantu pelanggan memenuhi kewajipan mereka sebagai seorang Muslim.

"Ini adalah produk pertama di dalam pasaran yang menyediakan produk sebegini secara komprehensif," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...