Jika dilihat senario masa kini, masih ramai antara kita yang belum memiliki pelan perlindungan insurans/takaful. Tidak kiralah pakej sama ada insurans nyawa, perubatan, pendidikan mahupun pelaburan, kepentingan memiliki insurans/takaful masih 'kabur' di mata kebanyakan masyarakat di Malaysia.
Situasi ini jelas menunjukkan amalan memiliki insurans/takaful masih baru berikutan tiada didikan serta kesedaran pentingnya dilindungi pakej insurans/takaful. Apatah lagi dalam persekitaran hidup era ini yang mencabar baik dari aspek ekonomi, keselamatan dan juga kesihatan.
Bagi sesetengah pihak, insurans/takaful dilihat sebagai beban. Ini kerana mereka terpaksa memperuntukkan sebahagian daripada gaji untuk membayar premium/sumbangan, sedangkan pulangan dan manfaatnya entah bila boleh dinikmati. Apabila berlaku sesuatu kejadian mahupun malapetaka, barulah kepentingan dan faedah polisi insurans/takaful dapat dimanfaatkan.
Faktor 'sayangkan duit' sering menjadi punca enggan memiliki polisi insurans/takaful. Bagi segelintir pihak, purata bayaran premium/sumbangan serendah RM100, RM150 atau RM300 sebulan dilihat sebagai beban. Ini membentuk mentaliti masyarakat yang sering mengelak setiap kali didatangi ejen insurans/takaful.
Suami yang menjadi harapan keluarga malah bertindak sebagai ketua adalah individu penting yang perlu dilindungi insurans/takaful. Bukan mahu memperjudikan nyawa serta meletakkan beban di bahu pihak suami semata-mata, ia sebenarnya berbalik kepada kesan jangka panjang serta perlindungan yang bakal dinikmati mereka sendiri.
Apakah Punca Sebenar Orang Ramai Enggan Memiliki Insurans?
Apakah Punca Sebenar Orang Ramai Enggan Memiliki Insurans?
Punca utama adalah faktor kewangan. Apatah lagi kesan ekonomi dunia yang secara tidak langsung memberi pengaruh besar dalam perbelanjaan harian masyarakat. Ini lebih dirasai oleh pihak suami yang menjadi ketua keluarga lebih-lebih lagi jika isteri tidak bekerja dan membesarkan anak-anak di kota-kota besar seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Diakui sukar untuk suami menanggung kos kehidupan yang tinggi di kota serta pada masa yang sama memiliki insurans/takaful keluarga.
Apakah Masih Ada Peluang Golongan Seumpama Ini Memiliki Insurans?
Ya, masih ada. Ia berbalik kepada faktor kesedaran itu sendiri. Jika lelaki sebagai ketua keluarga menyedari akan kepentingan dirinya sebagai tunggak masa depan diri serta keluarga, insurans/takaful adalah jawapan terbaik dalam memastikan nasib keluarga adalah terjamin. Bayangkan apabila diri tidak dilindungi insurans/takaful, apa yang akan terjadi kepada nasib diri serta keluarganya pada masa depan?
Pandangan Negatif Mengenai Insurans/Takaful
Suatu ketika dulu, bila bercakap mengenai insurans/takaful, orang akan melihat sebagai perlindungan kematian. Orang tidak berminat untuk bercerita mengenai kematian. Itu cerita 10 tahun dulu di mana pakej insurans banyak menjurus kepada pelan insurans nyawa yang memberi imbuhan kepada ahli keluarga jika pemilik insurans meninggal dunia. Sekarang, banyak pakej yang boleh dinikmati oleh pemilik insurans seperti bantuan perubatan, kad perubatan, kecemasan, pakej simpanan pendidikan serta persaraan dan sebagainya.
Bagaimana Kita Ingin Mengetahui Kelebihan Sesuatu Pakej Insurans/Takaful Itu Sendiri?
Penting untuk setiap daripada kita mengenali pakej insurans/takaful yang ditawarkan. Selidiki latar belakang syarikat insurans/takaful serta kelebihan yang bakal dinikmati daripada pelaburan yang kita lakukan. Jangan sesekali terpedaya dengan tawaran serta pakej murah yang menawarkan insurans/takaful tanpa mengetahui butiran lanjut serta tuntutan yang boleh dibuat di kemudian hari.
Apakah Yang Bakal Dinikmati Jika Memiliki Insurans/Takaful?
Bukan sahaja faedah dirinya dilindungi, bahkan pemilik insurans/takaful lazimnya dibekal kad perubatan yang melayakkan dirinya menerima rawatan pilihan segera di panel hospital pakar swasta selain hospital kerajaan. Hanya perlu menunjukkan kad perubatan insurans/takaful, pesakit layak mendapatkan rawatan daripada doktor pakar berbanding mereka yang tidak memiliki insurans/takaful. Bukan itu saja, sepanjang menerima rawatan di hospital, pemilik insurans/takaful juga menerima elaun tunai tinggal di wad hospital. Bukankah ini menarik?
Kenapa Saya Harus Miliki Insurans/Takaful?
- Sebagai persediaan jika ditimpa musibah. Saya tidak tahu bila kemalangan akan menimpa.
- Memiliki insurans/takaful ketika masih muda dan sihat boleh mendapat pulangan lebih tinggi apabila tempoh matang insurans/takaful.
- Sebagai simpanan masa depan untuk bekalan persaraan.
- Kos pengajian di universiti semakin tinggi. Anak saya perlu memiliki insurans/takaful untuk meringankan beban saya kelak bagi menampung kos pendidikannya.
- Jadi peninggalan untuk anak dan waris jika saya meninggal dunia akibat musibah.
- Insurans/takaful kesihatan perlu untuk menampung kos perubatan dan rawatan yang tinggi sekiranya saya dimasukkan ke hospital.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan