Nuffnang advertisement

Jumaat, 29 Oktober 2010

Sediakan Payung Sebelum Hujan



Masyarakat kadang kala bertanya kepada saya - Mengapa mereka perlukan insurans, sedangkan kehidupan mereka sudah selesa? Mereka memiliki pekerjaan atau perniagaan yang sudah mampu untuk menampung perbelanjaan sara hidup keluarga dan usia mereka juga masih muda. Dalam erti kata lain, mereka tidak yakin dengan konsep insurans, sedangkan kesihatan mereka masih baik dan mereka belum mahu mati lagi. Kini, masyarakat sudah lama yakin dengan konsep insurans.

PERTAMA, ingin saya jelaskan disini, insurans hayat bukan insurans kematian. Membeli insurans bukan bermakna anda merancang untuk mati tidak lama lagi! Sebaliknya, membeli insurans itu bertujuan untuk anda melindungi kewangan keluarga anda, dari kerugian kewangan yang berpunca dari musibah tertentu seperti ditimpa penyakit kritikal atau kemalangan, lumpuh keseluruhan atau meninggal dunia. Bukan mati sahaja.

KEDUA, saya tidak perlu menyakinkan anda tentang konsep insurans kerana anda sebenarnya sudah lama yakin dengan konsep insurans tersebut. Seperti pernah saya jelaskan sebelum ini, insurans itu hanyalah satu 'alat' untuk anda melindungi kewangan anda. Konsep insurans sedia-ada adalah untuk membantu anda menjamin sumber kewangan yang berterusan dan menutup kerugian kewangan yang berlaku di dalam kehidupan anda.

Anda mungkin tidak sedar bahawa, anda sebenarnya sudah lama yakin dengan konsep insurans ini. Anda juga tidak sedar, selama ini, pekerjaan anda atau perniagaan anda lah yang merupakan 'insurans' kepada kehidupan anda. Bagi menjamin sumber kewangan yang berterusan, atau memenuhi keperluan kewangan yang timbul secara mendadak, anda bergantung kepada pekerjaan atau perniagaan yang anda lakukan sekarang. Sama ada anda terpaksa bangun awal pagi, meredah kesesakan lalulintas atau kerja 'overtime' hingga lewat malam, anda lakukan ini semua kerana pekerjaan atau perniagaan anda itu, adalah satu 'insurans' bagi anda menjamin sumber kewangan anda. Sebab itulah saya katakan, saya tidak perlu meyakinkan anda tentang konsep insurans kerana anda selama ini, sebenarnya sudah pun yakin dengan konsep insurans.

Cuma persoalannya sekarang:-

1. Apa akan terjadi kepada kewangan anda apabila anda sudah tidak boleh bekerja/berniaga lagi?


2. Bagaimana anda hendak menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga, apabila anda sudah tidak berupaya untuk bekerja/berniaga?

Inilah sebabnya mengapa anda perlu memiliki insurans untuk memperluaskan skop jaminan kewangan yang sudah anda miliki, supaya anda tetap dapat menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga, walaupun setelah anda sudah tidak berupaya atau sudah tiada!

Jika sebelum ini, anda memiliki pekerjaan atau perniagaan sebagai satu jaminan kewangan, maka perluaskan keupayaan anda, dengan memiliki insurans sebagai satu jaminan tambahan. Ini supaya, di saat anda sudah tidak boleh bekerja, keluarga anda masih boleh meneruskan kehidupan mereka seperti biasa, dengan adanya bantuan kewangan dari insurans.

Daripada anda membiarkan keluarga anda hidup sengsara, meminta-minta daripada orang lain, hingga kadangkala terpaksa menjual maruah diri untuk menyara anak-anak, bukankah lebih baik jika anda mula memiliki insurans dari sekarang?

Masyarakat selalu mudah berkata, tidak perlu risau kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Pungutan Zakat dan Baitul Mal ada untuk membantu mereka. Mereka menyangka ketiga-tiga organisasi ini, akan dapat menyelesaikan semua masalah kewangan yang mereka hadapi, di saat mereka sudah tidak boleh bekerja lagi. Tetapi hakikatnya, berapa banyakkah sumbangan yang mereka akan terima? RM150 sebulan? RM300 sebulan? Adakah ianya mencukupi untuk menampung keperluan harian keluarga? Inilah hakikat kehidupan yang anda seringkali lupa dan mereka yang sudah menerima bantuan badan kebajikan pun, masih hidup meminta-minta di dalam media massa kerana bantuan sumbangan yang diterima tidaklah seberapa, sekadar cukup untuk keperluan asas sahaja.

Kesimpulannya

Anda perlu terima hakikat bahawa musibah boleh menimpa tanpa mengira usia dan anda perlu melakukan sesuatu sebagai persediaan menghadapi apa jua kemungkinan di dalam kehidupan anda. Memiliki insurans merupakan cara terbaik anda memperluaskan skop jaminan kewangan yang sudah anda miliki dari pekerjaan atau perniagaan anda. Bukan sahaja insurans dapat menyediakan duit sara hidup di saat anda sudah tidak berupaya atau sudah tiada, ia juga dapat membantu anda menunaikan tanggungjawab anda terhadap keluarga tersayang.

Petikan artikel dari Ringgit & Sen(Siri Belajar Insurans)
Penulis artikel:Azha Syazri Hj Azizan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...