Nuffnang advertisement

Khamis, 21 Oktober 2010

SUATU PERJALANAN


Persefahaman antara suami dan isteri bukan boleh dicapai sehari dua. Ia merupakan satu perjalanan sepanjang usia perkahwinan. Cabaran dan dugaan pastinya tidak sama, di awal, pertengahan dan di hujungnya. Justeru, sikap saling memberi dan menerima sangat perlu dipupuk dan dibaja. Memberi kelebihan diri untuk saling melengkapi. Menerima kekurangan untuk saling menginsafi, suami mahu pun isteri bukanlah manusia sempurna.


SILAP ISTERI

Kesilapan isteri bermula apabila melupakan kebaikan suami kerana benci dengan sikapnya yang tidak menyenangkan hati. Silap menjadi dosa andai keistimewaan suami orang yang sering dibicara. Keburukan suami dijaja, atas alasan minta nasihat rumahtangga. Tapi apa maknanya kalau semua orang bercerita. Rasulullah SAW pernah mengingatkan melalui sabdanya yang bermaksud :

"Wahai kaum wanita, aku lihat kamu ini lebih banyak di neraka".
Seorang wanita lalu bangun bertanya, "Apakah yang menyebabkan yang demikian? Adakah sebab kami ini kufur?"

Rasulullah SAW menjawab, "Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada dua tabiat kamu yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu ke dalam neraka:

1. Kamu banyak mengutuk atau menyumpah
2. Kamu kufurkan kebaikan suami."


Ada kalanya, isteri merajuk tanpa sepatah kata. Suami yang tak tahu menahu, terus buat biasa. Muka isteri semakin kelat, hilang serinya. Menahan ego diri, ingin dipujuk dengan kata cinta, namun tidak berbicara dan bersemuka. Suami tertanya-tanya sendiri, akhirnya terasa hati. Salah siapa agaknya, bila masing-masing memendam rasa. Kasih mula bertukar marah. Marah marak menyala benci.


YANG LEBIH, YANG KURANG

" Awak beruntung ye Ina, dapat suami yang memahami. Tak seperti saya. Hari-hari menjeruk rasa, " luah seorang teman yang baru beroleh cahaya mata.

" Suami saya juga ada kurangnya. Tapi kelebihannya lebih banyak untuk saya perkatakan. Saya pun isteri yang ada salah dan silap, " jawab Ina supaya temannya buka mata.

" Ada suami yang tak pandai urusan rumah tangga, namun dia bijak berjenaka, meriah suasana. Ada suami yang jarang menghadiahkan bunga, tapi selalu membelanja anak dan isteri dengan makanan istimewa. Dan ramai juga suami yang tidak reti memujuk, bermain kata. Tapi mudah bertoleransi bila diminta bantu sini dan sana. Ketepikan kekurangannya dan ambil kelebihan. Pasti awak juga akan rasa bertuah beroleh suami seperti dia." pujuk Ina lagi. Moga-moga temannya berubah hati. Kembali ' memandang tinggi ' kehadiran seorang suami.


ENGKAU TERBAIK UNTUKKU

" Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri, buang yang keruh, ambil yang jernih. Baru teguh peribadi."

Wahai teman bergelar isteri, mari kita muhasabah diri. Pohon keampunan dari Ilahi agar cinta Nya bersemi kembali. Banyakkan istighfar dan juga sedekah, kerana janji Allah setiap kebaikan menghapus kejahatan.

Susunkan jemari pintalah kemaafan dari lelaki bernama suami. Jangan bertangguh dan jangan lengah. Bimbang maaf tiada serinya lagi.

Pandang wajahnya, lihat matanya. Bisikkan di sanubari, " Terima kasih, suamiku. Engkau terbaik untuk diri ini. "


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


UNTUK MU WAHAI ISTERI

Segala pujian bagi Allah telah memberikan anugerah iaitu seorang isteri. Yang memberikan perasaan tenteram dan nyaman di dalam hati.

Isteri - panggilan ini untuk dirimu wahai isteri. Bermulanya dari ikatan sah yang menghancur lumat keinginan syaitan iblis yang ingin membawa engkau dan dia ke kancah penzinaan yang dimurkai Allah.

Isteri - dialah yang membantu dalam urusan rumahtangga. Yang mengemas rumah, membasuh pakaian. Bukankah dia tempat engkau meluahkan perasaan apabila runsing. Bila engkau dalam keadaan ammarah - dia mendiamkan diri menelan bulat apa yang ditegur. Dan apabila suasana kembali aman, dia tetap tersenyum dan berkata dengan baik denganmu.

Isteri - dia mengingatkan pabila engkau terlupa. Sesekali engkau bosan mendengar bebelannya, tetapi itu untuk kebaikanmu jua. Sebab tidak semua perkara engkau akan ingat segalanya.

Isteri - dia wasilah yang menyambung zuriatmu. Membawa dalam rahimnya seorang anak dengan penuh sabar dan tabah walaupun payah. Bertarung dengan nyawa untuk melahirkan penyejuk mata, lalu engkau menyambutnya sebagai seorang ayah.

Isteri - dia tetap juga meneruskan tugasnya sebagai seorang isteri setiap hari. Air tangannya yang ikhlas, menjamukan lauk pauk dan duduk bersama-sama untuk si suami.

Isteri - bukankah dia yang selalu risau tentang dirimu? Pasti ditanya khabar di mana engkau berada. Lalu apabila khabarnya dibalas dengan jawapan yang menyenangkan hati. Dia tersenyum lega.

Isteri - sabarlah menerima teman yang menjadi suamimu yang tidak lepas dari kekhilafan. Yang berusaha menjadi suami yang baik untukmu.

Terima kasih wahai yang bernama isteri. Moga syurgalah tempat tinggalmu nanti.

Suamimu...

Wassalam.

1 ulasan:

  1. seronoknye bace...boleh ye kalo sy copy dan letak kat blog sy.

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...