Nuffnang advertisement

Selasa, 28 September 2010

Tidak Cukup Perlindungan Insurans


Setiap insan itu berharga. Antara nilai diri kita ialah keupayaan mencari rezeki. Ini penting kerana dengan rezeki tersebutlah kita menyara keperluan diri, keluarga dan secara langsung menjana ekonomi negara. Cuba kira jumlah pendapatan yang boleh kita janakan dari sekarang sehingga lanjut usia apabila kita tidak boleh bekerja lagi. Mudah sahaja kiraannya; ambil pendapatan bulanan dan kita darabkan dengan bilangan tahun yang kita boleh bekerja. Rasa-rasanya memang banyak juga.

Masalah kewangan akan timbul jika berlaku sesuatu musibah. Jika kita mati atau hilang upaya untuk bekerja kerana sakit ataupun kemalangan diri, ini bermakna kita kehilangan puluhan, ratusan atau jutaan ringgit pendapatan masa depan kita.

Inilah insurans iaitu perjanjian tanggungan yang dibuat oleh sesuatu badan (biasanya syarikat insurans) untuk menggantikan kerugian seseorang dengan bayaran premium tertentu. Jika kita mati, waris kitalah yang akan mendapat pampasan tersebut.

Jaminan perlindungan untuk pendapatan masa depan ini masih banyak diabaikan oleh para pekerja. Bayangkan betapa ramai daripada kita yang mati muda, sakit dan ditimpa kemalangan sehingga hilang upaya untuk bekerja.

Satu lagi bentuk jaminan ialah perlindungan daripada terpaksa berbelanja besar untuk memperbaiki sesuatu. Kadang-kadang perbelanjaan jauh melebihi keupayaan kewangan yang ada.

Antaranya ialah perbelanjaan perubatan yang boleh mencecah ratusan ribu ringgit. Bayangkan kos perubatan yang ditentukan hospital swasta untuk merawat sakit jantung, kanser dan penyakit-penyakit kronik yang lain.

Seterusnya ialah jaminan  perlindungan untuk harta benda kita daripada kerugian yang besar. Rumah kita perlu dilindungi daripada dilelong oleh bank kerana kita meninggal dunia atau hilang upaya dan hutang rumah tidak dapat dibayar. Juga rumah perlu dilindungi daripada kebakaran dan bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan kalau di tepi laut, tsunami.

Kereta kita pula memang berisiko tinggi untuk terlibat dalam kemalangan. Kita perlu sekurang-kurangnya mempunyai perlindungan daripada tuntutan ganti rugi kematian, kecederaan atau kos pembaikan kereta orang yang terbabit kemalangan dengan kita.

Pokoknya insurans adalah perlu untuk jaminan perlindungan kewangan untuk menampung musibah yang tidak boleh ditanggung oleh keluarga ataupun diri kita dengan kewangan peribadi yang ada.

Wallahu'alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...