Nuffnang advertisement

Selasa, 17 Ogos 2010

Tentang Gaji dan Perbelanjaan Anda

Oleh Yuzairi Yunus

Tentang Menyimpan Untuk Masa Depan

Tak dinafikan, untuk memenuhi keperluan masa depan seperti persaraan atau pendidikan universiti anak, kita perlu membuat simpanan mulai sekarang, dan bukannya bertangguh sampai dah nak pakai duit baru buat simpanan.

Bab menyimpan ini ada diterangkan dalam Al-Quran Surah Yusuf ayat 46 hingga 48 yang bermaksud - "(Setelah dia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): "Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! Tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): Tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya". (46) Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. (47) Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). (48)"

Dalam erti kata lain, ketika berduit, ada sumber pendapatan seperti sekaranglah, anda perlu menyimpan sebahagian rezeki tersebut untuk kegunaan ketika terdesak di masa akan datang.

Maknanya, kalau anda bekerja dari umur 25 tahun hingga 55 tahun (30 tahun), anda perlu simpan sebahagian pendapatan anda untuk kehidupan lepas bersara 30 tahun akan datang (hingga umur 85 tahun). Cuba anda bayangkan sendiri, kalau sekarang takde gaji 1 bulan pun dah mengeluh, apatah lagi nak hidup 30 tahun lepas bersara tanpa gaji? Bolehkah anda survive?

Kalau gaji anda RM 2,500 sebulan, RM30,000 setahun. Bekerja 30 tahun, akan membawa pendapatan RM1 juta termasuk kenaikan gaji, bonus dan over-time. Dari pendapatan RM1 juta sepanjang 30 tahun bekerja, berapa banyak yang anda bawa sebagai bekalan hari tua anda (untuk hidup lepas bersara selama 30 tahun lagi)? Pernahkah anda terfikir tentang kehidupan masa depan anda?


Tentang Tak Boleh Menyimpan

Setiap orang yang ada sumber pendapatan sebenarnya mampu untuk menyimpan. Yang buat mereka tak mampu menyimpan walaupun bergaji, adalah disebabkan sikap dan cara pengurusan kewangan mereka sendiri.

Selama ni, mereka dok fikir, belanja dulu dan lihat berapa baki untuk disimpan. Kalau ada lebih, boleh la simpan. Kalau takde, tak menyimpan. Kalau tak cukup, cari loan atau kad kredit pulak, tambah hutang! Janji belanja bulanan tetap ditunaikan walaupun over bajet.

Mulai hari ni, cuba UBAH SIKAP anda. Setiap kali dapat gaji, simpan dulu sebahagian gaji sebagai simpanan masa depan anda. Yang selebihnya baru belanja. Kalau duit nak belanja tak cukup, cuba adjust perbelanjaan anda. Kurangkan mana perbelanjaan yang tak penting!

Kalau tak cukup jugak duit untuk berbelanja (selepas dah simpan bulanan), cuba cari income tambahan. Jangan fikir short-cut, bila duit tak cukup nak belanja, balik-balik cari personal loan atau kad kredit. Sekarang ni, tambah pulak berhutang dengan overdraf lagik. Bukannya nak usaha lebih sikit cari wang tambahan. Nak cari peluang pulak, yang mudah, yang boleh beri pulangan berlipat ganda tanpa buat apa-apa, tanpa menjual, tanpa cari orang, tanpa angkat bontot ke sana ke sini. Kalau macam ni lah sikap anda, macam mana nak ada kemajuan dalam kehidupan anda sendiri?


Tentang Cari Duit Lebih

Banyak peluang yang tersedia di luar sana tu. Bezanya, samada peluang tersebut legal dan sah di sisi undang-undang atau sebaliknya. Yang penting, kalau anda nak cari duit lebih, kenalah usaha bersungguh-sungguh. Jangan usaha sambil lewa saja dan tak serius. Kena jujur dan berlaku adil pada diri sendiri.

Kalau dah jumpa peluang yang sesuai dengan naluri hati dan mampu dilakukan (walaupun pada awalnya nampak macam susah sikit), fokus betul betul dan buat yang terbaik. Jangan dok fikir lama-lama atau dok buat “kajian” tak habis-habis 4-5 tahun.

5 tahun dulu, saya ada ajak kawan join buat bisnes macam saya, jual insurans. Memang selama ni pun, dia dok tanya apa peluang bisnes bagus masa tu untuk dia buat duit? Dengar saja insurans, kawan saya pun dok mengeluh dan beri macam-macam alasan. Dia kata insurans ni bisnes dah basi dah! Kalau boleh, dia nak idea bisnes yang canggih-canggih.

Tentulah, idea bisnes nak jual insurans ni langsung tak melekat kat dia. Dia sangka nak bisnes, kena ada idea canggih, ada modal besar, baru best! Jenuh dia kaji macam macam peluang. Dari MLM, pelaburan internet dan sebagainya. Tak jugak buat apa-apa bisnes sampai la ni. Habis masa 5 tahun dok “buat kajian je” kononnya nak fikir dulu!

Last-last dia cakap kat saya, 4 tahun dulu, dia buat keputusan ambil ASB loan saja. Kononnya boleh untung besar, guna modal bank buat duit. Dulu BLR 6% + 0.3% setahun, interest ASB loan dia 6.3% setahun. Sekarang BLR dah naik kepada 6.75%, interest ASB loan dia jadi 6.75% + 0.3% = 7.05% setahun. Dah hampir sama dengan dividen ASB je.

Dia cakap, tahun pertama je dia bayar penuh. Tahun kedua sampai tahun ke 20, dia bayar sikit je sebab guna dividen ASB untuk bayar loan. Lepas 20 tahun nanti, dapatlah RM100,000 tu. Kaya lah aku nanti, katanya.

Saya cakap kat dia, kalau dia buat insurans macam saya 5 tahun lepas, dia dah boleh buat duit lebih banyak dari tu. Saya beritahu dia, hasil komisyen saya jual insurans saja sepanjang 5 tahun lepas, hampir mencecah RM350,000 dah. Tak payah tunggu sampai 20 tahun pun, dah buat duit berlipat-ganda dari ASB loan dia. Idea bisnes paling basi ni lah yang bantu saya buat duit selama ni. Hahhhh?? Terkejut besar dia.

Yang penting, bila kita ada peluang, buatlah bisnes tu sungguh-sungguh. Fokus dan usaha tanpa putus asa. Itulah rahsia saya selama ni. Maklumlah jual insurans ni, banyak betul rintangan dan kerenah manusia yang saya terpaksa lalui. Jual pulak insurans konvensional pulak tu. Lagi lah banyak rejection dan arguments. Tapi saya dah buktikan, saya boleh buat bisnes ni sebaik mungkin kalau saya benar-benar serius ingin melakukannya.


Tentang Menyimpan Melalui ASB Loan

Setengah orang, bila nak disuruh menyimpan, macam macam alasan dia berikan. Susah nak berdisiplin. Kalau menyimpan dengan cara berhutang seperti ASB loan ni, lebih baik sebab kita macam terpaksa bayar loan tiap-tiap bulan.

Sebenarnya ini hanyalah isu sikap peribadi anda saja. Cuba amalkan menyimpan dulu sebelum berbelanja. Insya-Allah simpanan akan terhasil. Kalau kurang berdisiplin, buat potongan gaji atau autodebit. Masuk ASB atau unit trust / investment-linked funds agar dapat pulangan yang setimpal. Itulah yang saya buat sekarang, setiap bulan income saya dah potong awal-awal untuk simpanan dan insurans keluarga. Jadi bila dapat duit, duit tu bersih untuk buat apa saja.

Cuma samada simpan melalui ASB loan itu menguntungkan, itu terpulang kepada diri masing-masing, bagaimana anda melihatnya. Pada saya, secara peribadi, simpan melalui ASB loan tak menguntungkan sebab dividen kita habis dihakis oleh interest bank. Bila BLR naik, silap-silap dividen ASB pun tak dapat nak cover interest bank.

Memanglah staff bank iklan best-best, ambil ASB loan RM100,000 untuk 20 tahun, dapat dividen penuh 8% setahun bulat-bulat! Tapi ramai orang terlupa, dividen tu awal Januari tahun depan baru dapat. Sekarang ni, anda dok bayar interest kat bank dari Januari hingga Disember.

Ingatkan boleh “buat duit” tanpa guna modal sendiri, guna duit bank. Rupa-rupanya bank yang buat duit, guna nama kita untuk invest dalam ASB (the safest investment of all). Sebab bank pinjamkan RM100,000, dia akan dapat balik RM100,000 (sebab anda kena ganti balik). Tambahan dari itu, dapat interest dalam RM78,000 lagi (jika interest 6.5% setahun), dikorek dari dividen ASB kita. Kita untung sikit. Recommend kawan pun, bukan dapat apa-apa dari bank. Kita je yang cerita punya-lah gah, kononnya akan jadi kaya 20 tahun lagik!


Tentang Gaji Anda

Bila cakap pasal gaji dan apa yang kita buat dengan gaji kita setiap bulan, memang seronok. Lebih-lebih lagi bila dapat simpan sebahagian besar (lebih 50%) dari gaji kita. Fuhhh rasa macam dunia ni aku yang punya!!

Semua orang tahu gaji ni sangat sangat penting dalam kehidupan mereka. Tapi bila saya tanya setengah orang (dah memang kerja saya sebagai penasihat khidmat kewangan) samada mereka :-


1 – Boleh hidup kalau majikan tak bayar gaji 6 bulan?

2 – Boleh hidup kalau majikan tak bayar gaji selama-lamanya?


Mereka semua mengeluh. Kalau bulan ni majikan tak bayar gaji pun, dah menggelupur, apatah lagi 6 bulan tak bayar gaji? kata mereka.

Habis, apa yang anda semua dah buat untuk melindungi income anda itu? Tanya saya lagi.

Tahukah anda, ada 4 perkara yang boleh menyebabkan anda kehilangan gaji bulanan anda, iaitu :-


1 – Lumpuh keseluruhan akibat penyakit

2 – Sakit kritikal yang berpanjangan

3 – Kemalangan yang teruk

4 – Meninggal dunia awal sebelum bersara


Empat perkara ini kalau tak ditangani dengan betul, boleh menyebabkan bencana kewangan kepada sesebuah keluarga. Nak kerja, tapi dah tak berupaya langsung sebab 4 perkara di atas. Majikan pun tak nak simpan lama-lama, silap-silap anda diberhentikan terus dan tak boleh cari kerja lagi.

Kebanyakan orang terdiam bila masuk bab ini. Ada simpanan pun, mungkin boleh bertahan sampai 3 bulan saja kot. Yang ada ambil insurans, sekadar beli tanpa usul periksa. Takde buat perancangan langsung bila beli insurans. Yang dia fikir, berapa yang dia perlu bayar untuk insurans. Lagi murah lagi bagus. Murah itu adalah yang terbaik, sangkaannya. Janji aku ada insurans dah!! Itu saja dia fikir.

Sepatutnya, bila beli insurans tu, anda kena pastikan samada anda sudah menutup punca bencana kewangan seperti 4 perkara di atas. Bukan beli sekadar ada saja. Kalau gaji RM 50,000 sebulan, ambil insurans coverage RM50,000, adakah ia dapat menyelesaikan masalah kehilangan gaji anda? Insurans anda hanya boleh cover 1 tahun perbelanjaan saja.

Cubalah beli insurans RM500,000 ke, sekurang kurangnya kalau kita lumpuh sekalipun, duit tersebut boleh dilaburkan untuk menjana dividen setiap tahun. Kalau pulangan dividen 10%, anda dapat hidup dengan dividen RM50,000 saja, tanpa usik pelaburan pokok tadi. Kan dapat ganti-semula gaji yang hilang?

Beli insurans jenis perlindungan kewangan, berbanding pelan jenis simpanan. Pelan perlindungan ni, bayar murah, dapat perlindungan kewangan tinggi. Contoh bayar RM 250 sebulan, umur 35 tahun, boleh dapat coverage mati / lumpuh RM 500,000 dah, diikuti dengan RM50,000 penyakit kritikal (cover 1 tahun gaji), khairat kematian RM7,000 (untuk belanja kebumi dan upah haji) serta caruman menjadi percuma kalau menghidap sakit kritikal. RM250 sebulan ni, baru 6% saja dari gaji RM50,000 setahun.

Mencarum 6% dari gaji tahunan ke dalam insurans perlindungan gaji tidak akan membuat anda jatuh miskin pun. Sebaliknya TAK MENCARUM 6% ini boleh menyebabkan anda KEHILANGAN 100% GAJI ANDA bila berlaku 4 perkara di atas. Jadi, anda nak hilang 6% atau 100% gaji anda?


Tentang Mana Lebih Penting – Insurans Sendiri atau Pendidikan Anak?
 
Bila sebut pasal perancangan insurans, ramai orang lebih mengutamakan pelan pendidikan anak berbanding pelan insurans untuk diri sendiri (untuk pencari nafkah). Kononnya kerana sangat sayangkan anak!

Tapi kalau anda fikir betul-betul, insurans pendidikan hanya akan menyediakan tabung pendidikan selepas tempoh matang (contoh selepas 20 tahun). Bila matang, anak anda ada duit tabungan untuk sambung belajar.

Sepanjang 20 tahun, menanti nak masuk universiti, anak anda nak makan apa kalau anda sudah tiada dan gaji anda turut hilang sama? Takkan nak campak anak anda tu ke rumah anak yatim? Rumah anak yatim pun terkial-kial (maaf kalau tersinggung) nak cari duit derma untuk tampung keperluan harian anak-anak yatim. Silap-silap anak anda itu, disuruh pungut derma depan bank-bank tiap-tiap bulan.

Semuanya kerana anda “terlupa” nak beli insurans untuk diri sendiri.

Sepatutnya, sebelum beli insurans pendidikan anak, BELILAH INSURANS UNTUK PERLINDUNGAN GAJI ANDA TERLEBIH DAHULU.

Sekurang-kurangnya, kalau apa-apa berlaku kat diri anda (sakit kritikal ke, lumpuh keseluruhan ke, meninggal awal ke), anak-anak anda ada duit sara hidup. Beli lah coverage tinggi sikit macam RM500,000 ke. Barulah dapat tampung keperluan masa depan anak dan tabung pendidikan mereka sekali-gus.

Itulah perancangan insurans yang betul. Bukan main beli saja insurans.


Tentang Kos Pendidikan Sekarang dan Masa Depan

Oleh kerana setiap individu itu adalah berlainan, saya percaya keperluan dan keadaan kewangan masing-masing juga berbeza. Kita tak boleh nak samakan seorang yang hidup di bandar dan seorang di kampung, walaupun income mereka sama RM2,000 sebulan. Dan kita juga tak boleh nak assume, hanya kerana seseorang itu tight budget atau tak cukup gaji bulanan, dia adalah seorang yang boros dan suka berbelanja lebih dari kemampuannya.

Sebagai contoh, puan A simpan RM100 sebulan untuk pendidikan universiti anaknya. Dia simpan sejak tahun 1990 lagi. Selepas 20 tahun (2010) anaknya masuk universiti, duit tabungan anak ada lebih kurang RM28,000. Cukup untuk masuk IPT awam, tanpa guna loan PTPTN.

Puan B yang rasa teruja dengan pengalaman puan A, pun mengikut cara yang sama. Maklumlah Puan A lebih senior dari dia. Dia ibu muda, baru ada anak bulan Januari 2010 lepas. Dia pun mula simpan RM100 sebulan untuk anaknya.

Tapi adakah RM100 sebulan itu cukup untuk pendidikan universiti anaknya?

Kalau simpan dari tahun 1990 dulu, ya ianya cukup sebab kos IPT awam sekarang (tahun 2010) lebih kurang RM28,000 untuk 4 tahun kursus (termasuk kos sara hidup & yuran pengajian).

Tapi untuk kos IPT awam 20 tahun akan datang (2030), kos IPT awam RM28,000 ini akan naik menjadi lebih RM 56,000 kerana inflasi. Menyimpan RM100 sebulan hanya boleh menjana tabung RM28,000. Terpaksa pinjam loan PTPTN pulak lagi separuh. Sepatutnya, Puan B kenalah menyimpan RM200 sebulan kalau nak sediakan tabung RM56,000, dan bukannya RM100 sebulan, tiru bulat-bulat.

Bila menyimpan, PASTIKAN ANDA MENYIMPAN DALAM KADAR CARUMAN YANG BETUL agar matlamat dapat dicapai.


Tentang Duit Untuk Ibubapa

Memang duit untuk ibubapa adalah sangat penting, sebagai tanda penghargaan anak kepada ibubapa mereka, disamping membantu mereka menampung kos kehidupan yang semakin mahal dari tahun ke tahun.

Tak kira samada ibubapa kita sudah berduit atau tidak, memberi duit sara hidup akan membuat ibubapa kita gembira dan bersyukur dengan sikap anak yang sentiasa ingatkan mereka.

Cuma cadangan saya, jangan sekadar nampak duit sarahidup bulanan ini sahaja. Kalau boleh, belikan ibubapa anda “medical kad” (insurans perubatan) sekirannya keadaan kesihatan mereka masih mengizinkan, agar kebajikan mereka di hari tua, lebih terjaga.

Maklum sajalah, kos rawatan di hospital semakin mahal. Nak masuk hospital kerajaan, hanya kes yang kritikal sahaja akan diterima masuk (sebab terlalu ramai orang nak masuk). Nak tak nak, kena masuk hospital swasta jugak agar ibubapa mendapat perhatian dan rawatan yang sewajarnya.

Bila ibubapa kita sakit, sebagai anak, kita jugak yang kena membantu. Dibuatnya kena bayar RM20,000-RM30, 000, mahu terkejut jugak dibuatnya. Dengan adanya medical kad, sekurang kurangnya, syarikat insurans boleh tolong bayarkan bil hospital tersebut.


Tentang Ilmu Kewangan dan Peluang Bisnes

Cuba luangkan masa anda untuk pelajari ilmu pengurusan kewangan yang betul agar anda dapat merancang masa depan yang lebih baik dari sekarang. Dari ilmu yang anda perolehi itu, cuba janakan pendapatan dari ilmu tersebut. Peluang sentiasa ada di mana-mana.

Sekian, diharap nasihat dan idea saya ini dapat membantu anda semua.

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...