Adakah anda mempunyai sebarang polisi insurans atau takaful? Besar kemungkinan semua yang memiliki kenderaan pasti membeli insurans kenderaan, itu pun sebab terpaksa. Kalau tidak, cukai jalan pula tidak boleh diperbaharui.
Soalan ini ditujukan untuk polisi insurans lain yang tidak berkaitan dengan kenderaan. Jika ramai yang menggeleng-gelengkan kepala, memang benarlah ada terdapat kajian yang menunjukkan jumlah masyarakat Melayu yang mengambil insurans sangat sedikit. Kenapa ya?
Sama memerlukan
Dari aspek perancangan kewangan, keperluan untuk melindungi diri daripada risiko kerugian kewangan adalah penting. Mudahnya begini.....apabila anda mendapat gaji bulanan, adakah anda fikir pekerjaan anda akan tetap sampai bila-bila? Bagaimana dengan kesihatan anda? Bagaimana dengan kebarangkalian terjadi kemalangan? Persoalan demi persoalan inilah yang mengarah tuju kita kepada keperluan perlindungan insurans.
Ada pelbagai jenis perlindungan yang perlu untuk diri anda sebagai individu atau keluarga yang anda miliki. Ia termasuklah :-
1. Perlindungan Nyawa
Kematian ialah sesuatu yang pasti terjadi, tetapi persoalannya ialah 'bila' dan adakah seseorang itu boleh berdikari apabila ia terjadi? Inilah konsep insurans nyawa dan ramai ejen insurans mungkin memberi cadangan supaya jumlah sebanyak 5 kali atau 10 kali pendapatan tahunan diambil. Jadi jika pendapatan tahunan anda RM24,000 x 10 = RM240,000. Ia sebenarnya bukanlah semudah segala perkiraan, apa keperluan kewangan yang masih belum diagihkan harus diperincikan.
Ada dua bentuk perlindungan insurans hayat :-
a) Berbentuk perlindungan sahaja
b) Yang mempunyai skim tabungan
2. Perubatan
Bagi anda yang sedang bekerja dengan syarikat yang membayar keperluan perubatan seisi keluarga, mungkin anda memikirkan ini tidak diperlukan. Tetapi, fikirkan keperluan perubatan ibu bapa anda. Sebagai anak, tanggungjawab untuk berbuat baik kepada ibu bapa amat penting untuk mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Carilah insurans yang ada di pasaran yang akan membayar kos perubatan. Tanyakan kos dan cara-cara syarikat insurans / takaful membayar kos perubatan. Berhati-hati sebab ada syarikat yang hanya membayar balik kos perubatan yang dikenakan oleh hospital-hospital panel sahaja. Ada juga yang hanya membayar 70% atau 80% kos perubatan. Inilah ciri-ciri polisi yang anda harus perhalusi dan juga tempoh mereka mambayar anda kos perubatan anda kelak.
3. Insurans Pekerja / Keilatan Kekal
Bagi yang bekerja, besar kemungkinan juga syarikat anda ada menyediakan perlindungan ini. Tanyalah pada pihak sumber manusia, manalah tahu jangan-jangan tidak ada pula.
Jika terjadi sebarang kemalangan yang melibatkan kecacatan yang kekal dan membuat anda tidak berupaya untuk bekerja, pampasan yang diberi oleh syarikat insurans ini akan memberi anda satu bentuk kemasukan walaupun tidak 100% daripada gaji yang anda terima sekarang.
4. Tabung Pelajaran
Perlindungan ini lebih berbentuk simpanan jangka masa panjang iaitu tempoh matang antara lima hingga 40 tahun. Bagi anda yang mempunyai anak-anak kecil carilah pakej perlindungan yang sesuai yang memenuhi keperluan serta bajet keluarga. Anak-anak akan bermotivasi jika ibu bapa telah pun bersedia dengan perancangan keperluan pembelajaran mereka sewaktu di menara gading kelak.
5. Perumahan
Perlindungan gadai janji khas (MRTA) untuk mereka yang ambil pinjaman perumahan adalah yang paling popular. Apabila terjadi kematian, hutang rumah akan dilangsaikan oleh syarikat insurans / takaful. Ada lagi perlindungan yang lain seperti kebakaran serta kelengkapan rumah, sekiranya terjadi kecurian atau pecah rumah. Eloklah dihitung-hitung jika kedua-dua ini diperlukan juga. Kebiasaannya jika rumah masih dibiayai, insurans kebakaran mesti dilanggani.
Wallahu'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan