Surah At-Taubah
Surah At-Taubah (Taubat) سورة التوبة terdiri daripada 129 ayat termasuk
golongan surah-surah Madaniyyah. Surah ini dinamakan At-Taubah yang bermaksud
pengampunan berhubung kata At-Taubah berulang kali disebut dalam surah ini.
Dinamakan juga dengan Baraah yang bermaksud berlepas diri yang di sini
maksudnya pernyataan pemutusan perhubungan, disebabkan kebanyakan pokok
pembicaraannya tentang pernyataan pemutusan perjanjian damai dengan kaum
musyrikin.
Di samping kedua nama yang masyhur itu ada lagi beberapa nama yang lain yang
merupakan sifat dari surah ini.
Berlainan dengan surah-surah yang lain, maka pada permulaan surah ini tidak
terdapat basmalah, kerana surah ini adalah pernyataan perang dengan makna
bahawa segenap kaum muslimin dikerahkan untuk memerangi seluruh kaum musyrikin,
sedangkan basmalah bernafaskan perdamaian dan cinta kasih Allah.
Surah ini diturunkan sesudah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam kembali dari peperangan Tabuk yang terjadi pada tahun 9 Hijrah.
Pengumuman ini disampaikan oleh Saidina 'Ali karamallahu wajhah pada musim haji
tahun itu juga.
Selain daripada pernyataan pembatalan perjanjian damai dengan kaum musyrikin
itu, surah ini mengandung isi-isi berikut:
Keimanan:
Allah selalu menyertai hamba-hambaNya yang beriman; pembalasan atas
amalan-amalan manusia hanya dari Allah; segala sesuatu menurut sunnatullah;
perlindungan Allah bagi orang-orang yang beriman; kedudukan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam di sisi Allah.
Hukum-hukum:
Kewajiban menafkahkan harta; macam-macam harta dalam agama serta penggunaannya;
jizyah; perjanjian dan perdamaian; kewajipan umat Islam terhadap Nabinya;
sebab-sebab orang Islam melakukan perang menyeluruh; beberapa dasar politik
kenegaraan dan peperangan dalam Islam.
Kisah-kisah:
Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi
wasallam dengan Abu
Bakar radhiyallahu ‘anhu di suatu gua di bukit Tsur ketika
hijrah; perang Hunain (perang Authas atau perang Hawazin); perang Tabuk.
Dan lain-lain:
Sifat-sifat orang yang beriman dan tingkat-tingkat mereka.
Penutup
Surah At-Taubah mengandungi pernyataan pembatalan perjanjian damai oleh Nabi
Muhammad shallallahu ‘alaihi
wasallam dengan kaum
musyrikin, kerana mereka tidak memenuhi syarat-syarat perjanjian damai pada
perjanjian Hudaibiyyah. Selanjutnya Surah At-Taubah mengandung hukum peperangan
dan perdamaian, hukum kenegaraan, keadaan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam di waktu hijrah, dan kewajipan
menafkahkan harta dan orang-orang yang berhak menerimanya.
Hubungan Surah At-Taubah dengan Surah Yunus
Akhir surah At-Taubah ditutup dengan menyebutkan tentang risalah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dan hal-hal serupa disebutkan pula
pada akhir surah Yunus. Surah At-Taubah menyebutkan keadaan orang-orang munafik
serta menerangkan perbuatan mereka di waktu Al-Quran diturunkan, sedang surah
Yunus menerangkan sikap orang kafir terhadap Al-Quran.
Ayat Doa dalam Surah At-Taubah
1. Doa Tawakkal:
Maksudnya: Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah
(Wahai Muhammad): "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan
memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku
berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy Yang Besar." (Surah At-Taubah 9: 129)
Wallahu A'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan