Surah Yusuf
Surah Yusuf (Nabi Yusuf ‘alaihis salam) سورة يوسف adalah surah ke-12 dalam Al-Quran
dan terdiri daripada 111 ayat. Surah ini termasuk golongan surah-surah
Makkiyyah kerana diturunkan di Makkah sebelum hijrah. Surah ini dinamakan surah
Yusuf adalah kerana titik berat dari isinya mengenai riwayat Nabi Yusuf ‘alaihis
salam. Riwayat tersebut salah satu di antara cerita-cerita ghaib yang
diwahyukan kepada Nabi Muhammad shallallahu
‘alaihi wasallam sebagai mukjizat bagi beliau, sedang
beliau sebelum diturunkan surah ini tidak mengetahuinya. Menurut riwayat Al
Baihaqi dalam kitab Ad Dalail bahawa segolongan orang Yahudi masuk agama Islam
sesudah mereka mendengar cerita Yusuf ‘alaihis salam ini, kerana sesuai dengan
cerita-cerita yang mereka ketahui. Dari cerita Yusuf ‘alaihis salam ini, Nabi
Muhammad shallallahu ‘alaihi
wasallam mengambil pelajaran-pelajaran yang banyak dan
merupakan penghibur terhadap beliau dalam menjalankan tugasnya.
Isi Kandungan Surah Yusuf
Keimanan:
Kenabian Yusuf ‘alaihis salam dan mukjizat-mukjizatnya; ketentuan yang
berhubungan dengan keagamaan adalah hak Allah semata-mata; qadha’ Allah tak
dapat diubah; para rasul semuanya laki-laki.
Hukum-hukum:
Keharusan merahsiakan sesuatu untuk menghindari fitnah; barang dan anak temuan
wajib dipungut tidak boleh dibiarkan; boleh melakukan helah yang tidak
merugikan orang lain untuk memperoleh sesuatu kemaslahatan.
Kisah-kisah:
Riwayat Nabi Yusuf ‘alaihis salam bersaudara dengan orang tua mereka Ya'qub ‘alaihis
salam.
Dan lain-lain:
Beberapa sifat dan suri teladan yang mulia yang dapat diambil dari cerita Yusuf
‘alaihis salam; persamaan antara agama para nabi.
Ayat-ayat Doa dalam Surah
Yusuf
1. Doa agar dilindungi
daripada godaan wanita (Doa Nabi Yusuf):
Maksudnya: Dan perempuan yang Yusuf tinggal di
rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan
perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku
bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji
itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya;
sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya". (Surah
Yusuf 12: 23)
2. Doa Nabi Yusuf agar
mati dalam Islam:
Maksudnya: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan
daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari
ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau
Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika
mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang
soleh". (Surah Yusuf 12: 101)
Wallahu 'A'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan