AMALAN BULAN SYA'BAN: SUNNAH ATAU BID'AH
Dato'
Hj. Abd. Majid bin Omar
Timbalan
Mufti Selangor
Jabatan
Mufti Negeri Selangor
PENDAHULUAN
Kedatangan bulan Sya'ban amat dialu-alukan
oleh umat Islam, kerana Sya'ban merupakan bulan yang mulia, bulan beribadah
dan bulan untuk memperbaiki diri. Bulan Sya'ban itu terletak di tengah-tengah antara dua bulan yang mulia,
iaitu bulan Rajab yang merupakan bulan Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam diisra' dan dimikrajkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, dan bulan Ramadhan
merupakan bulan yang mewajibkan umat Islam berpuasa selama sebulan.
Sya'ban juga satu daripada empat bulan yang dinyatakan Allah Subhanahu Wa Ta'ala sebagai bulan yang dihormati seperti firmanNya dalam surah at-Taubah ayat 36:
Maksudnya:
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa
Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.
Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus.”
Menurut ahli
tafsir, empat bulan yang dimaksudkan dalam kalimah ‘arbatun hurum’ ialah bulan Rajab,
Sya'ban, Ramadhan dan Muharram. Imam at- Thabrani meriwayatkan
daripada Anas bin Malik Radhiyallahu 'Anhu, apabila tiba bulan Rajab, baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam berdoa supaya diberkati bulan tersebut dan bulan Sya'ban serta Ramadhan
berikutnya doa baginda:
Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan
Rajab dan Sya'ban, dan sampaikan (hayat) kami, kepada bulan Ramadhan.”
BID'AH
Terdapat segelintir
pihak tertentu mempertikaikan amalan yang lazim dilakukan umat Islam di
Malaysia pada bulan Sya'ban, contohnya seperti amalan puasa sunat Sya'ban,
membaca surah Yasin 3 kali diselangi doa tertentu pada malam Nisfu Sya'ban,
solat sunat malam Nisfu Sya'ban, kerana tiada nas dari al-Quran dan hadis menyuruh
berbuat demikian.
Mereka berpendapat
amalan seperti itu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ia adalah
amalan yang diada-adakan atau direka-reka. Perbuatan mengada-adakan
amalan yang tidak pernah dilakukan atau diperkatakan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam adalah bid'ah dholalah (sesat). Tiap bid'ah adalah sesat dan masuk neraka.
Pendapat mereka
berdasarkan hadis dalam sahih Muslim yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiyallahu 'Anhu, Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda dalam khutbah baginda:
"Tetaplah kamu dengan suruhan dan sunnah para khulafa' ar-Rasyidin
serta berpegang teguhlah padanya. Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid'ah dan setiap
perkara bid'ah itu adalah sesat. Setiap yang sesat akan masuk neraka".
Amalan yang didakwa
bid'ah lagi seperti membaca Yasin pada malam Jumaat, sambutan Isra'
Mikraj pada 27 Rajab, sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabiul Awwal, bacaan
tahlil dan doa kerana kematian, wirid
dan doa selepas solat lima waktu kerana amalan
seperti itu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
SUNNAH
Sebahagian besar
umat Islam di Malaysia yang menerima saranan dan pengajaran dari
guru-guru dan orang tua mereka,
memperbanyakkan amalan dalam bulan
Sya'ban. Ia berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:
"Bulan Rajab
adalah bulan Allah dan Allah telah melebihkan darjatnya dari
segala bulan seperti halnya kelebihanku atas segala makhluknya, Sya'ban itu bulanKu
dan Allah telah melebihkan atas segala bulan seperti kelebihanKu atas
segala nabi-nabi, dan Ramadhan pula adalah bulan umatKu dan Allah
melebihkan atas segala bulan seperti kelebihanKu atas segala umat ".
Hadis ini
menjelaskan tentang kelebihan tiga bulan termasuk bulan Sya'ban. Oleh itu,
masyarakat Islam di Malaysia memperbanyakkan amalan pada bulan ini dengan membuat
berbagai aktiviti ibadah untuk mendekatkan diri
kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala seperti puasa sunat,
solat sunat, membaca al-Quran, berdoa,
bersedekah, bertahlil, berwirid dan
sebagainya.
Mereka yang sudah
sebati dengan amalan tersebut terus melakukannya kerana mereka melihat
kepada pengisian ibadah pada bulan atau
hari tersebut tidak bertentangan dengan
syariat Islam. Semua amalan diyakini baik bagi mendekatkan diri
kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Antara contoh amalan yang dilakukan mereka yang
dianggap sunnah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam seperti :
1. Puasa sunat
Mengikut sunnah
Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam membanyakkan puasa di bulan Sya'ban.
2. Membaca surah Yasin
Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam menggalakkan umatnya membaca al-Quran. Setiap huruf
diberi dengan ganjaran pahala berganda. Surah Yasin adalah
satu daripada surah dalam al-Quran.
3. Berdoa
Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam mengatakan bahawa doa itu senjata orang mukmin. Allah Subhanahu Wa Ta'ala memerintahkan hambaNya berdoa nescaya Allah Subhanahu Wa Ta'ala memperkenankan doa mereka.
4. Mengadakan majlis kenduri
Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam menggalakkan bersedekah dan mengeratkan
silaturrahim. Kenduri juga merupakan perhimpunan sanak
keluarga.
5. Bertahlil
Kerana berpendapat
tahlil itu mengandungi bacaan dari ayat al-Quran, zikir
‘lailaha illallah’ berdoa dan
bersitighfar mohon keampunan Allah Subhanahu Wa Ta'ala terhadap
keluarga yang meninggal dunia agar dicucuri rahmat ke atas
rohnya.
Tegasnya,
amalan-amalan tersebut tiada larangan melakukannya pada bulan Sya'ban, tiada pula
disunatkan kerana bulannya, hari atau malamnya, tetapi apa yang disunatkan
ialah kerana kesunnahan ibadah tersebut. Al- Hafiz bin Rejab Radhiyallahu 'Anhu menyebut di
dalam kitabnya Lataa'if al- Ma'aarif
tentang isu ini - setelah membincangkan
secara panjang lebar - Malam Nisfu Sya'ban asalnya diutamakan oleh
golongan Tabi'in di kalangan penduduk Syam antaranya Khalid bin Mi'dan, Makhul,
Luqman bin 'Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh
pada malam tersebut.
Terdapat beberapa
hadis Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam mengenai fadhilat dan kelebihan bulan Sya'ban.
Antara hadis-hadis tersebut:
Usman bin Zaid
menceritakan: “Saya telah bertanya kepada
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, wahai Rasulullah, saya tidak pernah menyaksikan banyaknya
puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Sya'ban; lalu baginda
menjawab, itulah bulan Sya'ban di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di
antara bulan Rajab dan bulan Ramadhan; ini adalah bulan di mana segala
amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Oleh itu saya (baginda) amat
suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.”
(Hadis riwayat Imam
Ahmad dan an- Nasai)
Aisyah r.a.
menceritakan, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda:
“Sesungguhnya Allah Ta'ala turun pada malam pertengahan
(nisfu) Sya'ban ke langit dunia dan mengampunkan dosa-dosa orang
yang lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu kambing Bani Kalb.”
(Hadis riwayat at-
Tirmizi dan Ibnu Majah)
Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: "Apabila tiba malam nisfu
Sya'ban, maka pada malam tersebut berjagalah kamu dengan mendirikan
solat, beribadah dan berpuasa pada siangnya". Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman,“Sesiapa yang
meminta ampun maka Aku mengampunkannya”.
Oleh kerana bulan
Sya'ban adalah bulan yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala di mana amal ibadah kita
diangkat kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala maka sewajarnyalah sepanjang bulan itu diisikan
dengan amal ibadah sunat dan taqwa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Di antara amal ibadah
itu ialah bertaubat, berselawat ke atas
Nabi, berzikir, bertasbih dan
sebagainya.
Pada malam Nisfu
Sya'ban mereka membaca surah Yasin (3 kali), sama ada secara individu
atau berjamaah diikuti dengan doa selepasnya.
1. Bacaan Yasin
pertama, niatkan memohon dipanjangkan umur untuk mentaati segala
perintah dan menjauhi larangan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
2. Bacaan Yasin
kedua, niatkan mohon keluasan rezeki yang halal serta diberkati.
3. Bacaan Yasin
ketiga, niatkan memohon ditetapkan iman yang sempurna sehingga
meninggal dunia kelak.
Menurut sebuah
hadis Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang diceritakan oleh Sayidatina Aisyah Radhiyallahu 'Anha bahawa pada
malam Nisfu Sya'ban baginda mendirikan solat sehingga pagi. Baginda bersabda
kepada Aisyah: "Malam ini adalah
malam Nisfu (pertengahan) bulan Sya'ban".
KESIMPULAN
Menghidupkan bulan
Sya'ban termasuk Nisfu Sya'ban dengan ibadat seperti membaca al-Quran,
bertaubat, beristighfar, berdoa, solat hajat dan sebagainya, adalah ibadah yang
baik bagi mendekatkan diri kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Yang menjadi
pertikaian pihak-pihak tertentu ialah pengkhususan bulan atau hari tersebut untuk
satu-satu ibadah, bukan pada pengisian atau aktiviti amalan yang dilakukan.
Mudah-mudahan kita semua bersatu dan meningkatkan amal ibadah kita, meningkatkan
ketaqwaan dan melakukan amalan. Menurut Imam Syafie Radhiyallahu 'Anhu, jika sesuatu
amalan yang membawa kebaikan dan tidak bertentangan dengan syariah,
adalah bid'ah hasanah.
Wallahu a'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan