Nuffnang advertisement

Memaparkan catatan dengan label Doa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Doa. Papar semua catatan

Jumaat, 24 Ogos 2012

Ayat-ayat Doa dalam al-Quran (12) - Surah Ibrahim





Surah Ibrahim


Surah Ibrahim (Nabi Ibrahim ‘alaihis salam) سورة إبراهيم adalah surah ke-14 dalam Al-Quran. Surah ini terdiri daripada 52 ayat dan termasuk golongan surah-surah Makkiyyah kerana diturunkan di Makkah sebelum Hijrah. Dinamakan Ibrahim, kerana surah ini mengandung doa Nabi Ibrahim ‘alaihis salam iaitu ayat 35 hingga 41. Doa ini isinya antara lain: permohonan agar keturunannya mendirikan solat, dijauhkan dari menyembah berhala-berhala dan agar Makkah dan daerah sekitarnya menjadi daerah yang aman dan makmur. Doa Nabi Ibrahim ‘alaihis salam ini telah diperkenankan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagaimana telah terbukti keamanannya sejak dahulu sampai sekarang. Doa tersebut dipanjatkan beliau ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala sesudah selesai membina Ka'abah bersama puteranya Ismail ‘alaihis salam, di dataran tanah Makkah yang tandus.

Isi Kandungan Surah Ibrahim


Keimanan:

Al Quran adalah pembimbing manusia ke jalan Allah; segala sesuatu dalam alam ini kepunyaan Allah; keingkaran manusia terhadap Allah tidaklah mengurangi kesempurnaan-Nya; nabi-nabi membawa mukjizat atas izin Allah semata-mata; Allah berkuasa mematikan manusia dan membangkitkannya kembali dalam bentuk baru; ilmu Allah meliputi yang lahir dan yang bathin. 

Hukum-hukum:

Perintah mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian harta baik secara rahsia maupun secara terang-terangan. 

Kisah-kisah:

Kisah Nabi Musa ‘alaihis salam dengan kaumnya, serta kisah para rasul zaman dahulu. 

Dan lain-lain:

Sebabnya rasul-rasul diutus dengan bahasa kaumnya sendiri; perumpamaan tentang perbuatan dan perkataan yang hak dengan yang bathil; kejadian langit dan bumi mengandung hikmah-hikmah; macam-macam nikmat Allah kepada manusia dan janji Allah kepada hamba-hamba yang mensyukuriNya.



Ayat Doa dalam Surah Ibrahim

1. Doa Nabi Ibrahim agar tempatnya mendapat keamanan dan keampunan:



Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala. (Surah Ibrahim 14: 35)



Maksudnya: Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat). (Surah Ibrahim 14: 36)




Maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumahmu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur. (Surah Ibrahim 14: 37)



Maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah! (Surah Ibrahim 14: 38)



Maksudnya: "Segala puji tertentu bagi Allah yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan. (Surah Ibrahim 14: 39)



Maksudnya: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. (Surah Ibrahim 14: 40)



Maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan". (Surah Ibrahim 14: 41)

Wallahu 'A'alam.

Khamis, 23 Ogos 2012

Ayat-ayat Doa dalam al-Quran (11) - Surah Yusuf





Surah Yusuf


Surah Yusuf (Nabi Yusuf ‘alaihis salam) سورة يوسف adalah surah ke-12 dalam Al-Quran dan terdiri daripada 111 ayat. Surah ini termasuk golongan surah-surah Makkiyyah kerana diturunkan di Makkah sebelum hijrah. Surah ini dinamakan surah Yusuf adalah kerana titik berat dari isinya mengenai riwayat Nabi Yusuf ‘alaihis salam. Riwayat tersebut salah satu di antara cerita-cerita ghaib yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai mukjizat bagi beliau, sedang beliau sebelum diturunkan surah ini tidak mengetahuinya. Menurut riwayat Al Baihaqi dalam kitab Ad Dalail bahawa segolongan orang Yahudi masuk agama Islam sesudah mereka mendengar cerita Yusuf ‘alaihis salam ini, kerana sesuai dengan cerita-cerita yang mereka ketahui. Dari cerita Yusuf ‘alaihis salam ini, Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil pelajaran-pelajaran yang banyak dan merupakan penghibur terhadap beliau dalam menjalankan tugasnya.

Isi Kandungan Surah Yusuf


Keimanan:

Kenabian Yusuf ‘alaihis salam dan mukjizat-mukjizatnya; ketentuan yang berhubungan dengan keagamaan adalah hak Allah semata-mata; qadha’ Allah tak dapat diubah; para rasul semuanya laki-laki. 

Hukum-hukum:

Keharusan merahsiakan sesuatu untuk menghindari fitnah; barang dan anak temuan wajib dipungut tidak boleh dibiarkan; boleh melakukan helah yang tidak merugikan orang lain untuk memperoleh sesuatu kemaslahatan. 

Kisah-kisah:

Riwayat Nabi Yusuf ‘alaihis salam bersaudara dengan orang tua mereka Ya'qub ‘alaihis salam. 

Dan lain-lain:

Beberapa sifat dan suri teladan yang mulia yang dapat diambil dari cerita Yusuf ‘alaihis salam; persamaan antara agama para nabi.


Ayat-ayat Doa dalam Surah Yusuf

1. Doa agar dilindungi daripada godaan wanita (Doa Nabi Yusuf):




Maksudnya: Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya". (Surah Yusuf 12: 23)

2. Doa Nabi Yusuf agar mati dalam Islam:



Maksudnya: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh". (Surah Yusuf 12: 101)

Wallahu 'A'alam.

Isnin, 20 Ogos 2012

Ayat-ayat Doa dalam al-Quran (10) - Surah Hud




Surah Hud



Surah Hud (Nabi Hud ‘alaihis salam) سورة هود adalah surah ke-11 dalam Al-Quran dan termasuk golongan surah-surah Makkiyyah. Surat ini terdiri daripada 123 ayat diturunkan sesudah surah Yunus. Surah ini dinamai surah Hud kerana ada hubungan dengan terdapatnya kisah Nabi Hud ‘alaihis salam dan kaumnya dalam surah ini terdapat juga kisah-kisah Nabi yang lain, seperti kisah Nuh ‘alaihis salam, Shaleh ‘alaihis salam, Ibrahim ‘alaihis salam, Luth ‘alaihis salam, Syu'aib ‘alaihis salam dan Musa ‘alaihis salam.



Isi Kandungan Surah Hud


Keimanan:

Adanya 'Arsy Allah; kejadian alam dalam 6 tahap; adanya golongan-golongan manusia di hari kiamat. 

Hukum-hukum:

Agama membolehkan menikmati yang baik-baik dan memakai perhiasan asal tidak berlebih-lebihan; tidak boleh berlaku sombong; tidak boleh menndoa atau mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin menurut sunnah Allah. 

Kisah-kisah:

Kisah Nuh ‘alaihis salam dan kaumnya; kisah Hud ‘alaihis salam dan kaumnya; kisah Shaleh ‘alaihis salam dan kaumnya; kisah Ibrahim ‘alaihis salam dan kaumnya; kisah Syu'aib ‘alaihis salam dan kaumnya; kisah Luth ‘alaihis salam dan kaumnya; kisah Musa ‘alaihis salam dan kaumnya. 

Dan lain-lain:

Pelajaran-peIajaran yang diambil dari kisah-kisah para nabi; air sumber segala kehidupan; solat itu memperkuat iman; sunnah Allah yang berhubungan dengan kebinasaan suatu kaum.


Ayat-ayat Doa dalam Surah Hud

1. Doa Ketika Menaiki Kenderaan Di Air



Maksudnya: Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): "Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: ‘Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya'. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Hud 11: 41)

2. Memohon ampun atas pertanyaan yang kita tidak mempunyai pengetahuan mengenainya terhadap Allah:




Maksudnya: Nabi Nuh berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadamu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi". (Surah Hud 11: 47)

Wallahu 'A'alam.

Khamis, 16 Ogos 2012

Ayat-ayat Doa dalam al-Quran (9) - Surah Yunus




Surah Yunus


Surah Yunus (Nabi Yunus ‘alaihis salam) سورة يونس adalah surah ke-10 dalam Al-Quran. Surah ini terdiri daripada 109 ayat dan termasuk golongan surah-surah Makkiyyah kecuali ayat 40, 94, 95, yang diturunkan pada masa Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam berada di Madinah. Surah ini dinamai surah Yunus kerana dalam surah ini terutama ditampilkan kisah Nabi Yunus ‘alaihis salam dan pengikut-pengikutnya yang teguh imannya.

Isi Kandungan Surah Yunus


Keimanan:

Al Quran bukanlah sihir, Allah mengatur alam semesta dari Arasy-Nya; syafa'at hanyalah dengan izin Allah; wali-wali Allah; wahyu Allah yang menerangkan yang ghaib kepada manusia; Allah menyaksikan dan mengamat-amati perbuatan hamba-hambaNya di dunia; Allah tidak mempunyai anak. 

Hukum:

Menentukan perhitungan tahun dan waktu dengan perjalanan matahari dan bulan; hukum mengada-adakan sesuatu terhadap Allah dan mendustakan ayat-ayatNya. 

Kisah-kisah:

Kisah Nabi Nuh ‘alaihis salam dengan kaumnya; Nabi Musa dengan Fir'aun dan tukang-tukang sihir; kisah Bani Israil setelah keluar dari negeri Mesir; Nabi Yunus ‘alaihis salam dengan kaumnya. 

Dan lain-lain:

Manusia ingat kepada Allah di waktu kesukaran dan lupa di waktu senang; keadaan orang-orang baik dan orang-orang jahat di hari kiamat; Al-Quran tidak dapat ditandingi; Rasul hanya menyampaikan risalah.


Ayat-ayat Doa dalam Surah Yunus

1. Doa Nabi Musa menghindari sihir dan ilmu hitam:



Maksudnya: Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata: "Apa yang kamu datangkan itu, adalah sihir; sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya (dengan mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku); sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan. (Surah Yunus 10: 81)


"Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah-kalimah perintahNya, walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa". (Surah Yunus 10: 82)

Menurut Ibn Abi Hatim dan Abu al-Syeikh daripada daripada Laith bin Abi Sulaim radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: “Ayat ini dapat menjadi penawar kepada perbuatan sihir dengan izin Allah”. (Fi Zilalil Qur’an, tafsir surah Yunus, ayat 81-82)

2. Doa orang yang percaya kepada Allah dan Kitab-Nya supaya tidak menjadi cubaan bagi kaum yang tidak percaya, dan diselamatkan daripada kezaliman mereka:



Maksudnya: Lalu mereka berkata: "Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas. (Surah Yunus 10: 85)



"Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir". (Surah Yunus 10: 86)

3. Doa Nabi Musa terhadap Firaun:



Maksudnya: Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya”. (Surah Yunus 10: 88)

Wallahu 'A'alam.

Isnin, 13 Ogos 2012

Ayat-ayat Doa dalam al-Quran (8) - Surah At-Taubah




Surah At-Taubah


Surah At-Taubah (Taubat) سورة التوبة terdiri daripada 129 ayat termasuk golongan surah-surah Madaniyyah. Surah ini dinamakan At-Taubah yang bermaksud pengampunan berhubung kata At-Taubah berulang kali disebut dalam surah ini. Dinamakan juga dengan Baraah yang bermaksud berlepas diri yang di sini maksudnya pernyataan pemutusan perhubungan, disebabkan kebanyakan pokok pembicaraannya tentang pernyataan pemutusan perjanjian damai dengan kaum musyrikin.

Di samping kedua nama yang masyhur itu ada lagi beberapa nama yang lain yang merupakan sifat dari surah ini.

Berlainan dengan surah-surah yang lain, maka pada permulaan surah ini tidak terdapat basmalah, kerana surah ini adalah pernyataan perang dengan makna bahawa segenap kaum muslimin dikerahkan untuk memerangi seluruh kaum musyrikin, sedangkan basmalah bernafaskan perdamaian dan cinta kasih Allah.

Surah ini diturunkan sesudah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam kembali dari peperangan Tabuk yang terjadi pada tahun 9 Hijrah. Pengumuman ini disampaikan oleh Saidina 'Ali karamallahu wajhah pada musim haji tahun itu juga.

Selain daripada pernyataan pembatalan perjanjian damai dengan kaum musyrikin itu, surah ini mengandung isi-isi berikut:

Keimanan:

Allah selalu menyertai hamba-hambaNya yang beriman; pembalasan atas amalan-amalan manusia hanya dari Allah; segala sesuatu menurut sunnatullah; perlindungan Allah bagi orang-orang yang beriman; kedudukan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam di sisi Allah.

Hukum-hukum:

Kewajiban menafkahkan harta; macam-macam harta dalam agama serta penggunaannya; jizyah; perjanjian dan perdamaian; kewajipan umat Islam terhadap Nabinya; sebab-sebab orang Islam melakukan perang menyeluruh; beberapa dasar politik kenegaraan dan peperangan dalam Islam.

Kisah-kisah:

Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dengan Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu di suatu gua di bukit Tsur ketika hijrah; perang Hunain (perang Authas atau perang Hawazin); perang Tabuk.

Dan lain-lain:

Sifat-sifat orang yang beriman dan tingkat-tingkat mereka.

Penutup

Surah At-Taubah mengandungi pernyataan pembatalan perjanjian damai oleh Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dengan kaum musyrikin, kerana mereka tidak memenuhi syarat-syarat perjanjian damai pada perjanjian Hudaibiyyah. Selanjutnya Surah At-Taubah mengandung hukum peperangan dan perdamaian, hukum kenegaraan, keadaan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam di waktu hijrah, dan kewajipan menafkahkan harta dan orang-orang yang berhak menerimanya.

Hubungan Surah At-Taubah dengan Surah Yunus

Akhir surah At-Taubah ditutup dengan menyebutkan tentang risalah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dan hal-hal serupa disebutkan pula pada akhir surah Yunus. Surah At-Taubah menyebutkan keadaan orang-orang munafik serta menerangkan perbuatan mereka di waktu Al-Quran diturunkan, sedang surah Yunus menerangkan sikap orang kafir terhadap Al-Quran.


Ayat Doa dalam Surah At-Taubah 


1. Doa Tawakkal:



Maksudnya: Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (Wahai Muhammad): "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy Yang Besar." (Surah At-Taubah 9: 129)

Wallahu A'alam.

Jumaat, 10 Ogos 2012

Ayat-ayat Doa dalam al-Quran (7) - Surah Al-A‘raaf




Surah Al A'raaf

Surah Al A'raaf (Tempat Tinggi) سورة الأعراف adalah surat ke-7 dalam Al Quran. Surah ini terdiri daripada 206 ayat dan termasuk pada golongan surah Makkiyyah. Surah ini diturunkan sebelum turunnya surah Al An'aam dan termasuk golongan surah Assab 'uththiwaal (tujuh surat yang panjang). Dinamakan Al A'raaf kerana perkataan Al A'raaf terdapat dalam ayat 46 yang mengemukakan tentang keadaan orang-orang yang berada di atas Al A'raaf iaitu: tempat yang tertinggi di batas syurga dan neraka.

Isi Kandungan Surah Al A'raaf

Keimanan:

Mentauhidkan Allah dalam berdoa dan beribadat; hanya Allah sendiri yang mengatur dan menjaga alam; menciptakan undang-undang dan hukum-hukum untuk mengatur kehidupan manusia di dunia dan di akhirat; Allah bersemayam di 'Arasy; bantahan terhadap kepalsuan syirik; ketauhidan adalah sesuai dengan fitrah manusia; Musa berbicara dengan Allah; tentang melihat Allah; perintah beribadat sambil merendahkan diri kepada Allah; Allah mempunyai al asmaaul husnaa.

Hukum-hukum:

Larangan mengikuti perbuatan dan adat istiadat yang buruk; kewajiban mengikuti Allah dan rasul; perintah berhias waktu akan solat; bantahan terhadap orang yang mengharamkan perhiasan yang dianugerahkan Allah; perintah memakan makanan yang halal lagi baik dan larangan memakan yang sebaliknya.

Kisah-kisah:

Kisah Nabi Adam ‘alaihis salam dengan iblis; kisah Nabi Nuh ‘alaihis salam dan kaumnya; kisah Nabi Shaleh ‘alaihis salam dengan kaumnya; kisah Nabi Syu'aib ‘alaihis salam dengan kaumnya; kisah Nabi Musa ‘alaihis salam dengan Fir'aun.

Dan lain-lain:

Al Quran diturunkan kepada Nabi yang penghabisan dan perintah mengikutinya; Nabi Muhammad
shallallahu ‘alaihi wasallam diutus untuk seluruh manusia; adab orang mukmin; adab mendengar pembacaan Al Quran dan berzikir; rasul bertanggungjawab menyampaikan seruan Allah; balasan terhadap orang-orang yang mengikuti dan mengingkari rasul; dakwah rasul-rasul yang pertama sekali ialah mentauhidkan Allah; tentang ashhaabul A'raaf yang berada antara syurga dan neraka; Allah pencipta makhluk; manusia adalah makhluk yang terbaik dijadikan Allah serta mempunyai kesediaan untuk baik dan untuk buruk; permusuhan syaitan terhadap Bani Adam; manusia khalifah Allah di muka bumi; kehancuran sesuatu kaum adalah kerana perbuatan mereka sendiri; tiap-tiap bangsa mempunyai masa kejayaan dan masa kehancuran; Allah mencuba manusia dengan kekayaan dan kemiskinan; istidraj azab Allah terhadap orang-orang yang mendustakan ayat-ayatNya.

Ayat-ayat Doa dalam Surah Al A'raaf

1. Memohon ampun dan rahmat Allah



Maksudnya: Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi". (Surah Al A'raaf  7: 23)

2. Doa pembuka dan pujian


Maksudnya: Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran". Dan mereka diseru: "Itulah syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan". (Surah Al A'raaf  7: 43)

3. Doa agar diselamatkan daripada golongan jahat dan ahli neraka:


Maksudnya: Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim". (Surah Al A'raaf  7: 47)

Menurut Ibn Abbas radhiyallahu ‘anhu orang-orang Ashabul A’raf mengetahui ahli neraka dan mengenali mereka. Lalu mereka merayu kepada Allah supaya terselamat daripada hukuman yang dikenakan kepada ahli neraka. (Tafsir al-Khazin, tafsir ayat 47, Surah Al-A’raaf)

4. Doa agar dihukumkan dengan keadilan dan kebenaran:



Maksudnya: "Sesungguhnya (bermakna) kami berdusta terhadap Allah, jika kami berpindah kepada agama kamu sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya. dan tidaklah harus kami berpindah kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya. Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu. kepada Allah jualah kami bertawakal. Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik hakim". (Surah Al A'raaf  7: 89)

5. Kesabaran dan kemusliman:


Maksudnya: "Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami". (Mereka berdoa): "Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)". (Surah Al A'raaf  7: 126)

6. Taubat Nabi Musa ‘alaihis salam:



Maksudnya: Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaKu (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu", setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) "TajalliNya" menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (Wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)”. (Surah Al A'raaf  7:143)

7. Memohon ampun dan pengasihan Allah untuk diri sendiri dan saudara (Doa Nabi Musa ‘alaihis salam bersama Nabi Harun ‘alaihis salam:



Maksudnya: Nabi Musa berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari segala yang lain mengasihani". (Surah Al A'raaf  7:151)

8. Doa Nabi Musa ‘alaihis salam, doa ketika melihat kelalaian manusia:



Maksudnya: Dan Nabi Musa memilih tujuh puluh orang lelaki dari kaumnya (untuk di bawa bersama ke Gunung Tursina) pada waktu yang telah Kami tentukan. Maka ketika mereka digegar oleh gempa, Nabi Musa merayu dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di antara kami? (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaanMu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa Yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun. (Surah Al A'raaf  7: 155)



Maksudnya: "Dan tetapkanlah untuk kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadamu". Allah berfirman: "AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami”. (Surah Al A'raaf  7: 156)

Wallahu A'alam.

Khamis, 9 Ogos 2012

Ayat-ayat Doa dalam al-Quran (6) - Surah Al-An‘aam




Surah Al An'aam


Surah Al An'aam - (Binatang Ternakan) سورة الأنعام - yang terdiri daripada 165 ayat, termasuk golongan surah Makkiyah, kerana hampir seluruh ayat-ayatnya diturunkan di Makkah sebelum hijrah. Dinamakan Al-An'aam kerana di dalamnya disebut kata An'aam dalam hubungan dengan adat-istiadat kaum musyrikin, yang menurut mereka binatang-binatang ternak itu dapat dipergunakan untuk mendekatkan diri kepada tuhan mereka. Juga dalam surah ini disebutkan hukum-hukum yang berkenaan dengan binatang ternak itu.

Isi Kandungan Surah Al-An’aam

Keimanan:

Bukti-bukti keesaan Allah serta kesempurnaan sifat-sifatNya; kebenaran kenabian Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam; penyaksian Allah atas kenabian Ibrahim, Ishaq, Ya'qub, Nuh, Daud, Sulaiman, Ayyub, Yusuf, Musa, Harun, Zakaria, Yahya, 'Isa, Ilayas, Alyasa', Yunus dan Luth; penegasan tentang adanya risalah dan wahyu serta hari pembalasan dan hari kebangkitan; kepalsuan kepercayaan orang-orang musyrik dan keingkaran mereka terhadap hari kiamat.

Hukum-hukum:

Larangan mengikuti adat istiadat yang dibuat-buat oleh kaum Jahiliyah; makanan yang halal dan yang haram; wasiat yang sepuluh dari Al Quran, tentang tauhid keadilan dan hukum-hukum; larangan mencaci maki berhala orang musyrik kerana mereka akan membalas dengan mencaci maki Allah.

Kisah-kisah: 

Kisah umat-umat yang menentang rasul-rasul; kisah pengalaman Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dan para nabi pada umumnya; cerita Nabi Ibrahim ‘alaihis salam membimbing kaumnya kepada tauhid.

Dan lain-lain: 

Sikap kepala batu kaum musyrikin, cara seorang nabi memimpin umatnya; bidang-bidang kerasulan dan tugas rasul-rasul; tentangan kaum musyrikin untuk melemahkan rasul; kepercayaan orang-orang musyrik terhadap jin, syaitan dan malaikat; beberapa prinsip keagamaan dan kemasyarakatan; nilai hidup duniawi.


Ayat-ayat Doa dalam Surah Al-An’am

1. Doa Iftitah:



Maksudnya: "Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyengutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)". (Surah Al-An’am 6: 79)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidzi, dan Ibn Majah, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sentiasa membaca ayat ini pada permulaan solat sebelum membaca al-Fatihah. (al-Durrul Manthur, tafsir ayat 79, Surah Al-An’am)

2. Doa Penyerahan Diri:


Maksudnya: Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah Al-An’am 6: 162)




Maksudnya: Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)". (Surah Al-An’am 6: 163)

Wallahu A'alam.

Jumaat, 3 Ogos 2012

Ayat-ayat Doa dalam al-Quran (5) - Surah Al-Ma’idah



Surah Al-Maa’idah


Surah Al-Maa’idah - (Hidangan) سورة المائدة - terdiri dari 120 ayat; termasuk golongan surat Madaniyyah. Sekalipun ada ayatnya yang turun di Mekah, namun ayat ini diturunkan sesudah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam hijrah ke Madinah, yaitu di waktu haji wadaa'. Surah ini dinamakan Al Maa'idah (hidangan) kerana memuatkan kisah pengikut-pengikut setia Nabi Isa ‘alaihis salam meminta kepada Nabi Isa ‘alaihis salam agar Allah menurunkan untuk mereka Al Maa'idah (hidangan makanan) dari langit (ayat 112). Dan dinamakan Al Uqud (perjanjian), kerana kata itu terdapat pada ayat pertama surat ini, dimana Allah menyuruh agar hamba-hamba-Nya memenuhi janji prasetia terhadap Allah dan perjanjian-perjanjian yang mereka buat sesamanya. Dinamakan juga Al Munqidz (yang menyelamatkan), kerana akhir surah ini mengandung kisah tentang Nabi Isa ‘alaihis salam penyelamat pengikut-pengikut setianya dari azab Allah.


Isi Kandungan Surah Al-Maa’idah

Keimanan: 

Bantahan terhadap orang-orang yang mempertuhankan Nabi Isa ‘alaihis salam.

Hukum-hukum:

Keharusan memenuhi perjanjian; hukum melanggar syi'ar Allah; makanan yang dihalalkan dan diharamkan; hukum mengahwini ahli kitab; wudhu'; tayammum; mandi; hukum membunuh orang; hukum mengacau dan mengganggu keamanan; hukum qishaas; hukum melanggar sumpah dan kafaaratnya; hukum binatang waktu ihram; hukum persaksian dalam berwasiat.

Kisah-kisah: 

Kisah-kisah Nabi Musa ‘alaihis salam menyuruh kaumnya memasuki Palestin; kisah Habil dan Qabil, kisah-kisah tentang Nabi Isa ‘alaihis salam.

Dan lain-lain:

Keharusan bersifat lemah lembut terhadap sesama mukmin bersikap keras terhadap orang-orang kafir; penyempurnaan Agama Islam di zaman Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam; keharusan jujur dan berlaku adil; sikap dalam menghadapi berita-berita bohong; akibat berteman akrab dengan orang yang bukan muslim; kutukan Allah terhadap orang-orang Yahudi, kewajiban rasul hanya menyampaikan agama; sikap Yahudi dan Nasrani terhadap orang Islam; Ka'bah dan kehidupan manusia; peringatan Allah supaya meninggalkan kebiasaan Arab jahiliyah; larangan-larangan terhadap pertanyaan-pertanyaan yang mengakibatkan kesempitan dalam agama.


Ayat-ayat Doa dalam Surah Al-Maa’idah



1. Doa agar ditetapkan bersama orang-orang yang beriman:


Maksudnya: Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam)”. (Al-Maa’idah 5: 83)

2. Doa Nabi Isa untuk diturunkan hidangan dari langit:


Maksudnya: Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik pemberi rezeki". (Al-Maa’idah 5:114)

Wallahu A'alam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...