Nuffnang advertisement

Jumaat, 27 Julai 2012

Ayat-ayat Doa dalam al-Quran (2) - Surah Al-Baqarah




Surah Al-Baqarah

Surah Al Baqarah (Arab: سورة البقرة‎ "Lembu") merupakan surah kedua dan terpanjang yang mengandungi 286 ayat. Surah itu turun di Madinah yang sebahagian besar diturunkan pada permulaan tahun Hijrah, kecuali ayat 281 diturunkan di Mina pada Haji wada' (haji Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam yang terakhir). Seluruh ayat dari surat ini merupakan ayat Madaniyyah yang di dalamnya juga mempunyai ayat yang terpanjang (ayat 282). Surat ini dinamai Al Baqarah kerana terdapat kisah di dalamnya yang berkaitan perbalahan kaum Bani Israil dengan Nabi Musa a.s. tentang penyembelihan lembu betina untuk mengetahui siapa yang kemudiannya menjelaskan sifat kaum Yahudi yang keras hatinya. Surah ini juga dinamakan Fusthaatul-Quran (puncak Al Quran) kerana memuatkan beberapa hukum yang tidak disebutkan dalam surah yang lain. Ia juga digelar juga surah alif-laam-miim kerana surah ini dimulai dengan Alif-laam-miim.



Isi Kandungan Surah Al-Baqarah


Surah ini banyak mengisahkan hukum-hakam dan syariat seperti perintah mengerjakan solat; menunaikan zakat; hukum puasa; hukum haji dan umrah; hukum qisas; hal-hal yang halal dan yang haram; bernafkah di jalan Allah; hukum arak dan judi; cara menyantuni anak yatim, larangan riba; hutang piutang; nafkah dan yang berhak menerimanya; wasiat kepada dua orang ibu-bapa dan kaum kerabat; hukum sumpah; kewajiban menyampaikan amanat; sihir; hukum merosakkan masjid; hukum meubah kitab-kitab Allah; hukum haidh, 'iddah, thalak, khulu', ilaa' dan hukum susuan; hukum melamar, mahar, larangan mengahwini wanita musyrik dan sebaliknya; hukum perang.



Surah ini juga ada menceritakan kisah Nabi Adam ‘alaihis salam, Nabi Musa ‘alaihis salam dan Nabi Ibrahim ‘alaihis salam serta larangan akan bulan haram. Perkara utamanya adalah berdakwah kepada kaum musyrik dan Yahudi Madinah serta memberi amaran kepada mereka serta kepada kaum munafik akan ketentuan Allah kepada mereka yang tidak beriman kepada-Nya.

Surah ini juga mengandungi ayat kursi iaitu ayat yang teragung dan sering dihafal oleh masyarakat Muslim. Malah, ayat ini dijadikan bacaan untuk mendapat perlindungan dan keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.


Ayat-ayat Doa dalam Surah Al-Baqarah

1. Tidak menjadi orang bodoh (jahil):



Maksudnya: Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)". (Al-Baqarah 2:67)

2. Doa Nabi Ibrahim ketika membina Rumah atau Kaabah:



Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui; (Al-Baqarah 2:127)



Maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani; (Al-Baqarah 2:128)



Maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". (Al-Baqarah 2:129)

4. Memohon kebaikan yang baik di dunia dan di akhirat:



Maksudnya: Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". (Al-Baqarah 2:201)

5. Ketika bertemu musuh dalam peperangan:



Maksudnya: Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir". (Al-Baqarah 2:250)

6. Ayatul Kursi:



Maksudnya: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang tetap hidup, yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya). (Al-Baqarah 2: 255)

Diriwayatkan daripada Sahih Muslim bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda memberitahu kepada Ubai bin Ka’ab bahawa ayat yang paling agung dalam al-Qur’an adalah ayat al-Kursi. Ada juga diriwayatkan di dalam Sahih Bukahri dan Sahih Muslim berkenaan kisah Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu menangkap syaitan yang mempunyai hubung kaitnya dengan ayat al-Kursi.

7. Tidak dihukum kerana terlupa atau tersilap, dan beban diringankan:



Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami; Oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al-Baqarah 2:286)


Wallahu A'alam.

Khamis, 26 Julai 2012

Ayat-ayat Doa dalam al-Quran (1)





Saranan Berdoa

Memohon kepada Tuhan adalah suruhan-Nya. Ia adalah satu daripada amalan dalam menyembah-Nya. Firman-Nya,


Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina. (Surah Ghafir 40: 60)

Maksudnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Surah Al-Baqarah 02: 186)

Apabila berseru, atau memohon, atau berdoa kepada Allah, haruslah dengan merendah diri, berahsia, rasa takut, dan penuh harapan. Firman-Nya,


Maksudnya: Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. (Surah Al-‘A’raf 07: 55)

Maksudnya: Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya. (Surah Al-‘A’raf 07: 56)

Apa yang dipohonkan haruslah yang baik dan tidak tergesa-gesa memohon yang tidak baik. Apabila yang baik dipohon tetapi yang buruk pula yang datang, maka janganlah menjadi jemu dan berputus asa. Firman-Nya,



Maksudnya: Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, Dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru. (Surah Al-Isra’ 17: 11)


Maksudnya: Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau ia ditimpa kesusahan maka menjadilah ia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah). (Surah Fussilat 41: 49)



Maksudnya: Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang Tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu). (Surah An-Naml 27: 62)

Doa-doa di dalam al-Quran perlu diambil dan dijadikan contoh untuk memohon atau berdoa kepada Allah. 

Wallahu A'alam.

Isnin, 23 Julai 2012

Kesilapan yang biasanya dilakukan di bulan Ramadhan




1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam).


Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum, ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "Sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu." (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam.

Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi Sallallahu 'alaihi Wasallam malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi Sallallahu 'alaihi Wasallam. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain.

Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : "Dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar." (Surah Az-Zariyyat : 18) Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu." (Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih.

Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa.

Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih.

Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatkala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, terutamanya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi Sallallahu 'alaihi Wasallam bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah.

Malanglah mereka kerana setiap amalan dikira dengan niat, jika niat utama seseorang itu (samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi Sallallahu 'alaihi Wasallam di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Ertinya, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa.

Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat.

Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur.

Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran kuning' yang dicadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakati ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat.

Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah dan didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba.

Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi Wasallam menceritakan, Ertinya : "Menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya." ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih).

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

13) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka.

Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi Sallallahu 'alaihi Wasallam telah menyebut :- Ertinya : "Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang dizalimi." ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith. Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak." ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Petikan daripada artikel oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman.

Wallahu A'alam.

Sabtu, 21 Julai 2012

Berpuasa Ramadhan Cara Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam



Syukur Alhamdulillah, kita ditemukan Ramadhan sekali lagi. Apa kata Ramadhan tahun ini kita pertingkatkan ibadah puasa dari yang diamalkan sejak di bangku sekolah kepada amalan cara Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Sebagai nabi terakhir, Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam merupakan ‘uswatun hasanah’ (contoh tauladan) yang terbaik kepada umat manusia.

Semoga dengan mengetahui puasa cara Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ini, Insya Allah kita mampu menzahirkan dan mengisi Ramadhan kali ini dan tahun-tahun mendatang dengan perkara-perkara yang boleh menjadikan kita insan berjiwa takwa dan semakin hampir dengan yang Maha Pencipta.

Sama-sama kita menyelami beberapa tatacara dan adab puasa yang telah diamalkan oleh Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai tauladan dan iktibar untuk diikuti oleh kita semua.

1. Membetulkan Niat

Niat merupakan jiwa segala ibadah. Seharusnya kita memantapkan niat dengan tekad ingin melaksanakan ibadah puasa yang sebenar-benarnya sambil memohon kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala agar diterima amalan kita itu.

Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam memulakan puasa dengan berniat di sebelah malamnya. Berbeza dengan puasa sunat yang niatnya boleh diniatkan pada sebelah siang, puasa wajib di bulan Ramadhan ini niatnya mesti dilakukan pada malam hari sebelumnya.

“Sesiapa yang tidak menetapkan akan berpuasa sebelum fajar, maka tidak sah puasanya”.  (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

“Sesiapa yang tidak berniat puasa pada malam hari maka tiada puasa baginya.”  (Hadis Riwayat An-Nasa’I, Al-Baihaqi, Ibnu Hazm)

2. Beri’tikaf

Dari Ali ra. bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam biasa membangunkan keluarganya pada sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam juga apabila di sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan sentiasa melaksanakan i’tikaf.

Dari Aisyah; “Bahwasanya Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam biasa beri’tikaf pada sepuluh yang akhir dari bulan Ramadhan sampai Allah mengambil nyawanya”.

3. Melakukan Qiam Ramadhan (Ibadah Di Malam Hari)

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sentiasa mengisi malam-malamnya di sepanjang bulan Ramadhan dengan melaksanakan amal  ibadah seperti mendirikan solat Tarawih dan membaca al-Quran secara istiqamah.

Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda;  “Sesiapa yang beribadah malam di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas (berharap pahala dari Allah), maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagi makmum yang mengerjakan solat Tarawih disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya itu sehinggalah selesai samada sebanyak 20 rakaat mahupun 8 rakaat. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiyam semalaman” (Hadis Riwayat An-Nasaei).

4. Memperbanyak Membaca Al-Quran Dan Bertadarus

Sesiapa yang membaca satu huruf al-Quran, maka pahala untuknya 10 kali ganda. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:  “Orang-orang yang berkumpul di masjid dan membaca al-Quran, maka kepada mereka Allah akan menurunkan kelemahan batin dan limpahan rahmat.” (Hadis Riwayat Muslim).

Membaca yang dimaksudkan di atas adalah ketenangan dan limpahan rahmat. Ia akan lebih mudah dicapai bila tadarus diertikan dengan mempelajari, menelaah dan menikmati al-Quran.

Dari Ibnu Abbas, “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawanannya pada bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadhan, lalu tadarus Al-Qur’an (dengan beliau). Sungguh Rasulullah Saw ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih murah hati dalam kebaikan sehingga lebih banyak memberi (seperti) tiupan angin.” (Hadis Riwayat Bukhori dan Muslim)

5. Mengamalkan Makan Sahur

Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:  “Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah makan sahur.”  (Hadis Riwayat Muslim).

Dari Hadis Abu Sa’id: “Maka janganlah kamu tinggalkan sahur itu, dan seandainya seseorang diantara kamu meneguk (meminum) seteguk air, maka sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya mendoakan atau mengasihani orang-orang yang sahur itu.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam melarang meninggalkan makan sahur, kerana padanya terkandung keberkatan. Anas bin Malik r.a. berkata telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam:  “Sahurlah kamu sekelian, sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya.”  (Hadis Riwayat Muslim)

“Semua sahur adalah berkat, maka janganlah kamu meninggalkannya, walaupun di antara kamu hanya meneguk air. Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat atas orang-orang yang melakukan sahur.” (Hadis Riwayat Ahmad, dan al-Mundziri)

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang dimaksudkan dengan berkat itu ialah ganjaran pahala dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sahur akan menguatkan lagi semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang itu untuk melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.

Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Jadikanlah makan diwaktu sahur sebagai penolong melakukan puasa diwaktu siang. Dan istirahat di tengah hari sebagai penolong untuk melakukan solat malam kamu.”

6. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Melewatkan Imsak

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam menyuruh dilewatkan imsak (berhenti makan sahur) sehingga akhir malam, seafdal-afdalnya sebelum masuk waktu Subuh.

Apabila sedang makan atau minum sahur lalu mendengar azan Subuh, maka boleh diteruskan makan dengan kadar segera apa yang ada di dalam mulut atau di tangan, tidak perlu dihentikan di tengah sahur disebabkan sudah masuk waktu Subuh tersebut.

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Apabila salah seorang dari kamu mendengar azan subuh padahal bekas minuman masih di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga dia menyelesaikan meminumnya”. (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Keadaan yang digambarkan oleh hadis tersebut ialah kepada seseorang yang terlewat ketika bangun untuk makan sahur.

7. Menyegerakan Berbuka (Iftar) Walaupun Dengan Seteguk Air

Apabila sudah yakin masuknya waktu Maghrib, segerakanlah berbuka puasa.

Sahl bin Saad berkata sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda: Telah berfirman Allah Subhanahu Wa Ta’ala “Hamba-hamba-Ku yang lebih aku cintai ialah mereka yang segera berbuka puasa bila tiba masanya”. (Hadis Riwayat Tirmizi dan Abu Hurairah)

Sabda Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Ummatku sentiasa berada di dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur”. (Hadis Riwayat Ahmad, al-Bukhariy dan Muslim)

8. Berbuka (Iftar) Dahulu Sebelum Solat Maghrib

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam mengisi perut dengan sedikit makanan seperti kurma dan air saja, setelah itu baru Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam melaksanakan solat Maghrib. Tetapi apabila makan malam sudah dihidangkan, maka terus dimakan, jangan solat dahulu.

“Tiga perkara yang merupakan akhlak para nabi: menyegerakan berbuka, mengakhirkan sahur dan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri dalam solat.” (Hadis Riwayat Ath-Thabarani, hadist Mauquf)

9. Buka Puasa Dengan Kurma dan Air

Adalah sunah berbuka dengan kurma dengan bilangan ganjil: 1, 3 atau 5 biji. Jika tidak ada, apa saja makanan yang manis seperti kuih-muih dan buah-buahan.

“Adalah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam berbuka dengan kurma basah (ruthab), jika tidak ada ruthab maka berbuka dengan kurma kering (tamar), jika tidak ada tamar maka minum dengan seteguk air.”  (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Baihaqi, Hakim, Ibn Sunni, Nasai, Daruquthni dan lainnya)

10. Banyakkan Berdoa Ketika Puasa & Berdoa Ketika Berbuka

Berdoa ketika berbuka puasa merupakan salah satu waktu doa yang mustajab, seperti banyak disebut dalam banyak hadis.

Antaranya: “Tiga orang yang tidak akan ditolak doanyaorang yang puasa ketika berbukaImam yang adil dan doanya orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, Ibn Majah, dan Ibnu Hibban)

Doa yang pernah Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ajarkan ketika berbuka puasa. “Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat, dan telah ditetapkan pahala Insya Allah.”( Hadis Riwayat Abu Daud, Baihaqi, Hâkim, Ibn Sunni, Nasâ’i, Daruquthni dan lainnya)

11. Memberi Makan Orang Yang Puasa

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sering menggalakkan umat Islam menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa meskipun dengan hanya beberapa biji tamar atau segelas air.

Sabda Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam:  “Sesiapa yang menjamu orang yang puasa akan mendapatkan pahala seperti pahalanya orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, bn Mâjah, Ibn Hibban dan dishahih kan oleh Imam Tirmidzi)

12. Bersederhana Dalam Semua Perkara

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sering menggalakkan umat Islam bersederhana dalam semua perkara. Janganlah membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada keduanya bagi menyelami makna sebenar berlapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya juga berkurangan, hatinya ceria, itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai.

Sabda Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Takungan buruk yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantung perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya.”  (Hadis Riwayat Ahmad dan at-Tarmiziy)

13. Memperbanyakkan Sedekah

Lebihkan bersifat pemurah dan dermawan iaitu banyak memberi, bersedekah dan menolong. Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan. Bersedekah bukan hanya memberi wang, tetapi termasuklah mengajak orang lain berbuka puasa di rumah kita terutama kepada golongan fakir miskin.

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah peribadi yang dermawan apatah lagi pada waktu bulan Ramadhan kemurahan tangannya bagaikan hembusan angin sebagaimana yang diterangkan dalam hadis di bawah ini :

Dari Ibn Abbas ra. Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda; “Adalah manusia yang paling dermawan, dan sedermawan-dermawan baginda adalah pada bulan Ramadhan ketika Jibril menemui baginda. Jibril menemui baginda pada setiap malam dari bulan Ramadhan sehingga habisnya bulan Ramadhan itu. Tujuannya menemui nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ialah untuk menyampaikan al-Quran. Apabila Jibril bertemu dengan baginda maka keadannya lebih permurah dengan kebaikan daripada angin yang diutus.”

14. Menjaga Tutur Kata

Menjauhi percakapan dan perkataan keji, kotor dan lucah serta menjauhi menipu, mengumpat, berkata karut dan sia-sia.

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Apabila seorang dari kamu sekelian berpuasa, maka janganlah ia berkata kotor dan berteriak. Bila dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah – sesungguhnya aku ini sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam lagi:  “Sesiapa yang tidak meninggalkan menipu dan beramal dengannya, maka Allah Subhanahu Wa Ta’ala tidak menerima puasanya.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.)

Sebagaimana penjelasan baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, bahawa orang yang berpuasa dan menjaga tutur-katanya  itu pada hari kiamat kelak bau mulutnya akan lebih harum dari bau kasturi.

15. Memelihara Kesemua Anggota Badan

Selain daripada menjaga pancaindera seperti lidahnya dari mencarut, berdusta dan mengumpat, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam juga menyeru  kita memelihara mata dan telinga dari melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syara’.

Dengan berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan dari mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia, akan menjadikan ibadah puasa lebih ikhlas dan sempurna. Tidaklah membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, hanya memenatkan diri dengan berlapar dan merosakkan pahala puasa.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran dari puasanya melainkan lapar dan dahaga!” (Hadis Riwayat An-Nasaei)

16. Mandi Junub

Mengenai orang yang berpuasa tetapi berjunub pada awal pagi, Aisyah dan Ummu Salamah berkata, sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bertemu dengan waktu fajar dalam keadaan baginda berjunub. Baginda kemudian mandi dan berpuasa.

Dari Aisyah r.a. berkata, “Aku menyaksikan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bangun pagi-pagi untuk mandi kerana berjunub, bukan kerana mimpi, kemudian baginda berpuasa pada hari itu”.

17. Menghindari bercumbu-cumbuan

Orang yang berpuasa boleh menyentuh dan mencium isterinya selagi dia dapat mengawal nafsunya. Jika dirasakan ia boleh membawa kepada berlakunya persetubuhan atau terkeluarnya air mani, maka eloklah ia ditinggalkan.

Aisyah r.a. berkata, “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah mencium sebahagian daripada isteri-isterinya, padahal baginda berpuasa, akan tetapi bagindalah orang yang kuat menahan syahwatnya daripada kamu sekalian.” (Muttafaq ‘alaih)

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak menyukai ia dilakukan orang muda kecuali yang tua, Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya orang tua mampu menahan diri mereka sendiri.” (Hadis Riwayat Ahmad r.a.)

18. Memperlihatkan Akhlak Yang Mulia.

Orang yang berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk. Segala tingkahlaku mestilah memperlihatkan akhlak yang mulia dan mencerminkan budi yang luhur dengan menjauhi kelakuan tidak sopan seperti pertengkaran, mencampuri urusan orang lain, mengeji, mencerca, berdemontrasi dan sebagainya sehingga membawa kepada Allah tidak menerima amalan puasanya itu.

Dari Abu Hurairah ra. berkata: Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Allah yang Maha Mulia dan Maha Besar berfirman: “Semua amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa, sesungguhnya puasa adalah untuk-Ku dan Daku sendirilah yang akan membalasnya.” (Muttafaq ‘alaih)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Puasa itu adalah ‘perisai’, sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, berteriak-teriak, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakana kepada orang itu : “Sesungguhnya saya sedang berpuasa”.  (Hadis Riwayat Al-Bukhariy dan Muslim)

19. Memperbanyak Istighfar Pada Malam Terakhir Ramadhan

Lipat gandakanlah istighfar dan taubat pada malam-malam terakhir Ramadhan.

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Pada bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan pada seorang Nabi pun sebelumku. Pertama, bila datang setiap awal Ramadhan, Allah melihat mereka. Sesiapa dilihat Allah, maka selamanya tidak akan disentuh azab. Kedua, bau mulut mereka pada siang hari disisi Allah lebih harum dari aroma minyak kasturi. Ketiga, para malaikat memohonkan keampunan baginya setiap siang dan malam. Keempat, Allah menyuruh surga-Nya dengan firman-Nya : “Bersiap-siaplah dan hiasilah dirimu untuk hamba-hamba-Ku. Kamu telah hampir waktu beristirehat dari keletihan hidup di dunia dan kembali ke tempat-Ku dan rahmat-Ku.” Kelima, bila telah tiba akhir Ramadhan, Allah mengampuni dosa-dosa mereka semua.” (Hadis Riwayat Ahmad, Baihaqi dan Al-Bazzar)

20. Mempergiatkan Amalan Pada Malam 10 Terakhir Ramadhan

Berusaha beramal bagi meraih keistimewaan ‘Lailatul Qadar’ pada sepuluh malam terakhir, terutama pada malam-malam ganjil iaitu malam 21,23,25,27 atau 29. Bila dirasakan menepati lailatul qadar hendaklah lebih giat beribadah .

Dalam Surah al-Dukhan, ayat 2, Allah S.W.T telah berfirman: “Sesungguhnya Kami telah turunkan al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” dan firman-Nya lagi dalam Surah al-Qadr, ayat 1 hingga 3: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Quran) pada Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu?  Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan.”

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : “Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Dalam hadis lain, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : “Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredhaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau.” (Hadis Riwayat Muslim)

21. Membayar Zakat Fitrah

Zakat fitrah adalah ‘kenderaan’ menghantar ibadat puasa untuk diterima oleh Allah. Sekiranya seseorang itu tidak menunaikan zakat fitrah bagi dirinya dan orang dalam tanggungannya, sedangkan dia mampu melakukannya, maka pahala puasanya tidak diangkat.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Puasa Ramadan tergantung antara langit dan bumi (tidak diangkat) melainkan selepas mengeluarkan zakat fitrah.”

Berusahalah melunaskan zakat fitrah sebelum akhir Ramadhan bagi memudahkan pengagihan. Aisyah r.a. berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah memfardhukan zakat fitrah pada bulan Ramadhan atas manusia.” (Muttafaq ‘alaih)

Dari Ibnu Abbas berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam mewajibkan mengeluarkan zakat fitrah sebagai menyucikan bagi orang yang berpuasa daripada perbuatan yang tidak bermanfaat dan keji serta sebagai makanan bagi orang miskin. Barang siapa yang mengeluarkannya selepas solat Aidilfitri, maka itu adalah sedekah biasa.”  (Hadis Riwayat Daud, Ibnu Majah dan Al-Hakim)

Subhanallah! Sesungguhnya adab berpuasa yang sempurna oleh Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam patut kita teladani. Semoga ianya bermanfaat dalam menjalani segala ibadah sepanjang Ramadhan yang penuh hikmah ini. Diharap Ramadhan kali ini mampu kita laksanakan amalan sebaik mungkin dan mudah-mudahan puasa kita tahun ini mendapat keberkatan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan pengampunanNya… Amin.

Jumaat, 20 Julai 2012

Selamat Datang Bulan Ramadhan Al-Mubarak


Bismillah. "Ya Allah Ya Tuhan kami. Sampaikanlah kepada kami bulan Ramadhan."

Bulan Ramadhan menjelang tiba. Insya Allah, esok umat Islam akan mula menjalani ibadah puasa fardhu Ramadhan. Berikut adalah lafaz niat berpuasa di bulan Ramadhan harian, niat berpuasa sebulan Ramadhan, doa berbuka puasa dan doa selepas buka puasa untuk diamalkan bersama-sama.


NIAT PUASA RAMADHAN (HARIAN)

"Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala."



NIAT PUASA SEBULAN RAMADHAN

"Sahaja aku berpuasa keseluruhan bulan Ramadhan kerana Allah Ta'ala."



DOA BERBUKA PUASA

"Ya Allah! Kerana Engkau aku berpuasa dan kepada Engkau aku beriman dan dengan rezeki Engkau aku berbuka; dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang."



DOA SELEPAS BERBUKA PUASA




"Ya Allah! Kerana Engkau aku berpuasa dan kepada Engkau aku beriman dan dengan rezeki Engkau aku berbuka; telah hilang dahaga sudah menjadi basah segala urat. Ya Allah! Aku minta diampuni dosaku dengan rahmat Engkau yang meliputi segala sesuatu."





Semoga kita sama-sama menjalani ibadah puasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ketakwaan serta diterima oleh Allah Ta'ala. Insya Allah.



Wassalam.

Jumaat, 13 Julai 2012

Sabar hadapi dugaan asas kebahagiaan hidup



Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad

Sumber: http://www.bharian.com.my


KATA pujangga, hidup tanpa kesusahan, penderitaan, dugaan dan cabaran bagaikan nasi tidak berkuah, susah senang adalah asin kerana itulah rencah kehidupan. Ia menepati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dunia ini adalah negara tempat bala dan ujian.”

Maknanya manusia di dunia ini tidak terkecuali daripada menghadapi ujian hidup baik untuk melihat sejauh mana tahap kesabaran serta keimanan mereka, juga pendekatan digunakan bagi mengatasi dugaan yang datang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Demi Allah yang jiwaku di tangannya! Tidak Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan ada kebaikan baginya dan tiada kebaikan itu kecuali bagi mukmin jika memperoleh kegembiraan, dia berterima kasih bererti kebaikan baginya. Jika ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya.”

Disuarakan oleh bijak pandai: “Adalah lebih baik menjadi orang beriman yang diuji, daripada menjadi orang kafir yang turut sama diuji. Bukankah lebih baik menjadi orang yang sabar ketika diuji daripada menjadi orang pemarah sedang diuji.”

Setiap ujian yang menimpa pasti terasa pahitnya atau sakit menekan perasaan kerana kebuntuan fikiran. Oleh itu, sabar adalah suatu perkara yang bukannya mudah untuk dilakukan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya kami akan beri percubaan kepada kamu, sehingga kami buktikan orang yang bersungguh-sungguh dari antara kamu dan orang yang sabar dan hingga kami nyatakan hal kamu.” (Surah Muhammad, ayat 31)

Tidak semua orang memiliki sabar, lantaran itu sikap sabar dianggap mahal dan tinggi nilainya malah ia termasuk sebagai sikap terpuji. Lantaran itu, Allah memerintahkan supaya berlaku sabar dalam firman yang bermaksud: “Hai orang beriman. Berlaku sabarlah. Sabarkan dan perteguhkan kekuatanmu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh kebahagiaan.” (Surah ali-Imran, ayat 200)

Berkata Junaid al-Baghdada katanya: “Bala adalah pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lalai. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar.”

Pada prinsipnya, sabar harus diterap dalam setiap aspek kehidupan sama ada kehidupan rumah tangga, tugas kepemimpinan, hidup selaku petani, nelayan, usahawan, guru, pengarang atau penyiar. Semua memerlukan kesabaran, justeru setiap medan pekerjaan dan perjuangan ada tentangan serta ujiannya.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Muslim yang bermaksud: Sangat mengagumkan keadaan seorang Muslim kerana segala keadaannya serba baik dan tiada mungkin terjadi demikian kecuali bagi orang mukmin, jika mendapat nikmat dia bersyukur. Itu adalah kebaikan baginya dan bila mendapat kesusahan dia bersabar, itu kebaikan baginya.”

Golongan yang sabar sedar mengenai kemanisan, kepahitan dan penderitaan akan berkurang bahkan hilang lenyap berganti kegembiraan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu apabila kesusahan menimpa, mereka berkata; sesungguhnya kami ini milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kami akan kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-156)

Kesabaran adalah kekayaan rohani yang besar, ia sebagai pangkal kebahagiaan. Dalam menghadapi kehidupan yang serba getir, semuanya perlu memiliki sifat sabar.

Wallahu A’alam.

Jumaat, 29 Jun 2012

Sedikit Sangat Orang Yang Bersyukur



Allah Subhanahu wa Ta’ala mengurniakan pelbagai nikmat kepada hamba-Nya. Kita sebagai manusia yang menjadi hamba-Nya hendaklah sentiasa mensyukuri atas segala nikmat yang Allah Ta’ala kurniakan kepada kita. Allah Ta’ala kurniakan nikmat yang tidak terkira pada kita. Nikmat Iman dan Islam, nikmat tidur dan celik, nikmat makan dan minum, nikmat buang air besar dan kecil, nikmat buang angin atau kentut, nikmat sihat dan sakit, nikmat pancaindera, nikmat udara; semuanya ini dikurniakan kepada kita. Apa akan jadi sekiranya Allah Ta’ala menarik balik nikmat-nikmat ini daripada kita. Tentu tidak keruan kita jadinya.

Contohnya mereka yang hilang nikmat makan dan minum iaitu orang yang menghidapi penyakit darah tinggi dan kencing manis. Ketika mereka sihat mereka boleh makan dan minum apa sahaja yang mereka mahu tetapi apabila mereka didapati menghidapi penyakit, nikmat makan dan minum mereka terpaksa dihadkan daripada makan dan minum yang sedap dan manis.

Jika kita perhatikan, zaman sekarang mana ada yang percuma. Semuanya mesti dibayar, malah sikit-sikit bil, sikit-sikit bil. Lambat bayar kena amaran, lama-lama kena tindakan. Tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala, Tuhan Yang Maha Kaya, boleh memberikan secara percuma tanpa bayaran seperti udara percuma, jantung percuma, mata dapat melihat tanpa bayaran, malah semuanya tidak kena bayar. Apabila dikenangkan kebaikan percuma, sepatutnya timbul rasa terima kasih dalam diri kita kepada pihak yang memberi itu iaitu Allah Subhanahu wa Ta’ala. Itulah namanya bersyukur.

Di zaman Khalifah Umar al-Khatab Radhiyallahu Anhu, satu ketika terdapat seorang pemuda sedang duduk beribadat dekat Ka’bah dengan terus menerus berdoa “Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam golongan orang yang sedikit”. Tatkala Amirul Mukminin mendengar permohonan pemuda itu, beliau pun bertanya, “Hai pemuda, kenapakah kamu memohon untuk dimasukkan ke dalam golongan yang sedikit? Bukankah kesemua orang berkehendak agar masuk ke dalam golongan yang terbanyak (majoriti) sebab pada umumnya golongan yang terbanyak itu mempunyai kedudukan yang lebih bermakna”. Pemuda itu menjawab, “Bukankah tuan pernah membaca di dalam al-Quran surah As-Saba’ ayat 13,
“Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tungkunya. (Setelah itu Kami perintahkan): "Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!" Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur”. Maka selepas itu fahamlah akan Saidina Umar maksud doa pemuda tadi. Rupanya, dia berdoa supaya menjadi golongan orang yang bersyukur.



Bersyukur itu sangat besar kedudukan dalam Islam. Oleh itu, marilah kita bersyukur. Bagaimana bentuk syukur patut kita lakukan? Terdapat lima bentuk syukur nikmat perlu kita hayati dan amalkan bersama.


1. Yakinlah segala nikmat itu datang daripada Allah.


2. Apabila kita mendapat pujian kerana sesuatu kelebihan, pulangkan kepada Pemberinya iaitu Allah. Kalau kita cerdik, ucaplah  “Alhamdulillah” (Segala puji bagi Allah) kerana yang memberi otak dan kecerdikan ialah Allah.


3. Terima kasih pada orang yang menjadikan penyebab nikmat. Bila cerdik kena syukur juga pada orang yang membantu kita cerdik seperti guru dan ibubapa kita.


4. Jadikan segala nikmat diperoleh sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah. Jika kita mendapat anak misalnya, cara bersyukur ialah didik anak betul-betul hingga menjadi orang soleh dan solehah.


5. Ceritakan nikmat anugerah Allah itu kepada orang lain. Memperlihatkan sebahagian nikmat adalah termasuk dalam erti kata syukur tanpa ada unsur riya'.


Wallahu A'alam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...