Syukur Alhamdulillah, kita ditemukan Ramadhan sekali lagi. Apa kata
Ramadhan tahun ini kita pertingkatkan ibadah puasa dari yang diamalkan sejak di
bangku sekolah kepada amalan cara Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Sebagai nabi terakhir, Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam merupakan ‘uswatun
hasanah’ (contoh tauladan) yang terbaik kepada umat manusia.
Semoga dengan mengetahui puasa cara Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam
ini, Insya Allah kita mampu menzahirkan dan mengisi Ramadhan kali ini dan
tahun-tahun mendatang dengan perkara-perkara yang boleh menjadikan kita insan
berjiwa takwa dan semakin hampir dengan yang Maha Pencipta.
Sama-sama kita menyelami beberapa tatacara dan adab puasa yang telah
diamalkan oleh Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai tauladan dan
iktibar untuk diikuti oleh kita semua.
1. Membetulkan Niat
Niat merupakan jiwa segala ibadah. Seharusnya kita memantapkan niat dengan
tekad ingin melaksanakan ibadah puasa yang sebenar-benarnya sambil memohon
kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala agar diterima amalan kita itu.
Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam memulakan puasa dengan berniat di sebelah
malamnya. Berbeza dengan puasa sunat yang niatnya boleh diniatkan
pada sebelah siang, puasa wajib di bulan Ramadhan ini niatnya mesti dilakukan
pada malam hari sebelumnya.
“Sesiapa yang tidak menetapkan akan berpuasa
sebelum fajar, maka tidak sah puasanya”. (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
“Sesiapa yang tidak berniat puasa pada malam
hari maka tiada puasa baginya.” (Hadis Riwayat An-Nasa’I, Al-Baihaqi, Ibnu Hazm)
2. Beri’tikaf
Dari Ali ra. bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam biasa
membangunkan keluarganya pada sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan. Rasulullah Shallallahu
‘Alaihi Wasallam juga apabila di sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan
sentiasa melaksanakan i’tikaf.
Dari Aisyah; “Bahwasanya Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam biasa
beri’tikaf pada sepuluh yang akhir dari bulan Ramadhan sampai Allah mengambil
nyawanya”.
3. Melakukan Qiam Ramadhan (Ibadah Di Malam Hari)
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sentiasa mengisi malam-malamnya di
sepanjang bulan Ramadhan dengan melaksanakan amal ibadah seperti mendirikan solat
Tarawih dan membaca al-Quran secara istiqamah.
Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda; “Sesiapa yang
beribadah malam di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas (berharap
pahala dari Allah), maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Hadis
Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagi makmum yang mengerjakan solat Tarawih disyorkan supaya sentiasa
bersama imamnya itu sehinggalah selesai samada sebanyak 20 rakaat mahupun 8
rakaat. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Apabila seseorang
menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar,
dikirakan untuknya (makmum) pahala qiyam semalaman” (Hadis Riwayat An-Nasaei).
4. Memperbanyak Membaca Al-Quran Dan Bertadarus
Sesiapa yang membaca satu huruf al-Quran, maka pahala untuknya 10 kali
ganda. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Orang-orang
yang berkumpul di masjid dan membaca al-Quran, maka kepada mereka Allah akan
menurunkan kelemahan batin dan limpahan rahmat.” (Hadis Riwayat Muslim).
Membaca yang dimaksudkan di atas adalah ketenangan dan limpahan rahmat. Ia
akan lebih mudah dicapai bila tadarus diertikan dengan mempelajari, menelaah dan menikmati
al-Quran.
Dari Ibnu Abbas, “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah
orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawanannya pada bulan Ramadhan
ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadhan,
lalu tadarus Al-Qur’an (dengan beliau). Sungguh Rasulullah Saw ketika ditemui
Jibril menjadi orang yang lebih murah hati dalam kebaikan sehingga lebih banyak
memberi (seperti) tiupan angin.” (Hadis Riwayat Bukhori dan
Muslim)
5. Mengamalkan Makan Sahur
Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Perbezaan
antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah makan sahur.” (Hadis
Riwayat Muslim).
Dari Hadis Abu Sa’id: “Maka janganlah kamu tinggalkan sahur itu,
dan seandainya seseorang diantara kamu meneguk (meminum) seteguk air, maka
sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya mendoakan atau mengasihani orang-orang
yang sahur itu.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam melarang meninggalkan makan sahur, kerana padanya
terkandung keberkatan. Anas bin Malik r.a. berkata telah bersabda
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Sahurlah kamu sekelian,
sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
“Semua sahur adalah berkat, maka
janganlah kamu meninggalkannya, walaupun di
antara kamu hanya meneguk air. Sesungguhnya Allah dan para
malaikat-Nya berselawat atas orang-orang yang melakukan sahur.” (Hadis Riwayat Ahmad, dan
al-Mundziri)
Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang dimaksudkan dengan berkat itu ialah ganjaran pahala
dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sahur akan menguatkan
lagi semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang itu untuk melakukan
apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.
Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Jadikanlah makan
diwaktu sahur sebagai penolong melakukan puasa diwaktu siang. Dan istirahat di
tengah hari sebagai penolong untuk melakukan solat malam kamu.”
6. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Melewatkan
Imsak
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam menyuruh dilewatkan imsak (berhenti makan
sahur) sehingga akhir malam, seafdal-afdalnya sebelum masuk waktu Subuh.
Apabila sedang makan atau minum sahur lalu mendengar azan Subuh, maka boleh
diteruskan makan dengan kadar segera apa yang ada di dalam mulut atau di
tangan, tidak perlu dihentikan di tengah sahur disebabkan sudah masuk waktu
Subuh tersebut.
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Apabila salah
seorang dari kamu mendengar azan subuh padahal bekas minuman masih di
tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga dia menyelesaikan
meminumnya”. (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Keadaan yang digambarkan oleh hadis tersebut ialah kepada seseorang yang
terlewat ketika bangun untuk makan sahur.
7. Menyegerakan Berbuka (Iftar) Walaupun Dengan Seteguk Air
Apabila sudah yakin masuknya waktu Maghrib, segerakanlah berbuka puasa.
Sahl bin Saad berkata sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah
bersabda: Telah berfirman Allah Subhanahu Wa Ta’ala “Hamba-hamba-Ku yang
lebih aku cintai ialah mereka yang segera berbuka puasa bila tiba masanya”. (Hadis
Riwayat Tirmizi dan Abu Hurairah)
Sabda Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Ummatku sentiasa berada di
dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila
masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur”. (Hadis Riwayat Ahmad,
al-Bukhariy dan Muslim)
8. Berbuka (Iftar) Dahulu Sebelum Solat Maghrib
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam mengisi perut dengan sedikit makanan seperti
kurma dan air saja, setelah itu baru Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam melaksanakan
solat Maghrib. Tetapi apabila makan malam sudah dihidangkan, maka
terus dimakan, jangan solat dahulu.
“Tiga perkara yang merupakan akhlak para nabi:
menyegerakan berbuka, mengakhirkan sahur dan meletakkan tangan kanan di atas
tangan kiri dalam solat.” (Hadis Riwayat Ath-Thabarani, hadist Mauquf)
9. Buka Puasa Dengan Kurma dan
Air
Adalah sunah
berbuka dengan kurma dengan bilangan ganjil: 1, 3 atau 5 biji. Jika
tidak ada, apa saja makanan yang manis seperti kuih-muih dan buah-buahan.
“Adalah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam berbuka dengan kurma basah (ruthab), jika
tidak ada ruthab maka berbuka dengan kurma kering (tamar), jika tidak ada tamar
maka minum dengan seteguk air.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Baihaqi,
Hakim, Ibn Sunni, Nasai, Daruquthni dan lainnya)
10. Banyakkan Berdoa Ketika Puasa & Berdoa Ketika Berbuka
Berdoa ketika
berbuka puasa merupakan salah satu waktu doa yang mustajab, seperti banyak disebut dalam banyak
hadis.
Antaranya: “Tiga orang yang tidak akan ditolak doanya, orang
yang puasa ketika berbuka, Imam yang adil dan doanya orang yang
dizalimi.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, Ibn Majah, dan Ibnu Hibban)
Doa yang pernah Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ajarkan ketika berbuka
puasa. “Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat, dan telah ditetapkan
pahala Insya Allah.”( Hadis Riwayat Abu Daud, Baihaqi, Hâkim, Ibn Sunni,
Nasâ’i, Daruquthni dan lainnya)
11. Memberi Makan Orang Yang Puasa
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sering menggalakkan umat Islam menyediakan makanan
berbuka kepada orang yang berpuasa meskipun dengan hanya beberapa biji tamar
atau segelas air.
Sabda Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Sesiapa yang menjamu
orang yang puasa akan mendapatkan pahala seperti pahalanya orang yang berpuasa
tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun.” (Hadis Riwayat Ahmad,
Tirmidzi, bn Mâjah, Ibn Hibban dan dishahih kan oleh Imam Tirmidzi)
12. Bersederhana Dalam Semua Perkara
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sering menggalakkan umat Islam bersederhana dalam
semua perkara. Janganlah membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan
pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada keduanya bagi menyelami makna
sebenar berlapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal,
keinginan nafsunya juga berkurangan, hatinya ceria, itulah rahsia dan intipati
puasa yang perlu dicapai.
Sabda Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Takungan buruk yang
dipenuhkan oleh manusia adalah kantung perutnya, memadailah baginya beberapa
suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka
berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk
minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya.” (Hadis Riwayat Ahmad
dan at-Tarmiziy)
13. Memperbanyakkan Sedekah
Lebihkan bersifat
pemurah dan dermawan iaitu banyak memberi, bersedekah dan menolong. Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan.
Bersedekah bukan hanya memberi wang, tetapi termasuklah mengajak orang lain
berbuka puasa di rumah kita terutama kepada golongan fakir miskin.
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah peribadi yang dermawan
apatah lagi pada waktu bulan Ramadhan kemurahan tangannya bagaikan hembusan
angin sebagaimana yang diterangkan dalam hadis di bawah ini :
Dari Ibn Abbas ra. Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda; “Adalah
manusia yang paling dermawan, dan sedermawan-dermawan baginda adalah pada bulan
Ramadhan ketika Jibril menemui baginda. Jibril menemui baginda pada setiap
malam dari bulan Ramadhan sehingga habisnya bulan Ramadhan itu. Tujuannya
menemui nabi Shallallahu ‘Alaihi
Wasallam ialah untuk menyampaikan
al-Quran. Apabila Jibril bertemu dengan baginda maka keadannya lebih permurah
dengan kebaikan daripada angin yang diutus.”
14. Menjaga Tutur Kata
Menjauhi percakapan dan perkataan keji, kotor dan lucah serta menjauhi
menipu, mengumpat, berkata karut dan sia-sia.
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Apabila seorang
dari kamu sekelian berpuasa, maka janganlah ia berkata kotor dan berteriak.
Bila dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah – sesungguhnya aku ini
sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam lagi: “Sesiapa yang
tidak meninggalkan menipu dan beramal dengannya, maka Allah Subhanahu Wa Ta’ala tidak menerima puasanya.”
(Hadis Riwayat Bukhari r.a.)
Sebagaimana penjelasan baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, bahawa orang yang
berpuasa dan menjaga tutur-katanya itu pada hari kiamat kelak bau
mulutnya akan lebih harum dari bau kasturi.
15. Memelihara Kesemua Anggota Badan
Selain daripada menjaga pancaindera seperti lidahnya dari mencarut,
berdusta dan mengumpat, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam juga menyeru
kita memelihara mata dan telinga dari melihat dan mendengar perkara
yang dilarang oleh syara’.
Dengan berusaha
menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan dari mendekati atau
melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia, akan menjadikan ibadah puasa lebih
ikhlas dan sempurna. Tidaklah
membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, hanya memenatkan diri
dengan berlapar dan merosakkan pahala puasa.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Ramai yang berpuasa
tidak mendapat ganjaran dari puasanya melainkan lapar dan dahaga!” (Hadis Riwayat
An-Nasaei)
16. Mandi Junub
Mengenai orang yang berpuasa tetapi berjunub pada awal pagi, Aisyah dan
Ummu Salamah berkata, sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah
bertemu dengan waktu fajar dalam keadaan baginda berjunub. Baginda kemudian
mandi dan berpuasa.
Dari Aisyah r.a. berkata, “Aku menyaksikan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bangun
pagi-pagi untuk mandi kerana berjunub, bukan kerana mimpi, kemudian baginda
berpuasa pada hari itu”.
17. Menghindari bercumbu-cumbuan
Orang yang berpuasa boleh menyentuh dan mencium isterinya selagi dia dapat
mengawal nafsunya. Jika dirasakan ia boleh membawa kepada berlakunya
persetubuhan atau terkeluarnya air mani, maka eloklah ia ditinggalkan.
Aisyah r.a. berkata, “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah
mencium sebahagian daripada isteri-isterinya, padahal baginda berpuasa, akan
tetapi bagindalah orang yang kuat menahan syahwatnya daripada kamu sekalian.” (Muttafaq
‘alaih)
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak menyukai ia dilakukan orang
muda kecuali yang tua, Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya
orang tua mampu menahan diri mereka sendiri.” (Hadis Riwayat Ahmad r.a.)
18. Memperlihatkan Akhlak Yang Mulia.
Orang yang
berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk. Segala tingkahlaku mestilah memperlihatkan akhlak
yang mulia dan mencerminkan budi yang luhur dengan menjauhi kelakuan tidak
sopan seperti pertengkaran, mencampuri urusan orang lain, mengeji, mencerca,
berdemontrasi dan sebagainya sehingga membawa kepada Allah tidak menerima
amalan puasanya itu.
Dari Abu Hurairah ra. berkata: Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Allah
yang Maha Mulia dan Maha Besar berfirman: “Semua amalan manusia adalah untuknya
kecuali puasa, sesungguhnya puasa adalah untuk-Ku dan Daku sendirilah yang akan
membalasnya.” (Muttafaq ‘alaih)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Puasa itu adalah
‘perisai’, sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia
bercakap kotor, berteriak-teriak, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika
ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah
dia katakana kepada orang itu : “Sesungguhnya saya sedang berpuasa”. (Hadis
Riwayat Al-Bukhariy dan Muslim)
19. Memperbanyak Istighfar Pada Malam Terakhir Ramadhan
Lipat gandakanlah istighfar dan taubat pada malam-malam terakhir Ramadhan.
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Pada bulan
Ramadhan umatku diberi lima
perkara yang tidak pernah diberikan pada seorang Nabi pun sebelumku. Pertama,
bila datang
setiap awal Ramadhan, Allah melihat mereka. Sesiapa dilihat Allah, maka
selamanya tidak akan disentuh azab. Kedua, bau mulut mereka
pada siang hari disisi Allah lebih harum dari aroma minyak kasturi. Ketiga,
para malaikat
memohonkan keampunan baginya setiap siang dan malam. Keempat,
Allah menyuruh
surga-Nya dengan firman-Nya : “Bersiap-siaplah dan hiasilah dirimu untuk
hamba-hamba-Ku. Kamu telah hampir waktu beristirehat dari keletihan hidup di
dunia dan kembali ke tempat-Ku dan rahmat-Ku.” Kelima, bila telah tiba
akhir Ramadhan, Allah mengampuni dosa-dosa mereka semua.” (Hadis
Riwayat Ahmad, Baihaqi dan Al-Bazzar)
20. Mempergiatkan Amalan Pada Malam 10 Terakhir Ramadhan
Berusaha beramal
bagi meraih keistimewaan ‘Lailatul Qadar’
pada sepuluh malam terakhir, terutama pada malam-malam ganjil iaitu malam 21,23,25,27 atau 29. Bila dirasakan
menepati lailatul qadar hendaklah lebih giat beribadah .
Dalam Surah al-Dukhan, ayat 2, Allah S.W.T telah berfirman: “Sesungguhnya
Kami telah turunkan al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan
sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” dan firman-Nya lagi dalam Surah
al-Qadr, ayat 1 hingga 3: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Quran)
pada Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul
Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan.”
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : “Sesiapa yang
kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan
tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan
(tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Dalam hadis lain, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : “Sesiapa
yang beribadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada
keredhaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau.” (Hadis
Riwayat Muslim)
21. Membayar Zakat Fitrah
Zakat fitrah adalah ‘kenderaan’ menghantar ibadat puasa untuk diterima oleh
Allah. Sekiranya
seseorang itu tidak menunaikan zakat fitrah bagi dirinya dan orang dalam
tanggungannya, sedangkan dia mampu melakukannya, maka pahala puasanya tidak
diangkat.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Puasa Ramadan tergantung
antara langit dan bumi (tidak diangkat) melainkan selepas mengeluarkan zakat
fitrah.”
Berusahalah melunaskan zakat fitrah sebelum akhir Ramadhan bagi memudahkan
pengagihan. Aisyah r.a. berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah
memfardhukan zakat fitrah pada bulan Ramadhan atas manusia.” (Muttafaq
‘alaih)
Dari Ibnu Abbas berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam mewajibkan mengeluarkan zakat
fitrah sebagai menyucikan bagi orang yang berpuasa daripada perbuatan yang
tidak bermanfaat dan keji serta sebagai makanan bagi orang miskin. Barang siapa
yang mengeluarkannya selepas solat Aidilfitri, maka itu adalah sedekah biasa.”
(Hadis Riwayat Daud, Ibnu Majah dan Al-Hakim)
Subhanallah! Sesungguhnya adab berpuasa yang sempurna oleh Rasulullah Shallallahu
‘Alaihi Wasallam patut kita teladani. Semoga ianya bermanfaat dalam menjalani
segala ibadah sepanjang Ramadhan yang penuh hikmah ini. Diharap Ramadhan kali
ini mampu kita laksanakan amalan sebaik mungkin dan mudah-mudahan puasa kita
tahun ini mendapat keberkatan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan pengampunanNya…
Amin.