Nuffnang advertisement

Rabu, 13 Oktober 2010

10 Cara Membahagiakan Ibubapa



Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa bertujuan membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Ajaran Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang mulia.

Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk material dan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.

Terdapat sekurang-kurangnya 10 bakti perlu dilakukan oleh setiap anak terhadap ibu bapa mereka:-


1. Memberi nafkah.

Terdapat ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Kalaupun berkerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.

Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang telah dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.


2. Menyediakan tempat tinggal.

Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal, atau tidak sesuai untuk didiami, adalah menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai kepada ibu bapa.

Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.


3. Memberi kasih sayang.

Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini telah dicurahkan ibu bapa. Kasih sayang ibu dan bapa tidak pernah padam terhadap anaknya. Jadi seharusnya kasih sayang itu dibalas dengan sebaik-baiknya.

Anak yang baik tidak melupai jasa dan kasih sayang kedua ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat.

Firman Allah bermaksud: "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil." (Surah al-Isra', ayat 24).


4. Memberi perhatian.

Ibu bapa yang diabaikan akan merasai kesunyian. Mereka terasa disisih dan seperti tidak dipedulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.

Penerapan amalan memberi perhatian terhadap ibu bapa perlu disemai, dibajai serta disuburkan dalam kehidupan masyarakat kita. Kes anak yang membuang ibu bapa semakin meningkat. Anak memandang jijik terhadap ibu bapa sendiri.

Banyak ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah penjagaan orang-orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa. Sedangkan, ibu bapa mampu menjaga dan membesarkan beberapa orang anak.


5. Memenuhi permintaan.

Ibu bapa seringkali memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa.

Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat, dan seumpamanya.

Malah keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama berjihad di medan perang. Diriwaytkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: "Apakah perbuatan disukai oleh Allah?" Lalu baginda bersabda: "Sembahyang pada waktunya." "Kemudian apa?" tanya saya lagi. Baginda menjawab: "Berbakti kepada kedua ibu bapa." Saya bertanya: "Apa lagi." Jawab baginda: "Berjihad pada jalan Allah."


6. Melakukan apa yang disukai.

Ibu bapa sudah tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka.

Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa." (Hadis riwayat Tirmizi).

Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: "Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati."


7. Bercakap dengan lemah lembut.

Satu cara menjaga perasaan ibu bapa ialah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendaklah direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.

Firman Allah bermaksud: "Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata cis! terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut." (Surah al-Isra', ayat 23).

Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.


8. Menghadiahkan kejayaan.

Ibu bapa sentiasa mengharapkan kejayaan anak mereka. Anak hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan agar dapat dikongsi kegembiraannya bersama-sama dengan ibu bapa.

Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.


9. Meluangkan masa bersama-sama.

Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi ibu bapa. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.


10. Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa.

Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan biarpun ibu bapa telah meninggal dunia.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya." (Hadis riwayat Muslim).


Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil. Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya.

Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup.

Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangkakan. Di sebalik senyumannya mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan. Di sebalik kesenangannya mungkin tersimpan seribu kekalutan. Kita tidak tahu. Tetapi jika kita cuba jadi sahabat dengannya, mungkin kita akan tahu.

Wallahu'alam.

Selasa, 12 Oktober 2010

Kos Membesarkan Anak



Anak adalah ASET yang tidak ternilai harganya. Dialah penawar tika berduka. Senyum dan gelak tawa mereka menjadi pengubat tika luka.

Jom sama-sama kita buat kira-kira berapakah jumlah kos membesarkan anak-anak khususnya di Lembah Klang dan kawasan sekitarnya sekarang. Harap ianya boleh dijadikan panduan kepada mereka yang:

a) Merancang untuk berkahwin dan tentunya inginkan zuriat
b) Telah berkahwin dan sedang menantikan kelahiran insan tersayang
c) Ingin menambah bilangan anak

1. Kos Sebelum Kelahiran: RM 2000 (Seluar, baju, tilam, katil, susu bagi ibu mengandung, susu bayi, lampin, kos rawatan ibu dan sebagainya)

2. Kos Semasa Melahirkan: RM 2500 (Kos kelahiran secara normal sekitar RM1500 dan kos ceaser sekitar RM3500. Kita ambil KOS PERTENGAHAN = RM 2500)

3. Kos 3 Tahun Pertama: RM 18 000 = susu RM50 + lampin RM50 + bayaran pengasuh RM250 + takaful RM 100 + lain-lain RM 50 = RM500 x 12 bulan = RM6000 x 3 tahun = RM 18 000

4. Kos tahun ke 4 – 17 = tadika/sekolah RM300 + takaful RM100 + lain-lain RM200 = RM600 x 12 bulan = RM7 200 x 14 tahun = RM100 800

5. Kos 18-22 tahun di Universiti = Anggarkan tambahan kos keseluruhan sekitar RM50 000 untuk kursus Ijazah di dalam negeri (selain simpanan takaful sekitar RM20 400)

Kos keseluruhan adalah = 2000 + 2500 + 18 000 + 100 800 + 50 000 = RM173 300

Kos Purata untuk 22 tahun adalah RM 173 300 / 22 / 12 = RM 656.4. Kita bundarkan kepada RM 657 untuk seorang anak/sebulan. (Pengiraan ini belum mengambil kira faktor inflasi)

Jadi sesiapa yang ada rancangan ingin tambah bilangan keluarga, sama-samalah kita sediakan bajet tambahan untuk mereka.

Anak-anak adalah aset yang tidak ternilai harganya. Sama-samalah kita menjaga amanah dan tanggungan kita ini agar mereka menjadi ASET dan bukannya LIABILITI.

Liabiliti di dunia masih boleh diperbetulkan. Liabiliti di akhirat; menarik kita ke lembah kehinaan (nauzubillah) tiada penghujungnya.

Aset perlu diusahakan agar mereka menjadi penyejuk mata ayah dan bonda. Sama-sama sediakan kemudahan dan kelengkapan untuk tanggungan dan sama-sama kita sediakan payung sebelum hujan.

Wallahu'alam.

Isnin, 11 Oktober 2010

10 masa manusia begitu hampir dengan rahmat Allah SWT dan kurnia-Nya

Dicatat oleh al-’Abd al-Da’if: Pada Allah SWT telah mengkhususkan beberapa masa di mana pada waktu itu manusia begitu hampir dengan rahmat Allah SWT dan kurnia-Nya. Pada masa-masa ini manusia begitu dekat dengan Allah SWT, di mana pintu-pintu langit terbuka dan doa-doa diterima. Antaranya ada 10 masa sepertimana yang dapat dihimpunkan daripada hadith-hadith Nabi SAW, iaitu;

1. Masa daripada gelincir matahari pada hari Jumaat sehingga terbenamnya matahari. Yakni antara selepas masuknya waktu zohor hari Jumaat sehingga masuknya waktu maghrib. Ini berlaku hanya seminggu sekali.

2. Masa ketika dinihari, iaitu satu pertiga malam yang akhir, atau waktu suhur sebelum masuk waktu fajar. Yakni antara pukul 2/3 pagi sehingga pukul 5/6 pagi lebih kurangnya.

3. Masa sujud, sama ada dalam solat fardhu mahupun solat sunat.

4. Masa selepas azan berkumandang, iaitu antara azan dan iqamah.

5. Masa selepas setiap solat fardhu.

6. Masa orang yang berpuasa berbuka puasa.

7. Masa turunnya hujan.

8. Masa berlakunya peperangan fi sabilillah. Ini jarang-jarang berlaku.

9. Masa malam Lailatul Qadar. Ini berlaku hanya setahun sekali, iaitu dalam bulan Ramadhan.

10. Masa hari Arafah, yakni ketika jemaah haji berwuquf di sana pada 9 Zulhijjah. Ini juga berlaku setahun sekali. Saya berpendapat (berdasarkan hadith-hadith), masa mustajab berkenaan adalah mengikut jemaah haji berwuquf di Arafah, walaupun kiraan hisab dalam taqwim tempatan kita masih menunjukkan 8 Zulhijjah.

Wallahu'alam.

Jumaat, 8 Oktober 2010

REPETITION



Salam, kali ini saya ingin berkongsi sedikit cara kehidupan kita yang berulang-ulang/repetition yang banyak mempengaruhi cara pemikiran dan perjalanan hidup kita sama ada kita sedari ataupun tidak.

Kemudian, cuba kita bandingkan kegiatan berulang ini dengan kehidupan anak-anak kecil dan anak-anak remaja kita sekarang.

Kehidupan Anak-anak kecil kita sekarang/kita masa kecil dahulu
Perbuatan Berulang/Repetition: Akibat/Kesannya

1. Selalu bawa basikal: Pandai naik basikal
2. Tengok ultraman: Akan sedikit ganas dan suka pukul adik-adik
3. Tengok wonderpet: Akan ada sedikit sifat tolong menolong & menyanyi dengan girang
4. Tengok tom & jerry: Akan terbit sifat suka trick & kadang-kadang sedikit nakal
5. Selalu dimarahi ibu bapa: Akan menjadi sedikit pasif dan takut mencuba
6. Selalu di bawa ke surau: Akan suka berkawan, bergaul dengan kawan-kawan & orang dewasa & kenal erti berjemaah & bermaaf-maafan/bersalam-salaman
7. Selalu diajar menderma: Akan bertanya ‘mengapa bagi duit kepada orang lain/tabung?’. Ajar sajalah
8. Selalu melihat ibu bapa bertengkar: Akan suka bertengkar dan kurang sabar

Kehidupan Pelajar/Kita masa kita belajar dulu
Perbuatan Berulang/Repetition:Akibat/Kesannya

1. Suka buat latihan Add Mate & Mode Mate: Dapat A1 Addmate & Mode Mate
2. Suka baca cerpen/novel/majalah. Suka buat karangan BM/BI: Dapat A1 BM/BI
3. Suka bercouple: Pelajaran entah ke mana, couple entah ke mana
4. Suka ponteng & hisap rokok: Pelajaran entah ke mana, duit habis buat beli rokok
5. Suka solat jemaah, ke surau: Akan mempunyai ramai kawan dan kenalan. Cikgu pun sayang

Kehidupan kita sekarang/Dewasa
Perbuatan Berulang/Repetition:Akibat/Kesannya

1. Selalu bawa kereta: Akan pandai dan mahir bawa kereta dan selok belok jalan
2. Selalu pergi ke surau, solat berjemaah & mendengar ceramah: Akan ramai kenalan dan kawan. Ilmu-ilmu baru sentiasa bertambah
3. Selalu dengar seminar kewangan & main saham: Akan mahir hal-hal kewangan, saham dan pelaburan (small deal/big deal, good deal/bad deal, doodads, market, gift etc)
4. Selalu dengar kuliah-kuliah agama: Hati akan sentiasa hidup untuk sentiasa mencari ilmu
5. Selalu main rumah lelong: Akan mahir hal-hal berkaitan rumah lelong
6. Selalu bershopping: Akan mendapat baju-baju/alatan-alatan baru. Mungkin juga hutang-hutang kad kredit akan bertambah
7. Selalu memikirkan idea-idea baru/berkongsikan idea-idea/bercakap tentang idea dengan isteri/rakan-rakan: Akan sentiasa dapat banyak idea baru lain
8. Selalu membaca buku dan menghadiri seminar: Akan sentiasa mendapat ilmu-ilmu baru dan kawan-kawan baru

Tidak kira sama ada kita kanak-kanak, pelajar ataupun dewasa, apa saja yang kita nak kita PERLU LAKUKANNYA SECARA BERULANG/REPETITION. Practice makes it perfect. Semua peringkat zaman membuktikan bahawa repetition akan menjadikan kita mahir tentang sesuatu hal. Lihat sajalah bukti-bukti di sekeliling kita. (Ada juga untuk kes tertentu, perkara sebaliknya berlaku tetapi jarang-jarang dan kadang-kadang. Sunnatullah/Kebiasaannya kita buat sesuatu dengan berulang-ulang/banyak kali kita akan mahir/dipengaruhi dengan cara hidup itu).

Kesimpulannya apa saja yang kita NAK, lakukanlah ia SECARA BERULANG, dan jangan mudah berputus asa jika belum berjaya. Tiada istilah gagal dalam kehidupan ini, yang ada hanyalah BERJAYA ataupun BELUM BERJAYA. Lakukanlah ia lagi dan lagi. Fikirkan cara baru lagi dan lagi. Cuba perkara-perkara baru lagi dan lagi. Insya-Allah kita semua akan dapat apa yang KITA NAK.

 Wallahu'alam.

Rabu, 6 Oktober 2010

4 Tahap Kewangan Seseorang, Anda Di Mana?

#1: Kewangan Tidak Selamat (Financially Not Secure)

Keadaan ini adalah apabila jika anda tidak mempunyai simpanan pun. Dalam erti kata lain, sekiranya ada pun simpanan anda hanya mampu menyara hidup anda dan keluarga selama sebulan sahaja. Sekiranya anda hilang kerja esok, sebulan sahaja anda dapat hidup dengan wang simpanan yang ada.

Tahap ini amat tidak selamat bagi sesiapapun. Boleh diumpamakan sebagai kais pagi-makan pagi, kais petang makan petang. Zaman moden ini, seumpama kais bulan ni, makan bulan ni, kais bulan depan, makan bulan depan.

Masalahnya, ramai antara kita berada dalam keadaan yang tidak selamat ini.


#2: Kewangan Selamat (Financially Secure)

Ini adalah pilihan yang lebih baik. Ertinya, umpamanya sekiranya anda berhenti kerja (atau diberhentikan) anda mempunyai simpanan untuk menyara hidup anda dan keluarga anda selama 6 bulan. Sekiranya anda berada dalam tahap ini, tahniah! Kerana tidak ramai yang berada di sini.

6 bulan adalah jangka waktu yang logik untuk seseorang itu mendapatkan kerja lain atau memulakan perniagaan untuk menyambung pendapatan sara hidup. Matlamat utama anda sekiranya anda berada di tahap #1 adalah untuk mencapai tahap ini. Cukupkan simpanan anda untuk menyara 6 bulan hidup anda dan keluarga - tanpa perlu kerja!


#3: Bebas Kewangan (Financially Freedom)

Ini adalah matlamat bagi ramai antara kita. Tetapi, yang mencapainya adalah amat sedikit. Ertinya sekiranya anda berada di tahap ini adalah - anda bebas untuk membuat pilihan untuk bekerja ataupun tidak! Anda mempunyai simpanan ataupun aliran pendapatan secara automatik yang cukup untuk menyara hidup anda sekeluarga sampai bila-bila!

Tahap ini, anda tidak perlu kerja lagi (atau menjalankan perniagaan). Namun begitu, ramai yang berada di tahap ini, masih lagi meneruskan karier atau perniagaan kerana berasa seronok melakukannya. Bukan kerana terpaksa, tetapi dengan sukarela.

Tips untuk mencapai keadaan ini adalah fikirkan aliran pendapatan berganda secara automatik, contoh seperti menyewa rumah, membina perniagaan yang dikendalikan secara automatik (perniagaan Internet) atau membina perniagaan yang dikendalikan oleh orang lain (mungkin pengurus).


#4: Tahap Kaya Giler (Ultra Rich)

Tahap ini lagi la sedikit yang capai. Teramat sedikit. Mereka ini jenis yang mempunyai wang yang banyak sehingga tak terpakai wang yang dimiliki. Boleh derma beratus ribu ringgit atau berjuta. (Kita nak dapat beratus ribu pun payah). Nama-nama seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Tan Sri Daim Zainuddin, Tan Sri Robert Kuok dan Tan Sri Ananda Krishnan adalah tergolong dalam tahap ini.


Soalan cepu gangsa untuk hari ini.

Anda berada dalam kedudukan yang mana?

*Tak perlu jawab di sini pun takpe. Hanya jawab dalam hati. Yang penting kita sedar kedudukan kewangan kita dan berusaha untuk tingkatkan ke tahap yang seterusnya.

Wassalam.

Selasa, 5 Oktober 2010

Mengapa perlu ada pelan Takaful SEKARANG?


Terfikir jugak kadang-kadang kenapa saya perlu mempunyai pelan Takaful yang berasaskan pelaburan beserta kad perubatan sekarang walaupun saya tidak menggunakannya buat masa sekarang.

Walaubagaimanapun, bila difikirkan balik berasaskan kepada fakta-fakta masa hadapan, saya rasa bersyukur kerana dapat memilikinya sekarang :

1 – Jika kita ditakdirkan panjang umur, kita akan menjadi tua juga pada satu hari nanti. Kita mempunyai simpanan dan tidak perlu membebankan anak-anak dengan menyediakannya terlebih dahulu dengar kadar sumbangan bulanan yang cukup minima.

2 – Dengan umur yang meningkat, kos penjagaan kesihatan atau perubatan akan semakin bertambah. Tambahan lagi, pelbagai penyakit atau wabak seperti H1N1 yang boleh melanda pada bila-bila masa dan paling tidak ianya memerlukan kaedah rawatan yang terkini. Untuk rawatan yang terkini bermakna kosnya juga adalah tinggi.

3 – Kadar inflasi akan menyebabkan kos perubatan semakin meningkat pada masa akan datang. Sebagai contoh, mahu tak mahu, harga secawan kopi sekarang tidak lagi boleh diperolehi dengan harga 50 sen. Apakah yang akan berlaku dalam tempoh 20 tahun akan datang? Begitu juga yang berlaku dengan kos rawatan hospital?

4 – Kita pasti pada masa hadapan hanya mereka yang tua dan berpenyakit akan terbela dan mampu dirawati oleh mereka yang sihat, bekerja dan membuat persediaan pelan Takaful bermula pada tika dan saat ini.

5 – Pelan perlindungan yang diberikan adalah sehingga berumur 80 tahun di mana keperluan Takaful adalah sangat diperlukan pada ketika itu nanti.

6 – Manfaat perlindungan yang diberikan oleh majikan adalah cukup terhad dan diberikan hanya ketika anda berkhidmat dengan majikan sahaja.

7 – Setiap sumbangan yang dibuat ke atas pelan Takaful diberi pelepasan cukai oleh kerajaan. Secara tidak langsung kepentingan diri dan keluarga diberikan perhatian terlebih dahulu.

8 – Penyakit yang bakal menghidapi diri sendiri atau keluarga tidak akan menunggu sehingga kita atau keluarga terlebih dahulu mendapatkan persediaan kos rawatan perubatan.

9 – Dengan sumbangan bulanan secara minima RM160, saya telah mendapat jaminan kewangan untuk kos perubatan tersedia dengan nilai RM625,000 seumur hidup. Pengiraan secara kasarnya adalah seperti berikut :

Untuk menyimpan RM625,000 dengan sumbangan bulanan RM160, bermakna saya perlu membayar untuk tempoh selama 3,906 bulan atau 325 tahun!!!

10 – Saya menyertai pelan Takafulink adalah kerana ianya adalah Takaful berkaitan pelaburan yang menggabungkan pelaburan dan perlindungan takaful. Sumbangan ini akan memberi perlindungan takaful, termasuk manfaat kematian dan hilang upaya, dan sebahagian daripada caruman akan dilaburkan dalam pelbagai dana pelaburan pilihan anda yang dibenarkan oleh Syariah. Secara tidak langsung, ini membolehkan anda menerima pulangan yang lebih baik sekiranya anda bercadang untuk mempunyai matlamat simpanan jangka panjang.

11 – Saya berniat untuk setiap sumbangan bulanan saya adalah sebagai derma sekiranya saya tidak menggunakannya pada hari ini saya halalkan sumbangan ini untuk digunakan kepada peserta Takaful yang memerlukan. Inilah salah satu yang dapat saya lakukan untuk membantu saudara saya yang lain. Mudah-mudahan Allah memberi keberkatan dan dimurahkan lagi rezeki.

Wassalam.

Isnin, 4 Oktober 2010

Takaful Mana Terbaik Di Pasaran?


Bagi menjawab soalan di atas, jawapannya adalah – semua pelan yang terdapat di pasaran adalah baik, cuma tanggungjawab anda sebagai ketua keluarga adalah memilih yang terbaik dan bersesuaian dengan keperluan anda.

Sekiranya anda masih tercari – cari pelan insurans / takaful untuk keluarga, ataupun sudah memiliki salah satu darinya, pastikan pelan tersebut dapat :


1) Membayar hutang sekiranya anda sudah tidak berupaya bekerja

Sekiranya pencari nafkah hilang upaya bekerja, pastikan pelan tersebut dapat menggantikan wang gaji anda agar hutang – hutang tetap seperti hutang kereta, hutang peribadi, hutang kad kredit dan lain – lain, dapat diganti seperti mana sebelumnya. Bayangkan jika anda sudah tidak bekerja, punca pendapatan automatik lenyap begitu sahaja, mungkin ada sedikit simpanan di sana sini, tapi tak mungkin dapat menanggung sehingga 10 tahun atau lebih bukan? Di sinilah pentingnya pelan insurans / takaful tadi.


2) Wang sara hidup keluarga dapat diwujudkan walaupun anda sudah hilang upaya bekerja

Kata orang, kehidupan perlu diteruskan. Tapi kalau hilang punca pendapatan, nak meneruskan kehidupan agak memeritkan, setuju? Bayangkan gaji RM 4 ribu atau RM 6 ribu tup tup dah hilang. Mesti keluarga akan mengalami satu keadaan dipanggil bencana kewangan, iaitu kehilangan punca pendapatan yang berlaku secara tiba – tiba akibat kegagalan pencari nafkah utama yang sudah tidak mampu bekerja.

Perkara ini penting, jadi pastikan jumlah coverage yang anda ambil, dapat menggantikan gaji anda untuk keluarga agar mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa. Jangan pula beli insurans tapi basic coverage setakat RM 60 000, tak sampai setahun boleh habis.

Bagi suami yang bekerja seorang, perkara ini tidak boleh diambil mudah, kerana isteri anda pasti akan tenggelam punca apabila anda sudah tidak mampu memberikan nafkah bulanan kepada beliau dan kebuntuan isteri anda untuk mencari nafkah bagi menggantikan tempat anda.


3) Mengurangkan beban kewangan sekiranya ahli keluarga ditimpa penyakit

Kalau anda tahu kos untuk merawat penyakit kritikal pada hari ini, anda tentu tak berani nak beli kereta atau rumah. Mana taknya, kos tersebut boleh membeli rumah, boleh membeli kereta. Maknanya, kos merawat penyakit kritikal pada hari ini sangat tinggi dan akan melonjak tinggi dalam masa 10 tahun ini.

Demi menyelamatkan simpanan atau pelaburan anda, pastikan pelan insurans / takaful boleh memberikan satu jaminan kewangan bagi mengurangkan beban kewangan anda sekiranya anda atau salah seorang ahli keluarga ditimpa penyakit kritikal.


4) Jaminan kewangan bagi pelaburan pendidikan anak – anak

Tujuan murni anda bakal tersekat sekiranya anda hilang upaya bekerja selamanya. Bermakna, anda sudah tidak mampu menabung untuk pelaburan pendidikan anak – anak anda. Pelan insurans / takaful pada hari ini menyediakan satu jaminan kewangan dan pelaburan, sekiranya pencari nafkah meninggal dunia atau hilang upaya bekerja atau mendapat penyakit kritikal.

Jadi, pastikan pelan yang anda pilih dapat menjamin perkara ini.


5) Jaminan kewangan untuk pelaburan hari tua

Kadang – kadang, panas disangka sampai ke petang, tapi hujan pula di tengahari. Pelaburan yang anda simpan mungkin akan tersekat jika anda hilang upaya bekerja. Kalau boleh, ambil basic coverage yang tinggi, supaya sebahagian kecil dana tersebut dapat digunakan bagi tujuan pelaburan hari tua.

Sekiranya basic coverage tinggi, dan dana ini dapat menggantikan gaji anda secara bulanan, keluarga boleh bertenang sedikit kerana jaminan kewangan bagi kehidupan masa hadapan mereka sudah tersedia. Dengan ini, perancangan hari tua dapat dirancang semula dengan lebih efektif.


6 ) Pelaburan

Ramai orang membeli insurans / takaful, mahukan pelaburan dan jaminan kewangan semula selepas 20 tahun mencarum. Ya itu betul, tetapi pastikan perkara 1 hingga 5 di atas dipenuhi dahulu sebelum memikirkan soal pelaburan. Mungkin anda hanya mempunyai bajet RM 100, tapi anda juga mahukan pulangan pelaburan tinggi selepas beberapa tahun, rasanya langkah ini tidak berapa sesuai.

Nasihat saya, pastikan perkara 1 hingga 5 tadi dapat dipenuhi dan dijamin, barulah kalau anda ada duit lebih, bolehlah membuat pelaburan untuk pelbagai tujuan.

Ada juga agen insurans / takaful tanpa menyelidiki latar belakang kewangan anda, terus memberikan plan dengan basic coverage yang rendah ( walaupun pulangan tinggi ). Bagi saya langkah ini tidak berapa sesuai, kerana jika anda menerima pelan agen terbabit, maknanya anda hanya membeli produk. Produk yang mungkin jika anda guna, akan habis dalam masa yang cepat ataupun produk yang tidak memenuhi keperluan kewangan anda, walaupun produk tersebut bagus dalam pasaran.

Apa yang patut anda buat adalah, beli PENYELESAIAN / SOLUTION kepada masalah kewangan anda yang memenuhi keperluan kewangan keluarga sekiranya kecemasan berlaku.


Tempoh yang paling kritikal

Tempoh yang paling kritikal untuk anda membeli insurans / takaful ini adalah tempoh di mana anda berada di kemuncak kehidupan iaitu semasa anda banyak hutang, semasa anda menanggung isteri dan anak – anak yang masih kecil, masih menanggung orang tua, masih mempunyai pelbagai komitmen kewangan yang banyak. Tempoh inilah yang paling penting bagi diri anda untuk mempunyai satu pelan perlindungan insurans / takaful yang komprehensif.

Bila dah sampai usia tua, kurang sedikit komitmen kewangan dan keperluan insurans / takaful tersebut, di sini anda boleh tumpukan kepada insurans kesihatan dan lain – lain yang berkaitan.

Wassalam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...