Nuffnang advertisement

Sabtu, 21 Julai 2012

Berpuasa Ramadhan Cara Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam



Syukur Alhamdulillah, kita ditemukan Ramadhan sekali lagi. Apa kata Ramadhan tahun ini kita pertingkatkan ibadah puasa dari yang diamalkan sejak di bangku sekolah kepada amalan cara Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Sebagai nabi terakhir, Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam merupakan ‘uswatun hasanah’ (contoh tauladan) yang terbaik kepada umat manusia.

Semoga dengan mengetahui puasa cara Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ini, Insya Allah kita mampu menzahirkan dan mengisi Ramadhan kali ini dan tahun-tahun mendatang dengan perkara-perkara yang boleh menjadikan kita insan berjiwa takwa dan semakin hampir dengan yang Maha Pencipta.

Sama-sama kita menyelami beberapa tatacara dan adab puasa yang telah diamalkan oleh Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai tauladan dan iktibar untuk diikuti oleh kita semua.

1. Membetulkan Niat

Niat merupakan jiwa segala ibadah. Seharusnya kita memantapkan niat dengan tekad ingin melaksanakan ibadah puasa yang sebenar-benarnya sambil memohon kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala agar diterima amalan kita itu.

Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam memulakan puasa dengan berniat di sebelah malamnya. Berbeza dengan puasa sunat yang niatnya boleh diniatkan pada sebelah siang, puasa wajib di bulan Ramadhan ini niatnya mesti dilakukan pada malam hari sebelumnya.

“Sesiapa yang tidak menetapkan akan berpuasa sebelum fajar, maka tidak sah puasanya”.  (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

“Sesiapa yang tidak berniat puasa pada malam hari maka tiada puasa baginya.”  (Hadis Riwayat An-Nasa’I, Al-Baihaqi, Ibnu Hazm)

2. Beri’tikaf

Dari Ali ra. bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam biasa membangunkan keluarganya pada sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam juga apabila di sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan sentiasa melaksanakan i’tikaf.

Dari Aisyah; “Bahwasanya Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam biasa beri’tikaf pada sepuluh yang akhir dari bulan Ramadhan sampai Allah mengambil nyawanya”.

3. Melakukan Qiam Ramadhan (Ibadah Di Malam Hari)

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sentiasa mengisi malam-malamnya di sepanjang bulan Ramadhan dengan melaksanakan amal  ibadah seperti mendirikan solat Tarawih dan membaca al-Quran secara istiqamah.

Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda;  “Sesiapa yang beribadah malam di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas (berharap pahala dari Allah), maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagi makmum yang mengerjakan solat Tarawih disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya itu sehinggalah selesai samada sebanyak 20 rakaat mahupun 8 rakaat. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiyam semalaman” (Hadis Riwayat An-Nasaei).

4. Memperbanyak Membaca Al-Quran Dan Bertadarus

Sesiapa yang membaca satu huruf al-Quran, maka pahala untuknya 10 kali ganda. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:  “Orang-orang yang berkumpul di masjid dan membaca al-Quran, maka kepada mereka Allah akan menurunkan kelemahan batin dan limpahan rahmat.” (Hadis Riwayat Muslim).

Membaca yang dimaksudkan di atas adalah ketenangan dan limpahan rahmat. Ia akan lebih mudah dicapai bila tadarus diertikan dengan mempelajari, menelaah dan menikmati al-Quran.

Dari Ibnu Abbas, “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawanannya pada bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadhan, lalu tadarus Al-Qur’an (dengan beliau). Sungguh Rasulullah Saw ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih murah hati dalam kebaikan sehingga lebih banyak memberi (seperti) tiupan angin.” (Hadis Riwayat Bukhori dan Muslim)

5. Mengamalkan Makan Sahur

Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:  “Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah makan sahur.”  (Hadis Riwayat Muslim).

Dari Hadis Abu Sa’id: “Maka janganlah kamu tinggalkan sahur itu, dan seandainya seseorang diantara kamu meneguk (meminum) seteguk air, maka sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya mendoakan atau mengasihani orang-orang yang sahur itu.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam melarang meninggalkan makan sahur, kerana padanya terkandung keberkatan. Anas bin Malik r.a. berkata telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam:  “Sahurlah kamu sekelian, sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya.”  (Hadis Riwayat Muslim)

“Semua sahur adalah berkat, maka janganlah kamu meninggalkannya, walaupun di antara kamu hanya meneguk air. Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat atas orang-orang yang melakukan sahur.” (Hadis Riwayat Ahmad, dan al-Mundziri)

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang dimaksudkan dengan berkat itu ialah ganjaran pahala dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sahur akan menguatkan lagi semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang itu untuk melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.

Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Jadikanlah makan diwaktu sahur sebagai penolong melakukan puasa diwaktu siang. Dan istirahat di tengah hari sebagai penolong untuk melakukan solat malam kamu.”

6. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Melewatkan Imsak

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam menyuruh dilewatkan imsak (berhenti makan sahur) sehingga akhir malam, seafdal-afdalnya sebelum masuk waktu Subuh.

Apabila sedang makan atau minum sahur lalu mendengar azan Subuh, maka boleh diteruskan makan dengan kadar segera apa yang ada di dalam mulut atau di tangan, tidak perlu dihentikan di tengah sahur disebabkan sudah masuk waktu Subuh tersebut.

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Apabila salah seorang dari kamu mendengar azan subuh padahal bekas minuman masih di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga dia menyelesaikan meminumnya”. (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Keadaan yang digambarkan oleh hadis tersebut ialah kepada seseorang yang terlewat ketika bangun untuk makan sahur.

7. Menyegerakan Berbuka (Iftar) Walaupun Dengan Seteguk Air

Apabila sudah yakin masuknya waktu Maghrib, segerakanlah berbuka puasa.

Sahl bin Saad berkata sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda: Telah berfirman Allah Subhanahu Wa Ta’ala “Hamba-hamba-Ku yang lebih aku cintai ialah mereka yang segera berbuka puasa bila tiba masanya”. (Hadis Riwayat Tirmizi dan Abu Hurairah)

Sabda Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Ummatku sentiasa berada di dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur”. (Hadis Riwayat Ahmad, al-Bukhariy dan Muslim)

8. Berbuka (Iftar) Dahulu Sebelum Solat Maghrib

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam mengisi perut dengan sedikit makanan seperti kurma dan air saja, setelah itu baru Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam melaksanakan solat Maghrib. Tetapi apabila makan malam sudah dihidangkan, maka terus dimakan, jangan solat dahulu.

“Tiga perkara yang merupakan akhlak para nabi: menyegerakan berbuka, mengakhirkan sahur dan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri dalam solat.” (Hadis Riwayat Ath-Thabarani, hadist Mauquf)

9. Buka Puasa Dengan Kurma dan Air

Adalah sunah berbuka dengan kurma dengan bilangan ganjil: 1, 3 atau 5 biji. Jika tidak ada, apa saja makanan yang manis seperti kuih-muih dan buah-buahan.

“Adalah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam berbuka dengan kurma basah (ruthab), jika tidak ada ruthab maka berbuka dengan kurma kering (tamar), jika tidak ada tamar maka minum dengan seteguk air.”  (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Baihaqi, Hakim, Ibn Sunni, Nasai, Daruquthni dan lainnya)

10. Banyakkan Berdoa Ketika Puasa & Berdoa Ketika Berbuka

Berdoa ketika berbuka puasa merupakan salah satu waktu doa yang mustajab, seperti banyak disebut dalam banyak hadis.

Antaranya: “Tiga orang yang tidak akan ditolak doanyaorang yang puasa ketika berbukaImam yang adil dan doanya orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, Ibn Majah, dan Ibnu Hibban)

Doa yang pernah Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ajarkan ketika berbuka puasa. “Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat, dan telah ditetapkan pahala Insya Allah.”( Hadis Riwayat Abu Daud, Baihaqi, Hâkim, Ibn Sunni, Nasâ’i, Daruquthni dan lainnya)

11. Memberi Makan Orang Yang Puasa

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sering menggalakkan umat Islam menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa meskipun dengan hanya beberapa biji tamar atau segelas air.

Sabda Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam:  “Sesiapa yang menjamu orang yang puasa akan mendapatkan pahala seperti pahalanya orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, bn Mâjah, Ibn Hibban dan dishahih kan oleh Imam Tirmidzi)

12. Bersederhana Dalam Semua Perkara

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sering menggalakkan umat Islam bersederhana dalam semua perkara. Janganlah membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada keduanya bagi menyelami makna sebenar berlapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya juga berkurangan, hatinya ceria, itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai.

Sabda Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Takungan buruk yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantung perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya.”  (Hadis Riwayat Ahmad dan at-Tarmiziy)

13. Memperbanyakkan Sedekah

Lebihkan bersifat pemurah dan dermawan iaitu banyak memberi, bersedekah dan menolong. Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan. Bersedekah bukan hanya memberi wang, tetapi termasuklah mengajak orang lain berbuka puasa di rumah kita terutama kepada golongan fakir miskin.

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah peribadi yang dermawan apatah lagi pada waktu bulan Ramadhan kemurahan tangannya bagaikan hembusan angin sebagaimana yang diterangkan dalam hadis di bawah ini :

Dari Ibn Abbas ra. Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda; “Adalah manusia yang paling dermawan, dan sedermawan-dermawan baginda adalah pada bulan Ramadhan ketika Jibril menemui baginda. Jibril menemui baginda pada setiap malam dari bulan Ramadhan sehingga habisnya bulan Ramadhan itu. Tujuannya menemui nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ialah untuk menyampaikan al-Quran. Apabila Jibril bertemu dengan baginda maka keadannya lebih permurah dengan kebaikan daripada angin yang diutus.”

14. Menjaga Tutur Kata

Menjauhi percakapan dan perkataan keji, kotor dan lucah serta menjauhi menipu, mengumpat, berkata karut dan sia-sia.

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Apabila seorang dari kamu sekelian berpuasa, maka janganlah ia berkata kotor dan berteriak. Bila dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah – sesungguhnya aku ini sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam lagi:  “Sesiapa yang tidak meninggalkan menipu dan beramal dengannya, maka Allah Subhanahu Wa Ta’ala tidak menerima puasanya.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.)

Sebagaimana penjelasan baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, bahawa orang yang berpuasa dan menjaga tutur-katanya  itu pada hari kiamat kelak bau mulutnya akan lebih harum dari bau kasturi.

15. Memelihara Kesemua Anggota Badan

Selain daripada menjaga pancaindera seperti lidahnya dari mencarut, berdusta dan mengumpat, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam juga menyeru  kita memelihara mata dan telinga dari melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syara’.

Dengan berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan dari mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia, akan menjadikan ibadah puasa lebih ikhlas dan sempurna. Tidaklah membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, hanya memenatkan diri dengan berlapar dan merosakkan pahala puasa.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran dari puasanya melainkan lapar dan dahaga!” (Hadis Riwayat An-Nasaei)

16. Mandi Junub

Mengenai orang yang berpuasa tetapi berjunub pada awal pagi, Aisyah dan Ummu Salamah berkata, sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bertemu dengan waktu fajar dalam keadaan baginda berjunub. Baginda kemudian mandi dan berpuasa.

Dari Aisyah r.a. berkata, “Aku menyaksikan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bangun pagi-pagi untuk mandi kerana berjunub, bukan kerana mimpi, kemudian baginda berpuasa pada hari itu”.

17. Menghindari bercumbu-cumbuan

Orang yang berpuasa boleh menyentuh dan mencium isterinya selagi dia dapat mengawal nafsunya. Jika dirasakan ia boleh membawa kepada berlakunya persetubuhan atau terkeluarnya air mani, maka eloklah ia ditinggalkan.

Aisyah r.a. berkata, “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah mencium sebahagian daripada isteri-isterinya, padahal baginda berpuasa, akan tetapi bagindalah orang yang kuat menahan syahwatnya daripada kamu sekalian.” (Muttafaq ‘alaih)

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak menyukai ia dilakukan orang muda kecuali yang tua, Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya orang tua mampu menahan diri mereka sendiri.” (Hadis Riwayat Ahmad r.a.)

18. Memperlihatkan Akhlak Yang Mulia.

Orang yang berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk. Segala tingkahlaku mestilah memperlihatkan akhlak yang mulia dan mencerminkan budi yang luhur dengan menjauhi kelakuan tidak sopan seperti pertengkaran, mencampuri urusan orang lain, mengeji, mencerca, berdemontrasi dan sebagainya sehingga membawa kepada Allah tidak menerima amalan puasanya itu.

Dari Abu Hurairah ra. berkata: Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Allah yang Maha Mulia dan Maha Besar berfirman: “Semua amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa, sesungguhnya puasa adalah untuk-Ku dan Daku sendirilah yang akan membalasnya.” (Muttafaq ‘alaih)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Puasa itu adalah ‘perisai’, sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, berteriak-teriak, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakana kepada orang itu : “Sesungguhnya saya sedang berpuasa”.  (Hadis Riwayat Al-Bukhariy dan Muslim)

19. Memperbanyak Istighfar Pada Malam Terakhir Ramadhan

Lipat gandakanlah istighfar dan taubat pada malam-malam terakhir Ramadhan.

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Pada bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan pada seorang Nabi pun sebelumku. Pertama, bila datang setiap awal Ramadhan, Allah melihat mereka. Sesiapa dilihat Allah, maka selamanya tidak akan disentuh azab. Kedua, bau mulut mereka pada siang hari disisi Allah lebih harum dari aroma minyak kasturi. Ketiga, para malaikat memohonkan keampunan baginya setiap siang dan malam. Keempat, Allah menyuruh surga-Nya dengan firman-Nya : “Bersiap-siaplah dan hiasilah dirimu untuk hamba-hamba-Ku. Kamu telah hampir waktu beristirehat dari keletihan hidup di dunia dan kembali ke tempat-Ku dan rahmat-Ku.” Kelima, bila telah tiba akhir Ramadhan, Allah mengampuni dosa-dosa mereka semua.” (Hadis Riwayat Ahmad, Baihaqi dan Al-Bazzar)

20. Mempergiatkan Amalan Pada Malam 10 Terakhir Ramadhan

Berusaha beramal bagi meraih keistimewaan ‘Lailatul Qadar’ pada sepuluh malam terakhir, terutama pada malam-malam ganjil iaitu malam 21,23,25,27 atau 29. Bila dirasakan menepati lailatul qadar hendaklah lebih giat beribadah .

Dalam Surah al-Dukhan, ayat 2, Allah S.W.T telah berfirman: “Sesungguhnya Kami telah turunkan al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” dan firman-Nya lagi dalam Surah al-Qadr, ayat 1 hingga 3: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Quran) pada Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu?  Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan.”

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : “Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Dalam hadis lain, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : “Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredhaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau.” (Hadis Riwayat Muslim)

21. Membayar Zakat Fitrah

Zakat fitrah adalah ‘kenderaan’ menghantar ibadat puasa untuk diterima oleh Allah. Sekiranya seseorang itu tidak menunaikan zakat fitrah bagi dirinya dan orang dalam tanggungannya, sedangkan dia mampu melakukannya, maka pahala puasanya tidak diangkat.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Puasa Ramadan tergantung antara langit dan bumi (tidak diangkat) melainkan selepas mengeluarkan zakat fitrah.”

Berusahalah melunaskan zakat fitrah sebelum akhir Ramadhan bagi memudahkan pengagihan. Aisyah r.a. berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah memfardhukan zakat fitrah pada bulan Ramadhan atas manusia.” (Muttafaq ‘alaih)

Dari Ibnu Abbas berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam mewajibkan mengeluarkan zakat fitrah sebagai menyucikan bagi orang yang berpuasa daripada perbuatan yang tidak bermanfaat dan keji serta sebagai makanan bagi orang miskin. Barang siapa yang mengeluarkannya selepas solat Aidilfitri, maka itu adalah sedekah biasa.”  (Hadis Riwayat Daud, Ibnu Majah dan Al-Hakim)

Subhanallah! Sesungguhnya adab berpuasa yang sempurna oleh Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam patut kita teladani. Semoga ianya bermanfaat dalam menjalani segala ibadah sepanjang Ramadhan yang penuh hikmah ini. Diharap Ramadhan kali ini mampu kita laksanakan amalan sebaik mungkin dan mudah-mudahan puasa kita tahun ini mendapat keberkatan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan pengampunanNya… Amin.

Jumaat, 20 Julai 2012

Selamat Datang Bulan Ramadhan Al-Mubarak


Bismillah. "Ya Allah Ya Tuhan kami. Sampaikanlah kepada kami bulan Ramadhan."

Bulan Ramadhan menjelang tiba. Insya Allah, esok umat Islam akan mula menjalani ibadah puasa fardhu Ramadhan. Berikut adalah lafaz niat berpuasa di bulan Ramadhan harian, niat berpuasa sebulan Ramadhan, doa berbuka puasa dan doa selepas buka puasa untuk diamalkan bersama-sama.


NIAT PUASA RAMADHAN (HARIAN)

"Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala."



NIAT PUASA SEBULAN RAMADHAN

"Sahaja aku berpuasa keseluruhan bulan Ramadhan kerana Allah Ta'ala."



DOA BERBUKA PUASA

"Ya Allah! Kerana Engkau aku berpuasa dan kepada Engkau aku beriman dan dengan rezeki Engkau aku berbuka; dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang."



DOA SELEPAS BERBUKA PUASA




"Ya Allah! Kerana Engkau aku berpuasa dan kepada Engkau aku beriman dan dengan rezeki Engkau aku berbuka; telah hilang dahaga sudah menjadi basah segala urat. Ya Allah! Aku minta diampuni dosaku dengan rahmat Engkau yang meliputi segala sesuatu."





Semoga kita sama-sama menjalani ibadah puasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ketakwaan serta diterima oleh Allah Ta'ala. Insya Allah.



Wassalam.

Jumaat, 13 Julai 2012

Sabar hadapi dugaan asas kebahagiaan hidup



Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad

Sumber: http://www.bharian.com.my


KATA pujangga, hidup tanpa kesusahan, penderitaan, dugaan dan cabaran bagaikan nasi tidak berkuah, susah senang adalah asin kerana itulah rencah kehidupan. Ia menepati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dunia ini adalah negara tempat bala dan ujian.”

Maknanya manusia di dunia ini tidak terkecuali daripada menghadapi ujian hidup baik untuk melihat sejauh mana tahap kesabaran serta keimanan mereka, juga pendekatan digunakan bagi mengatasi dugaan yang datang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Demi Allah yang jiwaku di tangannya! Tidak Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan ada kebaikan baginya dan tiada kebaikan itu kecuali bagi mukmin jika memperoleh kegembiraan, dia berterima kasih bererti kebaikan baginya. Jika ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya.”

Disuarakan oleh bijak pandai: “Adalah lebih baik menjadi orang beriman yang diuji, daripada menjadi orang kafir yang turut sama diuji. Bukankah lebih baik menjadi orang yang sabar ketika diuji daripada menjadi orang pemarah sedang diuji.”

Setiap ujian yang menimpa pasti terasa pahitnya atau sakit menekan perasaan kerana kebuntuan fikiran. Oleh itu, sabar adalah suatu perkara yang bukannya mudah untuk dilakukan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya kami akan beri percubaan kepada kamu, sehingga kami buktikan orang yang bersungguh-sungguh dari antara kamu dan orang yang sabar dan hingga kami nyatakan hal kamu.” (Surah Muhammad, ayat 31)

Tidak semua orang memiliki sabar, lantaran itu sikap sabar dianggap mahal dan tinggi nilainya malah ia termasuk sebagai sikap terpuji. Lantaran itu, Allah memerintahkan supaya berlaku sabar dalam firman yang bermaksud: “Hai orang beriman. Berlaku sabarlah. Sabarkan dan perteguhkan kekuatanmu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh kebahagiaan.” (Surah ali-Imran, ayat 200)

Berkata Junaid al-Baghdada katanya: “Bala adalah pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lalai. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar.”

Pada prinsipnya, sabar harus diterap dalam setiap aspek kehidupan sama ada kehidupan rumah tangga, tugas kepemimpinan, hidup selaku petani, nelayan, usahawan, guru, pengarang atau penyiar. Semua memerlukan kesabaran, justeru setiap medan pekerjaan dan perjuangan ada tentangan serta ujiannya.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Muslim yang bermaksud: Sangat mengagumkan keadaan seorang Muslim kerana segala keadaannya serba baik dan tiada mungkin terjadi demikian kecuali bagi orang mukmin, jika mendapat nikmat dia bersyukur. Itu adalah kebaikan baginya dan bila mendapat kesusahan dia bersabar, itu kebaikan baginya.”

Golongan yang sabar sedar mengenai kemanisan, kepahitan dan penderitaan akan berkurang bahkan hilang lenyap berganti kegembiraan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu apabila kesusahan menimpa, mereka berkata; sesungguhnya kami ini milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kami akan kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-156)

Kesabaran adalah kekayaan rohani yang besar, ia sebagai pangkal kebahagiaan. Dalam menghadapi kehidupan yang serba getir, semuanya perlu memiliki sifat sabar.

Wallahu A’alam.

Jumaat, 29 Jun 2012

Sedikit Sangat Orang Yang Bersyukur



Allah Subhanahu wa Ta’ala mengurniakan pelbagai nikmat kepada hamba-Nya. Kita sebagai manusia yang menjadi hamba-Nya hendaklah sentiasa mensyukuri atas segala nikmat yang Allah Ta’ala kurniakan kepada kita. Allah Ta’ala kurniakan nikmat yang tidak terkira pada kita. Nikmat Iman dan Islam, nikmat tidur dan celik, nikmat makan dan minum, nikmat buang air besar dan kecil, nikmat buang angin atau kentut, nikmat sihat dan sakit, nikmat pancaindera, nikmat udara; semuanya ini dikurniakan kepada kita. Apa akan jadi sekiranya Allah Ta’ala menarik balik nikmat-nikmat ini daripada kita. Tentu tidak keruan kita jadinya.

Contohnya mereka yang hilang nikmat makan dan minum iaitu orang yang menghidapi penyakit darah tinggi dan kencing manis. Ketika mereka sihat mereka boleh makan dan minum apa sahaja yang mereka mahu tetapi apabila mereka didapati menghidapi penyakit, nikmat makan dan minum mereka terpaksa dihadkan daripada makan dan minum yang sedap dan manis.

Jika kita perhatikan, zaman sekarang mana ada yang percuma. Semuanya mesti dibayar, malah sikit-sikit bil, sikit-sikit bil. Lambat bayar kena amaran, lama-lama kena tindakan. Tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala, Tuhan Yang Maha Kaya, boleh memberikan secara percuma tanpa bayaran seperti udara percuma, jantung percuma, mata dapat melihat tanpa bayaran, malah semuanya tidak kena bayar. Apabila dikenangkan kebaikan percuma, sepatutnya timbul rasa terima kasih dalam diri kita kepada pihak yang memberi itu iaitu Allah Subhanahu wa Ta’ala. Itulah namanya bersyukur.

Di zaman Khalifah Umar al-Khatab Radhiyallahu Anhu, satu ketika terdapat seorang pemuda sedang duduk beribadat dekat Ka’bah dengan terus menerus berdoa “Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam golongan orang yang sedikit”. Tatkala Amirul Mukminin mendengar permohonan pemuda itu, beliau pun bertanya, “Hai pemuda, kenapakah kamu memohon untuk dimasukkan ke dalam golongan yang sedikit? Bukankah kesemua orang berkehendak agar masuk ke dalam golongan yang terbanyak (majoriti) sebab pada umumnya golongan yang terbanyak itu mempunyai kedudukan yang lebih bermakna”. Pemuda itu menjawab, “Bukankah tuan pernah membaca di dalam al-Quran surah As-Saba’ ayat 13,
“Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tungkunya. (Setelah itu Kami perintahkan): "Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!" Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur”. Maka selepas itu fahamlah akan Saidina Umar maksud doa pemuda tadi. Rupanya, dia berdoa supaya menjadi golongan orang yang bersyukur.



Bersyukur itu sangat besar kedudukan dalam Islam. Oleh itu, marilah kita bersyukur. Bagaimana bentuk syukur patut kita lakukan? Terdapat lima bentuk syukur nikmat perlu kita hayati dan amalkan bersama.


1. Yakinlah segala nikmat itu datang daripada Allah.


2. Apabila kita mendapat pujian kerana sesuatu kelebihan, pulangkan kepada Pemberinya iaitu Allah. Kalau kita cerdik, ucaplah  “Alhamdulillah” (Segala puji bagi Allah) kerana yang memberi otak dan kecerdikan ialah Allah.


3. Terima kasih pada orang yang menjadikan penyebab nikmat. Bila cerdik kena syukur juga pada orang yang membantu kita cerdik seperti guru dan ibubapa kita.


4. Jadikan segala nikmat diperoleh sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah. Jika kita mendapat anak misalnya, cara bersyukur ialah didik anak betul-betul hingga menjadi orang soleh dan solehah.


5. Ceritakan nikmat anugerah Allah itu kepada orang lain. Memperlihatkan sebahagian nikmat adalah termasuk dalam erti kata syukur tanpa ada unsur riya'.


Wallahu A'alam.

Jumaat, 22 Jun 2012

AMALAN BULAN SYA'BAN: SUNNAH ATAU BID'AH




AMALAN BULAN SYA'BAN: SUNNAH ATAU BID'AH

Dato' Hj. Abd. Majid bin Omar
Timbalan Mufti Selangor
Jabatan Mufti Negeri Selangor

PENDAHULUAN

Kedatangan bulan Sya'ban amat dialu-alukan oleh umat Islam, kerana Sya'ban merupakan bulan yang mulia, bulan beribadah dan bulan untuk memperbaiki diri. Bulan Sya'ban itu terletak di tengah-tengah antara dua bulan yang mulia, iaitu bulan Rajab yang merupakan bulan Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam diisra' dan dimikrajkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, dan bulan Ramadhan merupakan bulan yang mewajibkan umat Islam berpuasa selama sebulan. Sya'ban juga satu daripada empat bulan yang dinyatakan Allah Subhanahu Wa Ta'ala  sebagai bulan yang dihormati seperti firmanNya dalam surah at-Taubah ayat 36: 


Maksudnya:
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus.” 

Menurut ahli tafsir, empat bulan yang dimaksudkan dalam kalimah ‘arbatun hurum’ ialah bulan Rajab, Sya'ban, Ramadhan dan Muharram. Imam at- Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiyallahu 'Anhu, apabila tiba bulan Rajab, baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam berdoa supaya diberkati bulan tersebut dan bulan Sya'ban serta Ramadhan berikutnya doa baginda: 

Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rajab dan Sya'ban, dan sampaikan (hayat) kami, kepada bulan Ramadhan.”

BID'AH

Terdapat segelintir pihak tertentu mempertikaikan amalan yang lazim dilakukan umat Islam di Malaysia pada bulan Sya'ban, contohnya seperti amalan puasa sunat Sya'ban, membaca surah Yasin 3 kali diselangi doa tertentu pada malam Nisfu Sya'ban, solat sunat malam Nisfu Sya'ban, kerana tiada nas dari al-Quran dan hadis menyuruh berbuat demikian.
  
Mereka berpendapat amalan seperti itu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ia adalah amalan yang diada-adakan atau direka-reka. Perbuatan mengada-adakan amalan yang tidak pernah dilakukan atau diperkatakan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam adalah bid'ah dholalah (sesat). Tiap bid'ah adalah sesat dan masuk neraka.

Pendapat mereka berdasarkan hadis dalam sahih Muslim yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiyallahu 'Anhu, Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda dalam khutbah baginda: 
"Tetaplah kamu dengan suruhan dan sunnah para khulafa' ar-Rasyidin serta berpegang teguhlah padanya. Berwaspadalah terhadap  perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid'ah dan setiap perkara bid'ah itu adalah sesat. Setiap yang sesat akan masuk neraka". 

Amalan yang didakwa bid'ah lagi seperti membaca Yasin pada malam Jumaat, sambutan Isra' Mikraj pada 27 Rajab, sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabiul Awwal, bacaan tahlil dan doa kerana kematian, wirid dan doa selepas solat lima waktu kerana amalan seperti itu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

SUNNAH

Sebahagian besar umat Islam di Malaysia yang menerima saranan dan pengajaran dari guru-guru dan orang tua mereka, memperbanyakkan amalan dalam bulan Sya'ban. Ia berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:

"Bulan Rajab adalah bulan Allah dan Allah telah melebihkan darjatnya dari segala bulan seperti halnya kelebihanku atas segala makhluknya, Sya'ban itu bulanKu dan Allah telah melebihkan atas segala bulan seperti kelebihanKu atas segala nabi-nabi, dan Ramadhan pula adalah bulan umatKu dan Allah melebihkan atas segala bulan seperti kelebihanKu atas segala umat ".

Hadis ini menjelaskan tentang kelebihan tiga bulan termasuk bulan Sya'ban. Oleh itu, masyarakat Islam di Malaysia memperbanyakkan amalan pada bulan ini dengan membuat berbagai aktiviti ibadah untuk mendekatkan diri  kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala seperti puasa sunat, solat sunat, membaca al-Quran, berdoa, bersedekah, bertahlil, berwirid dan sebagainya.

Mereka yang sudah sebati dengan amalan tersebut terus melakukannya kerana mereka melihat kepada pengisian ibadah  pada bulan atau hari tersebut tidak bertentangan dengan syariat Islam. Semua amalan diyakini baik bagi mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Antara contoh amalan yang dilakukan mereka yang dianggap sunnah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam seperti :

1. Puasa sunat 

Mengikut sunnah Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam membanyakkan puasa di bulan Sya'ban.

2. Membaca surah Yasin 

Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam menggalakkan umatnya membaca al-Quran. Setiap huruf diberi dengan ganjaran pahala berganda. Surah Yasin adalah satu daripada surah dalam al-Quran.

3. Berdoa

Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam mengatakan bahawa doa itu senjata orang mukmin. Allah Subhanahu Wa Ta'ala memerintahkan hambaNya berdoa nescaya Allah Subhanahu Wa Ta'ala memperkenankan doa mereka.

4. Mengadakan majlis kenduri

Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam menggalakkan bersedekah dan mengeratkan silaturrahim. Kenduri juga merupakan perhimpunan sanak keluarga. 

5. Bertahlil

Kerana berpendapat tahlil itu mengandungi bacaan dari ayat al-Quran, zikir ‘lailaha illallah’  berdoa dan bersitighfar mohon keampunan Allah Subhanahu Wa Ta'ala terhadap keluarga yang meninggal dunia agar dicucuri rahmat ke atas rohnya.

Tegasnya, amalan-amalan tersebut tiada larangan melakukannya pada bulan Sya'ban, tiada pula disunatkan kerana bulannya, hari atau malamnya, tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunnahan ibadah tersebut. Al- Hafiz bin Rejab Radhiyallahu 'Anhu menyebut di dalam kitabnya  Lataa'if al- Ma'aarif tentang isu ini - setelah membincangkan secara panjang lebar - Malam Nisfu Sya'ban asalnya diutamakan oleh golongan Tabi'in di kalangan penduduk Syam antaranya Khalid bin Mi'dan, Makhul, Luqman bin 'Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut.

Terdapat beberapa hadis Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam mengenai fadhilat dan kelebihan bulan Sya'ban. Antara hadis-hadis tersebut:

Usman bin Zaid menceritakan: “Saya telah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallamwahai Rasulullah, saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Sya'ban; lalu baginda menjawab, itulah bulan Sya'ban di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rajab dan bulan Ramadhan; ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Oleh itu saya (baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.” 
(Hadis riwayat Imam Ahmad dan an- Nasai)

Aisyah r.a. menceritakan, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda:
“Sesungguhnya Allah Ta'ala turun pada malam pertengahan (nisfu) Sya'ban ke langit dunia dan mengampunkan dosa-dosa orang yang lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu kambing Bani Kalb.”
(Hadis riwayat at- Tirmizi dan Ibnu Majah) 

Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: "Apabila tiba malam nisfu Sya'ban, maka pada malam tersebut berjagalah kamu dengan mendirikan solat, beribadah dan berpuasa pada siangnya". Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman,“Sesiapa yang meminta ampun maka Aku mengampunkannya”.

Oleh kerana bulan Sya'ban adalah bulan yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala di mana amal ibadah kita diangkat kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala maka sewajarnyalah sepanjang bulan itu diisikan dengan amal ibadah sunat dan taqwa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Di antara amal ibadah itu ialah bertaubat,  berselawat ke atas Nabi, berzikir, bertasbih dan sebagainya.

Pada malam Nisfu Sya'ban mereka membaca surah Yasin (3 kali), sama ada secara individu atau berjamaah diikuti dengan doa selepasnya.

1. Bacaan Yasin pertama, niatkan memohon dipanjangkan umur untuk mentaati segala perintah dan menjauhi larangan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

2. Bacaan Yasin kedua, niatkan mohon keluasan rezeki yang halal serta diberkati. 

3. Bacaan Yasin ketiga, niatkan memohon ditetapkan iman yang sempurna sehingga meninggal dunia kelak. 

Menurut sebuah hadis Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang diceritakan oleh Sayidatina Aisyah Radhiyallahu 'Anha bahawa pada malam Nisfu Sya'ban baginda mendirikan solat sehingga pagi. Baginda bersabda kepada Aisyah: "Malam ini adalah malam Nisfu (pertengahan) bulan Sya'ban".

KESIMPULAN 

Menghidupkan bulan Sya'ban termasuk Nisfu Sya'ban dengan ibadat seperti membaca al-Quran, bertaubat, beristighfar, berdoa, solat hajat dan sebagainya, adalah ibadah yang baik bagi mendekatkan diri kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Yang menjadi pertikaian pihak-pihak tertentu ialah pengkhususan bulan atau hari tersebut untuk satu-satu ibadah, bukan pada pengisian atau aktiviti amalan yang dilakukan. Mudah-mudahan kita semua bersatu dan meningkatkan amal ibadah kita, meningkatkan ketaqwaan dan melakukan amalan. Menurut Imam Syafie Radhiyallahu 'Anhu, jika sesuatu amalan yang membawa kebaikan dan tidak bertentangan dengan syariah, adalah bid'ah hasanah.

Wallahu a'alam.

Selasa, 19 Jun 2012

Peristiwa Agung Bulan Rejab - Israk dan Mikraj




Marilah kita sama-sama memperingati peristiwa penting yang berlaku di bulan Rejab ini iaitu peristiwa paling agung dalam sejarah Islam iaitu peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT,





Maksudnya : “ Maha Suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. ” (Surah Al-Isra’, ayat : 1)


Tanggal 27 Rejab setahun sebelum hijrah Rasulullah SAW ke Madinah Al-Munawwarah mencatatkan peristiwa penting dalam kerasulan baginda SAW iaitu perjalanan Israk Mikraj. Israk membawa pengertian perjalanan nabi Muhammad SAW pada malam hari dengan menunggang Burak bermula dari Masjid Al-Haram di Makkah Al-Mukarramah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.


Manakala Mikraj membawa maksud naiknya nabi Muhammad SAW ke langit dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.


Sepanjang perjalanan israk Rasulullah SAW ditemani oleh Malaikat Jibrail AS dan di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan itu ialah:


1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka, apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.


2. Tempat yang berbau harum.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).


3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).


4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.


5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.


6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.


7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tetapi ditambah lagi kayu yang lain.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.


8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.


9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.


10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (takabbur). Kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.


11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.


12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah SAW berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke hari tua.


13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah SAW untuk bertanyakan sesuatu.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.


Setibanya di Masjid Al-Aqsa, Rasulullah SAW turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan seluruh para nabi dan rasul untuk mengerjakan solat dua rakaat.


Selepas itu, Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Malaikat Jibrail AS dua gelas yang berisi arak dan susu. Baginda memilih susu lalu diminumnya. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


Dan sepanjang perjalanan mikraj Rasulullah SAW ditemani oleh Malaikat Jibrail AS dan di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan itu:


Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Baginda SAW naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).


1. Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.


2. Langit Kedua: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa AS dan Nabi Yahya AS.


3. Langit Ketiga: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit ketiga, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Yusuf AS.


4. Langit Keempat: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit keempat, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Idris AS.


5. Langit Kelima: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit kelima, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.


6. Langit Keenam: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit keenam, lalu masuk dan bertemu dengan para nabi. Seterusnya bertemu dengan Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.


7. Langit Ketujuh: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit ketujuh, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah AS yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur di hadapan beberapa kaumnya. Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah SWT pada malam ini. Umatmu adalah umat yang terakhir dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu ‘la haula wa la quwwata illa billah.’” Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: ‘suhanallah, walhahamdulillah, wa la ilah illa allah, wallahu akbar, wa la haula wa la quwwata illa billahil ‘aliyyil azim’. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS masuk ke dalam Baitul-Makmur dan mengerjakan solat (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).


8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" pada dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah.


Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penjaganya.


9. Tangga Kesembilan: Di sini pada pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk ke dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.


10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah SAW sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepala baginda, lantas sujud dan bermunajat kepada Allah SWT. Kemudian, Allah SWT memfardhukan solat 50 waktu kepada Rasulullah SAW dan umat Islam.


Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS dan kemudian menemui Nabi Musa AS lalu menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah SWT perkenan memfardhukan solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.


Setelah daripada itu, Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula dan seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq untuk pulang ke Makkah Al- Mukarramah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.


(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)


Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan setiap kali 27 Rejab menjelang tiba. Apa yang lebih penting adalah kita hendaklah mengimani dan menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara sebaliknya. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut akan kekuasaan-Nya.


Sekiranya kita dapat menghayati dan mengambil pengajaran daripada peristiwa penting ini serta beriman dengan sepenuh hati, kebarangkalian besar kita mampu mengelakkan diri kita daripada melakukan kemungkaran yang dilarang oleh Allah SWT dan berlumba-lumba untuk melakukan perkara-perkara kebaikan yang diperintah oleh Allah SWT. Peristiwa Israk dan Mikraj juga, untuk menguji umat Islam bahawa adakah percaya atau tidak akan peristiwa tersebut.


Orang kafir quraisy Makkah di zaman Nabi Muhammad SAW langsung tidak mempercayai peristiwa itu, malahan memperolok-olokkan baginda setelah bercerita kepada mereka dan ramai di kalangan umat Islam ketika itu murtad kerana tidak mempercayai peristiwa Israk dan Mikraj baginda SAW dalam tempoh masa yang singkat berlakunya dan tidak masuk akal. Tinggallah segelintir umat Islam yang keimanan mereka tinggi dan teguh yang membenarkan serta mempercayai peristiwa yang dialami oleh baginda SAW.


Pensyariatan kefardhuan solat lima waktu sehari semalam merupakan pensyariatan secara langsung daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW berbanding pensyariatan Islam yang lain dengan perantaraan Malaikat Jirail AS. Maka jagalah kewajipan solat fardhu lima waktu sebaik-baiknya dan tunaikanlah dengan khusyuk dan tawaduk semoga diterima oleh Allah SWT. Insya Allah.


Wallahu A’lam.

Jumaat, 11 Mei 2012

PERUBATAN SUNNAH


Di sini saya ingin kongsikan sedikit ilmu yang saya perolehi daripada kuliah pengajian agama waktu Zohor yang saya ikuti di Masjid Tabung Haji Kelana Jaya, Petaling Jaya baru-baru ini. Kuliah ini disampaikan oleh Dr. Iqbal Hisham, seorang pengamal perubatan Islam.

Dalam perubatan Sunnah, terdapat 5 kaedah yang perlu ada pada setiap muslim iaitu:-

1. IMAN

Setiap muslim perlu beriman dan percaya pada kuasa Allah SWT yang memberikan sakit dan menyembuhkannya. Perlu yakin dengan ubat yang Allah SWT kurniakan kepada hambanya seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran iaitu madu dan habatus sauda’. Dengan madu dan habatus sauda’ dapat mengubati semua penyakit kronik kecuali mati. Sesungguhnya mati itu pasti bagi semua makhluk yang hidup di dunia ini.

2. AMAL

Beramal dengan sunnah Nabi Muhammad SAW di samping mendapat pahala mengamalkannya dapat juga kebaikan dan kelebihan dengan mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW. Contohnya seperti:-
a. Bersugi menggunakan kayu miswak atau sugi fadhilatnya dapat menghindarkan daripada sakit gigi berlubang serta gigi tidak akan reput.
b. Menyimpan janggut bagi suami atau ketua keluarga fadhilatnya dapat mengubati keracunan makanan dengan menghisap hujung janggutnya.
c. Makan secara berjemaah bersama keluarga dengan bertalam dapat mengeratkan hubungan sesama keluarga serta mengelakkan daripada menghadapi masalah rumahtangga. 
d. Menunaikan solat fardhu secara berjemaah di masjid terutamanya solat fardhu Suboh. Barangsiapa menunaikan solat fardhu Suboh secara berjemaah maka Allah SWT akan selesaikan segala urusannya pada hari tersebut. 

3. RUKYAH

Beramal dengan ayat-ayat al-Quran pada setiap waktu memohon perlindungan Allah SWT. Contohnya seperti:-
a. Beramal dengan ayat Qursi tiga kali sebelum tidur Allah SWT akan menjaga dirinya, ahli keluarganya, harta bendanya dan seluruhnya kampungnya daripada bala bencana dan kejahatan makhluk di dunia.
b. Pada zaman Rasulullah SAW, terdapat seorang sahabat Rasulullah SAW yang dapat mengubati penyakit seorang sahabat lain yang sakit  dengan hanya membaca surah al-Fatihah sahaja kerana beliau yakin dengan surah al-Fatihah yang dibacanya itu.
c. Berzikir "Laisalaha mindunillahi kaasyifah" ketika memasak supaya makanan yang dimasak mendapat keberkatan.

4. MAKANAN-MAKANAN ALAMI

Makanan-makanan sunnah seperti yang dinyatakan dalam al-Quran seperti madu, habatus sauda’, cuka buah, minyak zaitun, kurma dan lain-lain adalah makanan yang mempunyai banyak khasiat dan fadhilatnya. Contohnya seperti madu dan habatus sauda’ dapat mengubati penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan penyakit kronik yang lain. Digalakkan mencampurkan cuka buah ke dalam makanan kerana ia bertindak sebagai penstabil pada makanan tersebut.

5. BEKAM

Berbekam adalah amalan sunnah Rasulullah SAW yang diamalkan baginda bagi menjaga kesihatannya. Bekam juga telah dianjurkan oleh malaikat Jibril ketika peristiwa Israk dan Mikraj dimana malaikat Jibril berpesan beberapa kali kepada nabi Muhammad SAW supaya menyuruh umatnya berbekam.

KESIMPULAN

Demikianlah beberapa amalan sunnah Rasulullah SAW yang mempunyai banyak kelebihan dan fadhilat dalam perubatan Islam. Yakinlah bahawa setiap amalan sunnah memberikan fadhilat bukan sahaja di dunia malahan memberikan syafaat pada hari akhirat kelak. Insya Allah.

Wallahua’lam.
 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...