Zulhijjah & Idil Adha :
Beberapa Isu & Hukum
Oleh
Uztaz Zaharuddin Abd
Rahman
www.zaharuddin.net
Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah
merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan
keredhaan, keampunan dan pahala amalan.
Disebutkan oleh Nabi SAW : "Sebaik-baik hari
di dunia adalah sepuluh hari itu." (Riwayat al-Bazzar ; Albani :
Sohih).
Allah SWT pula berfirman :
Ertinya: “Dan malam
yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah.” (Surah Al-Fajr: 2)
Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada
hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan.
(Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).
Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain:
"Tiada hari-hari
yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari
sepuluh hari ini." (Riwayat Al-Bukhari).
AMALAN-AMALAN UTAMA 10 HARI AWAL ZULHIJJAH
Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh
awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-
a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan
zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar. Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui
sohih oleh Imam Al-Munziri.
Allah SWT juga berfirman:
Maksudnya: “Supaya
mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka
serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu,
kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk
dijadikan qurban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging)
binatang-binatang qurban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir
miskin." (Surah Al-Haj: 28).
Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah
sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.
b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada
satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari
Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.
Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :
"Tiada hari yang
lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat
Muslim).
Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada
hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.
c) Melakukan lain-lain amalan seperti
bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk
di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.
d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk
memulakan taubat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat
biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang
amat agung di sisi Allah SWT ini.
Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarilah
bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya
semata-mata.
e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa Saidina `Ali k.w menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus
selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga
Tashriq.
f) Berqurban : Allah SWT berfirman :
Ertinya : “Oleh itu,
kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah qurban
(sebagai bersyukur).” (Surah Al-Kawthar: 2)
Allah SWT juga berfirman :
Ertinya : “Demikianlah
(ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dia
lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari
sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.” (Surah Al-Haj: 32)
Sebuah hadis menyebut yang bermaksud:
"Tiadalah amalan anak Adam yang lebih
disukai oleh Allah SWT pada hari qurban kecuali berqurban ( dengan menyembelih
binatang)." ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat
rawi yang dipertikaikan )
POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN
Hukum berqurban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.[1]
Bagi menggandakan pahala qurban, seseorang yang sudah
berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut
dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, yang bermaksud:
"Barangsiapa yang ingin menyembelih (berqurban), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa
rambut atau kukunya SEHINGGALAH sampai qurban dilaksanakan" (
Muslim, 3/39 )
Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan
sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.
Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram
kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan
dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan qurban, dan Aisyah r.a
menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk
menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih
riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia
boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.
TIDAK DIBENARKAN
juga berqurban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang
telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat qurban. Tatkala itu, ia
dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya qurban yang disyariatkan di Hari Raya Aidiladha.
Pahala qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah
harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu
Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain. [2]
Adalah diingatkan jua agar meniatkan qurban itu adalah
kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan
bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.
Firman Allah :
Ertinya : “Daging dan
darah binatang qurban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada
Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan
taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu
supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan
sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada
orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.” (Surah Al-Haj: 37)
KONGSI LEMBU
Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor
lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan
hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]
Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika
berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.
Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW
kepada Fatimah yang ingin berqurban yang bermaksud: "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari
titisan darah sembelihanmu yang pertama."
BINATANG TERBAIK UNTUK QURBAN
Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau,
kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu,
kerbau.
Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya
maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.
PEMBAHAGIAN DAGING
Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan
SEPERTI BERIKUT :
1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,
1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan
saudara mara dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.
Ia berdasarkan firman Allah SWT :
Ertinya : “Supaya
mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka
serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu,
kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk
dijadikan qurban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging)
binatang-binatang qurban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir
miskin." (Surah Al-Haj: 28).
Dan juga firman Allah :
Ertinya: “Dan Kami
jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari
syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan
bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia
berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya),
makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada
orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia
untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. "
(Surah Al-Haj: 36)
Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn
Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak
mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKANNYA. [4]
Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah
dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal),
bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau
diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.
TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.
Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan
tulang hasil qurban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]
DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging qurban walaupun
melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh
Muslim.
MEMBERI DAGING QURBAN KEPADA ORANG KAFIR
Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab
mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi
mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]
Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih
utama dalam hal ini.
BERQURBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG
Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berqurban
sekali setahun demi tawaran pahalanya?.
Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian
Islam berkenaannya. Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan
hutang atau melakukan ibadah qurban kita perlu melihat kepada jenis hutang,
tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.
Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang
pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki
wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan
hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang
dijanjikan.
Jika tempoh
langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh
menampung semuanya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu barulah ibadah qurban
menjadi utama untuk dilaksanakan.
Ia amat jelas kerana ibadah qurban hanya sunat muakkad
sahaja menurut majoriti mazhab manakala langsai hutang dalam tempohnya adalah
wajib.
Jika disebabkan oleh ingin berqurban sehingga menyebabkan
rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau
hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak
wajar sama sekali untuk berqurban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang
berbanding berqurban. Demikian pandangan ringkas saya.
QURBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT
Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan
ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan bajet tertentu untuk membeli dua
puluh ekor lembu dan berqurban atas nama syarikat?
Jawab ringkas saya: "Tidak boleh !"
Ibadah qurban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu
tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan
manusia. Justeru, jika sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI
menghadiahkannya kepada mana-mana pengarah atau kakitangannya.
Ketika itu qurban barulah sah dan ia menjadi qurban oleh
individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak
syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan
bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN
sembelihan atau qurban, pahala qurban akan hanya diperolehi oleh individu dan
pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat
pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.
Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia
mestilah meletakkan secara spesifik 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga
pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.
APAKAH HAJI AKBAR ?
Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah
sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan
Albani).
Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah
itu Haji Akbar, beliau menjawab:
"Ia adalah hari
sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)
Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka
mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah [7].
Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang
menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuhnya pada hari
Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut
oleh Imam al-Ghazali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di
Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin
dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan
katanya "tiada asalnya".
Kesimpulannya : Terdapat para sahabat mengatakan
Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat, manakala Saidina
Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 Zulhijjah dan setengah
yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari Wuquf di Mina (hari Tasriq).
Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh Hari
Raya ‘Idil adha ini hendaklah menurut ijtihad pemerintah kerajaan Arab Saudi
bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia (kecuali jika benar-benar sesebuah
negara itu mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah
dengan menuruti Negara Arab Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku
sebagaimana mencari Lailatul Qadar dan Hari Raya Idilfitri akan berterusan.
Wallahu 'alam.
[1] Al-Mughni,
Ibn Qudamah, 5/ 197
[2] Al-Majmu,
8/425 ; Al-Mughni, 9/436
[3] Al-Majmu,
An-Nawawi, 8/313
[4] Al-Mughni,
Ibn Qudamah, 5/200
[5] Bidayatul
Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh al-Hadithiyah) ;
Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225
[6] Al-Mughni,
Ibn Qudamah, 5/201
[7] Ahkam
al-Quran, Al-Jassas
Tiada ulasan:
Catat Ulasan