Nuffnang advertisement

Jumaat, 22 Oktober 2010

Di Mana Anda 40 Tahun Akan Datang?


Rajah di atas merupakan hasil satu kajian yang dilakukan pada 100 orang yang berusia 25 tahun mengenai kedudukan mereka  pada 40 tahun akan datang. Hasil kajian adalah seperti berikut:

1 Orang – Hanya seorang sahaja akan berada dalam kedudukan kaya raya. Kaya di sini bermaksud wang yang diperolehi cukup untuk diri sendiri, cukup untuk menyara tanggungan dan mampu berkongsi wang tersebut dengan orang lain.

4 Orang – Hanya 4 orang sahaja yang mempunyai kebebasan kewangan iaitu wang yang diperolehi cukup untuk diri sendiri dan cukup untuk menyara tanggungan (keluarga) dan tidak mampu berkongsi dengan orang lain.

5 0rang – Seramai 5 orang daripada 100 orang tersebut masih bekerja untuk menyara diri sendiri dan keluarga.

12 orang – 12 orang diistihar bankrap dan disenarai hitamkan oleh bank.

29 orang – 29 orang meninggal dunia.

49 orang – Hampir 50% daripada peserta survey masih bergantung harap pada belas ihsan anak-anak dan juga ada yang berada di rumah kebajikan atau rumah orang-orang tua.

Kesimpulan: 95% daripada perserta survey yang masih hidup masih perlu bekerja, bergantung pada anak-anak, sanak saudara dan sumbangan dari orang lain untuk meneruskan kehidupan seharian.

Jadi kategori mana anda akan berada dalam masa 40 tahun akan datang?

Khamis, 21 Oktober 2010

SUATU PERJALANAN


Persefahaman antara suami dan isteri bukan boleh dicapai sehari dua. Ia merupakan satu perjalanan sepanjang usia perkahwinan. Cabaran dan dugaan pastinya tidak sama, di awal, pertengahan dan di hujungnya. Justeru, sikap saling memberi dan menerima sangat perlu dipupuk dan dibaja. Memberi kelebihan diri untuk saling melengkapi. Menerima kekurangan untuk saling menginsafi, suami mahu pun isteri bukanlah manusia sempurna.


SILAP ISTERI

Kesilapan isteri bermula apabila melupakan kebaikan suami kerana benci dengan sikapnya yang tidak menyenangkan hati. Silap menjadi dosa andai keistimewaan suami orang yang sering dibicara. Keburukan suami dijaja, atas alasan minta nasihat rumahtangga. Tapi apa maknanya kalau semua orang bercerita. Rasulullah SAW pernah mengingatkan melalui sabdanya yang bermaksud :

"Wahai kaum wanita, aku lihat kamu ini lebih banyak di neraka".
Seorang wanita lalu bangun bertanya, "Apakah yang menyebabkan yang demikian? Adakah sebab kami ini kufur?"

Rasulullah SAW menjawab, "Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada dua tabiat kamu yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu ke dalam neraka:

1. Kamu banyak mengutuk atau menyumpah
2. Kamu kufurkan kebaikan suami."


Ada kalanya, isteri merajuk tanpa sepatah kata. Suami yang tak tahu menahu, terus buat biasa. Muka isteri semakin kelat, hilang serinya. Menahan ego diri, ingin dipujuk dengan kata cinta, namun tidak berbicara dan bersemuka. Suami tertanya-tanya sendiri, akhirnya terasa hati. Salah siapa agaknya, bila masing-masing memendam rasa. Kasih mula bertukar marah. Marah marak menyala benci.


YANG LEBIH, YANG KURANG

" Awak beruntung ye Ina, dapat suami yang memahami. Tak seperti saya. Hari-hari menjeruk rasa, " luah seorang teman yang baru beroleh cahaya mata.

" Suami saya juga ada kurangnya. Tapi kelebihannya lebih banyak untuk saya perkatakan. Saya pun isteri yang ada salah dan silap, " jawab Ina supaya temannya buka mata.

" Ada suami yang tak pandai urusan rumah tangga, namun dia bijak berjenaka, meriah suasana. Ada suami yang jarang menghadiahkan bunga, tapi selalu membelanja anak dan isteri dengan makanan istimewa. Dan ramai juga suami yang tidak reti memujuk, bermain kata. Tapi mudah bertoleransi bila diminta bantu sini dan sana. Ketepikan kekurangannya dan ambil kelebihan. Pasti awak juga akan rasa bertuah beroleh suami seperti dia." pujuk Ina lagi. Moga-moga temannya berubah hati. Kembali ' memandang tinggi ' kehadiran seorang suami.


ENGKAU TERBAIK UNTUKKU

" Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri, buang yang keruh, ambil yang jernih. Baru teguh peribadi."

Wahai teman bergelar isteri, mari kita muhasabah diri. Pohon keampunan dari Ilahi agar cinta Nya bersemi kembali. Banyakkan istighfar dan juga sedekah, kerana janji Allah setiap kebaikan menghapus kejahatan.

Susunkan jemari pintalah kemaafan dari lelaki bernama suami. Jangan bertangguh dan jangan lengah. Bimbang maaf tiada serinya lagi.

Pandang wajahnya, lihat matanya. Bisikkan di sanubari, " Terima kasih, suamiku. Engkau terbaik untuk diri ini. "


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


UNTUK MU WAHAI ISTERI

Segala pujian bagi Allah telah memberikan anugerah iaitu seorang isteri. Yang memberikan perasaan tenteram dan nyaman di dalam hati.

Isteri - panggilan ini untuk dirimu wahai isteri. Bermulanya dari ikatan sah yang menghancur lumat keinginan syaitan iblis yang ingin membawa engkau dan dia ke kancah penzinaan yang dimurkai Allah.

Isteri - dialah yang membantu dalam urusan rumahtangga. Yang mengemas rumah, membasuh pakaian. Bukankah dia tempat engkau meluahkan perasaan apabila runsing. Bila engkau dalam keadaan ammarah - dia mendiamkan diri menelan bulat apa yang ditegur. Dan apabila suasana kembali aman, dia tetap tersenyum dan berkata dengan baik denganmu.

Isteri - dia mengingatkan pabila engkau terlupa. Sesekali engkau bosan mendengar bebelannya, tetapi itu untuk kebaikanmu jua. Sebab tidak semua perkara engkau akan ingat segalanya.

Isteri - dia wasilah yang menyambung zuriatmu. Membawa dalam rahimnya seorang anak dengan penuh sabar dan tabah walaupun payah. Bertarung dengan nyawa untuk melahirkan penyejuk mata, lalu engkau menyambutnya sebagai seorang ayah.

Isteri - dia tetap juga meneruskan tugasnya sebagai seorang isteri setiap hari. Air tangannya yang ikhlas, menjamukan lauk pauk dan duduk bersama-sama untuk si suami.

Isteri - bukankah dia yang selalu risau tentang dirimu? Pasti ditanya khabar di mana engkau berada. Lalu apabila khabarnya dibalas dengan jawapan yang menyenangkan hati. Dia tersenyum lega.

Isteri - sabarlah menerima teman yang menjadi suamimu yang tidak lepas dari kekhilafan. Yang berusaha menjadi suami yang baik untukmu.

Terima kasih wahai yang bernama isteri. Moga syurgalah tempat tinggalmu nanti.

Suamimu...

Wassalam.

Rabu, 20 Oktober 2010

Fakta Tentang Kehidupan dan Bila Kita Sakit...Renung-renungkanlah


Jika menghidap penyakit dan dimasukkan ke hospital, kita sentiasa mengharapkan :

1 – Nasihat perubatan oleh pakar perubatan yang terbaik
2 - Perkhidmatan, penjagaan dan layanan mesra yang pantas dan cekap
3 – Kaedah perubatan dan rawatan diberikan adalah yang terbaik

Walaubagaimanapun, jika kita memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital yang boleh memberikan apa yang kita harapkan adakah kita bersedia untuk membayar untuk perkhidmatan tersebut?

Antara alternatif untuk kemudahan pembayaran bil hospital sekiranya anda tidak mempunyai kad perubatan hospital :

1 – Kredit kad – jika anda mempunyai had kredit yang mencukupi tentunya tiada masalah bagi anda. Bayaran minimum 5% sebulan mungkin mampu menyelesaikan bayaran bil perubatan.

2 – Akaun simpanan – jika anda membuat simpanan RM100 sebulan dalam masa 1 tahun, simpanan mungkin mencecah RM1200.

3 – Keluarga atau sahabat – jika keluarga atau sahabat anda mempunyai wang lebihan, mungkin anda boleh bawa berbincang untuk meminjam sedikit bagi menampung keperluan pembayaran bil hospital anda.

4 – Open ward atau 4 bed di hospital swasta masih lagi dicaj di bawah RM100 sehari - Mungkin hospital kerajaan juga kini mampu menyediakan perubatan yang terbaik seperti HKL, HP, HBPP, HUKM, HUSM dan lain-lain lagi boleh menjadi pilihan anda.

Bagaimanapun, sekiranya anda mempunyai lebihan wang yang boleh digunakan apakata cuba pertimbangkan untuk dapatkan kad perubatan dari pengendali Takaful.

Secara konsepnya, sebelum berlakunya sakit kita cuba selesaikan bil hospital dengan cara ansuran terlebih dahulu. Ini bermakna secara logiknya kita sekarang sudah bersiap sedia menghadapi daripada menanggung kos mengejut. Tambahan bagi mereka yang bekerja, bolehlah pula mendapat pelepasan cukai sehingga RM3000 setahun yang disediakan oleh kerajaan.

Hakikat kehidupan ini :

1 – Kemalangan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja
2 – Kita akan berhadapan dengan berbagai masalah jika kita menghidapi penyakit
3 – Rawatan perubatan bukanlah sesuatu yang boleh ditangguh
4 – Sentiasa berdoa agar kita semua sihat sentiasa hendak-Nya.

Wassalam.

Selasa, 19 Oktober 2010

Kepentingan WASIAT kepada Waris


Pengurusan wasiat dan harta pusaka adalah salah satu daripada disiplin dalam perancangan kewangan yang sering diabaikan oleh kebanyakan orang. Ini boleh dibuktikan dengan kenyataan bahawa hanya 5% umat Islam di Malaysia yang mempunyai wasiat.

Selebihnya 95% lagi tidak mempunyai wasiat yang menyebabkan sejumlah RM40 BILLION harta dan RM1.5 BILLION wang tunai masih belum dapat diselesaikan dan diserahkan kepada waris yang berhak menerima. Ini adalah satu jumlah yang amat besar dan sekiranya dapat dilangsaikan, ia akan dapat menyelesaikan masalah kemiskinan yang membelenggu umat Islam di negara kita.

5 perkara perlu diselesaikan oleh waris apabila pewaris meninggal dunia:

1) Bayaran zakat
2) Mengerjakan haji kalau belum laksanakan
3) Memberikan hak isteri bagi harta sepencarian
4) Pelaksanaan pembahagian harta mengikut wasiat iaitu 1/3 daripada harta
5) Harta-harta pewaris selebihnya harus dibahagikan mengikut hukum faraid


Antara agensi yang menguruskan pentadbiran harta pusaka dan wasiat di Malaysia adalah:

1) Amanah Raya Berhad

Jabatan Perhubungan Pelanggan
Tingkat Bawah, Wisma AmanahRaya-Annex,
No. 2, Jalan Ampang,
50508 Kuala Lumpur.

Talian CARELine : 03-2072 9999

Talian Am : 03-2055 7388

Email : crmd@arb.com.my

Laman web : http://www.amanahraya.com.my/


2) as-Salihin Trustee Berhad (670367-D)

101 & 201, Block A
Glomac Business Centre, No. 10,
Jalan SS6/1, Kelana Jaya
47301 Petaling Jaya, Selangor
Malaysia

No Tel:(+603) - 7880 9595
No Fax:(+603) - 7880 8190
Email:general@as-salihin.com



Marilah sama-sama kita melaksanakan tanggungjawab sebagai umat Islam dengan membuat wasiat agar segala harta dan wang tunai yang ditinggalkan dapat diagihkan kepada waris dengan selamat.

Wassalam.

Jumaat, 15 Oktober 2010

Petua Persediaan Untuk Persaraan


Tip Kewangan:
Zaman ini, MENYIMPAN sahaja duit sudah TIDAK CUKUP kerana akibat inflasi, wang kita ada hari ni, 10-20 tahun akan datang nilainya akan berkurang. Kita perlu memaksa diri kita belajar MELABUR! Oleh itu, untuk bebas kewangan 10-20 tahun akan datang, anda perlu fikir dan tahu untuk laburkan wang hari ini supaya tidak ditelan nilainya dengan inflasi masa akan datang!

Khamis, 14 Oktober 2010

Duit Tak Pernah Cukup?


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Kali ini saya ingin berkongsi sedikit sebab kenapa kebanyakan masyarakat kita kekurangan wang. Belum pun masuk minggu ke-3, kadang-kadang duit dalam akaun sudahpun kering.

Saya ambil contoh satu keluarga kecil, dengan jumlah gaji adalah RM2000 dan seorang bayi, dan masih menyewa. Katakanlah jumlah perbelanjaannya sebulan adalah:

1. Rumah sewa: RM500
2. Ansuran kereta: RM400
3. Belanja kereta (minyak, penyelenggaraan dsb): RM200
4. Barang-barang dapur (ayam, ikan, sayur, susu, gula, kicap dan sebagainya): RM200
5. Keperluan bayi (lampin, susu dll): RM150
6. Bil-bil: RM100
7. Insurans: RM100
8. Simpanan: RM200
9. Lain-lain (tabung percutian, beli buku dan majalah, balik kampung, sumbangan kepada ibubapa/keluarga: RM150

Jumlah = 500+400+200+200+150+100+100+200+150 = RM2000


Soalan saya, kenapa kadang-kadang belumpun masuk minggu ke 3, duit-duit ini telahpun habis digunakan, sampaikan duit simpanan dan lain-lain pun dikorek keluarkan juga????

Jawapannya adalah KITA BERKERJA UNTUK ORANG LAIN........Kita bekerja siang dan malam, tetapi at the end of the day duit yang kita dapat itu kita bagi pada orang:

1. Kita bagi pada makcik kantin di pejabat sebagai sarapan pagi

2. Kita bagi pada stesen minyak ketika mengisi minyak kereta

3. Kita bagi pada pemilik pasaraya ketika membeli keperluan dapur dan bayi

4. Kita bagi pada pemilik hotel ketika bercuti sekali setahun

5. Kita bagi pada penjual pasar malam ketika membeli sayur dan ikan

6. Kita bagi pada tuan rumah sebagai bayaran sewa rumah

7. Kita bagi pada pemilik bil elektrik, air dan telefon sebagai bayaran perkhidmatan
dan sebagainya.......


Persoalannya.........Kenapa kita boleh bekerja siang dan malam tetapi at the end of the day kita bagi duit-duit kita tadi pada orang sedangkan sebenarnya kita juga boleh menciptakan sesuatu AGAR ORANG LAIN PULA YANG MEMBERIKAN DUIT-DUIT MEREKA KEPADA KITA?????

Contoh (berdasarkan contoh di atas):

1. Kenapa kita tidak cipta perniagaan makanan agar duit-duit orang lain pula yang dapat masuk kepada akaun kita?

2. Kenapa kita tidak ciptakan stesen minyak sendiri agar duit-duit pemilik kereta orang lain pula masuk ke kantung kita?

3. Kenapa kita tidak ciptakan pasaraya sendiri untuk menjual produk-produk kita agar orang lain pula memberikan duit mereka pada kita dengan membeli produk yang kita jual?

4. Kenapa kita tidak ciptakan/hasilkan hotel/homestay sendiri agar duit pelancong-pelancong lain pula yang kita dapat?

5. Kenapa kita tidak menjadi penjual pasar malam?

6. Kenapa kita tidak menjadi pemilik rumah?

7. Kenapa kita tidak memiliki perkhidmatan air, elektrik, telefon, menjadi penulis yang menghasilkan karya-karyanya agar orang juga memberikan kita wang-wang mereka?


Kesimpulannya......masyarakat kita selalu kekurangan wang kerana kita bekerja UNTUK orang lain. Kita kerja mencari duit, tetapi akhirnya duit-duit kita itu kita serahkan pada orang....Kenapa kita tak cipta SATU PERNIAGAAN (PRODUK/PERKHIDMATAN) bagi membolehkan orang lain pula memberikan duit-duit mereka itu kepada kita????

Sama-samalah kita fikirkan dan mulakanlah sekarang. Carilah apa kelebihan yang ada pada kita dan ciptakanlah sesuatu produk ataupun perkhidmatan yang mana dengan adanya produk dan perkhidmatan kita itu KEHIDUPAN MASYARAKAT INI MENJADI LEBIH MUDAH DAN SENANG......Insya-Allah akan ada orang yang akan membeli/menggunakannya dan sumber kewangan kita juga akan menjadi bertambah baik......

Wassalam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...