Nuffnang advertisement

Jumaat, 10 Ogos 2012

Ayat-ayat Doa dalam al-Quran (7) - Surah Al-A‘raaf




Surah Al A'raaf

Surah Al A'raaf (Tempat Tinggi) سورة الأعراف adalah surat ke-7 dalam Al Quran. Surah ini terdiri daripada 206 ayat dan termasuk pada golongan surah Makkiyyah. Surah ini diturunkan sebelum turunnya surah Al An'aam dan termasuk golongan surah Assab 'uththiwaal (tujuh surat yang panjang). Dinamakan Al A'raaf kerana perkataan Al A'raaf terdapat dalam ayat 46 yang mengemukakan tentang keadaan orang-orang yang berada di atas Al A'raaf iaitu: tempat yang tertinggi di batas syurga dan neraka.

Isi Kandungan Surah Al A'raaf

Keimanan:

Mentauhidkan Allah dalam berdoa dan beribadat; hanya Allah sendiri yang mengatur dan menjaga alam; menciptakan undang-undang dan hukum-hukum untuk mengatur kehidupan manusia di dunia dan di akhirat; Allah bersemayam di 'Arasy; bantahan terhadap kepalsuan syirik; ketauhidan adalah sesuai dengan fitrah manusia; Musa berbicara dengan Allah; tentang melihat Allah; perintah beribadat sambil merendahkan diri kepada Allah; Allah mempunyai al asmaaul husnaa.

Hukum-hukum:

Larangan mengikuti perbuatan dan adat istiadat yang buruk; kewajiban mengikuti Allah dan rasul; perintah berhias waktu akan solat; bantahan terhadap orang yang mengharamkan perhiasan yang dianugerahkan Allah; perintah memakan makanan yang halal lagi baik dan larangan memakan yang sebaliknya.

Kisah-kisah:

Kisah Nabi Adam ‘alaihis salam dengan iblis; kisah Nabi Nuh ‘alaihis salam dan kaumnya; kisah Nabi Shaleh ‘alaihis salam dengan kaumnya; kisah Nabi Syu'aib ‘alaihis salam dengan kaumnya; kisah Nabi Musa ‘alaihis salam dengan Fir'aun.

Dan lain-lain:

Al Quran diturunkan kepada Nabi yang penghabisan dan perintah mengikutinya; Nabi Muhammad
shallallahu ‘alaihi wasallam diutus untuk seluruh manusia; adab orang mukmin; adab mendengar pembacaan Al Quran dan berzikir; rasul bertanggungjawab menyampaikan seruan Allah; balasan terhadap orang-orang yang mengikuti dan mengingkari rasul; dakwah rasul-rasul yang pertama sekali ialah mentauhidkan Allah; tentang ashhaabul A'raaf yang berada antara syurga dan neraka; Allah pencipta makhluk; manusia adalah makhluk yang terbaik dijadikan Allah serta mempunyai kesediaan untuk baik dan untuk buruk; permusuhan syaitan terhadap Bani Adam; manusia khalifah Allah di muka bumi; kehancuran sesuatu kaum adalah kerana perbuatan mereka sendiri; tiap-tiap bangsa mempunyai masa kejayaan dan masa kehancuran; Allah mencuba manusia dengan kekayaan dan kemiskinan; istidraj azab Allah terhadap orang-orang yang mendustakan ayat-ayatNya.

Ayat-ayat Doa dalam Surah Al A'raaf

1. Memohon ampun dan rahmat Allah



Maksudnya: Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi". (Surah Al A'raaf  7: 23)

2. Doa pembuka dan pujian


Maksudnya: Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran". Dan mereka diseru: "Itulah syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan". (Surah Al A'raaf  7: 43)

3. Doa agar diselamatkan daripada golongan jahat dan ahli neraka:


Maksudnya: Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim". (Surah Al A'raaf  7: 47)

Menurut Ibn Abbas radhiyallahu ‘anhu orang-orang Ashabul A’raf mengetahui ahli neraka dan mengenali mereka. Lalu mereka merayu kepada Allah supaya terselamat daripada hukuman yang dikenakan kepada ahli neraka. (Tafsir al-Khazin, tafsir ayat 47, Surah Al-A’raaf)

4. Doa agar dihukumkan dengan keadilan dan kebenaran:



Maksudnya: "Sesungguhnya (bermakna) kami berdusta terhadap Allah, jika kami berpindah kepada agama kamu sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya. dan tidaklah harus kami berpindah kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya. Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu. kepada Allah jualah kami bertawakal. Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik hakim". (Surah Al A'raaf  7: 89)

5. Kesabaran dan kemusliman:


Maksudnya: "Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami". (Mereka berdoa): "Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)". (Surah Al A'raaf  7: 126)

6. Taubat Nabi Musa ‘alaihis salam:



Maksudnya: Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaKu (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu", setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) "TajalliNya" menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (Wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)”. (Surah Al A'raaf  7:143)

7. Memohon ampun dan pengasihan Allah untuk diri sendiri dan saudara (Doa Nabi Musa ‘alaihis salam bersama Nabi Harun ‘alaihis salam:



Maksudnya: Nabi Musa berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari segala yang lain mengasihani". (Surah Al A'raaf  7:151)

8. Doa Nabi Musa ‘alaihis salam, doa ketika melihat kelalaian manusia:



Maksudnya: Dan Nabi Musa memilih tujuh puluh orang lelaki dari kaumnya (untuk di bawa bersama ke Gunung Tursina) pada waktu yang telah Kami tentukan. Maka ketika mereka digegar oleh gempa, Nabi Musa merayu dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di antara kami? (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaanMu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa Yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun. (Surah Al A'raaf  7: 155)



Maksudnya: "Dan tetapkanlah untuk kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadamu". Allah berfirman: "AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami”. (Surah Al A'raaf  7: 156)

Wallahu A'alam.

Khamis, 9 Ogos 2012

Ayat-ayat Doa dalam al-Quran (6) - Surah Al-An‘aam




Surah Al An'aam


Surah Al An'aam - (Binatang Ternakan) سورة الأنعام - yang terdiri daripada 165 ayat, termasuk golongan surah Makkiyah, kerana hampir seluruh ayat-ayatnya diturunkan di Makkah sebelum hijrah. Dinamakan Al-An'aam kerana di dalamnya disebut kata An'aam dalam hubungan dengan adat-istiadat kaum musyrikin, yang menurut mereka binatang-binatang ternak itu dapat dipergunakan untuk mendekatkan diri kepada tuhan mereka. Juga dalam surah ini disebutkan hukum-hukum yang berkenaan dengan binatang ternak itu.

Isi Kandungan Surah Al-An’aam

Keimanan:

Bukti-bukti keesaan Allah serta kesempurnaan sifat-sifatNya; kebenaran kenabian Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam; penyaksian Allah atas kenabian Ibrahim, Ishaq, Ya'qub, Nuh, Daud, Sulaiman, Ayyub, Yusuf, Musa, Harun, Zakaria, Yahya, 'Isa, Ilayas, Alyasa', Yunus dan Luth; penegasan tentang adanya risalah dan wahyu serta hari pembalasan dan hari kebangkitan; kepalsuan kepercayaan orang-orang musyrik dan keingkaran mereka terhadap hari kiamat.

Hukum-hukum:

Larangan mengikuti adat istiadat yang dibuat-buat oleh kaum Jahiliyah; makanan yang halal dan yang haram; wasiat yang sepuluh dari Al Quran, tentang tauhid keadilan dan hukum-hukum; larangan mencaci maki berhala orang musyrik kerana mereka akan membalas dengan mencaci maki Allah.

Kisah-kisah: 

Kisah umat-umat yang menentang rasul-rasul; kisah pengalaman Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dan para nabi pada umumnya; cerita Nabi Ibrahim ‘alaihis salam membimbing kaumnya kepada tauhid.

Dan lain-lain: 

Sikap kepala batu kaum musyrikin, cara seorang nabi memimpin umatnya; bidang-bidang kerasulan dan tugas rasul-rasul; tentangan kaum musyrikin untuk melemahkan rasul; kepercayaan orang-orang musyrik terhadap jin, syaitan dan malaikat; beberapa prinsip keagamaan dan kemasyarakatan; nilai hidup duniawi.


Ayat-ayat Doa dalam Surah Al-An’am

1. Doa Iftitah:



Maksudnya: "Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyengutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)". (Surah Al-An’am 6: 79)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidzi, dan Ibn Majah, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sentiasa membaca ayat ini pada permulaan solat sebelum membaca al-Fatihah. (al-Durrul Manthur, tafsir ayat 79, Surah Al-An’am)

2. Doa Penyerahan Diri:


Maksudnya: Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah Al-An’am 6: 162)




Maksudnya: Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)". (Surah Al-An’am 6: 163)

Wallahu A'alam.

Isnin, 6 Ogos 2012

Menjejaki dan Beramal Di Malam Lailatul Qadar



Lailatul qadar ialah satu malam yang amat agung pada setiap Ramadan.  Pada malam itu juga diturunkan al-Quran keseluruhannya ke langit dunia sebelum diturunkan secara berperingkat kepada Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam sepertimana firman Allah Ta'ala dalam surah al-Qadr ayat 1 hingga 5 :



Mencari malam lailatul qadar adalah sunat kerana Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam menurut hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim menyatakan bahawa Baginda berusaha sedaya upaya pada 10 malam terakhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam lain.

Mengenai cerita dan riwayat yang dikatakan berlaku pada malam itu perlu kita selidiki mengenai sejauh mana ia bertepatan dengan al-Quran dan hadis Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Banyak pandangan beberapa sahabat dan ulama mengenainya antaranya ialah pandangan Imam Ghazali. Menurut beliau malam ini boleh diketahui melalui:

  • Jika awal Ramadan pada Ahad atau Rabu, maka lailatul qadar pada malam 29 Ramadan.
  • Jika awal Ramadan pada Isnin, lailatul qadar pada malam 21 Ramadan.
  • Jika awal Ramadan pada Selasa atau Jumaat maka lailatul qadar pada malam 27 Ramadan.
  • Jika awal Ramadan pada Khamis, lailatul qadar pada malam 25 Ramadan.
  • Jika awal Ramadan pada Sabtu, maka lailatul qadar pada 23 Ramadan.

Sebahagian ulama berpendapat, orang yang mendapat al-Qadar itu akan melihat beberapa tanda antaranya ialah :-

a.  Tanda malam al-Qadar ialah :
  • Malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas.
  • Alam terang benderang walaupun berada di tempat gelap.
  • Segala yang ada di bumi dan langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah.
  • Tiada kedengaran suara salakan anjing.
  • Mendengar salam malaikat dan tutur kata mereka.
  • Malaikat Jibril akan bersalam dengan orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.
b.  Tanda malam al-Qadar telah berlaku adalah:
  • Pada paginya terbit matahari dengan bentuk putih bersih bagai bulan penuh.
  • Sinar mentarinya tidak terasa terlalu panas walaupun cahaya cerah memancar.
  • Alam dan udara terasa begitu segar dan bersih.
  • Terasa seperti diperkenankan segala doanya. 

Seperti diriwayatkan oleh Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi, bahwa Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda: "Pada saat terjadinya Lailatul-Qadar itu, malam terasa jernih, terang, tenang, cuaca sejuk tidak terasa panas tidak juga dingin. Dan pada pagi harinya matahari terbit dengan jernih terang benderang tanpa tertutup sesuatu awan".

Bagaimanapun, lailatul qadar adalah rahsia yang hikmahnya supaya umat Islam terus mencari dengan menggandakan amal ibadah. Rasulullah bersabda “Telah datang kepada kamu Ramadan bulan membawa berkat, Allah menyelubungi kamu, lalu ia menurunkan rahmat serta menghapuskan kesalahan-kesalahan. Allah Subhanahu Wa Ta'ala memperkenankan doa pada bulan itu. Allah juga melihat perlumbaan antara kamu pada Ramadan dan menyampaikan kebanggaan-Nya terhadap kamu kepada malaikat. Oleh itu hendaklah kamu membuktikan kebaikan kamu kepada-Nya. Sesungguhnya orang yang celaka itu ialah orang yang dijauhkan atau diharamkan oleh Allah daripada mendapat rahmat-Nya.” (Hadis Riwayat Tabarani)

Amalan Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam Di Malam Lailatul Qadar

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam menganjurkan umatnya agar mencari dan menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredhaan Ilahi (ketakwaan), maka akan dihapuskan semua dosanya yang telah lalu." (Hadis riwayat Abu Hurairah, Bukhari dan Muslim).

Antara amalan yang dilakukan Rasululah Shallallahu 'Alaihi Wasallam dan para sahabat pada 10 malam terakhir Ramadhan ialah :-

  • Mandi, berpakaian cantik dan berwangi-wangian.
  • Beriktikaf iaitu mendampingi masjid untuk mentaati Allah.
  • Mengejutkan keluarga agar bangun beribadah.
  • Uzlah (tidak mendekati) isteri.
  • Memperbanyakkan amal ibadat dan berqiamulail di masjid atau surau.
  • Menghadiri majlis ilmu, mengulangkaji hadith, tafsir dan sirah nabi.
  • Memperbanyakkan bertasbih, tahmid, takbir, istighfar dan bersalawat.
  • Membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah.
  • Bersolat Tarawih, Witir, Tahajud, Taubat dan solat Hajat.
  • Bertaubat daripada segala kesalahan dan dosa selama ini.
  • Berdoa ke hadrat Ilahi. Baginda  Shallallahu 'Alaihi Wasallam sering membaca doa: 

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka.”
  • Berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu. 

Daripada Amru bin ‘Ash, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Sesiapa yang solat pada malam Ramadhan dan membaca 10 ayat daripada Al-Quran, maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai." Hadis Riwayat Abu Daud.

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam tidak pernah sekalipun meninggalkan iktikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Isteri-isteri baginda juga turut beriktikaf bersama-samanya ketika baginda hidup dan selepas baginda wafat.

Amalan Qiamulail Malam Lailatul Qadar

Di antara amalan-amalan yang disunatkan semasa Qiamullail, iaitu mulai 12.00 tengah malam ialah :-

1.        Mengambil wuduk dan mendirikan Solat Sunat Wuduk.
2.        Membaca surah Ali Imran; ayat 190 –200.
3.       Solat Sunat Tahajjud – bagi memantapkan iman dan akidah tauhid.
4.       Solat Sunat Hajat dan berdoa kepada Allah mohon dipertemukan dengan Lailatul Qadar.
5.        Membaca Al-Quran dengan memahami dan menghayati isi kandungannya.
6.        Beristighfar, berzikir dan bertakbir.
7.        Bertasbih dan berselawat.
8.        Bersolat Sunat.
(a)     Solat Sunat Taubat – Mohon keampunan.
(b)     Solat Sunat Tasbih – Mengagungkan Yang Maha Esa.
(c)     Solat Sunat Lailatul Qadar – Tanda Syukur dapat meraih Malam Berkat.
(d)     Solat Sunat Witir – Solat Penutup

Dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah bahawa Aisyah radhiyallahu 'anha bertanya kepada Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam: “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada Lailatul Qadar (bertepatan dengan malam Qadar), maka apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab: “Bacalah:



Maksudnya: "Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mulia, yang suka memberi pengampunan. Maka ampunilah aku.

Bersama-samalah kita mengimarahkan 10 malam terakhir bulan Ramadhan dengan beribadat kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala secara ikhlas dan penuh keimanan, mudah-mudahan kita mendapat kurniaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang kelebihan pahalanya melebihi 1,000 bulan.

Wallau A'alam.

Jumaat, 3 Ogos 2012

Ayat-ayat Doa dalam al-Quran (5) - Surah Al-Ma’idah



Surah Al-Maa’idah


Surah Al-Maa’idah - (Hidangan) سورة المائدة - terdiri dari 120 ayat; termasuk golongan surat Madaniyyah. Sekalipun ada ayatnya yang turun di Mekah, namun ayat ini diturunkan sesudah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam hijrah ke Madinah, yaitu di waktu haji wadaa'. Surah ini dinamakan Al Maa'idah (hidangan) kerana memuatkan kisah pengikut-pengikut setia Nabi Isa ‘alaihis salam meminta kepada Nabi Isa ‘alaihis salam agar Allah menurunkan untuk mereka Al Maa'idah (hidangan makanan) dari langit (ayat 112). Dan dinamakan Al Uqud (perjanjian), kerana kata itu terdapat pada ayat pertama surat ini, dimana Allah menyuruh agar hamba-hamba-Nya memenuhi janji prasetia terhadap Allah dan perjanjian-perjanjian yang mereka buat sesamanya. Dinamakan juga Al Munqidz (yang menyelamatkan), kerana akhir surah ini mengandung kisah tentang Nabi Isa ‘alaihis salam penyelamat pengikut-pengikut setianya dari azab Allah.


Isi Kandungan Surah Al-Maa’idah

Keimanan: 

Bantahan terhadap orang-orang yang mempertuhankan Nabi Isa ‘alaihis salam.

Hukum-hukum:

Keharusan memenuhi perjanjian; hukum melanggar syi'ar Allah; makanan yang dihalalkan dan diharamkan; hukum mengahwini ahli kitab; wudhu'; tayammum; mandi; hukum membunuh orang; hukum mengacau dan mengganggu keamanan; hukum qishaas; hukum melanggar sumpah dan kafaaratnya; hukum binatang waktu ihram; hukum persaksian dalam berwasiat.

Kisah-kisah: 

Kisah-kisah Nabi Musa ‘alaihis salam menyuruh kaumnya memasuki Palestin; kisah Habil dan Qabil, kisah-kisah tentang Nabi Isa ‘alaihis salam.

Dan lain-lain:

Keharusan bersifat lemah lembut terhadap sesama mukmin bersikap keras terhadap orang-orang kafir; penyempurnaan Agama Islam di zaman Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam; keharusan jujur dan berlaku adil; sikap dalam menghadapi berita-berita bohong; akibat berteman akrab dengan orang yang bukan muslim; kutukan Allah terhadap orang-orang Yahudi, kewajiban rasul hanya menyampaikan agama; sikap Yahudi dan Nasrani terhadap orang Islam; Ka'bah dan kehidupan manusia; peringatan Allah supaya meninggalkan kebiasaan Arab jahiliyah; larangan-larangan terhadap pertanyaan-pertanyaan yang mengakibatkan kesempitan dalam agama.


Ayat-ayat Doa dalam Surah Al-Maa’idah



1. Doa agar ditetapkan bersama orang-orang yang beriman:


Maksudnya: Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam)”. (Al-Maa’idah 5: 83)

2. Doa Nabi Isa untuk diturunkan hidangan dari langit:


Maksudnya: Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik pemberi rezeki". (Al-Maa’idah 5:114)

Wallahu A'alam.

Khamis, 2 Ogos 2012

Ayat-ayat Doa dalam al-Quran (4) - Surah An-Nisaa’




Surah An-Nisaa'


Surah An-Nisaa' - (Perempuan) سورة النساء - yang terdiri dari 176 ayat itu, adalah surah Madaniyyah yang terpanjang sesudah surah Al Baqarah. Dinamakan An Nisaa' kerana dalam surat ini banyak dibicarakan hal-hal yang berhubungan dengan wanita serta merupakan surat yang paling membicarakan hal itu dibanding dengan surat-surat yang lain. Surah yang lain banyak juga yang membicarakan tentang hal wanita ialah surah Ath Thalaq. Dalam hubungan ini biasa disebut surah An Nisaa' dengan sebutan: Surah An Nisaa' Al Kubraa (surah An Nisaa' yang besar), sedang surah Ath Thalaq disebut dengan sebutan: Surah An Nisaa' Ash Shughraa (surah An Nisaa' yang kecil).


Isi Kandungan Surah An-Nisaa'

Keimanan: 

Syirik (dosa yang paling besar); akibat kekafiran di hari kemudian.

Hukum-hukum:

Kewajiban para washi dan para wali; hukum poligami; mas kawin; memakan harta anak yatim dan orang-orang yang tak dapat mengurus hartanya; pokok-pokok hukum warisan; perbuatan-perbuatan keji dan hukumannya, wanita-wanita yang haram dikahwini; hukum-hukum mengahwini budak wanita; larangan memakan harta secara bathil; hukum syiqaq dan nusyuq; kesucian lahir batin dalam sembahyang; hukum suaka; hukum membunuh seorang Islam; solat khauf; larangan melontarkan ucapan-ucapan buruk; masalah pusaka kalalah.

Kisah-kisah: 

Kisah-kisah tentang Nabi Musa ‘alaihis salam dan pengikut-pengikutnya.

Dan lain-lain: 

Asal manusia adalah satu; keharusan menjauhi adat-adat zaman jahiliyah dalam perlakuan terhadap wanita; norma-norma bergaul dengan isteri; hak seseorang sesuai dengan kewajipannya; perlakuan ahli kitab terhadap kitab-kitab yang diturunkan kepadanya; dasar-dasar pemerintahan; cara mengadili perkara; keharusan siap-siaga terhadap musuh; sikap-sikap orang munafik dalam menghadapi peperangan; berperang di jalan Allah adalah kewajiban tiap-tiap mukallaf; norma dan adab dalam peperangan; cara menghadapi orang-orang munafik; darjat orang-orang yang berjihad.


Ayat Doa dalam Surah An-Nisaa'

1. Doa Agar Selamat Daripada Golongan Yang Zalim:



Maksudnya: Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)". (An-Nisaa’ 4: 75)

Dalam ayat ini Allah Subhanahu Wa Ta’ala menggesa kaum Muslimin di Makkah agar berjihad pada jalan-Nya dengan tujuan mempertahankan Islam dan golongan al-Mustadh’afin yang tidak mampu berhijrah keluar dari Makkah kerana kekangan kemiskinan. Mereka yang miskin dan melarat itu memohon daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala agar didatangkan penolong yang dapat menyelamatkan mereka daripada kezaliman musuh Islam. (Tafsir Ibn Kathir, ayat 75, surah an-Nisaa’)

Wallahu A'alam.

Isnin, 30 Julai 2012

Ayat-ayat Doa dalam al-Quran (3) - Surah Ali ‘Imran




Surah Ali ‘Imran


Surah Ali ‘Imran (Keluarga Imran) - آل عمران  ini terdiri dari 200 ayat, merupakan surah Madaniyyah. Dinamakan Ali Imran kerana memuat kisah keluarga Imran yang di dalam kisahnya disebutkan kelahiran Nabi Isa, persamaannya dengan Nabi Adam, kenabian dan beberapa mukjizatnya, serta disebut pula kelahiran Maryam puteri Imran, ibunda daripada Nabi Isa.



Surah Ali Imran ini dan surah Al Baqarah dinamakan "Az Zahrawaani" (dua yang cemerlang), kerana kedua surat ini menyingkapkan hal-hal yang disembunyikan oleh para Ahli Kitab, seperti kejadian dan kelahiran Nabi Isa, kedatangan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dan sebagainya.


Ayat-ayat Doa dalam Surah Ali ‘Imran

1. Hati tidak menyimpang setelah mendapat petunjuk al-Quran:






Maksudnya: (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya. (Ali ‘Imran 3:8)






Maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya". Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya. (Ali ‘Imran 3:9)

2. Memohon ampun atas kesalahan dan dilindungi daripada azab api Neraka:







Maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka". (Ali ‘Imran 3:16)

3. Setelah melahirkan anak (Doa ibu Mariam):





Maksudnya: Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)". (Ali ‘Imran 3:36)

4. Mendapatkan anak:

 Maksudnya: Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: "Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan". (Ali ‘Imran 3:38)

5. Menjadi seorang saksi bagi Allah dan Kitab-Nya:





Maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)". (Ali ‘Imran 3:53)

6. Memohon ampun atas kesalahan dan yang berlebihan dalam urusan, teguhkan pendirian, dan pertolongan terhadap kaum yang tidak percaya:



Maksudnya: Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir”. (Ali ‘Imran 3:147)

7. Doa ketika menghadapi tekanan (stress)


Maksudnya: Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya segala urusan kami)". (Ali ‘Imran 3: 173)

Menurut Bukhari, Ibn al-Munzir, al-Hakim dan al-Baihaqi, daripada Ibn Abbas berkata bahawa doa di atas merupakan kalimah yang terakhir diucapkan oleh Nabi Ibrahin ‘alaihis salam sebelum dicampakkan ke dalam api. Ia juga diucapkan oleh Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam ketika golongan kafir menakut-nakutkan Nabi tentang tentera bersekutu yang akan menyerang Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. (Tafsir al-Fakhrurrazi, tafsir ayat 173, surah ali ‘Imran).

8. Dijauhkan daripada azab api neraka, ampun atas kesalahan, lepas daripada kejahatan, mati sebagai orang yang taat, dan tidak diaibkan pada Hari Kiamat (Doa ketika memikirkan tentang ciptaan langit dan bumi):

Maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (Ali ‘Imran 3:191)


Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun; (Ali ‘Imran 3:192)

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti; (Ali ‘Imran 3:193)

Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji". (Ali ‘Imran 3:194)

Wallahu A'alam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...