Nuffnang advertisement

Rabu, 30 November 2011

Macamana Nak Hidup Bebas Dari Hutang?




1. Bersistematik

Pada kebiasaannya, orang yang bebas hutang adalah seorang yang bersistematik. Mereka peka terhadap aliran wang masuk dan keluar di dalam kehidupan mereka.  Selain itu, mereka juga mengetahui setiap perbelanjaan yang mereka lakukan. Disebabkan perancangan yang bersistematik inilah akan membuatkan mereka lebih cenderung untuk tidak membeli apa yang mereka rasakan tidak mampu.

2. Sedar bahawa hutang adalah suatu yang membebankan pada masa hadapan

Ada sesetengah pendapat menyatakan bahawa hutang adalah suatu bentuk perhambaan yang diwajibkan pada masa akan datang. Di mana kita akhirnya mengorbankan pendapatan masa depan hanya untuk kepuasan sementara.  Ini secara tidak langsung akan menimbulkan lagi seribu satu kesulitan untuk menempuhi kehidupan akan datang.

3. Lebih praktikal

Seorang yang bebas hutang juga adalah merupakan seorang yang amat praktikal di dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh, mengapa perlu membeli mesin basuh yang baru sedangkan mesin basuh yang lama masih boleh untuk dibaiki? Ini adalah salah satu contoh seorang yang menjalani kehidupan yang praktikal.

4. Berdikari

Seorang yang bersifat berdikari akan berusaha untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan dengan usaha sendiri. Mereka juga akan memastikan mereka hidup di dalam batas kemampuan, dan berusaha untuk menyimpan wang yang ada untuk kesenangan di kemudian hari tanpa menyusahkan orang lain.

5. Tidak boros

Sekiranya diperhatikan keadaan sekeliling, lebih ramai yang berbelanja mengikut keinginan berbanding keperluan. Disebabkan faktor citarasa yang tidak bersesuaian dengan pendapatan mereka inilah, akan membuatkan mereka untuk terus berhutang.

6. Penyabar

Pada kebiasaannya, seorang yang lebih penyabar akan mampu untuk lebih berjimat. Ini adalah kerana mereka tidak membiarkan keinginan mereka untuk mempengaruhi perbelanjaan. Segala pembelian yang mereka lakukan dipertimbangkan dengan sebaik mungkin.

7. Tidak menggunakan kad kredit

Sekiranya anda seorang yang bersistematik, pastinya anda tidak akan mengalami kesukaran menggunakan kad kredit. Tetapi sekiranya anda seorang yang boros, sebelum memakai kad kredit, anda harus berfikir seribu kali.

8. Bertanggungjawab

Seorang yang bebas hutang juga adalah seorang yang bertanggungjawab. Mereka dikatakan bertanggungjawab adalah kerana persediaan mereka terhadap masa depan mereka sendiri. Sekiranya mengalami apa-apa kesulitan pada masa akan datang, mereka sudah ada perancangan yang sepatutnya.

9. Tidak materialistik

Mereka juga boleh dikatakan seorang yang tidak materialistik. Ini adalah kerana segala perbelanjaan yang dilakukan adalah berdasarkan kemampuan. Pada kebiasaanya, seorang yang lebih mementingkan jenama berbanding kemampuan adalah seorang yang materialistik dan suka menunjuk barangan yang mereka miliki.

10. Berdoa

Sentiasalah mengamalkan doa seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W.  iaitu:




 
Maksudnya:
“Ya Allah, cukupkanlah aku dengan segala perkara yang telah Engkau halalkan daripada segala perkara yang telah Engkau haramkan. Kayakanlah aku dengan kelebihan Engkau daripada meminta kepada orang lain.”




Maksudnya :

“Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.”

Wallohu'alam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...