Nuffnang advertisement

Isnin, 14 Februari 2011

Kenalilah Rasulullah SAW - Manusia Paling Agung


Pepatah Melayu ada mengatakan “Tak Kenal, Maka Tak Cinta“. Demikianlah sikap kita terhadap Rasulullah SAW. Seseorang itu tidak akan menyambut kelahiran Rasulullah SAW jika tiada perasaan cinta terhadap baginda. Malahan sesetengahnya langsung tidak mempedulikan Rasulullah SAW, seolah-olah tiada apa-apa keistimewaan dengan kelahiran dan pengutusannya.

Menyedihkan lagi, sebahagian daripada umat Islam lebih mengingati Hari Valentine (kelahiran paderi ‘ St. Valentino ‘ ) daripada mengingati Rasulullah SAW, lebih mengingati biodata para artis daripada biodata Rasulullah SAW.

Beginikah kecintaan kita kepada seorang kekasih dan utusan Allah SWT?

Justeru itu kita harus berasa bertanggungjawab untuk memaparkan biodata dan kronologi hidup Baginda SAW untuk tatapan dan ingatan kita bersama agar kita lebih mencintai kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW.


BIODATA ASAS RASULULLAH SAW
  • Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
  • Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
  • Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
  • Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
  • Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
  • Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW).
  • Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
  • Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).
USIA 5 TAHUN
  • Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.
USIA 6 TAHUN
  • Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ‘ (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah).
  • Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.
USIA 8 TAHUN
  • Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
  • Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.
USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
  • Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.
  • Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.
USIA 20 TAHUN
  • Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘ Sirah ‘ , jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun.
  • Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
  • Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul ‘ ; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.
USIA 25 TAHUN
  • Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
  • Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah. Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
  • Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.
USIA 35 TAHUN
  • Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah.
  • Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah.
  • Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘ Hajarul-Aswad ‘ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.
USIA 40 TAHUN
  • Menerima wahyu di gua Hira ‘ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.
Cop Mohor Rasulullah s.a.w
USIA 53 TAHUN
  • Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
  • Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.
USIA 63 TAHUN
  • Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.
ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW
  • Khadijah Binti Khuwailid.
  • Saudah Binti Zam’ah.
  • Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
  • Hafsah binti ‘ Umar (anak Saidina ‘ Umar bin Al-Khattab).
  • Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
  • Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
  • Zainab Binti Jahsy.
  • Maimunah Binti Harith.
  • Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
  • Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘ Ummu Al-Masakin ‘ ; Ibu Orang Miskin).
ANAK-ANAK RASULULLAH SAW
  1. Qasim
  2. Abdullah
  3. Ibrahim
  4. Zainab
  5. Ruqaiyah
  6. Ummi Kalthum
  7. Fatimah Al-Zahra ‘
ANAK TIRI RASULULLAH SAW
  • Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy).
  • Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda.
IBU SUSUAN
  1. Thuwaibah Hamzah
  2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad
SAUDARA SUSUAN
  1. Halimah Al-Saidiyyah
  2. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
  3. Abdullah bin Harith bin Abdul ‘ Uzza
  4. Syaima ‘ binti Harith bin Abdul ‘ Uzza
  5. ‘Aisyah binti Harith bin abdul ‘ Uzza
BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW
(ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)
  1. Al-Harith
  2. Muqawwam
  3. Zubair
  4. Hamzah ***
  5. Al-Abbas ***
  6. Abu Talib
  7. Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)
  8. Abdul Ka ‘ bah
  9. Hijl
  10. Dhirar
  11. Umaimah
  12. Al-Bidha (Ummu Hakim)
  13. Atiqah ##
  14. Arwa ##
  15. Umaimah
  16. Barrah
  17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) ***
*** Sempat masuk Islam.
## Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.

Mari kita hayati Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud) ini :
“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas)

NABI MUHAMMAD SAW - MANUSIA AGUNG

NABI MUHAMMAD S.A.W. secara lahiriahnya, begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keislaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda.

Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:
  • Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah SAW.
  • Aku melihat cahaya dari lidahnya.
  • Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.
  • Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
  • Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
  • Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
  • Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya seperti bulan purnama.
  • Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
  • Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.
  • Wajahnya seperti bulan purnama.
  • Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.
  • Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
  • Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.
  • Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.
  • Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.
  • Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
  • Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
  • Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
  • Janggutnya penuh dan tebal menawan.
  • Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca.
  • Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.
  • Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
  • Rambutnya sedikit ikal.
  • Rambutnya tebal kadang-kadang menyentuh pangkal telinga dan kadang-kadang mencecah bahu tapi di  sisir rapi.
  • Rambutnya terbelah di tengah.
  • Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.
  • Dadanya bidang dan selaras dengan perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih daripada biasa.
  • Seimbang antara kedua bahunya.
  • Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dengan cantik.
  • Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.
  • Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.
  • Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.
  • Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
  • Warna kulitnya tidak putih seperti kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih.
  • Warna putihnya lebih banyak.
  • Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.
  • Warna kulitnya putih tapi sihat.
  • Kulitnya putih lagi bercahaya.
  • Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh.
  • Badannya tidak gemuk.
  • Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak.
  • Perutnya tidak buncit.
  • Badannya cenderung kepada tinggi, semasa berada di kalangan orang ramai baginda kelihatan lebih tinggi daripada mereka.
KESIMPULAN

Nabi Muhammad SAW adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh sepanjang zaman. Baginda adalah semulia-mulia insan di dunia. Kita mestilah menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola dan contoh ikutan. Banyakkan berselawat ke atas baginda SAW. Semoga baginda memberikan syafa’atnya kepada kita semua di akhirat kelak, insya-Allah.

Wassalam.

Selasa, 18 Januari 2011

Hidup Senang Bergelar Perancang Kewangan

Nor Affizar Ibrahim
(affizar@bharian.com.my)

MELIHAT seseorang itu berjaya meraih pendapatan beribu-ribu ringgit sebulan atau hidup senang-lenang, berkereta besar dan rumah mewah, pasti ramai yang kagum bahkan begitu teruja untuk mengikut jejak langkah atau menjadikan individu itu idola.

Dengan harapan dan cita-cita, suatu hari nanti akan dapat juga mengecapi kejayaan seumpama itu dan memiliki apa saja yang dihajati.

Namun, bak kata pepatah, yang bulat tidak akan datang bergolek dan pipih tidak akan datang melayang, begitulah cabaran perlu dihadapi untuk menikmati kesenangan.

Begitu juga dalam membina kerjaya sebagai perancang kewangan, kerjaya yang dikatakan mampu memberi jumlah pendapatan sehingga lima angka sebulan.

Bagi dua perancang kewangan di Prudential yang sudah berjaya berada di puncak, Mohd Del Mustafar Azlan dan Khairul Azwa Khairuddin, masing-masing mempunyai cerita tersendiri sebelum berjaya dalam kerjaya berkenaan.


Mohd Del Mustafar Azlan

Mohd Del Mustafar berkata, pembabitannya sebagai perancang kewangan memang tidak pernah dirancang sebelum ini.

Semuanya bermula apabila beliau bertemu ketua agensinya, Nik Muhammad Azlan yang sedang mempromosi kerjaya sebagai perancang kewangan ketika berjalan-jalan di pusat beli-belah.

"Saya kagum dengannya kerana dalam usia sebaya saya, ketika itu iaitu 23 tahun, beliau sudah mencapai dan memiliki lebih daripada sepatutnya.

Berbanding saya ketika itu yang baru hendak membina kehidupan dengan berkerja makan gaji sebagai pegawai khidmat pelanggan di sebuah syarikat kewangan.

"Saya berpendapat, jika dia boleh melakukannya, mengapa saya tidak. Lalu, dengan dorongannya saya pun bersetuju menjadi perancang kewangan secara sambilan," cerita Mohd Del.

Berkongsi pengalaman awalnya sebagai perancang kewangan sambilan, anak muda yang bakal bergelar bapa tidak lama lagi, berkata mula-mula agak perit tetapi sikap putus asa tidak pernah wujud dalam dirinya.

Bagi memudahkan bekerja sambilan, Mohd Del sering menawarkan diri kepada majikan bekerja syif dari jam awal tiga pagi hingga 11 pagi supaya boleh bertemu pelanggan selepas itu.

"Memanglah kurang tidur tetapi itulah pengorbanan saya lakukan. Kalau hendak jadi kaya, mana boleh tidur lebih empat jam," katanya berseloroh ketika ditanya mengenai hal itu.

Sepuluh bulan bekerja secara sambilan, Mohd Del mengambil keputusan berhenti kerja kerana ingin menumpukan sepenuh masa pada kerjaya baru walaupun ketika itu pendapatan gaji bulanannya lebih tinggi daripada sebagai perancang kewangan.

Namun, beliau yakin boleh mendapat pendapatan lumayan jika terus gigih berusaha apatah lagi, rakan pasukan sentiasa memberi galakan supaya berjaya seperti mereka.

"Dalam satu hari, saya jumpa 30 orang tetapi satu pun tak lekat. Bagi meningkatkan diri, saya terus belajar dan ada kala mengikut rakan lain untuk belajar cara berjumpa pelanggan. Hasil 'post mortem' saya dapati, kelemahan ketika itu ialah cakap laju dan kurang mendengar."

"Selain mendapat dorongan, melalui kursus dan latihan tiga hingga empat kali seminggu didedahkan Prudential kepada saya, banyak perkara dipelajari untuk meningkatkan diri menjadi perancang kewangan yang berjaya," jelasnya yang juga bercita-cita mengubah nasib keluarga supaya dapat hidup senang dan selesa.

Kini, Mohd Del, 29, yang mempunyai ijazah dalam bidang perniagaan antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, sudah bergelar Pengurus Kewangan Kewangan Eksekutif dan mempunyai agensi sendiri, Sixma Group yang dibukanya tahun lalu.

Di bawah agensi itu, beliau mempunyai 40 perancang kewangan sepenuh masa manakala 25 lagi secara sambilan.

Beliau berkata, keputusan menyertai Prudential ternyata tepat kerana ia membolehkannya bergelar usahawan pada usia muda dan berpeluang mengecapi kesenangan hidup serta mengubah diri menjadi lebih positif dalam menempuh apa saja cabaran serta dugaan.

Anak muda yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor ini turut melihat bidang keusahawan diterokai itu bukan sekadar untuk kepentingan diri sendiri dan mengaut keuntungan besar semata-mata kerana tujuan utamanya ialah membantu orang lain yang berdepan dengan kesusahan.

Malah, bagi Mohd Del dapat membantu orang lain dalam kesusahan adalah nilai sebenar dalam diri yang dikecapinya. Ini dapat dirasakan apabila setiap kali menyampaikan cek tuntutan pampasan insurans kepada pelanggan.

"Pernah ada pelanggan saya yang baru berkahwin dan membeli insurans dua minggu daripada saya meninggal dunia akibat kemalangan. Sebelum arwah berkahwin, saya pernah mencadangkannya mengambil insurans. Arwah memang berminat tetapi disebabkan baru habis belajar dan balik dari Los Angeles serta sibuk pula dengan urusan perkahwinan dan memerlukan wang yang banyak mengaturkan majlis, dia meminta menangguhkannya.

"Selepas lima bulan berkahwin, arwah bertemu saya dan menyatakan niat membeli insurans yang tertangguh sebelum itu. Mungkin sudah ditakdirkan, dua minggu selepas membeli insurans, dia terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia. Alhamdulillah, cek tuntutan pampasan daripada insurans yang dibeli arwah dapat saya serahkan kepada isterinya.  Inilah antara pengalaman tidak saya boleh lupakan," ceritanya.

Lima tahun mengharungi kerjaya sebagai perancang kewangan, Mohd Del melihat bidang itu mempunyai ruang yang luas untuk memajukan diri terutama bagi golongan Bumiputera yang berminat untuk menceburinya.

Ini berikutan, kajian mendapati jumlah Bumiputera yang mengambil insurans masih jauh rendah. Justeru, gunakanlah peluang yang ada untuk mendekati dan memberikan penerangan serta kefahaman kepada mereka.

Khairul Azwa

Berlainan pula cerita Khairul Azwa Khairuddin yang juga sudah mencapai tahap sebagai Pengurus Kewangan Eksekutif di Prudential.

Berkongsi ranjau dan suka duka yang dilalui dalam usaha membina kerjaya itu, Khairul Azwa, 44, berkata, krisis ekonomi melanda negara pada penghujung 2006 dan awal 2007, secara tidak langsung memberi tempias pada kilang tempatnya bekerja selama 16 tahun.

Katanya, sebagai eksekutif sumber manusia di kilang itu, beliau terpaksa menyediakan kertas kerja berkaitan pengurangan tenaga kerja untuk diserahkan kepada Jabatan Tenaga Kerja.

"Apabila keadaan itu berlaku, saya berbincang dengan suami, di mana perlu mencari peluang kerjaya baru atau memulakan perniagaan yang saya minati iaitu membuka salun kecantikan.
Pada masa sama, saya mengikuti pelbagai program berkaitan kecantikan, tetapi masalah dihadapi ialah modal permulaan yang agak besar. Kekangan modal menyebabkan saya tidak meneruskan cita-cita itu," katanya membuka cerita.

Khairul Azwa berkata, sehinggalah ditakdirkan pada suatu hari suaminya, Mohd Rozaini Abdullah berjumpa dengan kenalan lama mereka yang dahulunya hanya seorang mekanik kereta tetapi sudah menjadi seorang perancang kewangan berjaya di Prudential.

"Dia menjelaskan peluang kerjaya yang ada di Prudential. Malah, hingga ke hari ini saya masih ingat pesanan beliau kepada kami - "sekiranya abang dan kakak buat, mesti lebih berjaya daripada saya".

"Atas platform suami saya yang berlatar belakang luas dalam bidang pemasaran, kami terus bersetuju mengambil peluang menjadi perancang kewangan di syarikat sama," katanya.

Selepas mendaftar sebagai perancang kewangan di Prudential, Khairul Azwa yang tiada sebarang pengetahuan mengenai insurans diberikan dorongan, sokongan serta tunjuk ajar oleh suami.

Berkat mencuba dan belajar bersungguh-sungguh akhirnya menimbulkan minat dan pada Januari 2008 beliau melepaskan jawatan dan menjadi perancang kewangan sepenuh masa sehingga ke hari ini.

Tiga bulan selepas itu, suami turut melepaskan jawatannya sebagai pengurus cawangan di syarikat insurans lain dengan tangga gaji RM10,000 sebulan.

"Kejayaan saya juga didorong oleh kejayaan ketua agensi yang saya lihat sendiri amat memberangsangkan. Saya juga mendapati Prudential sudah melahirkan ramai perancang kewangan yang berjaya dan Alhamdulillah, saya serta suami tidak terkecuali," katanya dengan riak wajah gembira.

Khairul Azwa sering menasihatkan pelanggannya untuk mendapatkan perlindungan perubatan dan melabur dalam skim pencen bagi jaminan selepas bersara.

Mengenai pengalaman manis selama tiga tahun berkecimpung dalam industri itu, Khairul Azwa sudah ke Phuket, Shanghai, Hongkong, Australia, New York, Montel Carlo, Paris, Afrika Utara dan banyak lagi. Lebih manis, peluang itu dikongsi bersama-sama dengan suami dan keluarga.

Ditanya, apakah ciri paling penting untuk menceburi kerjaya sebagai perancang kewangan, sikap, keupayaan dan penampilan, jawab Khairul Azwa.

"Perlu disiplin, sabar, tidak mudah putus asa, bijak menguruskan masa, jujur serta amanah. Perancang kewangan juga perlu berpengetahuan dan berupaya memberi nasihat terbaik kepada pelanggan. Dari segi penampilan, tidak semestinya perlu cantik atau tampan, memadai sedap mata memandang dan boleh membawa diri pada semua peringkat umur dan persekitaran, berbudi bahasa serta sentiasa menghormati orang lain.," jelasnya.

Rabu, 5 Januari 2011

Usaha Tangga Kejayaan



"Kejayaan itu dikaitkan dengan usaha. Mereka yang berjaya akan terus berusaha. Mereka akan melakukan kesilapan tetapi mereka tidak akan mengalah." - Conrad Hilton

Kata kunci paling berharga ialah berusahalah untuk berjaya. Jangan menunggu untuk kejayaan itu tiba. Menunggu kejayaan adalah sesuatu yang tidak mungkin tanpa usaha. Kesilapan dalam berusaha adalah cabaran paling manis sebelum anda mengecapi kejayaan yang diinginkan.

Usaha adalah proses yang membentuk istiqamah dalam diri. Jadi tidak hairanlah orang yang telah berjaya sebenarnya mereka telah berjaya membina istiqamah dalam diri sekalipun hasil usahanya mungkin tidak sehebat yang diharapkan.

Wallahu'alam.

Selasa, 4 Januari 2011

Belajar Daripada Pengalaman Orang Lain


Tiada jalan singkat untuk mendapat banyak pengalaman hidup. Siapa kata tiada? Sebenarnya ada cara untuk mendapat banyak pengalaman dalam masa yang singkat. Belajar dari perkongsian pengalaman orang lain adalah cara mudah untuk anda mengutip banyak pengalaman baru.

Setiap hari kita menpunyai latar belakang hidup, karier dan keluarga yang berbeza. Maka sudah pasti setiap orang dalam kehidupannya akan melalui hanya satu jalan yang dipilihnya. Sebagai contoh jika anda bekerja sebagai seorang guru maka sudah pasti anda hanya mampu berceritakan tentang pengalaman sebagai seorang guru sahaja dan perkara-perkara yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran.

Tetapi dengan perkongsian pengalaman hidup dengan orang yang mempunyai latar belakang kehidupan yang berbeza, anda dapat menimba pengalaman tersebut sebagai nilai tambah kepada kehidupan anda. Jadi ambillah peluang untuk mencari seberapa ramai kenalan daripada latar belakang yang berbeza. Pintas waktu untuk mendapat lebih banyak pengalaman hidup.

Wallahu'alam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...