Nuffnang advertisement

Selasa, 16 November 2010

Salam Aidil Adha Kepada Muslimin dan Muslimat


KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH

Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).

Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

AMALAN DI BULAN ZULHIJJAH

1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud, "Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum", hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)” .

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah s.w.t. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah s.w.t. manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah s.w.t. kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah s.w.t. dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, "Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya." dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.

Perintah ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, "Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya."

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan Solat Hari Raya Aidiladha secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t. dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah s.w.t., berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.


p/s - Salam Aidil Adha. Semoga segala amalan yang dilakukan mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t. Insya Allah

Isnin, 15 November 2010

Satu Kisah Kekanda Adinda


Seorang isteri telah mendirikan rumahtangga selama sepuluh tahun dengan bahagia. Dalam tempoh tersebut suaminya tidak pernah memberikan pengiktirafan di atas pengorbanan yang telah dilakukan oleh isterinya. Suaminya adalah seorang yang bertanggungjawab dalam menguruskan rumahtangga. Tidak pernah tidak cukup tentang keperluan rumah. Cuma kesilapan yang dilakukannya tidak pernah memberikan pengiktirafan kepada isterinya.


Sebagai wanita yang telah berhenti kerja kerana ingin memberikan komitmen terbaik kepada keluarga. Makan minum, pakaian, tempat tinggal diurus sebaik mungkin oleh si isteri. Namun hati kecilnya tetap tidak puas hati dengan suaminya memandangkan si suami tidak pernah memberikan kritikan atau pujian kepada dirinya.

Akhirnya, si isteri mencari satu waktu mengajak si suami untuk bercuti dan berehat di suatu tempat selepas sepuluh tahun berkahwin. Si isteri ingin mengambil peluang ini untuk meminta si suami berterus terang apakah kesilapan yang masih dilakukannya agar dia dapat mengubahnya untuk memuaskan hati si suami.

"Bang, saya mohon sangat daripada abang supaya tuliskan lima kelemahan yang saya boleh perbaiki. Saya berikan abang masa tiga hari untuk abang beritahu saya."

Maka dalam tempoh itu si suami menyedari bahawa sepanjang perkahwinannya, si isteri mendambakan pengiktirafan di atas apa yang telah dikorbankannya untuk keluarganya. Menyedari kesilapan itu, si suami menunggu dengan tenang hari yang dinantikan oleh isterinya. Pada hari yang penuh debaran, si isteri dengan segera meminta suaminya menyatakan apakah kelemahan yang perlu diubah untuk menjadi seorang isteri yang lebih baik.

Si suami dengan tenang menjawab, "Sebenarnya dalam tiga hari yang sayang berikan, satu malam pun abang tidak dapat tidur lena."

Si isteri bertanya, "Mengapa abang tidak dapat tidur pula?"

Si suami menjawab, "Abang tidak dapat tidur kerana mencari apakah lagi kelemahan yang perlu sayang perbaiki. Kerana pada abang, sayang adalah isteri yang tiada cacat celanya dan adalah isteri yang sangat baik untuk abang dan keluarga. Pengorbanan yang sayang berikan adalah lebih daripada apa yang abang minta. Maafkan abang kerana tidak pernah menyedari kasih sayang dan pengorbanan sayang untuk abang dan keluarga kita."

Lantas si isteri tersenyum dan tidak lagi mampu menuturkan kata-kata.

Wassalam.

Jumaat, 12 November 2010

Ucaplah Insya Allah Apabila Berjanji



Every time
You feel like you cannot go on
You feel so lost and that you're so alone
All you see is night
And darkness all around
You feel so helpless you can't see which way to go
Don't despair
And never lose hope
'Cause Allah is always by your side

Chorus:
Insha Allah
Insha Allah
Insha Allah
You'll find your way

Every time
You commit one more mistake
You feel you can't repent and that it's way too late
You're so confused
Wrong decisions you have made
Haunt your mind and your heart is full shame
But don't despair
And never lose hope
Coz Allah is always by your side

Chorus

Turn to Allah
He's never far away
Put your trust in Him
Raise your hands and pray
Ya Allah
Guide my steps, don't let me go astray
You're the only one who can show me the way
Show me the way
Show me the way
Show me the way

InshaAllah
InshaAllah
InshaAllah
We'll find the way

Lyrics: Maher Zain & Bara Kherigi
Melody: Maher Zain
Arrangement: Maher Zain & Hamza Namira
© Awakening Records 2009



Satu tip mudah untuk anda lakukan pada hari ini. Saya tahu dan amat yakin anda sendiri telah tahu mengenai tip ini. Tapi berapa kali anda lakukannya setiap kali anda berjanji kepada seseorang? Biasalah sebagai manusia pasti ada masanya kita terlupa untuk melakukannya sekalipun kita maklum tentang perkara ini.

Fiman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Kahfi ayat 23-24:

"Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti". Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya Allah". Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini."

Mengapa kita perlu menyebut Insya Allah?

  • Supaya kita tidak menyandarkan bahawa setiap perkara itu kita mampu lakukan. Setiap hari kita tidak mengetahui apa yang bakal berlaku dalam hidup kita. Malang tidak berbau. Berjanji bermakna anda memberikan komitmen tetapi jika tidak mampu ditunaikan pastinya anda berdosa.
  • Ketahuilah bahawa setiap perkara adalah di bawah kekuasaan Allah s.w.t. Tanpa iradat dan kudrat-Nya anda tidak akan mampu melakukan sebarang pekerjaan pun.
  • Supaya kita menyedari bahawa kita hanyalah hamba Allah s.w.t. Jangan terlalu yakin untuk segala-galanya. Sandaran kepada Allah s.w.t. akan mendekatkan diri kita kepada-Nya.

Wallahu'alam.

Khamis, 11 November 2010

Panduan Memilih Pelan Jaminan Kewangan Anda

Sebelum memilih mana-mana pelan jaminan kewangan, anda perlulah menentukan keperluan sebenar yang diperlukan terlebih dahulu. Apakah keperluan anda yang sebenar? Selalunya keperluan bagi setiap individu itu sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

Pada asasnya untuk seseorang itu membuat pilihan, ia perlulah berdasarkan kepada lima (5) perkara utama iaitu:
  1. Mati Terlalu Awal
  2. Hidup Terlalu Lama
  3. Hilang Keupayaan
  4. Masa Depan Anak-Anak
  5. Membina Kekayaan
Mati Terlalu Awal


Dalam kehidupan kita, sebarang kemungkinan boleh berlaku. Apakah persediaan anda sekiranya peristiwa "Kematian Terlalu Awal" ini berlaku kepada anda? Sekiranya anda telah berumahtangga dan mempunyai anak-anak yang masih kecil, peristiwa inilah yang paling merisaukan.

Bayangkanlah sekiranya anda berumur dalam lingkungan 35 hingga 40 tahun meninggalkan anak-anak yang masih kecil. Anda tentu boleh berfikir berpandukan apa yang telah berlaku di sekeliling anda di luar sana setiap hari.

Kita perlu bersedia untuk memberikan jaminan supaya orang yang ditinggalkan itu tidak berada di dalam kesusahan. Mereka adalah tanggungjawab kita.


Hidup Terlalu Lama

Pernahkah anda melihat kehidupan orang yang seperti ini. Tidak semua yang senang bukan? Kehidupan yang terlalu lama juga menjadi masalah sekiranya anda tidak bersedia.

Merancang untuk menghadapi persaraan telah menjadi satu keutamaan pada masa sekarang. Semua orang merancang untuk bersara dengan bahagia. Buatlah persediaan seawal mungkin.


Hilang Keupayaan


Apakah persediaan yang anda telah buat untuk menghadapi keadaan ini? Hilang Upaya telah menjadi perkara biasa pada masa sekarang. Tidak kira sama ada disebabkan oleh penyakit ataupun kemalangan.

Luangkanlah sedikit masa, pergilah anda lihat di hospital-hospital. Betapa ramai orang yang boleh dikatakan telah Hilang Upaya. Ramai yang hilang pekerjaan. Pendapatan mereka yang terdahulu terpaksa dihabiskan untuk tanggung kos rawatan di hospital. Persediaan untuk menghadapi kemungkinan ini perlu diletakkan pada tahap yang paling tinggi.


Masa Depan Anak-Anak


Sekiranya anda mempunyai anak-anak yang masih kecil, ambillah masa seketika. Lihatlah pada wajah mereka, renunglah seketika bagaimana mereka boleh menghadapi masa depan yang cerah.

Persediaan untuk menghadapi pendidikan di universiti semakin mencabar. Kosnya boleh mencecah angka ratusan ribu ringgit bagi setiap seorang pada masa akan datang. Kehidupan masa depan mereka juga menjadi sebahagian daripada pelan jaminan kewangan untuk anda fikirkan.


Membina Kekayaan


Setiap orang mempunyai impian untuk membina kehidupan yang lebih baik. Anda boleh membina kekayaan dengan pelan jaminan kewangan daripada Prudential.

Bagaimana anda boleh membina kekayaan dengan Prudential adalah dengan menyertai simpanan untuk pelaburan dalam Dana Amanah Syariah yang terpilih. Kekayaan tidak datang bergolek, anda perlu berusaha dengan menambah simpanan anda supaya dapat memenuhi impian anda.


Kesimpulan

Daripada pelan-pelan jaminan kewangan yang paling asas di atas maka anda boleh menyesuaikan dengan keperluan semasa anda. Anda perlu tentukan di mana keperluan anda yang paling utama.

Wallahu'alam.

Rabu, 10 November 2010

Sedekahkan Senyuman Yang Ikhlas



Setiap hari anda pergi ke tempat kerja. Apa yang anda lakukan apabila anda terserempak dengan orang lain di pejabat anda?

Jangan lokek untuk mempamerkan senyuman yang ikhlas kepada sahabat-sahabat anda atau kepada pelanggan anda. Senyuman adalah cerminan pertama siapa anda di pandangan orang lain. Senyuman akan menimbulkan kemesraan anda dengan sesiapa sahaja. Lebih-lebih lagi kepada pelanggan anda.




Ramai orang yang bekerja tidak menunjukkan mereka menghargai pelanggan. Jangan memberikan salam, senyuman pun mereka tidak memberikannya. Sudah pasti sedikit sebanyak pelanggan anda merasakan organisasi anda adalah organisasi yang menakutkan kerana tidak mesra pelanggan. Tetapi perlu diingat juga, senyuman perlu diiringi dengan kata-kata yang baik. Jika sebaliknya tiada gunanya anda senyum kerana senyuman anda hanyalah kepura-puraan.

Tidak sukar untuk senyum. Jangan tunggu esok untuk senyum kepada orang lain kerana senyuman yang ikhlas akan diberikan pahala oleh Allah s.w.t. Jika senyuman anda dapat menyenangkan hati orang lain maka anda lebih mudah didampingi ketika di tempat kerja anda.



Wassalam.

Selasa, 9 November 2010

Ucaplah Terima Kasih!


Satu lafaz mudah, ringkas dan bermakna tetapi tidak ramai sudi melafazkannya. Ketika anda berjalan menuju ke pejabat pos, sampai di pintu kebetulan ada orang lain bukakan pintu untuk anda. Anda terus sahaja masuk tanpa ucapkan terima kasih. Sudah lama anda juga tidak menghubungi sahabat karib anda. Akhirnya pada suatu hari sahabat anda menelefon bertanya khabar dan bersembang panjang. Tetapi anda tidak pula mengucapkan terima kasih di atas ingatan sahabat tersebut pada anda.



Lori sampah datang ke rumah anda untuk mengutip sampah seperti selalunya, tetapi anda langsung tidak berminat untuk melihat kepadanya apatah lagi mengucapkan terima kasih kepadanya. Aneh bukan! Besar pahala jika lafaz terima kasih ini dapat kita ucapkan kepada mereka. Sekalipun itu sekadar kebetulan ataupun mungkin memang sudah tugasnya, tiada salah anda lebih menghargainya dengan dua patah kalimah bermakna ini.

Terima kasih adalah lambang syukur manusia kepada Allah s.w.t. Namun kalimah ini juga adalah simbol mahabbah antara sesama insan. Kunci untuk mengeratkan ukhuwah antara manusia dengan manusia.

p/s - Terima kasih diucapkan kepada anda yang sudi mengunjungi blog ini. Diharap anda mendapat manfaat serta berkongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain.

Wassalam.

Isnin, 8 November 2010

Peluk Anak-Anak dan Isteri / Suami Setiap Hari


Saya tersenyum sendiri sewaktu menulis entri ini. Mungkin anda juga turut tersenyum membacanya. Seakan melucukan tetapi adakah anda melakukannya setiap hari? (bagi yang sudah berkahwin). Satu bentuk praktikal yang akan merangsang emosi anda pada setiap hari untuk menjadi seorang yang hebat.



Tahukah anda dengan memberikan pelukan pada anak-anak dan isteri anda setiap hari, emosi anda akan menjadi jauh lebih stabil daripada biasa. Kestabilan ini jika dijadikan kebiasaan setiap hari akan mampu menepis segala tekanan sama ada di tempat kerja atau sebab-sebab yang lain.



Apa yang bagusnya juga, anda juga merangsang orang lain mempunyai emosi yang stabil. Anak-anak membawa kehangatan pelukan ayah dan ibunya ke sekolah setiap hari. Sudah pasti kasih sayang yang dibawa bersama memberikan emosi dan pemikiran positif untuk anak-anak belajar dan menumpukan perhatian. Suami dan isteri juga akan pergi ke tempat kerja dengan perasaan kasih sayang kepada keluarga. Sudah pasti kasih sayang ini akan memberikan ketenangan dalam meneruskan kerja dan kehidupan setiap hari.

Wassalam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...