Nuffnang advertisement

Jumaat, 22 Jun 2012

AMALAN BULAN SYA'BAN: SUNNAH ATAU BID'AH




AMALAN BULAN SYA'BAN: SUNNAH ATAU BID'AH

Dato' Hj. Abd. Majid bin Omar
Timbalan Mufti Selangor
Jabatan Mufti Negeri Selangor

PENDAHULUAN

Kedatangan bulan Sya'ban amat dialu-alukan oleh umat Islam, kerana Sya'ban merupakan bulan yang mulia, bulan beribadah dan bulan untuk memperbaiki diri. Bulan Sya'ban itu terletak di tengah-tengah antara dua bulan yang mulia, iaitu bulan Rajab yang merupakan bulan Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam diisra' dan dimikrajkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, dan bulan Ramadhan merupakan bulan yang mewajibkan umat Islam berpuasa selama sebulan. Sya'ban juga satu daripada empat bulan yang dinyatakan Allah Subhanahu Wa Ta'ala  sebagai bulan yang dihormati seperti firmanNya dalam surah at-Taubah ayat 36: 


Maksudnya:
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus.” 

Menurut ahli tafsir, empat bulan yang dimaksudkan dalam kalimah ‘arbatun hurum’ ialah bulan Rajab, Sya'ban, Ramadhan dan Muharram. Imam at- Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiyallahu 'Anhu, apabila tiba bulan Rajab, baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam berdoa supaya diberkati bulan tersebut dan bulan Sya'ban serta Ramadhan berikutnya doa baginda: 

Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rajab dan Sya'ban, dan sampaikan (hayat) kami, kepada bulan Ramadhan.”

BID'AH

Terdapat segelintir pihak tertentu mempertikaikan amalan yang lazim dilakukan umat Islam di Malaysia pada bulan Sya'ban, contohnya seperti amalan puasa sunat Sya'ban, membaca surah Yasin 3 kali diselangi doa tertentu pada malam Nisfu Sya'ban, solat sunat malam Nisfu Sya'ban, kerana tiada nas dari al-Quran dan hadis menyuruh berbuat demikian.
  
Mereka berpendapat amalan seperti itu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ia adalah amalan yang diada-adakan atau direka-reka. Perbuatan mengada-adakan amalan yang tidak pernah dilakukan atau diperkatakan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam adalah bid'ah dholalah (sesat). Tiap bid'ah adalah sesat dan masuk neraka.

Pendapat mereka berdasarkan hadis dalam sahih Muslim yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiyallahu 'Anhu, Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda dalam khutbah baginda: 
"Tetaplah kamu dengan suruhan dan sunnah para khulafa' ar-Rasyidin serta berpegang teguhlah padanya. Berwaspadalah terhadap  perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid'ah dan setiap perkara bid'ah itu adalah sesat. Setiap yang sesat akan masuk neraka". 

Amalan yang didakwa bid'ah lagi seperti membaca Yasin pada malam Jumaat, sambutan Isra' Mikraj pada 27 Rajab, sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabiul Awwal, bacaan tahlil dan doa kerana kematian, wirid dan doa selepas solat lima waktu kerana amalan seperti itu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

SUNNAH

Sebahagian besar umat Islam di Malaysia yang menerima saranan dan pengajaran dari guru-guru dan orang tua mereka, memperbanyakkan amalan dalam bulan Sya'ban. Ia berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:

"Bulan Rajab adalah bulan Allah dan Allah telah melebihkan darjatnya dari segala bulan seperti halnya kelebihanku atas segala makhluknya, Sya'ban itu bulanKu dan Allah telah melebihkan atas segala bulan seperti kelebihanKu atas segala nabi-nabi, dan Ramadhan pula adalah bulan umatKu dan Allah melebihkan atas segala bulan seperti kelebihanKu atas segala umat ".

Hadis ini menjelaskan tentang kelebihan tiga bulan termasuk bulan Sya'ban. Oleh itu, masyarakat Islam di Malaysia memperbanyakkan amalan pada bulan ini dengan membuat berbagai aktiviti ibadah untuk mendekatkan diri  kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala seperti puasa sunat, solat sunat, membaca al-Quran, berdoa, bersedekah, bertahlil, berwirid dan sebagainya.

Mereka yang sudah sebati dengan amalan tersebut terus melakukannya kerana mereka melihat kepada pengisian ibadah  pada bulan atau hari tersebut tidak bertentangan dengan syariat Islam. Semua amalan diyakini baik bagi mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Antara contoh amalan yang dilakukan mereka yang dianggap sunnah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam seperti :

1. Puasa sunat 

Mengikut sunnah Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam membanyakkan puasa di bulan Sya'ban.

2. Membaca surah Yasin 

Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam menggalakkan umatnya membaca al-Quran. Setiap huruf diberi dengan ganjaran pahala berganda. Surah Yasin adalah satu daripada surah dalam al-Quran.

3. Berdoa

Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam mengatakan bahawa doa itu senjata orang mukmin. Allah Subhanahu Wa Ta'ala memerintahkan hambaNya berdoa nescaya Allah Subhanahu Wa Ta'ala memperkenankan doa mereka.

4. Mengadakan majlis kenduri

Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam menggalakkan bersedekah dan mengeratkan silaturrahim. Kenduri juga merupakan perhimpunan sanak keluarga. 

5. Bertahlil

Kerana berpendapat tahlil itu mengandungi bacaan dari ayat al-Quran, zikir ‘lailaha illallah’  berdoa dan bersitighfar mohon keampunan Allah Subhanahu Wa Ta'ala terhadap keluarga yang meninggal dunia agar dicucuri rahmat ke atas rohnya.

Tegasnya, amalan-amalan tersebut tiada larangan melakukannya pada bulan Sya'ban, tiada pula disunatkan kerana bulannya, hari atau malamnya, tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunnahan ibadah tersebut. Al- Hafiz bin Rejab Radhiyallahu 'Anhu menyebut di dalam kitabnya  Lataa'if al- Ma'aarif tentang isu ini - setelah membincangkan secara panjang lebar - Malam Nisfu Sya'ban asalnya diutamakan oleh golongan Tabi'in di kalangan penduduk Syam antaranya Khalid bin Mi'dan, Makhul, Luqman bin 'Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut.

Terdapat beberapa hadis Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam mengenai fadhilat dan kelebihan bulan Sya'ban. Antara hadis-hadis tersebut:

Usman bin Zaid menceritakan: “Saya telah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallamwahai Rasulullah, saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Sya'ban; lalu baginda menjawab, itulah bulan Sya'ban di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rajab dan bulan Ramadhan; ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Oleh itu saya (baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.” 
(Hadis riwayat Imam Ahmad dan an- Nasai)

Aisyah r.a. menceritakan, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda:
“Sesungguhnya Allah Ta'ala turun pada malam pertengahan (nisfu) Sya'ban ke langit dunia dan mengampunkan dosa-dosa orang yang lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu kambing Bani Kalb.”
(Hadis riwayat at- Tirmizi dan Ibnu Majah) 

Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: "Apabila tiba malam nisfu Sya'ban, maka pada malam tersebut berjagalah kamu dengan mendirikan solat, beribadah dan berpuasa pada siangnya". Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman,“Sesiapa yang meminta ampun maka Aku mengampunkannya”.

Oleh kerana bulan Sya'ban adalah bulan yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala di mana amal ibadah kita diangkat kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala maka sewajarnyalah sepanjang bulan itu diisikan dengan amal ibadah sunat dan taqwa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Di antara amal ibadah itu ialah bertaubat,  berselawat ke atas Nabi, berzikir, bertasbih dan sebagainya.

Pada malam Nisfu Sya'ban mereka membaca surah Yasin (3 kali), sama ada secara individu atau berjamaah diikuti dengan doa selepasnya.

1. Bacaan Yasin pertama, niatkan memohon dipanjangkan umur untuk mentaati segala perintah dan menjauhi larangan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

2. Bacaan Yasin kedua, niatkan mohon keluasan rezeki yang halal serta diberkati. 

3. Bacaan Yasin ketiga, niatkan memohon ditetapkan iman yang sempurna sehingga meninggal dunia kelak. 

Menurut sebuah hadis Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang diceritakan oleh Sayidatina Aisyah Radhiyallahu 'Anha bahawa pada malam Nisfu Sya'ban baginda mendirikan solat sehingga pagi. Baginda bersabda kepada Aisyah: "Malam ini adalah malam Nisfu (pertengahan) bulan Sya'ban".

KESIMPULAN 

Menghidupkan bulan Sya'ban termasuk Nisfu Sya'ban dengan ibadat seperti membaca al-Quran, bertaubat, beristighfar, berdoa, solat hajat dan sebagainya, adalah ibadah yang baik bagi mendekatkan diri kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Yang menjadi pertikaian pihak-pihak tertentu ialah pengkhususan bulan atau hari tersebut untuk satu-satu ibadah, bukan pada pengisian atau aktiviti amalan yang dilakukan. Mudah-mudahan kita semua bersatu dan meningkatkan amal ibadah kita, meningkatkan ketaqwaan dan melakukan amalan. Menurut Imam Syafie Radhiyallahu 'Anhu, jika sesuatu amalan yang membawa kebaikan dan tidak bertentangan dengan syariah, adalah bid'ah hasanah.

Wallahu a'alam.

Selasa, 19 Jun 2012

Peristiwa Agung Bulan Rejab - Israk dan Mikraj




Marilah kita sama-sama memperingati peristiwa penting yang berlaku di bulan Rejab ini iaitu peristiwa paling agung dalam sejarah Islam iaitu peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT,





Maksudnya : “ Maha Suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. ” (Surah Al-Isra’, ayat : 1)


Tanggal 27 Rejab setahun sebelum hijrah Rasulullah SAW ke Madinah Al-Munawwarah mencatatkan peristiwa penting dalam kerasulan baginda SAW iaitu perjalanan Israk Mikraj. Israk membawa pengertian perjalanan nabi Muhammad SAW pada malam hari dengan menunggang Burak bermula dari Masjid Al-Haram di Makkah Al-Mukarramah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.


Manakala Mikraj membawa maksud naiknya nabi Muhammad SAW ke langit dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.


Sepanjang perjalanan israk Rasulullah SAW ditemani oleh Malaikat Jibrail AS dan di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan itu ialah:


1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka, apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.


2. Tempat yang berbau harum.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).


3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).


4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.


5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.


6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.


7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tetapi ditambah lagi kayu yang lain.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.


8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.


9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.


10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (takabbur). Kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.


11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.


12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah SAW berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke hari tua.


13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah SAW untuk bertanyakan sesuatu.


Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.


Setibanya di Masjid Al-Aqsa, Rasulullah SAW turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan seluruh para nabi dan rasul untuk mengerjakan solat dua rakaat.


Selepas itu, Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Malaikat Jibrail AS dua gelas yang berisi arak dan susu. Baginda memilih susu lalu diminumnya. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


Dan sepanjang perjalanan mikraj Rasulullah SAW ditemani oleh Malaikat Jibrail AS dan di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan itu:


Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Baginda SAW naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).


1. Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.


2. Langit Kedua: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa AS dan Nabi Yahya AS.


3. Langit Ketiga: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit ketiga, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Yusuf AS.


4. Langit Keempat: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit keempat, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Idris AS.


5. Langit Kelima: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit kelima, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.


6. Langit Keenam: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit keenam, lalu masuk dan bertemu dengan para nabi. Seterusnya bertemu dengan Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.


7. Langit Ketujuh: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit ketujuh, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah AS yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur di hadapan beberapa kaumnya. Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah SWT pada malam ini. Umatmu adalah umat yang terakhir dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu ‘la haula wa la quwwata illa billah.’” Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: ‘suhanallah, walhahamdulillah, wa la ilah illa allah, wallahu akbar, wa la haula wa la quwwata illa billahil ‘aliyyil azim’. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS masuk ke dalam Baitul-Makmur dan mengerjakan solat (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).


8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" pada dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah.


Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penjaganya.


9. Tangga Kesembilan: Di sini pada pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk ke dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.


10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah SAW sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepala baginda, lantas sujud dan bermunajat kepada Allah SWT. Kemudian, Allah SWT memfardhukan solat 50 waktu kepada Rasulullah SAW dan umat Islam.


Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS dan kemudian menemui Nabi Musa AS lalu menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah SWT perkenan memfardhukan solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.


Setelah daripada itu, Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula dan seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq untuk pulang ke Makkah Al- Mukarramah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.


(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)


Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan setiap kali 27 Rejab menjelang tiba. Apa yang lebih penting adalah kita hendaklah mengimani dan menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara sebaliknya. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut akan kekuasaan-Nya.


Sekiranya kita dapat menghayati dan mengambil pengajaran daripada peristiwa penting ini serta beriman dengan sepenuh hati, kebarangkalian besar kita mampu mengelakkan diri kita daripada melakukan kemungkaran yang dilarang oleh Allah SWT dan berlumba-lumba untuk melakukan perkara-perkara kebaikan yang diperintah oleh Allah SWT. Peristiwa Israk dan Mikraj juga, untuk menguji umat Islam bahawa adakah percaya atau tidak akan peristiwa tersebut.


Orang kafir quraisy Makkah di zaman Nabi Muhammad SAW langsung tidak mempercayai peristiwa itu, malahan memperolok-olokkan baginda setelah bercerita kepada mereka dan ramai di kalangan umat Islam ketika itu murtad kerana tidak mempercayai peristiwa Israk dan Mikraj baginda SAW dalam tempoh masa yang singkat berlakunya dan tidak masuk akal. Tinggallah segelintir umat Islam yang keimanan mereka tinggi dan teguh yang membenarkan serta mempercayai peristiwa yang dialami oleh baginda SAW.


Pensyariatan kefardhuan solat lima waktu sehari semalam merupakan pensyariatan secara langsung daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW berbanding pensyariatan Islam yang lain dengan perantaraan Malaikat Jirail AS. Maka jagalah kewajipan solat fardhu lima waktu sebaik-baiknya dan tunaikanlah dengan khusyuk dan tawaduk semoga diterima oleh Allah SWT. Insya Allah.


Wallahu A’lam.

Jumaat, 11 Mei 2012

PERUBATAN SUNNAH


Di sini saya ingin kongsikan sedikit ilmu yang saya perolehi daripada kuliah pengajian agama waktu Zohor yang saya ikuti di Masjid Tabung Haji Kelana Jaya, Petaling Jaya baru-baru ini. Kuliah ini disampaikan oleh Dr. Iqbal Hisham, seorang pengamal perubatan Islam.

Dalam perubatan Sunnah, terdapat 5 kaedah yang perlu ada pada setiap muslim iaitu:-

1. IMAN

Setiap muslim perlu beriman dan percaya pada kuasa Allah SWT yang memberikan sakit dan menyembuhkannya. Perlu yakin dengan ubat yang Allah SWT kurniakan kepada hambanya seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran iaitu madu dan habatus sauda’. Dengan madu dan habatus sauda’ dapat mengubati semua penyakit kronik kecuali mati. Sesungguhnya mati itu pasti bagi semua makhluk yang hidup di dunia ini.

2. AMAL

Beramal dengan sunnah Nabi Muhammad SAW di samping mendapat pahala mengamalkannya dapat juga kebaikan dan kelebihan dengan mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW. Contohnya seperti:-
a. Bersugi menggunakan kayu miswak atau sugi fadhilatnya dapat menghindarkan daripada sakit gigi berlubang serta gigi tidak akan reput.
b. Menyimpan janggut bagi suami atau ketua keluarga fadhilatnya dapat mengubati keracunan makanan dengan menghisap hujung janggutnya.
c. Makan secara berjemaah bersama keluarga dengan bertalam dapat mengeratkan hubungan sesama keluarga serta mengelakkan daripada menghadapi masalah rumahtangga. 
d. Menunaikan solat fardhu secara berjemaah di masjid terutamanya solat fardhu Suboh. Barangsiapa menunaikan solat fardhu Suboh secara berjemaah maka Allah SWT akan selesaikan segala urusannya pada hari tersebut. 

3. RUKYAH

Beramal dengan ayat-ayat al-Quran pada setiap waktu memohon perlindungan Allah SWT. Contohnya seperti:-
a. Beramal dengan ayat Qursi tiga kali sebelum tidur Allah SWT akan menjaga dirinya, ahli keluarganya, harta bendanya dan seluruhnya kampungnya daripada bala bencana dan kejahatan makhluk di dunia.
b. Pada zaman Rasulullah SAW, terdapat seorang sahabat Rasulullah SAW yang dapat mengubati penyakit seorang sahabat lain yang sakit  dengan hanya membaca surah al-Fatihah sahaja kerana beliau yakin dengan surah al-Fatihah yang dibacanya itu.
c. Berzikir "Laisalaha mindunillahi kaasyifah" ketika memasak supaya makanan yang dimasak mendapat keberkatan.

4. MAKANAN-MAKANAN ALAMI

Makanan-makanan sunnah seperti yang dinyatakan dalam al-Quran seperti madu, habatus sauda’, cuka buah, minyak zaitun, kurma dan lain-lain adalah makanan yang mempunyai banyak khasiat dan fadhilatnya. Contohnya seperti madu dan habatus sauda’ dapat mengubati penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan penyakit kronik yang lain. Digalakkan mencampurkan cuka buah ke dalam makanan kerana ia bertindak sebagai penstabil pada makanan tersebut.

5. BEKAM

Berbekam adalah amalan sunnah Rasulullah SAW yang diamalkan baginda bagi menjaga kesihatannya. Bekam juga telah dianjurkan oleh malaikat Jibril ketika peristiwa Israk dan Mikraj dimana malaikat Jibril berpesan beberapa kali kepada nabi Muhammad SAW supaya menyuruh umatnya berbekam.

KESIMPULAN

Demikianlah beberapa amalan sunnah Rasulullah SAW yang mempunyai banyak kelebihan dan fadhilat dalam perubatan Islam. Yakinlah bahawa setiap amalan sunnah memberikan fadhilat bukan sahaja di dunia malahan memberikan syafaat pada hari akhirat kelak. Insya Allah.

Wallahua’lam.
 

Isnin, 20 Februari 2012

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam


Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah melakukan ibadah Haji yang terakhir pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah yang juga berlakunya peristiwa Haji Wida’ di Lembah Uranah, Bukit Arafah.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menyampaikan khutbah atau amanat terakhirnya di hadapan sekumpulan besar kaum Muslimin yang kandungannya penuh dengan nilai akhlak dan persaudaraan. Ia menjadi amanat terpenting yang ditinggalkan oleh baginda khusus kepada umatnya selepas ketiadaan baginda sehingga hari Kiamat.

Sabda Rasululah Sallallahu Alaihi Wasallam:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan hari ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula.

Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba. Oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorangpun yang lebih mulia dari yang lain kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi nabi dan rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-dua nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikannya pula kepada orang lain, dan hendaklah orang lain itu menyampaikan pula kepada yang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah ya Allah bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMu."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jumaat, 16 Disember 2011

7 Sunnah Rasulullah S.A.W.


Marilah sama-sama kita mengamalkan 7 sunnah Rasulullah SAW ini dan jadikanlah ia amalan dalam kehidupan kita seharian. Beramal mengikut sunnah Rasulullah SAW adalah dituntut oleh setiap muslim yang beriman dan beramal soleh kerana Rasulullah SAW memberikan panduan dan tauladan yang terbaik untuk setiap insan.

Contoh teladan terbaik untuk diikuti tentu sahaja daripada junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul adalah terpelihara daripada melakukan dosa (maksum).

Ketika Saidatina ‘Aisyah Radhiyallahu ‘Anha ditanya tentang akhlak dan sifat Baginda S.A.W, maka beliau menjawab : “Akhlak Rasulullah S.A.W adalah Al-Quran.” (Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam Al-Quran ada menyebutkan tentang akhlak Rasulullah S.A.W. sebagai contoh tauladan terbaik seperti dinyatakan di dalam Surah al-Ahzab ayat 21:-

Wallahu'alam.

Jumaat, 9 Disember 2011

21 Petua Eratkan Kasih Sayang Suami Isteri


1. Cium tangan suami dan dahi isteri setiap kali sebelum berpisah ke tempat kerja masing-masing.

2. Jika berpisah lebih dari sehari seperti untuk tugasan luar daerah, tambah rutin harian tadi dengan pelukan dan ciuman di bibir.

3. Walau sesibuk mana sekali pun, luangkan masa untuk menelefon pasangan sekurang-kurangnya sekali walau sekadar untuk bertanya apa yang sedang dilakukan.

4. Sentiasa ucapkan kata-kata sayang seperti I love you sepenuh hati sebelum keluar kemana-mana, menamatkan perbualan di telefon dan sebelum tidur.

5. Sentiasa mencari peluang untuk makan tengah hari bersama kerana pastinya ia tiada gangguan anak-anak jika pada hari berkerja.

6. Amalkan bertanya apa yang berlaku sepanjang hari selepas pulang dari kerja sebagai tanda mengambil berat dan memberi peluang pasangan meluahkan perasaan.

7. Luangkan masa untuk berbual tentang apa sahaja dari isu rumah tangga hinggalah politik semasa sebelum tidur.

8. Mudah berbaik jika berlaku sebarang pertelingkahan, jangan biar berlarutan walau untuk satu jam sekali pun apatah lagi berhari-hari. Jika boleh, biarlah berlaku dalam bilik ‘beradu suami isteri’ agar ia berakhir dengan ‘kemesraan’ jauh dari pandangan anak-anak.

9. Temani pasangan semasa menonton rancangan kegemaran mereka walau sambil membaca akhbar misalnya kerana apa yang penting ada berada disisi.

10. Jangan sesekali berpisah tempat tidur walau anak sudah berderet atau usia sudah meningkat kerana ia adalah salah satu amalan penting untuk mengeratkan kasih sayang.

11. Amalkan sembahyang berjemaah semasa di rumah, berdoa bersama serta bersalam-salaman selepasnya.

12. Biasakan bergilir gelas atau pinggan semasa makan serta tidak segan atau geli untuk menghabiskan makanan atau minuman isteri atau suami.

13. Sesekali buatlah kejutan seperti membeli hadiah atau kad untuk peristiwa tertentu, memakai pakaian dalam yang seksi atau apa sahaja yang anda tahu pasangan pasti menyukainya.

14. Senda gurau dalam rumah tangga amat penting, ceritalah sesuatu yang kelakar, teka teki atau apa sahaja yang membolehkan anda ketawa bersama.

15. Sentiasa kenang pengorbanan masing-masing seperti susah payah isteri melahirkan anak dan suami yang berkerja keras menyara keluarga.

16. Sesekali tukar gaya penampilan agar ada kelainan serta untuk mengelakkan pasangan merasa jemu.

17. Apa sahaja masalah yang timbul, berterus terang dan berbincang bersama untuk menyelesaikannya.

18. Sentiasa menyimpan tekad untuk menjadi suami/isteri yang baik dalam rumah tangga bahagia kerana fikiran positif akan memudahkan anda mencapai matlamat tersebut.

19. Setiap pagi berikan kucupan tanda sayang agar harinya dimulakan dengan senyuman, dan malam bisikan manja tanda terima kasih sepanjang hari berbakti kepada keluarga yang dibina bersama. Tidak salah juga minta maaf andai hari itu ada perkara yang mengguris hati suami/isteri, jangan tunggu raya sahaja!

20. Jika amalan-amalan di atas tidak pernah dilakukan sehingga anda membacanya hari ini, jadikanlah ia sebagai titik permulaan untuk melakukannya tanpa rasa ragu dan malu.

21. Sentiasalah berdoa memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan rasa kasih dan sayang antara pasangan suami isteri iaitu:

 
Nabi Muhammad SAW bersabda: Lelaki yang paling baik dari umatku adalah lelaki yang paling baik kepada isterinya. Dan wanita yang paling baik dari umatku adalah wanita yang paling baik bagi suaminya.

Bagi isteri yang baik pada suaminya tiap hari akan mendapat SERIBU syahid (kerana ikhlas dan sabarnya). Wanita yang paling baik adalah wanita yang membahagiakan suami dalam segala hal yang diinginkannya, selain bermaksiat kepada ALLAH.

Lelaki yang paling baik dari umatku adalah lelaki yang bersifat lembut pada isterinya. Setiap hari suami yang baik kepada isterinya akan mendapat SERATUS SYAHID (kerana ikhlas dan sabarnya).”

Dengan hairan Umar bin al-Khatab r.a. bertanya, “Wahai Rasulullah, mengapa isteri dapat pahala SERIBU, sedang suami hanya SERATUS?”.

Nabi SAW menjawab, “Wahai Umar! Pahala dan keutamaan isteri lebih besar dari suaminya, kerana ALLAH SWT mengangkat darjat lelaki di dalam syurga beberapa darjat disebabkan redha dan doa isteri kepada suaminya.

Namun ketahuilah bahawa dosa terbesar setelah syirik kepada ALLAH adalah menderhakai suami. Dan takutlah kalian kepada ALLAH terhadap DUA ORANG LEMAH, yakni ANAK YATIM dan ISTERI.

Barang siapa yang berlaku baik kepada keduanya/lemah lembut, bererti ia telah menggapai redha ALLAH. Dan barang siapa yang berlaku buruk kepada keduanya, maka ia berhak mendapat murka-Nya.

Hak isteri atas suaminya adalah seperti hak-KU atas kalian. Barang siapa yang menyia-nyiakan hak ALLAH, maka ia akan kembali dengan mendapat murka ALLAH SWT dan tempat kembalinya adalah tempat yang paling buruk, yaitu Neraka Jahanam”.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata :

Rasulullah SAW bersabda: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan orang yang paling baik di antara kalian adalah yang paling baik terhadap para isterinya.” (Hadith Riwayat Tirmidzi)

Wallahu a’alam.

Selasa, 6 Disember 2011

Tanda Kebesaran Allah SWT - Amalan Ketika Gerhana Bulan Penuh (Malam 10 Disember 2011M bersamaan 15 Muharram 1433H)


Insya-Allah pada malam hari Sabtu, 10 Disember 2011 ini, kita akan dapat menyaksikan tanda kebesaran Allah SWT iaitu fenomena Gerhana Bulan Penuh sekali lagi. Kali terakhir rakyat Malaysia dan di rantau Asia Tenggara menyaksikan fenomena gerhana seperti ini ialah pada bulan Jun 2011 lepas. Fenomena ini akan berlaku pada waktu puncak, iaitu sebaik sahaja matahari terbenam dan berlarutan sehingga ke lewat tengah malam. Tidak seperti gerhana yang lepas, yang mana ia berlaku lewat tengah malam sehingga ke matahari terbit keesokan paginya, gerhana kali ini dijangka dapat disaksikan dengan mudah oleh orang ramai.

Fasa gerhana ini akan bermula pada jam 7.31 malam. Namun apabila bulan mula menghampiri kawasan bayang-bayang bumi yang lebih gelap, dikenali sebagai umbra, barulah kesan gelapnya mudah kelihatan, iaitu sekitar jam 8.30 malam.

Bulan akan berada di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya (fasa gerhana penuh)  pada jam 10.05 malam sehingga 10.57 malam.

Kemudian ia akan keluar sepenuhnya daripada bayang-bayang umbra pada jam 12.18 tengah malam.


Waktu setiap fasa gerhana boleh dirujuk seperti di bawah (kiraan Skymap Pro 8):

Moon enters penumbra:      2011 Dec 10  19:31:37
Moon enters umbra:             2011 Dec 10  20:45:11
Start of totality:                       2011 Dec 10  22:05:29
Maximum eclipse:                2011 Dec 10  22:31:36
End of totality:                        2011 Dec 10  22:57:45
Moon leaves umbra:            2011 Dec 11  00:18:04
Moon leaves penumbra:     2011 Dec 11  01:31:30

Jumlah masa Bulan bergelap di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya ialah selama 52 min 16 saat. 

Waktu di atas merupakan waktu tempatan (Malaysia). Ia adalah sama sahaja jika anda berada di Semenanjung, Sarawak atau Sabah. Cuma yang berbeza ialah ketinggian Bulan di langit. Semakin anda berada ke arah timur Malaysia, semakin tinggi kedudukan Bulan pada satu-satu fasa gerhana itu.

Jika anda terlepas gerhana kali ini, anda terpaksa menunggu sehingga 10 Oktober 2014 untuk Gerhana Penuh Bulan yang boleh dilihat dari Malaysia. Itupun anda hanya dapat lihat separuh sahaja, iaitu Bulan sudahpun TAMAT fasa gerhana sepenuhnya ketika ia terbit di waktu Maghrib (di Kuala Lumpur). Gerhana Penuh seterusnya ialah 4 April 2015 dan itupun anda dapat lihat separuh sahaja, iaitu Bulan sedang memasuki fasa gerhana penuh ketika ia terbit.

PANDUAN SOLAT SUNAT GERHANA BULAN/MATAHARI

HUKUM SOLAT GERHANA

Sunat Muakkad.                                                                                                 

CARA-CARA SOLAT

Dua (2) rakaat seperti sembahyang sunat yang lain. Cuma bezanya sebagaimana yang masyhur ia mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali qiam di dalam satu rakaat. Ianya sunat ditunaikan secara berjemaah di Masjid/Surau dan boleh juga secara bersendirian.

CARA-CARA PELAKSANAANNYA

Bagi gerhana matahari, bacaan dalam solat dibaca dengan diperlahankan suara; adapun bagi gerhana bulan bacaan hendaklah dibaca dengan diangkat suara seperti mana-mana solat malam.

Solat gerhana matahari dan bulan ini boleh dilakukan dengan 3 cara :

Cara Pertama : Cara yang paling ringkas. Iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat sepertimana solat sunat zuhur atau mana-mana solat sunat.

Cara Kedua : Disebut dengan “ أدنى الكمال ” iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua ruku’ pada tiap-tiap satu rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap qiam itu. Bagi kita di Malaysia ini, cara yang kedua inilah yang paling mudah dilaksanakan.

Selepas takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana surah yang mampu). Kemudian ruku’ dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian ruku’ semula (dipanggil ruku’ kedua). Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang kedua.

Cara Ketiga : Cara yang paling sempurna. Caranya adalah seperti juga yang kedua akan tetapi dalam rakaat yang pertama dan qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Baqarah ataupun mana-mana surah yang sama panjang dengannya. Di dalam rakaat yang pertama juga tetapi qiam yang kedua dibaca surah ali-Imran. Dalam rakaat yang kedua qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Nisa’, dan dalam qiam yang kedua pada rakaat kedua dibaca surah al-Maaidah. Kemudian hendaklah bertasbih dalam ruku’ yang pertama dengan kadar bacaan 100 ayat, dalam ruku’ yang kedua 80 ayat, ruku’ ketiga 70 ayat dan ruku’ yang keempat 50 ayat.

Waktunya

Waktu bagi solat gerhana matahari dan bulan ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana sehinggalah selesai.

Tempat Solat

Solat gerhana sunat dilakukan di masjid atau surau atau mana-mana tempat yang biasa dilakukan solat berjemaah.

ATURAN SOLAT GERHANA

1. Disunatkan mandi sunat gerhana sebelum solat.
2. Bilal menyeru : Assolata Jami’ah’
3. Berdiri lurus mengadap kiblat.
4. Berniat mengerjakan solat gerhana.

(1) Lafaz niat untuk gerhana bulan
‘Usolli sunnata khusufil qamari rak’ataini makmuman lillahi ta’ala’
“ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.

(2) Lafaz niat untuk gerhana matahari
‘Usolli sunnata kusufisy syamsi rak’ataini makmuman lillahi ta’ala’
“ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.

5. Takbiratul Ihram. Doa Iftitah, Bacaan Al-Fatihah dan Surah.
6. Ruku’ serta tasbihnya dan qiam semula.
7. Baca al-Fatihah dan Surah.
8. Ruku’, I’tidal kemudian sujud 2 kali (seperti biasa).
9. Kemudian qiam semula untuk mengerjakan rakaat kedua.
10. Baca al-Fatihah dan Surah.
11. Ruku’ berserta tasbihnya dan qiam semula.
12. Baca al-Fatihah lagi dan Surah.
13. Kemudian ruku’, I’tidal dan sujud 2 kali, baca tasyahhud akhir dan salam.
14. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah (seperti khutbah Hari Raya).

INGATAN :

1. Makmum yang tertinggal ruku’ yang pertama samada dalam rakaat pertama atau rakaat kedua, adalah dikira tidak mendapat rakaat itu dan dia hendaklah menyempurnakan rakaat yang luput itu selepas Imam memberi salam.
2. Maklumat lanjut sila ruju’ kitab Sabilal Muhtadin, karangan Sheikh Mohd Arshad bin Abdullah Al-Banjari, (Juz. 2 Hal. 58-60).
3. Sembahyang sunat gerhana matahari, segala bacaannya dilakukan dengan suara perlahan ( سر ) , manakala bagi sembahyang sunat gerhana bulan, segala bacaannya dilakukan dengan suara yang nyaring ( جهر ).

AMALAN SUNAT KETIKA GERHANA

Menerusi sekian banyak hadis berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah:

1. Solat dan berdoa

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi”.

2. Berzikir dan beristighfar

Abu Musa berkata: “Telah berlaku gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW berdiri dalam keadaan cemas kerana bimbang akan berlaku Kiamat. Lalu Baginda SAW tergesa-gesa pergi ke masjid dan solat dengan berdiri yang terlalu panjang serta rukuk dan sujud yang panjang, yang tidak pernah aku lihat Baginda SAW melakukan seperti itu."

3. Berlindung daripada azab kubur

Diriwayatkan oleh Aisyah r.a.: “Setelah Nabi SAW selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda SAW memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur.”

4. Bersedekah

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, mengerjakan solat dan bersedekah.”

5. Memerdekakan hamba

Asma’ r.a. berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. “Dalam satu riwayat: “Gerhana bulan.”

Inilah di antara sunnah Baginda SAW ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari. Marilah bersama-sama kita menghidupkan sunnah Nabi Muhammad SAW kerana inilah jalan hakiki menuju kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Wallahu’alam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...