Nuffnang advertisement

Ahad, 19 Disember 2010

Penipuan Insurans/Takaful



Apakah Penipuan Insurans/Takaful?

Komponen utama penipuan insurans/takaful adalah:

  • Niat untuk memperdaya termasuk segala tipudaya/ketidakjujuran yang dibuat dengan sengaja terhadap atau oleh syarikat insurans atau pengendali takaful, ejen insurans atau ejen takaful, atau pengguna untuk mendapatkan keuntungan kewangan yang tidak wajar.
  • Keinginan untuk mempengaruhi syarikat insurans atau pengendali takaful supaya membayar lebih daripada yang sepatutnya.
Bentuk penipuan mungkin berbeza-beza, daripada tuntutan yang sah tetapi nilainya dinaikkan hinggalah kepada tuntutan yang sengaja diada-adakan atau palsu di mana kerugian sebenarnya tidak pernah berlaku.

Bagaimanakah Melindungi Diri Anda Daripada Penipuan Insurans/Takaful?

  • Elakkan daripada membayar premium menggunakan wang tunai. Bayar premium anda melalui cek atau kiriman wang. Seelok-eloknya buat bayaran itu kepada syarikat insurans atau pengendali takaful.
  • Pastikan anda menerima polisi setelah membayar premium pertama anda.
  • Segera periksa polisi insurans anda bagi memastikan perlindungan adalah sama seperti yang anda perlukan. Pastikan premium yang anda bayar dinyatakan dalam nota perlindungan polisi anda. Minta resit sebagai bukti pembayaran premium.
  • Jangan sekali-kali menandatangani borang permohonan insurans atau takaful atau borang tuntutan insurans atau takaful yang kosong.
  • Berasa syak wasangka sekiranya harga insurans atau takaful terlalu rendah daripada syarikat insurans atau pengendali takaful lain.
  • Sekiranya anda terlibat dalam kemalangan, waspada terhadap sesiapa yang menawarkan penyelesaian segera secara tunai atau menggesa anda berurusan dengan bengkel kereta, klinik perubatan atau firma guaman tertentu. Mereka mungkin pihak yang terlibat dalam sindiket penipuan.
  • Bertegaslah untuk dapatkan bil yang terperinci bagi pembaikan dan perkhidmatan perubatan yang diberikan dan semak ketepatannya.
  • Hubungi syarikat insurans atau pengendali takaful anda, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM)/Life Insurance Association of Malaysia (LIAM)/Malaysian Takaful Association (MTA) atau pihak polis secara berhati-hati sekiranya anda telah ditipu atau telah/sedang dipujuk supaya menyertai satu penipuan.
Semua kes-kes penipuan hendaklah dilaporkan dengan serta-merta kepada pihak polis.

Wassalam.

Sabtu, 18 Disember 2010

PruBSN Ummah Bantu Tampung Kos Tunai Haji

Pelan simpanan, insurans boleh selesai masalah di luar jangka

AZIM (kanan) bersama Ahmad Saruji ketika
merasmikan PruBSN Ummah di Kuala Lumpur.

PRUDENTIAL BSN Takaful Bhd (PruBSN) melancarkan produk terbarunya, PruBSN Ummah, satu Pelan Takaful Keluarga pertama di pasaran yang memenuhi keperluan pelanggan untuk menunaikan haji selain mendapat perlindungan takaful dan simpanan serentak.

Ketua Eksekutif PruBSN, Azim Mithani, berkata pengenalan produk takaful inovatif itu menandakan komitmen berterusan syarikat itu kepada pelanggan bagi membolehkan mereka memenuhi keperluan berkenaan menerusi kaedah yang baru dan menarik.

"Salah satu daripada objektif khusus PruBSN Ummah adalah untuk membantu mengurangkan kos menunaikan haji bagi membolehkan bakal jemaah haji membahagikan kos menerusi penyediaan simpanan bagi melengkapkan simpanan Tabung Haji mereka," katanya pada majlis pelancaran produk terbaru itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

JEMAAH haji boleh manfaat pelan perlindungan
PruBSN Ummah ketika berada di Tanah Suci.


Hadir sama, Ketua Pegawai Pemasaran Amanah Raya Bhd (ARB), Ahmad Saruji Abd Aziz. Jelasnya kos menunaikan ibadat haji kian meningkat dari tahun ke tahun dan berdasarkan brosur Lembaga Urusan dan Tabung Haji, ia menelan belanja kira-kira RM10,000 untuk menunaikan ibadat haji bersama mereka.

Jumlah itu katanya akan berganda jika ia diuruskan oleh agensi pengurusan Haji yang lain. Azim berkata, menerusi produk itu, pelanggan boleh membuat simpanan tambahan yang akan membantu mereka mencapai matlamat mereka dengan lebih cepat.

"Apabila tiba masanya untuk menunaikan haji atau umrah, peserta boleh mengeluarkan sebahagian daripada simpanan mereka pada bila-bila masa selepas tahun sijil kelima," katanya.

Selain kemudahan itu, PruBSN Ummah turut menyediakan manfaat lain kepada pelanggan yang didatangkan semuanya dalam satu produk. Ia merangkumi:
  • Badal haji (upah haji)
  • Ganjaran wang tunai kepada pelanggan setia
  • Jaminan kewangan terhadap kematian yang tidak dijangka dan hilang upaya kekal dan menyeluruh
  • Perlindungan terhadap penyakit kritikal, dan
  • Penulisan wasiat.
Selain itu, pelanggan setia yang membayar semua sumbangan mereka sepanjang tempoh takaful, akan diberi ganjaran oleh PruBSN menerusi bonus kesetiaan yang meningkat setara dengan sumbangan mereka.

Elaun haji juga adalah sebahagian daripada bonus kesetiaan itu.

Pelanggan juga boleh memilih untuk menggunakan elaun berkenaan bagi menambahkan perbelanjaan mereka atau menggunakannya untuk menjamin keperluan kewangan keluarga semasa mereka berada di Makkah.

Selain itu, selepas elaun haji itu dibayar kepada pelanggan, bonus kesetiaan akan terus meningkat selagi pelanggan terus menjelaskan sumbangan mereka.

Satu lagi ciri unik PruBSN Ummah ialah ia membolehkan peserta mencapai niat mengerjakan haji jika mereka meninggal dunia dengan tiba-tiba atau mengalami hilang upaya kekal dan menyeluruh.

PruBSN Ummah akan membayar RM3,000 kepada penama yang dipilih oleh peserta atau kepada Tabung Haji Travel and Services untuk melaksanakan haji badal bagi pihak mereka.

Untuk memberi ketenangan minda kepada peserta, PruBSN Ummah akan membayar perlindungan berganda jika mereka meninggal dunia secara tiba-tiba atau mengalami hilang upaya kekal dan menyeluruh semasa menjalankan ibadat haji atau umrah.

Selain daripada manfaat takaful, keluarga mereka juga akan menerima manfaat tambahan khairat kematian berjumlah RM2,000 apabila peserta meninggal dunia.

Sebagai tambahan, peserta juga boleh meningkatkan pelan PruBSN Ummah mereka dengan 'rider Crisis Shield dan Contributor' yang akan menyediakan mereka dengan perlindungan komprehensif terhadap penyakit kritikal utama.

Dengan rider itu, peserta yang mengidap mana-mana satu daripada 36 penyakit kritikal yang dilindungi akan menerima jumlah perlindungan yang relevan sebagai bantuan kewangan untuk perubatan.

Sumbangan tahunan mereka juga dilindungi bagi memastikan mereka dapat terus menabung dan menikmati perlindungan yang diperlukan sepanjang tempoh takaful.

Sempena pelancaran PruBSN Ummah, PruBSN turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ARB bagi menyediakan perkhidmatan penulisan wasiat kepada peserta pelan yang dapat meningkatkan lagi nilai tambah produk itu.

Ahmad Saruji berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan PruBSN dalam aspek pemasaran dan menjual produk ARB terutamanya penyediaan wasiat bagi golongan beragama Islam dan bukan Islam.

"Wasiat adalah penting dalam pengurusan pusaka. Ia adalah sebahagian daripada perancangan kewangan. Adalah benar bahawa dengan mempunyai wasiat bukan suatu perkara yang muktamad, tetapi ia akan membantu dalam menyelesaikan pentadbiran hartanah," katanya.

PruBSN Ummah menyediakan satu keperluan perancangan istimewa kepada umat Islam yang merangkumi kira-kira 60 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

Azim berkata, produk yang direka khas itu akan membolehkan PruBSN menarik minat lebih ramai umat Islam di Malaysia yang kebanyakannya masih belum mempunyai perlindungan takaful atau insurans.

"PruBSN Ummah adalah satu produk yang unggul dan menarik dengan ciri-ciri yang menggabungkan simpanan dan perlindungan dan pada masa yang sama membantu pelanggan memenuhi kewajipan mereka sebagai seorang Muslim.

"Ini adalah produk pertama di dalam pasaran yang menyediakan produk sebegini secara komprehensif," katanya.

Jumaat, 17 Disember 2010

Apa Sumber Inspirasi Anda?

Setiap orang pasti mempunyai sumber inspirasi untuk membina langkah-langkah baru dalam kehidupannya. Sumber inspirasi inilah yang akan memastikan bahawa dirinya akan berusaha sedaya mungkin ke arah itu untuk berjaya. Segala kudrat akan diperah untuk memastikan impiannya tercapai. Saya pasti anda yang sedang membaca sekarang juga mempunyai sumber inspirasi dalam hidup anda.

1. Wang Ringgit


Ada orang meletakkan wang ringgit sebagai sumber inspirasi untuk berjaya. Meletakkan sasaran jutawan adalah kebanyakan inspirasi manusia yang ingin berjaya. Oleh kerana itu ramai yang mula meletakkan minda jutawan dalam diri mereka. Tidak salah meletakkan wang sebagai inspirasi untuk berjaya, cuma yang tidak bagus jika kita hilang punca kerana wang. Jangan menjadi hamba kerana wang. Jika berinpsirasi untuk membantu orang lain dengan wang itu adalah cara yang paling baik kerana dalam Islam sememangnya mengajak umatnya membina kekayaan dengan syarat perlu membantu orang lain iaitu dengan amalan zakat dan bersedekah.

2. Pangkat dan Jawatan




Sebahagiannya pula meletakkan inspirasi kepada jawatan tinggi dalam kerjaya. Mungkin anda sudah berimpian untuk menjadi CEO pada masa akan datang atau mungkin Pengurus Besar dalam organisasi anda. Tidak salah juga anda meletakkan jawatan itu sebagai inspirasi anda ingin lebih berjaya asalkan anda mengikut cara yang betul dan bekerja keras. Semakin tinggi jawatan yang disandang bermakna anda meningkatkan taraf kehidupan anda serta mempunyai tanggungjawab yang besar dalam bersama-sama membangunkan ummah dan bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata.

3. Kembangkan Empayar




Bagi seorang ahli perniagaan atau ahli korporat, perluasan empayar perniagaan ke serata dunia adalah menjadi inspirasi utama. Setiap hari anda akan mencongak bagaimanakah cara untuk melebarkan sayap perniagaan anda. Tidak salah juga anda berinspirasi begini kerana anda akan menjadi contoh kepada orang lain. Lebih-lebih lagi anda menjadi seorang korporat muslim yang taat kepada Allah SWT dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang mukmin sejati.

4. Keluarga Bahagia




Saya melihat 3 perkara di atas akan lebih bermakna jika saya berjaya membina keluarga yang bahagia. Bahkan memang ramai juga orang meletakkan keluarga bahagia sebagai inspirasi utama untuk mereka lebih maju pada masa hadapan. Mungkin 3 perkara di atas mudah untuk anda laksanakan tetapi mendapat keluarga bahagia bukan semudah yang diharapkan. Kerana inspirasi inilah ramai yang berusaha gigih ke arah itu. Wang ringgit, pangkat dan empayar perniagaan yang luas belum tentu menjamin kebahagian keluarga. Bukahkah sebuah keluarga bahagia adalah inspirasi yang lebih hebat?

Wallahu'alam.

Khamis, 16 Disember 2010

Makanan Terbaik Mengikut Al-Quran dan As-Sunnah

Makanan sunnah yang akan dikongsikan di sini amatlah istimewa. Ini kerana makanan-makanan ini telah disebutkan di dalam Al-Quran dan hadith Nabi, tentang khasiat dan kelebihannya. Subhanallah! Hanya Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui atas segala sesuatu.

Firman Allah SWT dalam surah al-An'aam ayat 99:


"Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dan mayang- mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik dan (Kami jadikan) kebun- kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman." - Surah al-An'aam : 99

1. Buah Delima

Fiman Allah: " Dan (Kami jadikan) kebun - kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima yang sama dan yang tidak sama (bentuknya), Perhatikanlah kamu pada buahnya apabila ia berbuah dan ketika masaknya." - Surah Al- An'am ayat 99

Khasiat buah delima:
  • Kaya dengan unsur zat besi. 
  • Proses pembinaan darah merah. Mengurangkan risiko penyakit anemia. 
  • Mempunyai kadar antioksidan yang paling tinggi di antara buah-buahan yang lain.
  • Mengandung potassium yang besar isipadunya.
  • Mengandungi mineral-mineral lain seperti fosfor, kalsium, besi, dan sodium, vitamin A, B1, B2, B3, dan C. Bertindak bersama sodium, potassium mengatur ekuilibrium air tubuh dan menjaga degup jantung agar tetap normal.
  • Meningkatkan kepekaan saraf dan otot agar berfungsi secara teratur.
  • Mencegah edema dan mengurangi kadar gula di dalam darah. 
  • Buah delima juga dapat menghilangkan rasa letih otot dan menguatkan jantung.

2. Kismis

Dalam Tibb An-Nabawi menyebut hadith yang bermaksud: "Sebaik-baik makanan ialah buah zabib (kismis). Ia menghilangkan keletihan, menguatkan urat saraf, meredakan kemarahan, mencerahkan warna kulit dan mengharumkan bau hidung serta mulut." 


Nabi Muhammad SAW bersabda : “Barangsiapa memakan kismis merah sebanyak 21 biji setiap hari sebelum sarapan pagi, maka dia tidak akan tertimpa penyakit kecuali kematian”.



Khasiat kismis:
  • Menguatkan jantung, menghilangkan penyakit, menghilangkan panas dan memulihkan kesihatan jiwa.
  • Kismis dapat menghilangkan kepahitan (hempedu/cairan kuning), menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih. 
  • Kismis juga dapat meningkatkan keupayaan untuk menghafal.


3. Kurma

Firman Allah SWT dalam surah Maryam: Ayat 25-26. "Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenang hatilah kamu."
 Khasiat kurma:
  • Terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu. 
  • Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. 
  • Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak dan pembentukan darah serta sumsum tulang.
  • Makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

4. Habbatus sauda'

Sabda Rasulullah: "Tetaplah kamu dengan Habbatus sauda' ini, kerana padanya terdapat penawar bagi segala penyakit kecuali as-saam (mati)." - Hadith Riwayat Hadith dan Muslim

 
Khasiat habbatus sauda’:
  • Terapi untuk mengaktifkan enzym adenylylclase yang bertanggungjawab terhadap perubahan spesifik dalam peringkat-peringkat usia.
  • Terdapat penawar bagi segala penyakit kecuali As-Saam (mati) - Hadith Sahih Bukhari Muslim.


5. Za'faran

Sayidina Ali pernah menyatakan: "Sesiapa yang mengambil sebahagian za'faran dan su' di satu bahagian dicampur dengan madu, diminum sebanyak dua sudu pada setiap hari, maka ia dikagumi tentang ingatannya, sehingga dituduh melakukan sihir. "




 
Khasiat za’faran / saffron:
  • Sangat kaya dengan vitamin B1 dan B2 (Riboflavin & Tiamin).
  • Membantu menyempurnakan proses penghadaman, menguatkan ingatan, merawat anemia, mengawal tekanan darah dan kolestrol, mengurangkan risiko serangan sakit jantung, mengurangkan keletihan, sembelit, bisa-bisa sendi, penenang dan juga peransang tenaga batin. 
  • Membina daya ketahanan menghadapi pelbagai penyakit seperti asma dan demam biasa.


6. Madu

Firman Allah: "Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat penawar yang menyembuhkan bagi manusia" - Surah An-Nahl ayat 68-69.
 
Khasiat madu:
  • Mengandungi aneka zat makanan seperti karbohidrat, protein, asid amino, vitamin, mineral, dekstrin, pigmen tumbuhan, komponen aromatik dan antibiotik. 
  • Kandungan karbohidrat dalam madu adalah yang tertinggi di antara produk-produk ternak yang lain seperti susu, telur, daging dan mentega. 
  • Penawar bagi kebanyakan penyakit (dengan izin Allah).


7. Zaitun

Firman Allah: "Dari pohon itu (zaitun) yang berasal dari bukit Sinai mengeluarkan minyak dan makanan" - Surah Al-Mukminin ayat 20.



Khasiat zaitun:
  • Penambah zat makanan, mencuci dan membaik pulih perut dan menjadi penawar racun.
  • Membantu pesakit gastrik dan juga yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang.
  • Bertindak sebagai pelicin dan pelembut kepada kulit yang mengalami ekzema dan psoriasis seterusnya dapat meremajakan kulit. 
  • Mengandungi asid lemak tidak tepu yang dikelaskan sebagai “monounansaturated” yang mampu merendahkan kolesterol berbahaya di dalam darah.


8. Buah Tiin

Riwayat dari Abu Zar r.a. bahawa Nabi SAW dihadiahkan satu bekas buah tin. Lalu Nabi SAW mengajak sahabat-sahabatnya makan. Nabi pun turut sama makan. Kemudian baginda SAW bersabda: ”Kalau aku perkatakan tentang buah yang diturunkan dari syurga, nescaya aku katakan inilah dia. Kerana buah-buahan syurga tidak berbiji. Oleh itu makanlah buah ini. Sesungguhnya dia menghentikan penyakit buasir, serta bermanfaat untuk sakit-sakit badan.”




Khasiat buah tiin:
  • Mengurangkan penyakit sesak nafas, membersihkan hati dan limpa, menghilangkan kahak yang berkumpul serta memberi khasiat yang baik kepada tubuh badan.
  • Satu langkah pencegahan untuk melawan racun di dalam badan. 
  • Dikenali sebagai bahan pelancar (laxative), penahan sakit dan unsur perkumuhan air kencing (diuretik). 
  • Tidak mengandungi garam, lemak dan juga kolesterol tetapi ia mengandungi lebih tinggi kandungan galian yang lain seperti kalium, serat dan zat besi.


KESIMPULAN

Setiap makanan mempunyai khasiatnya yang tersendiri. Namun hanya Allah SWT yang layak memberikan kebaikan dan kesihatan kepada kita. Janganlah kita menganggapkan makanan ini yang memberi kita kesihatan. Ia hanyalah sekadar usaha kita untuk mendapatkan kesihatan. Percayalah dengan nama Allah, Insya-Allah akan dapat keberkatan dan kebaikan.

Wallahu'alam.

Isnin, 13 Disember 2010

PERANCANGAN PELAN TAKAFUL


Sebelum anda menyertai mana-mana pelan takaful, elok sekiranya anda mengetahui dan memahami konsep Perancangan Pelan Takaful. Ini bagi memudahkan anda membuat perancangan yang teliti dan tepat bagi keperluan anda dan keluarga.

Pelan Perancangan Takaful atau Pelan Kewangan Keluarga Islam (Islamic Family Financial Planning) terbahagi kepada 3 peringkat utama iaitu bermula dengan yang paling asas, Perlindungan (Protection). Kedua ialah Simpanan (Savings) dan peringkat teratas ialah Pelaburan (Investment). Secara asasnya setiap keluarga Islam (atau individu) perlu meneliti samada perancangan kewangan yang dirancang mereka memenuhi  ketiga-tiga peringkat ini.


Mengapa kita perlukan perancangan sebegini? Ini kerana masa depan tak mampu diramal. Kehidupan kita melalui pelbagai peringkat. Setiap peringkat tersebut mempunyai kemungkinan yang tersendiri, samada kemungkinan yang baik mahupun kemungkinan yang buruk. Apa yang boleh kita lakukan ialah mempersiapkan diri untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan tersebut.


1. PERLINDUNGAN (PROTECTION)


Asas utama dalam perancangan takaful anda ialah Perlindungan (Protection). Mulakan dengan meletak asas yang kukuh bagi diri dan keluarga anda. Sekiranya anda sebagai seorang pencari nafkah dalam keluarga, maka perlu ada perlindungan yang menyeluruh untuk memastikan pendapatan keluarga anda tidak terputus sekiranya anda ditimpa musibah seperti kematian atau hilang upaya kekal.  Begitu juga dengan sekiranya anda mengalami penyakit kritikal dan ditimpa kemalangan. Bagaimana keluarga anda dapat menjalani kehidupan seharian sekiranya pendapatan yang anda bawa pulang setiap bulan tiba-tiba putus apabila anda ditimpa musibah? Tambah perit apabila anda tiada sebarang perlindungan untuk mengantikan pendapatan tersebut. Bagaimana dengan hutang anda? Bagaimana dengan perbelanjaan dapur? Bagaimana dengan perbelanjaan sekolah anak anda?

Letaklah asas perlindungan yang kukuh untuk masa depan anda dan keluarga.


2. SIMPANAN (SAVINGS)


Peringkat kedua dalam Perancangan Takaful ialah Simpanan (Savings).  Simpanan selalunya dilakukan untuk memenuhi keperluan gaya hidup, perancangan persaraan atau untuk pendidikan anak-anak. Gaya hidup selalunya berbeza bagi setiap individu dan bersifat kepuasan peribadi. Ada yang menginginkan gaya hidup mewah dengan mempuyai kereta mewah, rumah besar atau melancong ke luar negara. Ada juga yang sekadar ingin gaya hidup bersederhana. Apa pun gaya hidup anda, semua itu memerlukan simpanan bagi merealisasikannya. Bagi perancangan persaraan pula, sudah tentu anda mengimpikan kehidupan selepas bersara yang tenang tanpa memerlukan anda berfikir untuk mencari nafkah bagi menampung duit persaraan yang tidak mencukupi. Adakah anda mahu bekerja sebagai jaga atau pemandu teksi selepas bersara nanti? Kenapa tidak gunakan waktu persaraan tersebut untuk beristirehat di rumah, bermain dengan cucu atau menunaikan Haji/Umrah bersama isteri tersayang?

Simpanan pendidikan pula untuk anak-anak anda. Setiap tahun saingan untuk menempatkan diri ke universiti semakin sengit. Begitu juga untuk mendapatkan biasiswa kerajaan mahupun swasta. Sebagai ibu bapa semestinya kita ingin yang terbaik buat anak-anak kita. Apakah persediaan kita untuk masa depan anak kita? Adakah cukup sekadar mengharapkan PTPTN untuk menampung kos pembelajaran anak kita? Kenapa tidak kita mulakan simpanan dari awal agar kita tidak bersusah payah untuk meminjam wang dari PTPTN atau saudara-mara untuk menyara anak kita ke universiti. Sediakan payung sebelum hujan.


3. PELABURAN (INVESTMENT)


Peringkat yang teratas ialah Pelaburan (Investment). Melalui pelaburan, anda dapat menjana pulangan pendapatan yang tinggi. Matlamat utama dalam pelaburan ialah untuk mencapai kebebasan kewangan. Walau bagaimanapun ramai dikalangan kita yang lebih memfokuskan kepada pelaburan berbanding perkara asas iaitu simpanan dan perlindungan. Sebab itu ramai dikalangan kita yang terjebak dengan skim cepat kaya, pelaburan internet haram, dan sebagainya. Dalam pelan perancangan takaful, pelaburan merupakan perkara terakhir yang perlu anda fikirkan selepas perlindungan dan simpanan. Kerana tanpa asas yang kukuh (perlindungan dan simpanan), bagaimana anda dapat mengecapi kebebasan kewangan (pelaburan)?


KESIMPULAN

Dalam membina perancangan kewangan peribadi atau keluarga, maka ketiga-tiga peringkat ini perlu diambil serius. Kami di PruBSN sedia membantu anda membuat perancangan tersebut. Alhamdulillah kerana produk di PruBSN meliputi ketiga-tiga peringkat dalam Pelan Kewangan Keluarga Islam di atas.

Ahad, 12 Disember 2010

Hidup Dengan Berjimat Cermat


Apa yang naik dan tidak akan jatuh? Selain daripada umur anda, harga barangan dan perkhidmatan adalah jawapan yang munasabah! Hakikatnya pada akhir-akhir ini, banyak telah diperkatakan tentang kenaikan harga makanan dan minyak di seluruh dunia. Dengan harga yang meningkat dan pendapatan kekal sama, amatlah penting untuk kita mempelajari bagaimana untuk hidup dengan cermat.

Apakah yang dimaksudkan dengan menjadi Cermat?

Kita mungkin tidak menyukai perkataan ini dalam kehidupan seharian kita tetapi, hari ini kita akan lebih kerap mendengarnya. Tanyalah nenek moyang kita, dan selalunya mereka akan memberitahu yang gaya hidup mereka sinonim dengan perkataan ini. Hari ini, orang mungkin berpendapatan lebih daripada nenek moyang mereka, jauh lebih banyak, tetapi entah bagaimana, duit kita sentiasa tidak mencukupi, apatah lagi untuk menyimpan. Tidak hairanlah kerana pada masa dahulu, anda boleh membeli semangkuk mee dengan harga lima sen tetapi pada hari ini, peminta sedekah pun akan merungut dengan lima sen yang anda beri kepadanya!

Bercermat atau berjimat cuma bermaksud mengurus demi untuk menyimpan. Bermakna, anda mendapat sebanyak mungkin duit anda. Orang yang cermat sentiasa mencari jalan untuk menjimat masa, duit dan tenaga, dan di sini kami tegaskan yang bercermat bukan bermakna menjadi kedekut atau “kiam-sap” seperti kata orang-orang Hokkien.   

Bagaimana saya boleh Bercermat atau Berjimat?

Terdapat banyak cara untuk hidup dengan duit yang sedikit dan di bawah adalah beberapa cadangan yang dapat membantu anda berhemat dengan wang Ringgit anda:
  • Kurangkan perbelanjaan harian anda – sebelum anda membeli sesuatu, tanya diri anda:
    1. Adakah saya betul-betul perlukan ini?
    2. Bolehkah saya mendapatnya di tempat lain pada harga yang lebih murah?
    3. Bolehkah saya mendapatnya secara percuma?
  • Batalkan sesuatu yang menelan perbelanjaan yang besar daripada bajet anda  – tidak menggunakan kereta (aduh!) dan jimat duit minyak, membaiki kereta, cukai jalan, insuran kereta dan tol atau, cadangan yang kurang menyakitkan, cuba turunkan taraf kereta anda, seperti membeli kereta yang berkapasiti lebih rendah.
  • Kurangkan penggunaan – tutup semua lampu apabila tidak digunakan dan gunakan lampu yang jimat tenaga, kurangkan penggunaan hawa dingin, basuh pakaian dengan muatan penuh dan keringkan pakaian di luar (daripada menggunakan mesin pengering) dan tutup semua alatan elektrik apabila tidak digunakan.
  • Kurangkan sampah – gunakan kertas di kedua-dua belah muka surat (jika dibenarkan, buat catatan tanpa kertas!) dan gunakan kain lampin menggantikan lampin pakai buang.
  • Guna semula atau Kitar semula – jika boleh, jadikan sampah anda baja (yang boleh digunakan untuk menanam sayur anda sendiri!), usahakan kebun sayur dan tukarkan sampah anda kepada duit!
  • Jadikan barang bertahan lebih lama – perbaiki pakaian, kasut digam semula dan baiki barang sebelum ia tidak boleh dibaiki lagi.
  • Cari kegunaan baru untuk barangan lama – cat perabot lama, buat kuilt daripada pakaian lama, dan jadikan meja besar lama kepada meja tulis. Dalam erti kata lain, kitar semula, kitar semula dan kitar semula!
  • Cari barang pengganti yang lebih murah – beli jenama umum, membeli-belah semasa ada jualan murah, menyewa daripada membeli
Anda juga boleh berjimat dengan memenuhi keperluan anda secara kreatif, dengan berkongsi bersama orang lain dan menggunakan sumber awam. Di sini terdapat beberapa cara lagi untuk berjimat:
  • Cari hiburan yang percuma atau murah.
  • Berkongsi dalam pembelian yang besar. Perkongsian boleh membantu anda mendapat apa yang anda perlukan pada kos yang rendah. Sebagai contoh, mungkin anda berkongsi dengan jiran anda sebuah tangga, gerudi elektrik dan mungkin pembersih vakum. Anda juga boleh berkongsi banyak permainan anak anda dengan rakan dan ahli keluarga anda, dan berkongsi kereta untuk pergi dan balik kerja juga adalah satu lagi contoh yang baik. 

  • Bertukar barangan atau perkhidmatan. Ya, kita hidup dalam dunia moden tetapi siapa kata yang kita tidak boleh mengamalkan pertukaran barangan? Sebenarnya anda boleh membuat pertukaran kepada semua jenis barang. Jika anda pandai menggunting rambut dan rakan anda pandai membuat kek, buat pertukaran kemahiran. Anda berdua mendapat apa yang anda perlukan dan anda berdua dapat jimat duit. Fikirkan tentang kemahiran anda, perkara yang anda gemar dan perkara yang anda lakukan dengan baik. Kemudian, fikirkan tentang kemahiran dan bakat rakan, ahli keluarga dan jiran anda. Bertanya kepada mereka yang anda kenali, yang mahu membuat pertukaran dengan anda. Mulakan dengan sesuatu yang mudah dan lihat bagaimana ia berjalan. Siapa tahu, anda mungkin memulakan satu lagi “eBay”!

Bagaimana saya boleh berjimat dalam Hiburan?

Ini adalah satu bahagian yang kita banyak berbelanja tanpa menyedarinya. Walaubagaimanapun, masih boleh mendapat hiburan secara percuma atau hampir percuma. Disebabkan anda cuba berjimat, tidak bermakna anda tidak boleh bergembira. Tidak kira berapa pendapatan anda, luangkan masa untuk relaks dan bergembira (sebab anda hanya hidup sekali!). Malah ia lebih penting apabila anda mempunyai duit yang sedikit. Tanpa keseronokan, sukar untuk hidup sihat. Di sini terdapat beberapa cadangan:
  • Pinjam buku atau hadiri seminar/program percuma yang dianjurkan perpustakaan awam.
  • Daripada pergi ke sinema, sewa video dan cuba buat sendiri kacang putih/biskut.
  • Melawat muzium, zoo atau taman tema dan nikmati udara segar (bergantung di mana anda berada!)
  • Peka dengan konsert, program kanak-kanak dan aktiviti keluarga yang percuma daripada akhbar atau melalui pusat/laman web pelancongan.
  • Ambil kelas yang murah melalui pendidikan komuniti, belajar kemahiran baru atau hidupkan minat lama. Malah anda boleh tukarkan hobi itu kepada bisnes.
  • Hadiri sesi percuma bacaan buku orang dewasa dan kanak-kanak di kedai buku tempatan atau perpustakaan.
  • Berjalan, mengembara dengan berjalan kaki atau berbasikal untuk meneroka suatu yang baru atau melawat tempat kegemaran.
  • Lihat matahari terbit dan terbenam, cari gugusan bintang pada langit atau mungkin, mulakan satu projek bersama keluarga, seperti menanam pokok (pokok durian atau magga memang tepat sekali, kerana ia akan menjimatkan duit anda daripada perlu membeli buah-buahan!)
Jika anda rajin mencari (hanya perlu cari di Internet mengenai “gaya hidup cermat” atau “berjimat”, anda akan kagum dengan apa yang bakal anda jumpa!), terdapat banyak cara untuk menikmati hiburan yang baik dan pada kos yang rendah. Sebenarnya, satu lagi aktiviti yang menarik, yang mungkin anda perlu cuba ialah “memerhati orang”! Duduk di taman atau pusat membeli-belah dan anda perlu cuma perhati apa yang orang lakukan, bagaimana mereka berjalan, bercakap, ketawa dan bagaimana sesetengah ibu bapa “berkomunikasi” dengan anak mereka. Banyak perkara yang dapat dipelajari dengan hanya memerhatikan orang lain dan yang bagusnya, ia adalah PERCUMA!

Kesimpulan

Hidup dengan duit yang sedikit tidak bermakna kehidupan yang serba kekurangan. Ia lebih kepada hidup dengan lebih bermakna dan bersyukur, dan bukan hidup untuk orang lain. Bercermat dalam semua aspek kehidupan adalah asas membina kekayaan. Jika anda berimpian untuk mendapat kebebasan kewangan pada suatu hari nanti, tidak kira tahap atau status pendapatan anda, anda perlu jadikan pengurusan kewangan yang berhemah sebagai cara hidup. 

Wassalam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...