Nuffnang advertisement

Sabtu, 11 Disember 2010

Kita Boleh vs Bolehkah Kita?


1. Kita boleh baca paper / buku / majalah setiap hari. Bolehkah kita baca Quran setiap hari?

2. Kita boleh pergi kerja ontime. Bolehkah kita solat ontime?

3. Kita boleh pastikan anak-anak / anak buah / staf pergi sekolah / kerja ontime. Bolehkah kita pastikan mereka solat ontime?

4. Kita boleh bawa anak-anak ke taman permainan setiap hari. Bolehkah kita bawa anak-anak ke surau setiap hari?

5. Kita boleh pergi / bawa anak / isteri ke pasar setiap minggu. Bolehkah kita pergi / bawa anak / isteri ke kuliah agama setiap minggu?

6. Kita tidak berkira menghantar anak-anak ke tuisyen / kelas matematik / sains / bahasa. Bolehkah kita untuk tidak berkira menghantar mereka ke kelas agama?

7. Kita boleh didik anak-anak untuk kehidupan dunia mereka. Bolehkah kita didik anak-anak untuk kehidupan akhirat mereka?

8. Kita boleh mencari rezeki secara halal. Bolehkah kita belanjakan rezeki secara halal?

9. Kita boleh belajar hal-hal motivasi / kewangan / pelaburan / perniagaan / kejuruteraan secara berterusan. Bolehkah kita belajar agama secara berterusan?

10. Kita boleh belajar motivasi / kewangan / pelaburan / perniagaan / kejuruteraan / agama secara berterusan. Bolehkah kita mengamalkan ilmu tersebut secara berterusan?

11. Kita boleh mencari kebahagiaan / kesenangan / kemewahan kehidupan dunia kita. Bolehkah kita mencari kebahagiaan / kesenangan / kemewahan akhirat kita?

Dunia adalah persinggahan sementara dalam mencari bekal kehidupan akhirat.

Wallahu'alam.

Jumaat, 10 Disember 2010

Penjagaan Kebersihan Diri Mengikut Sunnah

Perlu diketahui bahawa memotong kuku adalah amalan sunat. Jika dilakukan mengikut Islam (sunnah), maka bertambah-tambahlah pahala yang dapat.

Berkata Saidatina Aisyah bermaksud:
Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah iaitu memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja), berkata Zakaria: Aku lupa yang ke-10 kecuali berkumur.(Riwayat Muslim).

Dari Anas bin Malik bermaksud:
Sudah ditentukan waktu kepada kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada 40 malam.(Riwayat Muslim).

Menurut Imam Shafie:
Sunat memotong kuku sebelum mengerjakan solat Jumaat sepertimana disunatkan mandi, bersugi, berharuman, berpakaian kemas sebelum ke masjid.

Rasulullah S.A.W. bersabda bermaksud:
Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersugi, berwangian jika memilikinya dan memakai pakaian yang terbaik, kemudian keluar rumah hingga sampai ke masjid, dia tidak melangkahi orang yang sudah bersaf, kemudian mengerjakan sembahyang apa saja (sembahyang sunat), dia diam ketika imam keluar (berkhutbah) dan tidak berkata-kata hingga selesai mengerjakan sembahyang, maka jadilah penebus dosa antara Jumaat itu dan Jumaat sebelumnya.(Riwayat Ahmad).

Berkata Abu Hurairah R.A. bermaksud:
Nabi Muhammad s.a.w. memotong kuku dan menggunting misai pada hari Jumaat sebelum baginda keluar untuk bersembahyang.(Riwayat al-Bazzar dan al-Tabrani).

Rasulullah s.a.w. bersabda yang ertinya:-Barang siapa yang memotong kukunya pada ;

Hari Sabtu : Nescaya keluar dari dalam tubuhnya ubat dan masuk kepadanya penyakit.

Hari Ahad :Nescaya keluar daripadanya kekayaan dan masuk kemiskinan.

Hari Isnin : Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk sihat

Hari Selasa : Nescaya keluar daripadanya sihat dan masuk penyakit

Hari Rabu : Nescaya keluar daripadanya was-was dan masuk kepadanya kepapaan.

Hari Khamis : Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk kepadanya sembuh dari penyakit.

Hari Jumaat : Nescaya keluar dosa-dosanya seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya dan masuk kepadanya rahmat daripada Allah Taala.

Walaupun tidak ada hadis sahih berkenaan persoalan memotong kuku dan boleh memotong kuku tanpa mengikut hari-hari tertentu. Tetapi, pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat adalah hari yang diutamakan untuk melakukan ibadat sunat. Oleh yang demikian, sunat memotong kuku pada hari-hari tersebut.

Jadi, potong kuku bukan sebarang potong tapi ada kaedahnya. Walaupun ia hanya kuku tapi ia adalah sebahagian dari badan kita yang perlu kita hormati. Misalnya, potong kuku ada adabnya selain ikut hari, kita juga perlu buang kuku tu pada tempat yang tidak kotor sebagaimana yang diajar, eloklah buang ke tanah kerana kita juga adalah unsur tanah, Bukannya tong sampah sekalipun tong sampah tu bersih.


Mulakan potong kuku tu mulai dengan Bismillah dan selawat Nabi dan potong mula dari jari telunjuk sebelah kanan sampai habis tangan kanan, kemudian jari kelingking sebelah kiri sampai ibu jari tangan kiri dan akhir sekali ibu jari tangan kanan.

Kalau kaki pula, mulakan dengan jari kelingking kaki kanan sampai kelingking kaki kiri. Itulah cara memotong kuku cara Islam ( sunnah ) yang paling kuat dipegang selama ini walaupun ada banyak khilafnya.

Wallahu'alam.

Khamis, 9 Disember 2010

Jangan Suka Bertangguh Masa



"Tangguhkan sesuatu perkara yang patut dilakukan hari ini kepada hari esok sekiranya anda sanggup untuk meninggalkan dunia ini dengan membiarkan ia tidak diselesaikan." - Pablo Picasso

Kata-kata motivasi yang sungguh tajam pada saya. Anda sunggup? Kata-kata sinis yang memberikan kesedaran pada kita perlunya menyelesaikan kerja atau amanah secepat yang mungkin. Ramai di antara kita suka bertangguh kerja bukan? Kerja hari ini ditangguh sehingga esok, kerja esok ditangguh lagi sehingga lusa, kerja minggu ini ditangguh minggu depan.

Alamatnya kerja menimbun banyaknya. Tekanan kerja mula terasa. Hanya kerana kita yang tidak menyelesaikannya ketika terluang. Sekalipun kata-kata ini dari Picasso tetapi Islam terlebih dahulu mengajar kepada kita tentang konsep seumpama ini. Fiqh al-awlawiyat adalah cara di mana kita mengutamakan apa yang penting dan Surah Al-Asr dalam Al-Quran dijadikan sebagai pengajaran terhadap masa supaya digunakan dengan betul.

Hayatilah masa dengan sebaik mungkin sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Asr Ayat 1 hingga 3:


"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran" - QS Surah Al-Asr : 1-3

Wassalam.

Rabu, 8 Disember 2010

Lima Pertimbangan Nak Pilih Pelan Takaful

Oleh Ayah.biz di http://janganterlepaspandang.wordpress.com/

1.  Pastikan ada manfaat kad perubatan

Paling utama ialah pembiayaan kos perubatan – hospital, bedah, doktor pakar dan rawatan berterusan. Dalam senario kos perubatan yang makin meningkat di Malaysia, pastikan anda memilih pelan minima RM50,000 setahun dan RM500,000 had seumur hidup.

* Fokus perlindungan pada sakit jantung, kanser, darah tinggi dan kemalangan jalan raya – 4 sebab utama kematian di Malaysia.


2.  Lindungi diri dan pasangan untuk kebajikan keluarga

Kedua, rancang untuk hadapi risiko anda kehilangan pendapatan (tidak mampu bekerja) dan memerlukan dana sara hidup yang berterusan.

Hutang rumah: Pastikan rumah habis dibayar dengan MRTT atau satu pelan takaful keluarga yang khusus.

Saraan harian: Masuk pelan takaful keluarga yang melindungi beban kewangan sekiranya anda ditimpa penyakit kritikal (Critical Illness) atau keilatan kekal (Total Permanent Disability).

Jumlah perlindungan boleh dikira dengan formula

= Wang belanja sebulan x 12 x Jumlah tahun yang diperlukan (minima 1 tahun dan maksima 10 tahun)


3.  Lindungi kebajikan anak-anak

Sekiranya anda mempunyai anak-anak, anda pasti mahu mereka mempunyai dana pendidikan dan saraan hidup yang mencukupi sekiranya  anda atau pasangan sudah tiada atau ditimpa musibah.

Rancang jumlah dana simpanan pendidikan yang mereka perlukan (contohnya RM50,000). Kemudian, tambah perlindungan penyakit kritikal dan keilatan kekal  untuk tujuan dana tambahan atau wang belanja.

Sekarang dengan pelan takaful 3 dalam 1 (kad perubatan, hayat dan simpanan) anda cuma perlu imbangi elemen perlindungan dan simpanan ikut keperluan dan kemampuan.


4.  Yang perlu kemudian yang mampu

Produk-produk takaful sekarang menawarkan manfaat-manfaat tambahan (dikenali sebagai Rider) dan elemen pelaburan dana amanah (investment).

RIDER:

Fahami fungsi-fungsi rider-rider ini dan apa sumbangan dalam portfolio perlindungan anda. Sekiranya bajet terhad, pilih rider yang perlu dahulu. Apabila gaji atau pendapatan meningkat kelak, anda boleh tambah atau masuk pelan takaful yang baru.

Antara rider-rider (banyak rider lain yang tidak disenaraikan atau nama berbeza) ialah:-

* Manfaat pembayar – sekiranya apa-apa terjadi kepada pembayar (contohnya anda sakit kritikal), sumbangan bulanan akan dibayar oleh tabungan takaful peserta.

* Manfaat peserta: untuk pelan anak-anak, kalau mereka sakit, anda tidak perlu sambung bayar. Sumbangan bulanan akan dibayar oleh tabungan takaful peserta.

* Manfaat keilatan kekal/kemalangan: bagi wang tambahan sekiranya anda mengalami musibah-musibah yang tersebut. Anda juga boleh masuk pelan takaful berkelompok yang lain seperti Takaful Mutiara Plus (Bank Persatuan).

* Manfaat kemalangan: kebanyakan rider ini beri dana yang minimum. Mungkin lebih balik jika anda ambil satu pelan takaful Personal Accident yang berasingan.

* Manfaat hospital – anda akan menerima elaun sekiranya anda masuk ke hospital kerana kemalangan atau sakit.

* Manfaat penyakit kritikal – sekiranya anda menghidapi salah-satu dari penyakit kritikal (36  atau 40 jenis ikut definisi syarikat takaful), anda berhak mendapat wang tambahan. Selalunya, rider ini ada 180 hari tempoh pengecualian.

PELABURAN:

Anda juga boleh memilih antara tiga jenis dana amanah yang ditawarkan - bon, seimbang dan ekuiti. Majoriti agen akan cadangkan dana seimbang sebagai pilihan yang berisiko sederhana, seperti Takafulink Dana Urus.

Pelaburan minima ialah RM10 sebulan. Tapi, perlu pertimbangan kerana pulangan pelaburan melalui takaful selalunya rendah (4%) dan tiada aktif monitoring dari majoriti agen yang hanya fokus untuk menjual pelan takaful.


5.  Aktif

Akhir sekali, walau apa pelan yang anda pilih dan sertai, pastikan anda mampu bayar sumbangan bulanan dan tidak ‘lapse’. Lebih baik anda mula dengan RM100 dan mampu terus bayar, daripada anda masuk pelan RM500 tapi anda terpaksa berhenti bayar kerana apa jua sebab.

Pelan sebaik manapun tidak berguna kalau anda gagal membayar kerana perlindungan akan diberhentikan.

Setiap tahun anda juga boleh tuntut sehingga RM6000 (RM500 sebulan) untuk bayaran takaful dari bayaran cukai self-assessment LHDN.

Jadi, pertimbangkan – sertailah takaful.
Mulakan dari sekarang walaupun sikit.
Ingat pesanan orang-orang tua – sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Wassalam.

Jumaat, 3 Disember 2010

Sejarah Islam di sebalik 7 hari seminggu

Allah menjadikan masa dalam seminggu tu ada 7 hari iaitu Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dalam setiap hari itu, ada peristiwa-peristiwa penting yang tercatat dalam diari Islam itu sendiri yang menjadi memori sepanjang zaman.

Hari Isnin

1. Naiknya Nabi Idris ke langit.
2. Nabi Musa a.s berangkat ke Bukit Thursina.
3. Rasulullah s.a.w dilahirkan.
4. Malaikat Jibril turun kepada Rasulullah s.a.w buat kali pertama.
5. Amal perbuatan umat Nabi Muhamad s.a.w. dilaporkan pada hari Isnin.
6. Hari wafatnya junjungan mulia, Nabi Muhamad s.a.w.
7. Bukti keesaan Allah s.w.t., diturunkan "Qul huwallahu ahad"

Surah Al-Ikhlas, surah ke-112 dalam Al-Quran yang besar fadhilatnya.


Hari Selasa

1. Wafatnya Jurjis.
2. Nabi Yahya a.s wafat pada hari ini.
3. Nabi Zakaria wafat pada hari ini juga.
4. Tukang sihir Firaun tewas dengan mukjizat Nabi Musa.
5. Asiah iaitu isteri kepada Firaun wafat pada hari ni.
6. Habil terbunuh pada hari ini.

Hari Rabu

1. Allah menenggelamkan Qarun bersama keluarga dan harta kekayaannya ke dalam perut bumi.
2. Allah menghancurkan Firaun beserta semua pengikut-pengikutnya.
3. Allah menghancurkan Raja Namruz bin Kan'an dengan memasukkan serangga ke dalam telinganya.
4. Allah menghancurkan kaum Nabi Salleh a.s.
5. Allah menghancurkan kaum Nabi Hud a.s dengan hembusan angin yang kuat.

Hari Khamis

1. Nabi Ibrahim a.s. bertemu dengan Raja Mesir.
2. Saudara-saudara Nabi Yusuf a.s. berjumpa dengan Nabi Yusuf a.s. setelah mereka membuang dan mengasingkannya (masa ini, Nabi Yusuf a.s. menjadi Raja Mesir yang terkenal).
3. Bunyamin iaitu saudara kecil Nabi Yusuf a.s. datang ke Mesir dan berjumpa dengan Nabi Yusuf a.s.
4. Nabi Yaakub a.s. datang ke negeri Mesir juga untuk bertemu anakandanya yang dirindui.
5. Nabi Musa a.s memasuki Mesir pada hari Khamis untuk mengajak Firaun menyembah kepada Allah.
6. Rasululllah s.a.w. memasuki Kota Mekah selepas perjanjian hudaibiyah.


Kota Mekah, destinasi impian setiap Muslim.

Hari Jumaat

1. Pernikahan antara Nabi Adam dan Hawa.
2. Pernikahan antara Nabi Yusuf dengan Zulaikha.
3. Pernikahan antara Nabi Musa a.s dan Shafura binti Nabi Syuaib a.s.
4. Pernikahan antara Rasulullah s.a.w dengan Khadijah Khuwailid.
5. Pernikahan antara Nabi Sulaiman a.s dengan Ratu Balqis dari negeri Saba'.
6. Pernikahan antara Rasulullah s.a.w dengan Siti Aisyah binti Abu Bakar.
7. Pernikahan antara Ali bin Abi Talib r.a dengan Fatimah Az-Zahra.

Hari Sabtu

Hari ni pernah disebut oleh Rasulullah s.a.w. sebagai hari tipu daya kerana:
1. Kaum Nabi Nuh membangkang kepada Nabinya.
2. Kaum Nabi Salleh mencabar Nabinya dengan menyembelih unta yang diamanahkan kepada mereka.
3. Saudara-saudara Nabi Yusuf mengkhianati Nabi Yusuf dengan mencampakkannya ke dalam perigi di padang pasir.
4. Raja Firaun mencabar Nabi Musa.
5. Orang-orang Yahudi mengkhianati dan mengejar Nabi Isa a.s untuk membunuhnya. Lalu, Allah mengangkat Nabi Isa ke langit.
6. Orang-orang Quraisy menipu dan mencabar Nabi Muhammad s.a.w. di Darun Nadwah.
7. Kaum Yahudi melanggar perintah Allah s.w.t. dengan menangkap ikan walaupun hari itu dilarang mereka berbuat demikian.

Hari Ahad

1. Allah menjadikan neraka.
2. Allah mencipta bumi yang tujuh lapis.
3. Allah mencipta langit yang tujuh lapis.
4. Allah menjadikan 7 anggota Adam.
5. Allah menjadikan bilangan hari yang tujuh.
6. Allah menjadikan bintang-bintang yang beredar.
7. Allah menjadikan lautan yang tujuh.

Allah menjadikan pertukaran hari siang ke malam sebagai tanda kekuasaanNya.

Diantara hari-hari yang tujuh itu, hari Jumaat adalah hari yang paling mulia dan digelar penghulu bagi segala hari. Banyak fadhilat yang boleh kita perolehi pada hari Jumaat.

Begitulah peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada sekian-sekian hari. Hanya dengan mengimbas kembali lipatan Sirah Nabawiyah, barulah kita dapat gambaran sepenuhnya. Alangkah baiknya kalau kita berada di bumi anbiya. Bolehlah kita menuruti sejarah-sejarah silam, zaman pemerintahan nabi-nabi.

Wallahu'alam.

Khamis, 2 Disember 2010

Larangan dan Galakan Dalam Hubungan Suami Isteri Mengikut Sunnah Rasulullah S.A.W.


Daripada Abu Said Al-Khudri bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berwasiat kepada menantunya Ali bin Abi Thalib r.a.:

"Wahai Ali, jika isterimu memasuki rumahmu, hendaklah melepaskan sandalnya ketika ia duduk, membasuh kedua kakinya, menyiramkan air dimulai dari pintu rumahmu sampai ke sekeliling rumahmu. Kerana dengan hal itu Allah s.w.t. mengeluarkan dari rumahmu 70,000 macam kefakiran dan memasukkan ke dalamnya 70,000 macam kekayaan, 70,000 macam keberkatan, menurunkan kepadamu 70,000 macam rahmat yang meliputi isterimu, sehingga rumahmu diliputi oleh keberkatan dan isterimu diselamatkan dari berbagai macam penyakit selama ia berada di rumahmu."

"Cegahlah isterimu (selama seminggu dari awal perkahwinan) minum susu dan cuka, makan Kuzbarah (sejenis rempah-rempah, ketumbar) dan epal yang masam." Ali bertanya: "Ya Rasulullah, mengapa ia dilarang dari empat hal tersebut?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Empat hal tersebut dapat menyebabkan isterimu mandul dan tidak membuahkan keturunan. Sementara tikar di rumahmu lebih baik dari perempuan yang mandul." Kemudian Ali r.a. bertanya: "Ya Rasulullah, mengapa dia tidak boleh minum cuka?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Cuka dapat menyebabkan tidak sempurna kesucian dari haidnya; Kuzbarah menyebabkan darah haid berakibat negatif terhadap kandungannya dan mempersulit kelahiran; sedangkan epal yang  masam dapat menyebabkan darah haid terputus sehingga menimbulkan penyakit baginya."

Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda:

(Waktu Berjimak Yang Dilarang)
  1. Wahai Ali! Janganlah kamu menggauli isterimu pada awal bulan, pertengahan bulan dan akhir bulan, kerana hal itu mempercepatkan datangnya penyakit gila, kusta dan kerosakan saraf padanya dan keturunannya.
  2.  Wahai Ali! Janganlah kamu menggauli isterimu sesudah Zuhur, kerana hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan jiwa anak mudah goncang dan syaitan sangat menyukai manusia yang jiwanya goncang.
  3. Wahai Ali! Janganlah kamu menggauli isterimu sambil berbicara, kerana hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan kebisuan. Dan janganlah seorang suami melihat kemaluan isterinya, hendaklah memejamkan mata ketika berhubungan, kerana melihat kemaluan dapat menyebabkan kebutaan pada anak.
  4. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu dengan dorongan syahwat pada wanita lain (membayangkan perempuan lain), kerana (bila dikurniai anak) dikhuatirkan memiliki mental seperti wanita itu dan memiliki gangguan psikologi.
  5. Wahai Ali! Barangsiapa yang bercumbuan dengan isterinya di tempat tidur, janganlah sambil membaca Al-Quran, kerana aku khuatir turun api dari langit lalu membakar keduanya.
  6. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu dalam keadaan telanjang bulat, juga isterimu, kerana khuatir tidak tercipta keseimbangan syahwat yang akhirnya menimbulkan perselisihan di antara kalian berdua, kemudian menyebabkan perceraian.
  7. Wahai Ali! Janganlah menggauli isterimu dalam keadaan berdiri, kerana hal itu merupakan sebahagian dari perilaku anak keldai, dan (bila dianugerahi anak) dia suka kencing di tempat tidur seperti anak keldai kencing di sembarangan tempat.
  8. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu pada malam Aidil Fitri, kerana hal itu (bila dikurniai anak) dapat menyebabkan anak memiliki banyak keburukan.
  9. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu pada malam Aidil Adha, kerana (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan jari-jarinya tidak sempurna, enam atau empat jari-jari.
  10. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu di bawah pohon yang berbuah, kerana hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan dia menjadi seorang tukang sebat atau pembunuh atau tukang sihir.
  11. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu di bawah langsung sinar matahari kecuali tertutup oleh tirai, kerana hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan kesengsaraan dan kefakiran sampai dia meninggal.
  12. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu di antara azan dan iqamah, kerana hal itu (bila dikurniai anak) dapat menyebabkan dia suka melakukan pertumpahan darah.
  13. Wahai Ali! Jika isterimu hamil, janganlah menggaulinya kecuali kamu dalam keadaan berwuduk, kerana hal itu (bila dikurniai anak) dapat menyebabkan dia buta hatinya dan bakhil tangannya.
  14. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu pada malam Nisfu Syaaban, kerana hal itu (bila dikurniai anak) dapat menyebabkan tidak bagus fizikalnya, mempunyai tanda yang jelek pada kulit dan wajahnya.
  15. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu pada akhir bulan (2 hari terakhir), kerana hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan dia suka berkerjasama dan menolong orang yang zalim dan menjadi perosak persatuan kaum muslimin.
  16. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu di atas loteng bangunan (yang tidak beratap), kerana hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan dia menjadi orang munafik, riak dan pelampau yang melewati batas.
  17. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu ketika hendak keluar bermusafir, jangan menggaulinya pada malam itu, kerana hal itu (bila dikurniai anak) dapat menyebabkan dia suka membelanjakan harta pada jalan yang tidak benar (pemboros). Kemudian Rasulullah s.a.w. membacakan firman Allah s.w.t.: "Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan." (Al-Isra':27)
  18. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu jika kamu hendak bermusafir 3 hari 3 malam, kerana hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan dia menjadi penolong orang yang zalim.
  19. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu pada awal waktu malam, kerana hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan dia menjadi orang yang tidak beriman, menjadi tukang sihir yang akibatnya buruk di dunia hingga di akhirat.
(Waktu Berjimak Yang Digalakkan)
  1. Wahai Ali! Gaulilah isterimu pada malam Isnin, kerana hal itu (bila dikurniai anak) dapat menyebabkan dia menjadi pemelihara Al-Quran dan redha terhadap pemberian Allah s.w.t.
  2. Wahai Ali! Jika kamu menggauli isterimu pada malam Selasa, hal itu (bila dikurniai anak) dapat menyebabkan dia dianugerahi Syahadah setelah bersaksi "Sesungguhnya tiada tuhan kecuali Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah", tidak diazab oleh Allah s.w.t. bersama orang-orang yang musyrik. Mulutnya berbau harum, hatinya penyayang, tangannya dermawan dan lisannya suci daripada mengumpat, berdusta dan mengadu domba.
  3. Wahai Ali! Jika kamu menggauli isterimu pada malam Khamis, hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan dia menjadi seorang yang bijaksana di kalangan yang bijaksana dan orang yang alim.
  4. Wahai Ali! Jika kamu menggauli isterimu pada hari Khamis setelah tergelincir matahari, hal itu (bila dikurniai anak) dapat menyebabkan dia tidak dihampiri oleh syaitan sehingga dia tua, menjadi orang yang mudah faham dan dianugerahi oleh Allah s.w.t. keselamatan dalam agama dan di dunia.
  5. Wahai Ali! Jika kamu menggauli isterimu pada malam Jumaat, hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan dia menjadi seorang pemidato yang berwibawa dan petah. Jika kamu menggauli isterimu pada hari Jumaat selepas Asar, (bila dikurniai anak) dapat menyebabkan dia menjadi orang terkenal, termasyhur dan alim. Jika kamu menggauli isterimu pada malam Jumaat selepas Isyak, maka diharapkan kamu memiliki anak yang terkemuka, insya Allah.
  6. Jika kamu menggauli isterimu pada waktu-waktu tersebut, bacalah doa berlindung daripada syaitan. Jika dikurniakan anak, dia tidak akan dimudaratkan oleh syaitan selama-lamanya.
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Wahai Ali! Peliharalah wasiatku ini sebagaimana aku memeliharanya dari Jibrail a.s."

(Kitab Makarimul Akhlaq : 210-212)

Wallahu'alam.

Rabu, 1 Disember 2010

Panduan Memilih Pelan Perlindungan Insurans/Takaful

Jika dilihat senario masa kini, masih ramai antara kita yang belum memiliki pelan perlindungan insurans/takaful. Tidak kiralah pakej sama ada insurans nyawa, perubatan, pendidikan mahupun pelaburan, kepentingan memiliki insurans/takaful masih 'kabur' di mata kebanyakan masyarakat di Malaysia.

Situasi ini jelas menunjukkan amalan memiliki insurans/takaful masih baru berikutan tiada didikan serta kesedaran pentingnya dilindungi pakej insurans/takaful. Apatah lagi dalam persekitaran hidup era ini yang mencabar baik dari aspek ekonomi, keselamatan dan juga kesihatan.

Bagi sesetengah pihak, insurans/takaful dilihat sebagai beban. Ini kerana mereka terpaksa memperuntukkan sebahagian daripada gaji untuk membayar premium/sumbangan, sedangkan pulangan dan manfaatnya entah bila boleh dinikmati. Apabila berlaku sesuatu kejadian mahupun malapetaka, barulah kepentingan dan faedah polisi insurans/takaful dapat dimanfaatkan.

Faktor 'sayangkan duit' sering menjadi punca enggan memiliki polisi insurans/takaful. Bagi segelintir pihak, purata bayaran premium/sumbangan serendah RM100, RM150 atau RM300 sebulan dilihat sebagai beban. Ini membentuk mentaliti masyarakat yang sering mengelak setiap kali didatangi ejen insurans/takaful.

Suami yang menjadi harapan keluarga malah bertindak sebagai ketua adalah individu penting yang perlu dilindungi insurans/takaful. Bukan mahu memperjudikan nyawa serta meletakkan beban di bahu pihak suami semata-mata, ia sebenarnya berbalik kepada kesan jangka panjang serta perlindungan yang bakal dinikmati mereka sendiri.

Apakah Punca Sebenar Orang Ramai Enggan Memiliki Insurans?

Punca utama adalah faktor kewangan. Apatah lagi kesan ekonomi dunia yang secara tidak langsung memberi pengaruh besar dalam perbelanjaan harian masyarakat. Ini lebih dirasai oleh pihak suami yang menjadi ketua keluarga lebih-lebih lagi jika isteri tidak bekerja dan membesarkan anak-anak di kota-kota besar seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Diakui sukar untuk suami menanggung kos kehidupan yang tinggi di kota serta pada masa yang sama memiliki insurans/takaful keluarga.

Apakah Masih Ada Peluang Golongan Seumpama Ini Memiliki Insurans?

Ya, masih ada. Ia berbalik kepada faktor kesedaran itu sendiri. Jika lelaki sebagai ketua keluarga menyedari akan kepentingan dirinya sebagai tunggak masa depan diri serta keluarga, insurans/takaful adalah jawapan terbaik dalam memastikan nasib keluarga adalah terjamin. Bayangkan apabila diri tidak dilindungi insurans/takaful, apa yang akan terjadi kepada nasib diri serta keluarganya pada masa depan?

Pandangan Negatif Mengenai Insurans/Takaful

Suatu ketika dulu, bila bercakap mengenai insurans/takaful, orang akan melihat sebagai perlindungan kematian. Orang tidak berminat untuk bercerita mengenai kematian. Itu cerita 10 tahun dulu di mana pakej insurans banyak menjurus kepada pelan insurans nyawa yang memberi imbuhan kepada ahli keluarga jika pemilik insurans meninggal dunia. Sekarang, banyak pakej yang boleh dinikmati oleh pemilik insurans seperti bantuan perubatan, kad perubatan, kecemasan, pakej simpanan pendidikan serta persaraan dan sebagainya. 




Bagaimana Kita Ingin Mengetahui Kelebihan Sesuatu Pakej Insurans/Takaful Itu Sendiri?

Penting untuk setiap daripada kita mengenali pakej insurans/takaful yang ditawarkan. Selidiki latar belakang syarikat insurans/takaful serta kelebihan yang bakal dinikmati daripada pelaburan yang kita lakukan. Jangan sesekali terpedaya dengan tawaran serta pakej murah yang menawarkan insurans/takaful tanpa mengetahui butiran lanjut serta tuntutan yang boleh dibuat di kemudian hari.

Apakah Yang Bakal Dinikmati Jika Memiliki Insurans/Takaful?

Bukan sahaja faedah dirinya dilindungi, bahkan pemilik insurans/takaful lazimnya dibekal kad perubatan yang melayakkan dirinya menerima rawatan pilihan segera di panel hospital pakar swasta selain hospital kerajaan. Hanya perlu menunjukkan kad perubatan insurans/takaful, pesakit layak mendapatkan rawatan daripada doktor pakar berbanding mereka yang tidak memiliki insurans/takaful. Bukan itu saja, sepanjang menerima rawatan di hospital, pemilik insurans/takaful juga menerima elaun tunai tinggal di wad hospital. Bukankah ini menarik?


Kenapa Saya Harus Miliki Insurans/Takaful?

  1. Sebagai persediaan jika ditimpa musibah. Saya tidak tahu bila kemalangan akan menimpa.
  2. Memiliki insurans/takaful ketika masih muda dan sihat boleh mendapat pulangan lebih tinggi apabila tempoh matang insurans/takaful.
  3. Sebagai simpanan masa depan untuk bekalan persaraan.
  4. Kos pengajian di universiti semakin tinggi. Anak saya perlu memiliki insurans/takaful untuk meringankan beban saya kelak bagi menampung kos pendidikannya.
  5. Jadi peninggalan untuk anak dan waris jika saya meninggal dunia akibat musibah.
  6. Insurans/takaful kesihatan perlu untuk menampung kos perubatan dan rawatan yang tinggi sekiranya saya dimasukkan ke hospital.
Wassalam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...