Nuffnang advertisement

Rabu, 8 Disember 2010

Lima Pertimbangan Nak Pilih Pelan Takaful

Oleh Ayah.biz di http://janganterlepaspandang.wordpress.com/

1.  Pastikan ada manfaat kad perubatan

Paling utama ialah pembiayaan kos perubatan – hospital, bedah, doktor pakar dan rawatan berterusan. Dalam senario kos perubatan yang makin meningkat di Malaysia, pastikan anda memilih pelan minima RM50,000 setahun dan RM500,000 had seumur hidup.

* Fokus perlindungan pada sakit jantung, kanser, darah tinggi dan kemalangan jalan raya – 4 sebab utama kematian di Malaysia.


2.  Lindungi diri dan pasangan untuk kebajikan keluarga

Kedua, rancang untuk hadapi risiko anda kehilangan pendapatan (tidak mampu bekerja) dan memerlukan dana sara hidup yang berterusan.

Hutang rumah: Pastikan rumah habis dibayar dengan MRTT atau satu pelan takaful keluarga yang khusus.

Saraan harian: Masuk pelan takaful keluarga yang melindungi beban kewangan sekiranya anda ditimpa penyakit kritikal (Critical Illness) atau keilatan kekal (Total Permanent Disability).

Jumlah perlindungan boleh dikira dengan formula

= Wang belanja sebulan x 12 x Jumlah tahun yang diperlukan (minima 1 tahun dan maksima 10 tahun)


3.  Lindungi kebajikan anak-anak

Sekiranya anda mempunyai anak-anak, anda pasti mahu mereka mempunyai dana pendidikan dan saraan hidup yang mencukupi sekiranya  anda atau pasangan sudah tiada atau ditimpa musibah.

Rancang jumlah dana simpanan pendidikan yang mereka perlukan (contohnya RM50,000). Kemudian, tambah perlindungan penyakit kritikal dan keilatan kekal  untuk tujuan dana tambahan atau wang belanja.

Sekarang dengan pelan takaful 3 dalam 1 (kad perubatan, hayat dan simpanan) anda cuma perlu imbangi elemen perlindungan dan simpanan ikut keperluan dan kemampuan.


4.  Yang perlu kemudian yang mampu

Produk-produk takaful sekarang menawarkan manfaat-manfaat tambahan (dikenali sebagai Rider) dan elemen pelaburan dana amanah (investment).

RIDER:

Fahami fungsi-fungsi rider-rider ini dan apa sumbangan dalam portfolio perlindungan anda. Sekiranya bajet terhad, pilih rider yang perlu dahulu. Apabila gaji atau pendapatan meningkat kelak, anda boleh tambah atau masuk pelan takaful yang baru.

Antara rider-rider (banyak rider lain yang tidak disenaraikan atau nama berbeza) ialah:-

* Manfaat pembayar – sekiranya apa-apa terjadi kepada pembayar (contohnya anda sakit kritikal), sumbangan bulanan akan dibayar oleh tabungan takaful peserta.

* Manfaat peserta: untuk pelan anak-anak, kalau mereka sakit, anda tidak perlu sambung bayar. Sumbangan bulanan akan dibayar oleh tabungan takaful peserta.

* Manfaat keilatan kekal/kemalangan: bagi wang tambahan sekiranya anda mengalami musibah-musibah yang tersebut. Anda juga boleh masuk pelan takaful berkelompok yang lain seperti Takaful Mutiara Plus (Bank Persatuan).

* Manfaat kemalangan: kebanyakan rider ini beri dana yang minimum. Mungkin lebih balik jika anda ambil satu pelan takaful Personal Accident yang berasingan.

* Manfaat hospital – anda akan menerima elaun sekiranya anda masuk ke hospital kerana kemalangan atau sakit.

* Manfaat penyakit kritikal – sekiranya anda menghidapi salah-satu dari penyakit kritikal (36  atau 40 jenis ikut definisi syarikat takaful), anda berhak mendapat wang tambahan. Selalunya, rider ini ada 180 hari tempoh pengecualian.

PELABURAN:

Anda juga boleh memilih antara tiga jenis dana amanah yang ditawarkan - bon, seimbang dan ekuiti. Majoriti agen akan cadangkan dana seimbang sebagai pilihan yang berisiko sederhana, seperti Takafulink Dana Urus.

Pelaburan minima ialah RM10 sebulan. Tapi, perlu pertimbangan kerana pulangan pelaburan melalui takaful selalunya rendah (4%) dan tiada aktif monitoring dari majoriti agen yang hanya fokus untuk menjual pelan takaful.


5.  Aktif

Akhir sekali, walau apa pelan yang anda pilih dan sertai, pastikan anda mampu bayar sumbangan bulanan dan tidak ‘lapse’. Lebih baik anda mula dengan RM100 dan mampu terus bayar, daripada anda masuk pelan RM500 tapi anda terpaksa berhenti bayar kerana apa jua sebab.

Pelan sebaik manapun tidak berguna kalau anda gagal membayar kerana perlindungan akan diberhentikan.

Setiap tahun anda juga boleh tuntut sehingga RM6000 (RM500 sebulan) untuk bayaran takaful dari bayaran cukai self-assessment LHDN.

Jadi, pertimbangkan – sertailah takaful.
Mulakan dari sekarang walaupun sikit.
Ingat pesanan orang-orang tua – sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Wassalam.

Jumaat, 3 Disember 2010

Sejarah Islam di sebalik 7 hari seminggu

Allah menjadikan masa dalam seminggu tu ada 7 hari iaitu Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dalam setiap hari itu, ada peristiwa-peristiwa penting yang tercatat dalam diari Islam itu sendiri yang menjadi memori sepanjang zaman.

Hari Isnin

1. Naiknya Nabi Idris ke langit.
2. Nabi Musa a.s berangkat ke Bukit Thursina.
3. Rasulullah s.a.w dilahirkan.
4. Malaikat Jibril turun kepada Rasulullah s.a.w buat kali pertama.
5. Amal perbuatan umat Nabi Muhamad s.a.w. dilaporkan pada hari Isnin.
6. Hari wafatnya junjungan mulia, Nabi Muhamad s.a.w.
7. Bukti keesaan Allah s.w.t., diturunkan "Qul huwallahu ahad"

Surah Al-Ikhlas, surah ke-112 dalam Al-Quran yang besar fadhilatnya.


Hari Selasa

1. Wafatnya Jurjis.
2. Nabi Yahya a.s wafat pada hari ini.
3. Nabi Zakaria wafat pada hari ini juga.
4. Tukang sihir Firaun tewas dengan mukjizat Nabi Musa.
5. Asiah iaitu isteri kepada Firaun wafat pada hari ni.
6. Habil terbunuh pada hari ini.

Hari Rabu

1. Allah menenggelamkan Qarun bersama keluarga dan harta kekayaannya ke dalam perut bumi.
2. Allah menghancurkan Firaun beserta semua pengikut-pengikutnya.
3. Allah menghancurkan Raja Namruz bin Kan'an dengan memasukkan serangga ke dalam telinganya.
4. Allah menghancurkan kaum Nabi Salleh a.s.
5. Allah menghancurkan kaum Nabi Hud a.s dengan hembusan angin yang kuat.

Hari Khamis

1. Nabi Ibrahim a.s. bertemu dengan Raja Mesir.
2. Saudara-saudara Nabi Yusuf a.s. berjumpa dengan Nabi Yusuf a.s. setelah mereka membuang dan mengasingkannya (masa ini, Nabi Yusuf a.s. menjadi Raja Mesir yang terkenal).
3. Bunyamin iaitu saudara kecil Nabi Yusuf a.s. datang ke Mesir dan berjumpa dengan Nabi Yusuf a.s.
4. Nabi Yaakub a.s. datang ke negeri Mesir juga untuk bertemu anakandanya yang dirindui.
5. Nabi Musa a.s memasuki Mesir pada hari Khamis untuk mengajak Firaun menyembah kepada Allah.
6. Rasululllah s.a.w. memasuki Kota Mekah selepas perjanjian hudaibiyah.


Kota Mekah, destinasi impian setiap Muslim.

Hari Jumaat

1. Pernikahan antara Nabi Adam dan Hawa.
2. Pernikahan antara Nabi Yusuf dengan Zulaikha.
3. Pernikahan antara Nabi Musa a.s dan Shafura binti Nabi Syuaib a.s.
4. Pernikahan antara Rasulullah s.a.w dengan Khadijah Khuwailid.
5. Pernikahan antara Nabi Sulaiman a.s dengan Ratu Balqis dari negeri Saba'.
6. Pernikahan antara Rasulullah s.a.w dengan Siti Aisyah binti Abu Bakar.
7. Pernikahan antara Ali bin Abi Talib r.a dengan Fatimah Az-Zahra.

Hari Sabtu

Hari ni pernah disebut oleh Rasulullah s.a.w. sebagai hari tipu daya kerana:
1. Kaum Nabi Nuh membangkang kepada Nabinya.
2. Kaum Nabi Salleh mencabar Nabinya dengan menyembelih unta yang diamanahkan kepada mereka.
3. Saudara-saudara Nabi Yusuf mengkhianati Nabi Yusuf dengan mencampakkannya ke dalam perigi di padang pasir.
4. Raja Firaun mencabar Nabi Musa.
5. Orang-orang Yahudi mengkhianati dan mengejar Nabi Isa a.s untuk membunuhnya. Lalu, Allah mengangkat Nabi Isa ke langit.
6. Orang-orang Quraisy menipu dan mencabar Nabi Muhammad s.a.w. di Darun Nadwah.
7. Kaum Yahudi melanggar perintah Allah s.w.t. dengan menangkap ikan walaupun hari itu dilarang mereka berbuat demikian.

Hari Ahad

1. Allah menjadikan neraka.
2. Allah mencipta bumi yang tujuh lapis.
3. Allah mencipta langit yang tujuh lapis.
4. Allah menjadikan 7 anggota Adam.
5. Allah menjadikan bilangan hari yang tujuh.
6. Allah menjadikan bintang-bintang yang beredar.
7. Allah menjadikan lautan yang tujuh.

Allah menjadikan pertukaran hari siang ke malam sebagai tanda kekuasaanNya.

Diantara hari-hari yang tujuh itu, hari Jumaat adalah hari yang paling mulia dan digelar penghulu bagi segala hari. Banyak fadhilat yang boleh kita perolehi pada hari Jumaat.

Begitulah peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada sekian-sekian hari. Hanya dengan mengimbas kembali lipatan Sirah Nabawiyah, barulah kita dapat gambaran sepenuhnya. Alangkah baiknya kalau kita berada di bumi anbiya. Bolehlah kita menuruti sejarah-sejarah silam, zaman pemerintahan nabi-nabi.

Wallahu'alam.

Khamis, 2 Disember 2010

Larangan dan Galakan Dalam Hubungan Suami Isteri Mengikut Sunnah Rasulullah S.A.W.


Daripada Abu Said Al-Khudri bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berwasiat kepada menantunya Ali bin Abi Thalib r.a.:

"Wahai Ali, jika isterimu memasuki rumahmu, hendaklah melepaskan sandalnya ketika ia duduk, membasuh kedua kakinya, menyiramkan air dimulai dari pintu rumahmu sampai ke sekeliling rumahmu. Kerana dengan hal itu Allah s.w.t. mengeluarkan dari rumahmu 70,000 macam kefakiran dan memasukkan ke dalamnya 70,000 macam kekayaan, 70,000 macam keberkatan, menurunkan kepadamu 70,000 macam rahmat yang meliputi isterimu, sehingga rumahmu diliputi oleh keberkatan dan isterimu diselamatkan dari berbagai macam penyakit selama ia berada di rumahmu."

"Cegahlah isterimu (selama seminggu dari awal perkahwinan) minum susu dan cuka, makan Kuzbarah (sejenis rempah-rempah, ketumbar) dan epal yang masam." Ali bertanya: "Ya Rasulullah, mengapa ia dilarang dari empat hal tersebut?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Empat hal tersebut dapat menyebabkan isterimu mandul dan tidak membuahkan keturunan. Sementara tikar di rumahmu lebih baik dari perempuan yang mandul." Kemudian Ali r.a. bertanya: "Ya Rasulullah, mengapa dia tidak boleh minum cuka?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Cuka dapat menyebabkan tidak sempurna kesucian dari haidnya; Kuzbarah menyebabkan darah haid berakibat negatif terhadap kandungannya dan mempersulit kelahiran; sedangkan epal yang  masam dapat menyebabkan darah haid terputus sehingga menimbulkan penyakit baginya."

Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda:

(Waktu Berjimak Yang Dilarang)
  1. Wahai Ali! Janganlah kamu menggauli isterimu pada awal bulan, pertengahan bulan dan akhir bulan, kerana hal itu mempercepatkan datangnya penyakit gila, kusta dan kerosakan saraf padanya dan keturunannya.
  2.  Wahai Ali! Janganlah kamu menggauli isterimu sesudah Zuhur, kerana hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan jiwa anak mudah goncang dan syaitan sangat menyukai manusia yang jiwanya goncang.
  3. Wahai Ali! Janganlah kamu menggauli isterimu sambil berbicara, kerana hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan kebisuan. Dan janganlah seorang suami melihat kemaluan isterinya, hendaklah memejamkan mata ketika berhubungan, kerana melihat kemaluan dapat menyebabkan kebutaan pada anak.
  4. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu dengan dorongan syahwat pada wanita lain (membayangkan perempuan lain), kerana (bila dikurniai anak) dikhuatirkan memiliki mental seperti wanita itu dan memiliki gangguan psikologi.
  5. Wahai Ali! Barangsiapa yang bercumbuan dengan isterinya di tempat tidur, janganlah sambil membaca Al-Quran, kerana aku khuatir turun api dari langit lalu membakar keduanya.
  6. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu dalam keadaan telanjang bulat, juga isterimu, kerana khuatir tidak tercipta keseimbangan syahwat yang akhirnya menimbulkan perselisihan di antara kalian berdua, kemudian menyebabkan perceraian.
  7. Wahai Ali! Janganlah menggauli isterimu dalam keadaan berdiri, kerana hal itu merupakan sebahagian dari perilaku anak keldai, dan (bila dianugerahi anak) dia suka kencing di tempat tidur seperti anak keldai kencing di sembarangan tempat.
  8. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu pada malam Aidil Fitri, kerana hal itu (bila dikurniai anak) dapat menyebabkan anak memiliki banyak keburukan.
  9. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu pada malam Aidil Adha, kerana (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan jari-jarinya tidak sempurna, enam atau empat jari-jari.
  10. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu di bawah pohon yang berbuah, kerana hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan dia menjadi seorang tukang sebat atau pembunuh atau tukang sihir.
  11. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu di bawah langsung sinar matahari kecuali tertutup oleh tirai, kerana hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan kesengsaraan dan kefakiran sampai dia meninggal.
  12. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu di antara azan dan iqamah, kerana hal itu (bila dikurniai anak) dapat menyebabkan dia suka melakukan pertumpahan darah.
  13. Wahai Ali! Jika isterimu hamil, janganlah menggaulinya kecuali kamu dalam keadaan berwuduk, kerana hal itu (bila dikurniai anak) dapat menyebabkan dia buta hatinya dan bakhil tangannya.
  14. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu pada malam Nisfu Syaaban, kerana hal itu (bila dikurniai anak) dapat menyebabkan tidak bagus fizikalnya, mempunyai tanda yang jelek pada kulit dan wajahnya.
  15. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu pada akhir bulan (2 hari terakhir), kerana hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan dia suka berkerjasama dan menolong orang yang zalim dan menjadi perosak persatuan kaum muslimin.
  16. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu di atas loteng bangunan (yang tidak beratap), kerana hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan dia menjadi orang munafik, riak dan pelampau yang melewati batas.
  17. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu ketika hendak keluar bermusafir, jangan menggaulinya pada malam itu, kerana hal itu (bila dikurniai anak) dapat menyebabkan dia suka membelanjakan harta pada jalan yang tidak benar (pemboros). Kemudian Rasulullah s.a.w. membacakan firman Allah s.w.t.: "Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan." (Al-Isra':27)
  18. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu jika kamu hendak bermusafir 3 hari 3 malam, kerana hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan dia menjadi penolong orang yang zalim.
  19. Wahai Ali! Jangan menggauli isterimu pada awal waktu malam, kerana hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan dia menjadi orang yang tidak beriman, menjadi tukang sihir yang akibatnya buruk di dunia hingga di akhirat.
(Waktu Berjimak Yang Digalakkan)
  1. Wahai Ali! Gaulilah isterimu pada malam Isnin, kerana hal itu (bila dikurniai anak) dapat menyebabkan dia menjadi pemelihara Al-Quran dan redha terhadap pemberian Allah s.w.t.
  2. Wahai Ali! Jika kamu menggauli isterimu pada malam Selasa, hal itu (bila dikurniai anak) dapat menyebabkan dia dianugerahi Syahadah setelah bersaksi "Sesungguhnya tiada tuhan kecuali Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah", tidak diazab oleh Allah s.w.t. bersama orang-orang yang musyrik. Mulutnya berbau harum, hatinya penyayang, tangannya dermawan dan lisannya suci daripada mengumpat, berdusta dan mengadu domba.
  3. Wahai Ali! Jika kamu menggauli isterimu pada malam Khamis, hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan dia menjadi seorang yang bijaksana di kalangan yang bijaksana dan orang yang alim.
  4. Wahai Ali! Jika kamu menggauli isterimu pada hari Khamis setelah tergelincir matahari, hal itu (bila dikurniai anak) dapat menyebabkan dia tidak dihampiri oleh syaitan sehingga dia tua, menjadi orang yang mudah faham dan dianugerahi oleh Allah s.w.t. keselamatan dalam agama dan di dunia.
  5. Wahai Ali! Jika kamu menggauli isterimu pada malam Jumaat, hal itu (bila dianugerahi anak) dapat menyebabkan dia menjadi seorang pemidato yang berwibawa dan petah. Jika kamu menggauli isterimu pada hari Jumaat selepas Asar, (bila dikurniai anak) dapat menyebabkan dia menjadi orang terkenal, termasyhur dan alim. Jika kamu menggauli isterimu pada malam Jumaat selepas Isyak, maka diharapkan kamu memiliki anak yang terkemuka, insya Allah.
  6. Jika kamu menggauli isterimu pada waktu-waktu tersebut, bacalah doa berlindung daripada syaitan. Jika dikurniakan anak, dia tidak akan dimudaratkan oleh syaitan selama-lamanya.
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Wahai Ali! Peliharalah wasiatku ini sebagaimana aku memeliharanya dari Jibrail a.s."

(Kitab Makarimul Akhlaq : 210-212)

Wallahu'alam.

Rabu, 1 Disember 2010

Panduan Memilih Pelan Perlindungan Insurans/Takaful

Jika dilihat senario masa kini, masih ramai antara kita yang belum memiliki pelan perlindungan insurans/takaful. Tidak kiralah pakej sama ada insurans nyawa, perubatan, pendidikan mahupun pelaburan, kepentingan memiliki insurans/takaful masih 'kabur' di mata kebanyakan masyarakat di Malaysia.

Situasi ini jelas menunjukkan amalan memiliki insurans/takaful masih baru berikutan tiada didikan serta kesedaran pentingnya dilindungi pakej insurans/takaful. Apatah lagi dalam persekitaran hidup era ini yang mencabar baik dari aspek ekonomi, keselamatan dan juga kesihatan.

Bagi sesetengah pihak, insurans/takaful dilihat sebagai beban. Ini kerana mereka terpaksa memperuntukkan sebahagian daripada gaji untuk membayar premium/sumbangan, sedangkan pulangan dan manfaatnya entah bila boleh dinikmati. Apabila berlaku sesuatu kejadian mahupun malapetaka, barulah kepentingan dan faedah polisi insurans/takaful dapat dimanfaatkan.

Faktor 'sayangkan duit' sering menjadi punca enggan memiliki polisi insurans/takaful. Bagi segelintir pihak, purata bayaran premium/sumbangan serendah RM100, RM150 atau RM300 sebulan dilihat sebagai beban. Ini membentuk mentaliti masyarakat yang sering mengelak setiap kali didatangi ejen insurans/takaful.

Suami yang menjadi harapan keluarga malah bertindak sebagai ketua adalah individu penting yang perlu dilindungi insurans/takaful. Bukan mahu memperjudikan nyawa serta meletakkan beban di bahu pihak suami semata-mata, ia sebenarnya berbalik kepada kesan jangka panjang serta perlindungan yang bakal dinikmati mereka sendiri.

Apakah Punca Sebenar Orang Ramai Enggan Memiliki Insurans?

Punca utama adalah faktor kewangan. Apatah lagi kesan ekonomi dunia yang secara tidak langsung memberi pengaruh besar dalam perbelanjaan harian masyarakat. Ini lebih dirasai oleh pihak suami yang menjadi ketua keluarga lebih-lebih lagi jika isteri tidak bekerja dan membesarkan anak-anak di kota-kota besar seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Diakui sukar untuk suami menanggung kos kehidupan yang tinggi di kota serta pada masa yang sama memiliki insurans/takaful keluarga.

Apakah Masih Ada Peluang Golongan Seumpama Ini Memiliki Insurans?

Ya, masih ada. Ia berbalik kepada faktor kesedaran itu sendiri. Jika lelaki sebagai ketua keluarga menyedari akan kepentingan dirinya sebagai tunggak masa depan diri serta keluarga, insurans/takaful adalah jawapan terbaik dalam memastikan nasib keluarga adalah terjamin. Bayangkan apabila diri tidak dilindungi insurans/takaful, apa yang akan terjadi kepada nasib diri serta keluarganya pada masa depan?

Pandangan Negatif Mengenai Insurans/Takaful

Suatu ketika dulu, bila bercakap mengenai insurans/takaful, orang akan melihat sebagai perlindungan kematian. Orang tidak berminat untuk bercerita mengenai kematian. Itu cerita 10 tahun dulu di mana pakej insurans banyak menjurus kepada pelan insurans nyawa yang memberi imbuhan kepada ahli keluarga jika pemilik insurans meninggal dunia. Sekarang, banyak pakej yang boleh dinikmati oleh pemilik insurans seperti bantuan perubatan, kad perubatan, kecemasan, pakej simpanan pendidikan serta persaraan dan sebagainya. 




Bagaimana Kita Ingin Mengetahui Kelebihan Sesuatu Pakej Insurans/Takaful Itu Sendiri?

Penting untuk setiap daripada kita mengenali pakej insurans/takaful yang ditawarkan. Selidiki latar belakang syarikat insurans/takaful serta kelebihan yang bakal dinikmati daripada pelaburan yang kita lakukan. Jangan sesekali terpedaya dengan tawaran serta pakej murah yang menawarkan insurans/takaful tanpa mengetahui butiran lanjut serta tuntutan yang boleh dibuat di kemudian hari.

Apakah Yang Bakal Dinikmati Jika Memiliki Insurans/Takaful?

Bukan sahaja faedah dirinya dilindungi, bahkan pemilik insurans/takaful lazimnya dibekal kad perubatan yang melayakkan dirinya menerima rawatan pilihan segera di panel hospital pakar swasta selain hospital kerajaan. Hanya perlu menunjukkan kad perubatan insurans/takaful, pesakit layak mendapatkan rawatan daripada doktor pakar berbanding mereka yang tidak memiliki insurans/takaful. Bukan itu saja, sepanjang menerima rawatan di hospital, pemilik insurans/takaful juga menerima elaun tunai tinggal di wad hospital. Bukankah ini menarik?


Kenapa Saya Harus Miliki Insurans/Takaful?

  1. Sebagai persediaan jika ditimpa musibah. Saya tidak tahu bila kemalangan akan menimpa.
  2. Memiliki insurans/takaful ketika masih muda dan sihat boleh mendapat pulangan lebih tinggi apabila tempoh matang insurans/takaful.
  3. Sebagai simpanan masa depan untuk bekalan persaraan.
  4. Kos pengajian di universiti semakin tinggi. Anak saya perlu memiliki insurans/takaful untuk meringankan beban saya kelak bagi menampung kos pendidikannya.
  5. Jadi peninggalan untuk anak dan waris jika saya meninggal dunia akibat musibah.
  6. Insurans/takaful kesihatan perlu untuk menampung kos perubatan dan rawatan yang tinggi sekiranya saya dimasukkan ke hospital.
Wassalam.

Selasa, 30 November 2010

Hargai Perkara-Perkara Kecil Dalam Hidup Anda


Dalam hidup kita sering berbangga dengan kejayaan-kejayaan yang begitu membanggakan. Terutama sekali apabila mendapat anugerah-anugerah tertentu yang berkaitan dengan kerjaya pastinya ia akan menjadi kenangan terindah dalam hidup. Namun kejayaan inilah yang melupakan kita untuk menilai perkara-perkara kecil yang sebenarnya banyak membantu kepada kejayaan tersebut.


Sebagai contoh mudah, anda mungkin berbangga apabila menerima Anugerah Pekerja Cemerlang di organisasi anda. Menerima hadiah dan penghargaan pastinya adalah satu memori indah yang sukar dilupakan. Sedarilah, banyak perkara kecil yang anda terlupa untuk diberikan penghargaan di sebalik kejayaan anda itu.



Anda mungkin terlupa memberikan penghargaan kepada:

  • Isteri yang banyak menguruskan rumahtangga dengan selesa sehingga emosi anda stabil dan dapat menjalankan kerja dengan baik setiap hari.
  • Isteri yang menjaga penampilan anda, gosok baju, basuh pakaian dengan bersih serta menjadi perunding imej anda sehingga kelihatan segak setiap masa.
  • Isteri yang memasak makanan yang segar dan menyihatkan tubuh badan anda.
  • Anak-anak yang tidak banyak meragam ketika mana anda berada di rumah.
  • Anak-anak selalu memahami situasi anda apabila anda terpaksa kerja lebih masa di pejabat.
  • Ibu dan bapa anda yang sentiasa mendoakan anda supaya mendapat kejayaan dalam hidup.
  • Anak-anak yang sentiasa tersenyum menanti kepulangan anda.
  • Suami yang banyak menenangkan anda ketika mana anda tertekan dengan tugasan yang tidak henti-henti.
  • Suami yang membawa anak-anak bersiar-siar ketika mana anda ingin bersendirian di rumah untuk menyiapkan kerja.
  • Majikan yang telah rekomenkan anda sebagai pekerja cemerlang.
  • Rakan-rakan kerja yang banyak membantu dalam menyelesaikan masalah kerja anda.
  • Senior anda yang telah menjadi mentor anda sehingga berjaya dan banyak lagi jika anda ingin fikirkan.
Jadi sedarlah, perkara kecil jika tidak dihargai, mana mungkin anda berjaya seperti sekarang.

Wassalam.

Isnin, 29 November 2010

Insurans perubatan jaminan rawatan pesakit, ringan beban keluarga

Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my

2010/11/21


TAHAP kesedaran untuk melindungi diri dan keluarga dengan Insuran Perubatan dan Kesihatan (IPK) di negara ini masih rendah jika dibandingkan dengan jiran di selatan tanah air. Keadaan ini didorong faktor kos perubatan yang sangat tinggi di negara berkenaan berbanding Malaysia yang sebahagian besar kos rawatan dan ubat-ubatan masih ditanggung kerajaan.

Walaupun hospital kerajaan mempunyai lebih kepakaran dan kelengkapan namun peningkatan jumlah pesakit yang perlu dirawat menjadikan proses berkenaan mengambil masa yang lama terutama bagi mereka yang disahkan mengalami penyakit kritikal yang memerlukan rawatan segera.

Di sini, IPK iaitu polisi yang melindungi kos rawatan perubatan swasta yang mungkin mahal, seperti kos kemasukan ke hospital dan pembedahan, memainkan peranan. Polisi insurans ini juga memastikan anda tidak perlu bimbang mengenai kos penyakit kritikal tetapi juga bagi mendapatkan rawatan kecemasan. Selain itu, IPK juga membayar sejumlah wang tertentu semasa menjalani rawatan.

Ketua Pegawai Produk dan Pemasaran Prudential Assurance Malaysia Berhad, Heng Zee Wang, berkata selain kesedaran sejak awal lagi untuk dilindungi IPK, pelanggan perlu tahu butiran penting seperti apa yang mereka mahu lindungi, memahami istilah yang terkandung dalam polisi, tempoh matang atau menunggu, bayaran bersama, tempoh membuat keputusan dan syarat berkaitan.

Malah, tegasnya, tidak cukup dengan minat terhadap polisi insurans itu saja kerana pelanggan juga perlu mengetahui skop perlindungan dan had-had polisi atau pelan berkenaan. Dengan maklumat ini, pelanggan dapat memastikan perlindungan menyeluruh untuk dirinya.

"Sekiranya anda bercadang untuk mendapatkan polisi insuran, kami sarankan memilih polisi yang asas dan mengikut kemampuan seperti jenis polisi utama yang biasa ditawarkan iaitu Insuran Hospital dan Pembedahan, Insuran Penyakit Kritikal, Insuran Pendapatan Akibat Hilang Upaya dan Insuran Pendapatan Hospital.

"Insurans melindungi pelanggan daripada risiko dan keadaan yang tidak diduga yang boleh meragut nyawa. Oleh itu, adalah penting bagi anda untuk mengetahui jenis insurans yang terdapat di pasaran agar dapat memilih perlindungan yang sesuai," katanya.

Lazimnya, kata Heng, pelanggan akan berurusan dengan seorang pengantara ketika membeli polisi insurans. Sama ada pengantara itu seorang ejen broker atau penasihat kewangan, ketahuilah perkara penting ketika berurusan dengan mereka untuk memastikan hak sebagai pengguna sentiasa terpelihara. Ini seperti mengetahui senarai panel hospital, cara membuat tuntutan, tarikh luput polisi insuran dan sebagainya.

"Mengenalpasti senarai panel hospital adalah antara perkara utama selain memaklumkan kepada ahli keluarga terdekat mengenai syarikat insuran dan jenis polisi insuran yang melindungi diri anda.

"Di sini, pentingnya hubungan baik antara pemegang polisi dengan ejen atau penasihat kewangan kerana mereka adalah pengantara yang akan menghulurkan sebarang maklumat mahupun bantuan setiap kali diperlukan," katanya yang menegaskan maklumat dan dokumen lengkap mengelakkan sebarang masalah ketika membuat tuntutan.

Pemegang polisi juga, kata Heng, perlu tahu dan dimaklumkan mengenai pengecualian dalam polisi IPK dan perlu bertanya kepada ejen insuran sekiranya kurang faham. Antara pengecualian itu termasuk syarat pra wajib iaitu tidak mendedahkan masalah kesihatan sedia ada ketika membeli polisi; mengalami masalah mental, peperangan mahupun rusuhan, tempoh menunggu di mana anda tidak layak membuat tuntutan dalam tempoh empat bulan pertama perlindungan kecuali kecederaan akibat kemalangan dan banyak lagi.

Jelasnya, usaha menyedarkan masyarakat mengenai pentingnya perlindungan insuran bukan kerja mudah dan mengambil masa yang lama.

"Membeli insuran bukan seperti membeli barangan di kedai. Polisi insuran adalah jaminan yang dibeli bagi melindungi perkara yang belum pasti bila dan di mana ia berlaku, namun kesedaran awal terhadap kepentingan polisi insuran mampu mengelakkan insiden sudah terhantuk baru nak terngadah.

"Kami di Prudential mengambil langkah drastik dalam usaha memberikan pendedahan awal kepada masyarakat mengenai kepentingan polisi insuran demi masa depan yang lebih terjamin. Bertindaklah awal ketika usia masih muda dan sihat, kerana apabila usia sudah meningkat senja, agak sukar untuk mendapatkan polisi insuran yang sesuai selain harga premium yang ditawarkan agak tinggi," katanya.


INFO: Panduan membeli insurans

  • Pastikan anda membeli daripada syarikat insurans berlesen dan ejen insurans yang sah.
  • Buat perbandingan kadar premium.
  • Fahami had perlindungan, terma dan syarat polisi.
  • Pilih polisi asas dan mampu.
  • Periksa tarikh kuat kuasa insuran.
  • Isi borang permohonan dengan teliti.
  • Pastikan premium dibayar kepada syarikat insurans dan bukan ejen.
  • Baca dan fahami polisi anda apabila anda menerimanya.
 

Sabtu, 27 November 2010

10 Khasiat Telur Yang Perlu Anda Tahu



Bagi peminat telur. Tahukah anda telur ni banyak khasiatnya. Kalau masih was-was, silalah baca info dibawah ni. Mana tau ia berguna untuk anda. Tak rugi apa-apa pun, kalau anda ingin mengetahuinya lebih lanjut. Silakan baca.

1. Sebiji telur sehari membantu mengelakkan penyakit mata (makuladegeneraton) kerana kandungan karotenoid yang mudah didapati di dalam telur.

2. Telur juga mengelakkan penyakit katarak  mata kerana kandungan lutien dan zeaxanthin.

3. Sebiji telur juga mengandungi 6 gram protien berkualiti tinggi dan 9 keperluan asid amino.

4. Menurut kajian Harvard Medical School, tiada sebarang kaitan berkenaan pengambilan telur dengan penyakit jantung. Sebenarnya pengambilan telur secara teratur membantu mengelak darah beku, strok dan sakit jantung.

5. Sebiji kuning telur mengandungi 300 mikrogram Choline iaitu nutrisi penting yang membantu mengawal otak, sistem kardiovaskular dan sistem saraf.

6. Telur juga terdiri daripada lemak baik. Sebiji telur hanya mengandungi 5 gram lemak dan 1.5 gram lemak tepu.

7. Kajian terbaru menyangkal kepercayaan bahawa telur penyebab kolestrol tinggi. Sebaliknya, memakan telur setiap hari tidak akan menjejaskan kesihatan kerana lemak pada telur adalah lemak tepu.

8. Telur adalah satu-satunya makanan yang mengandungi vitamin D secara semula jadi.

9. Telur juga berkemungkinan membantu dan menghalang kanser payudara kerana menurut kajian, wanita yang mengambil sekurang-kurangnya enam biji telur seminggu mampu merendahkan risiko penyakit itu.

10. Telur juga menggalakkan pertumbuhan rambut dan kuku yang sihat kerana mengandungi sulfur, vitamin dan mineral yang tinggi.

Okey, itu je. Ingat makan telur secara teratur. Barulah hidup sihat dan ceria selalu. 

Wallahu'alam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...