Nuffnang advertisement

Khamis, 14 November 2013

Menyambut 10 Muharram Hari Asyura



PENDAHULUAN

Kita telah sampai ke dalam bulan Muharram. Bulan awal yang mulia ini adalah bulan pertama di dalam Kalendar Hijriah. Seperti yang kita sedia maklum, di dalam bulan Muharram inilah ada hari yang telah disunatkan kepada kita untuk berpuasa iaitu puasa hari Asyura. Malah, ada petunjuk dari Rasulullah juga memberi galakan untuk berpuasa pada hari ke sembilan Muharram.

KELEBIHAN

عن أبي هريرة t قال : قال رسول الله r : ( أفضلُ الصيام بعد رمضان شهرُ الله المحرم ، وأفضلُ الصلاة بعد الفريضة صلاةُ الليل ) وفي رواية: ( الصلاة في جوف الليل )

Daripada Abu Hurairah Radiyallahuanhu berkata : bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda : "Seafdal-afdal puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan Allah Muharram dan sebaik-baik solat selepas solat fardhu ialah solat pada malam hari". Di dalam riwayat yang lain "Solat di sepertiga malam"
[Riwayat Muslim no.2812 dan 2813]

GALAKAN BERPUASA ASYURA

Daripada Abu Qatadah Radiyallahuanhu bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya akan puasa hari Asyura. Maka sabdanya : "ia menghapuskan dosa setahun yang lalu". Di dalam riwayat yang lain "..adapun puasa pada hari Asyura menghapuskan dosa tahun sebelumnya".
[Riwayat Muslim no. 2803 dan 2804]

Hadith di atas jelas merupakan anjuran Rasulullah s.a.w kepada umatnya agar berpuasa pada hari ke sepuluh di dalam bulan Allah Muharram. Ini dijelaskan pada akan terhapusnya dosa setahun yang lalu iaitu dosa-dosa yang kecil. Majoriti ulama menyatakan bahawa dosa-dosa besar tidak dapat dihapuskan dosanya melainkan dengan bertaubat kepada Allah Taala dan menegakkan hukum hudud terlebih dahulu bagi pesalah yang thabit di dalam undang-undang Islam.

HIKMAH PUASA ASYURA

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَدِمَ الْمَدِينَةَ فَوَجَدَ الْيَهُودَ صِيَامًا يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « مَا هَذَا الْيَوْمُ الَّذِى تَصُومُونَهُ ». فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ أَنْجَى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى وَقَوْمَهُ وَغَرَّقَ فِرْعَوْنَ وَقَوْمَهُ فَصَامَهُ مُوسَى شُكْرًا فَنَحْنُ نَصُومُهُ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « فَنَحْنُ أَحَقُّ وَأَوْلَى بِمُوسَى مِنْكُمْ ». فَصَامَهُ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam tiba di Madinah, beliau mendapati orang-orang Yahudi melakukan puasa Asyura. Kemudian Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bertanya, "Hari apa yang kamu berpuasa ini?" Orang-orang Yahudi tersebut menjawab, "Ini adalah hari yang sangat mulia. Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya. Ketika itu pula Firaun dan kaumnya ditenggelamkan. Musa berpuasa pada hari ini dalam keadaan bersyukur, maka kami pun mengikuti beliau berpuasa pada hari ini." Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam lantas berkata, "Kita seharusnya lebih berhak dan lebih utama mengikuti Musa daripada kalian." Lalu setelah itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam memerintahkan kaum muslimin untuk berpuasa.
[HR. al-Bukhari no.2004 dan Muslim no. 2714]

Hadith tersebut di atas menunjukkan kepada kita betapa Rasulullah s.a.w. mengikut apa yang dilakukan oleh Nabi Musa kerana merasakan umatnya lebih berhak untuk meluahkan rasa kesyukuran seperti yang berlaku kepada Nabi Musa yang selamat dari ancaman Firaun.

Antara hikmahnya ialah membezakan umat Nabi Muhammad s.a.w. dari orang Yahudi. Ini kerana ada hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim yang menjelaskan bahawa orang Yahudi menjadikan hari 10 Muharram ini sebagai satu perayaan, tetapi umat Islam menjadikan hari ini untuk berpuasa. Ini merupakan perbezaan yang sering baginda lakukan dan kita akan lihat beberapa perbezaan yang Nabi anjurkan kepada umatnya.

DISUNATKAN PUASA PADA 9 MUHARRAM

عن ابن عباس - رضي الله عنهما - أن رسول الله r لما صام يوم عاشوراء وأمر بصيامه قالوا : يا رسول الله ، إنه يوم تعظمه اليهود والنصارى ، فقال رسول الله r : ( فإذا كان العام المقبل - إن شاء الله - صمنا اليوم التاسع ) قال : فلم يأت العام المقبل حتى توفي رسول الله

Daripada Ibn Abbas Radiyallahuanhuma bahawa Rasulullah ketika berpuasa pada hari Asyura dan mengalakkan untuk berpuasa, para sahabat bertanya : "Ya Rasulullah, sesungguhnya hari tersebut (Asyura) merupakan hari ini adalah hari yang diagung-agungkan oleh Yahudi dan Nasrani. Kemudian baginda bersabda : jika tiba tahun berikutnya insyaAllah kita akan berpuasa pula pada hari ke sembilan".
Ibn Abas berkata "Belum sampai tahun depan, Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam sudah meninggal dunia."
(HR. Muslim no. 2722)

Di dalam riwayat yang lain, Nabi Sallallahu 'alalihi wa sallam bersabda:
( لئن بقيت إلى قابل لأصومن التاسع )
"jika ada kesempatan ke tahun akan datang, aku akan berpuasa pada hari ke sembilan".
(HR. Muslim no.2723)

Ini menunjukkan kesungguhan baginda ingin berpuasa tetapi tidak kesampaian. Walaubagaimanapun, para ulama bersetuju untuk menyatakan ini menunjukkan betapa Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wa sallam ingin melakukan perbezaan daripada amalan ahli kitab. Ini juga dijelaskan oleh satu athar daripada Ibnu Abbas :
( صوموا التاسع والعاشر خالفوا اليهود )
"Berpuasalah pada hari ke sembilan dan ke sepuluh, dan bezakanlah (dari meniru) Yahudi"
[HR. Al-Baihaqi no.8665]

Ini disokong dengan banyaknya hadith yang menegah kita meniru orang-orang kafir.

Wallahu'alam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...