Islam ialah agama kesucian. Nabi Muhammad SAW adalah manusia yang paling cenderung kepada kebersihan dan kesucian. Bersuci ada yang wajib dan juga sunat.
Wajib bersuci ketika bersuci dari junub, haid dan lain-lain. Sunat bersuci pula seperti mandi Jumaat, mandi dua hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, mandi untuk solat gerhana matahari dan bulan, ketika menghadiri sebarang majlis keramaian dan mandi ketika masuk ke Mekah untuk Ihram dan Haji.
Cara Mandi Junub Mengikut Sunnah
1. Membasuh kedua-dua tangan.
2. Membasuh tempat hadas dan menghilangkan bekas iaitu menyucikan najis di bahagian kemaluan depan dan belakang.
3. Mengambil wuduk seperti wuduk untuk menunaikan solat.
4. Melerai rambut dengan jari-jemari dan menuang air sebanyak 3 kali ke kepala agar seluruh rambut mengenai air sambil berniat untuk mandi junub.
5. Membasuh sebelah kanan bahagian depan dan belakang badan.
6. Membasuh sebelah kiri bahagian depan dan belakang badan.
7. Membasuh kedua-dua kaki.
8. Sunat lebihkan tumpuan di bahagian sendi, bahagian bawah lutut, bahagian ketiak dan bahagian antara 2 peha.
9. Pastikan air sampai ke bahagian anggota yang tidak terkena air dengan menggosok dengan tangannya sehingga yakin seluruh anggota badannya mengenai air.
Cara ini sunat dibuat pada mandian yang lain iaitu boleh dibuat pada mandian sunat atau biasa. Akhiri dengan doa seperti doa ketika selesai berwuduk iaitu:
"Aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah. Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi Muhammad ialah hamba dan utusan Allah. Segala pujian bagi-Mu ya Allah. Aku bersaksi tiada tuhan melainkan-Mu. Aku memohon keampunan dan taubat pada-Mu. Wahai Allah, jadikan aku dari kalangan orang yang bertaubat. Dan jadikan aku dari kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan aku dari kalangan hamba-hamba-Mu yang soleh."
Sesiapa yang membaca doa ini, Allah SWT akan bukakan untuknya 8 pintu syurga.
Sunnah Nabi SAW, baginda tidak mandi dalam keadaan bogel iaitu baginda mandi dengan memakai kain penutup yang menutup bahagian antara pusat dan lutut.
Nabi SAW melarang membazir ketika berwuduk dan bersuci. Makruh dalam berbazir menggunakan air ketika berwuduk atau beribadah walaupun diambil dari air sungai yang mengalir.
Ketika baginda SAW sakit dan menghampiri kematian, baginda telah mengajar orang lain cara memandikannya setelah baginda wafat. Baginda meminta mereka memandikannya dengan air dan telaga tertentu seperti sabdanya yang bermaksud: "Bila aku mati, mandikanlah aku dengan air telagaku, telaga Ghars."
Wallahu 'a'lam.