Nuffnang advertisement

Khamis, 30 Disember 2010

Hakikat Hidup Bahagia @ Derita


"Hidup adalah gabungan antara bahagia dan derita. Ia menguji keteguhan iman seseorang. Malangnya bagi mereka yang hanya mengikut kehendak hati ia tidak sanggup untuk menerima penderitaan." - Harieta Wahab.

Siapa kata hidup ini hanya penuh dengan kedukaan? Dan siapa kata hidup ini hanya penuh dengan kegembiraan? Allah SWT menjadikan kehidupan sebagai satu kursus yang baik untuk manusia membina kemanisan iman dan juga kehebatan akhlak. Oleh kerana itulah kehidupan tidak semestinya memberikan kesenangan semata-mata. Pasti akan ada ujian demi ujian untuk melihat sejauh mana komitmen kita menjadi hamba Allah yang taat di dunia ini.

Ujian adalah ibarat peperiksaan di dunia. Jika lulus maka gred manusia akan meningkat dan diangkat darjatnya oleh Allah SWT. Tetapi jika gagal bukan bermakna kita manusia bodoh atau tidak berguna. Sebaliknya kita masih boleh mengulang peperiksaan tersebut sehingga memperoleh kejayaan dalam hidup ini.

Wallahu'alam.

Rabu, 29 Disember 2010

Formula Mencapai Matlamat 2011 Anda

Oleh: Irfan Khairi

1: Keinginan

Pertama sekali di dalam formula kejayaan adalah keinginan. Untuk mencapai apa jua matlamat yang anda impikan, anda perlu mempunyai keinginan untuk mencapai matlamat tersebut. Lagi mendalam keinginan anda, lagi mudah untuk anda mencapai matlamat tersebut.

Keinginan seumpama api yang membakar. Lagi besar api tersebut, lagi hangat ia akan membakar keinginan jiwa anda dalam mencapai apa jua cita-cita yang anda letakkan untuk diri anda sendiri.

Punca utama seseorang itu tidak dapat mencapai matlamatnya adalah takut kepada kegagalan. Sekiranya anda takut kepada kegagalan, maka, anda tidak akan mengambil langkah pertama untuk mencapai apa jua matlamat. Keinginan akan membawa anda untuk mengambil langkah pertama tersebut.

Tanpa keinginan, matlamat tidak akan tercapai.

2: Keyakinan

Lagu yang sering bermain di kepala saya sejak dulu sehingga kini “Jika kau fikirkan kau boleh, kau boleh melakukan. Jika kau fikirkan ragu-ragu, usaha mu tidak menentu”. Lagu yang popular pada 80-an. Ya, bunyinya amat cliché, tetapi lagu yang simple ini mengandungi mesej yang amat besar!

Dalam usaha untuk mencapai apa jua cita-cita anda, anda perlu mempunyai keyakinan di dalam hati bahawa cita-cita tersebut akan dicapai! Dengan keyakinan yang tinggi, ia akan menjadi penggerak kepada anda untuk tidak menoleh kebelakang lagi.

Keyakinan bukan bermaksud untuk menjadi bongkak dan taksub. Anda tidak perlu meyakinkan orang ramai. Anda hanya perlu meyakinkan diri anda sendiri sahaja. Usah risau dalam meyakinkan orang ramai, anda perlu tunjuk bahawa cita-cita anda tercapai. Itu sahaja yang akan meyakinkan orang ramai.

Dalam menetapkan matlamat anda, anda perlu realistik. Matlamat yang realistik akan membantu dan motivasikan anda untuk memberi keyakinan. Sebagai contoh, matlamat untuk mendapat kenaikan gaji 2 kali ganda dalam masa setahun mungkin tidak realistik. Tetapi, matlamat untuk menaikkan gaji anda sebanyak 20% dalam masa setahun adalah lebih realistik!

Matlamat yang tidak realistik hanya akan melemahkan motivasi diri anda apabila ianya tidak tercapai.

3: Tulis matlamat anda

Ini AMAT penting. Sejak saya menulis di ruang motivasi MASKULIN, entah berapa kali saya mengulangi petua ini. Di dunia, hanya 2% daripada golongan dewasa yang menulis matlamat mereka tersendiri. Baki 98% yang lain mungkin tidak mempunyai matlamat hidup, ataupun, sekiranya ada, tidak menulisnya.

Menulis matlamat anda adalah seperti anda membuat perjanjian dengan diri anda sendiri. Matlamat tersebut akan tersemat di fikiran anda dan sentiasa mengingati anda secara sedar, ataupun separa-sedar untuk anda mencapaikannya.

Matlamat yang tidak tertulis adalah seumpama angan-angan sahaja. Apabila anda menulis matlamat anda, ia menjadi sesuatu yang nyata, boleh di sentuh. Anda telah membawa matlamat di imaginasi kepada bentuk yang anda dapat mengenggamkannya!

4: Senaraikan kebaikan yang anda akan kecapi

Apa yang anda akan dapat sekiranya matlamat anda tercapai? Senaraikan segala-galanya. Lagi panjang senarai anda, lagi bagus. Ini adalah kerana anda menyenaraikan motivasi-motivasi yang akan mebakar semangat anda untuk terus berusaha dan mencapai kebaikan tersebut.

Manusia adalah insan yang beremosi. Dengan memikirkan kebaikan yang anda akan kecapi, ia akan memandukan anda ke arah mencapai matlamat tersebut. Berikan sebab-sebab mengapa anda mahukan matlamat anda tercapai, apakah pulangan yang anda akan terima, serta bagaimanakah tahap kepuasan anda sekiranya matlamat itu tercapai. Ini akan menyemarakkan lagi semangat anda untuk mencapaikannya.

5: Cermin kan diri sendiri

Di mana anda berada ketika ini? (bukan di bangku atau di sofa!). Pada ketika ini, apakah keadaan anda. Anda perlu ketahui di mana anda berada kini untuk mencapai matlamat yang anda telah tetapkan.

Pastikan anda ketahui di mana anda berada kini oleh kerana itu adalah titik permulaan perjalanan anda. Lebih jelas anda dapat fahami keadaan anda kini, lebih jelas anda dapat melihat jalan ke arah pencapaian matlamat.

Sebagai contoh, sekiranya anda inginkan bebas kewangan, duduk dan ambil masa untuk melihat keadaan kewangan anda kini secara jujur. Sekiranya matlamat anda adalah untuk menurunkan berat badan, anda perlu ketahui berat badan anda kini sebagai titik permulaan.

6: Tetapkan deadline

Matlamat tanpa deadline adalah tidak lengkap. Apa jua matlamat yang ditetapkan, tetapkan sama deadline untuk mencapainya. Bilakah deadline yang terbaik? 6 bulan? 1 tahun? 3 tahun? 5 tahun? Atau 10 tahun?

Kebanyakan orang tidak deadline untuk menetapkan matlamat oleh kerana takut, matlamat tersebut tidak dapat tercapai sebelum deadline! Sekiranya tidak tercapai, ia akan mengurangkan motivasi sendiri. Oleh itu, mereka biarkan tarikh untuk mencapai matlamat tersebut terbuka- bila-bila masa sahaja!

Itu adalah pemikiran yang salah. Dengan menetapkan deadline untuk matlamat anda, anda memberi satu sasaran yang jitu. Apa akan terjadi sekiranya anda tidak berjaya mencapai matlamat sebelum tarikh deadline? Senang sahaja, berikan satu tarikh deadline yang baru! Ia hanya akan mengajar anda untuk lebih berusaha dan lebih realistik dalam mencapai matlamat.

7: Ketahui rintangan

Dalam mencapai apa jua yang berbaloi, sudah pasti akan terdapat rintangan di hadapan anda. Lagi besar matlamat anda, lagi besar rintangan yang anda perlu lalui. Ketahui rintangan-rintangan tersebut dan pelajari cara untuk menempuhinya terlebih dahulu.

Anggap usaha anda dalam mencapai matlamat adalah satu perjalanan mencari ilmu. Setiap rintangan yang anda temui walaupun sekecil manapun akan memperbaiki diri anda untuk rintangan-rintangan yang lebih besar di masa hadapan. Ini menjelaskan bahawa, mereka yang berjaya di dunia adalah tergolong daripada mereka yang berpengalaman menghadapi rintangan-rintangan tersebut.

Kejayaan yang cemerlang akan hadir apabila anda berjaya menguasai segala rintangan. Oleh itu, lakukan perancangan terlebih dahulu. Senaraikan apakah rintangan-rintangan yang akan muncul.

8: Ilmu tambahan

Ketahui ilmu tambahan yang perlu anda lengkapkan pada diri anda untuk mencapai cita-cita tersebut. Manusia diberi anugerah akal fikiran yang merupakan anugerah yang paling istemewa sekali.

Bina satu senarai, apakah ilmu tambahan yang anda perlu ketahui untuk mencapai matlamat anda? Apakah kebolehan tambahan yang anda perlukan? Apakah pengalaman yang anda perlukan? Bolehkah anda mendapat bantuan orang lain sekiranya anda tidak mempunyai sesuatu kebolehan itu? Apakah maklumat yang paling penting atau kebolehan yang paling penting untuk anda punyai dalam mencapai matlamat anda?

Tanggungjawab anda adalah untuk mempelajari apa jua yang anda perlu tahu dalam mencapai matlamat anda.

9: Perancangan

Kata pakar motivasi “Gagal untuk merancang adalah merancang untuk gagal”

Jangan biarkan nasib menentukan arah tuju anda. Buat perancangan yang rapi, seperti kontraktor memerlukan plan untuk membina bangunan yang gagah berdiri. Anda juga perlu plan untuk mencapai menara gading.

Rancang langkah-langkah anda dengan terperinci dalam masa 1 bulan, apa yang anda perlu buat? Sekiranya ia tidak menjadi, apakah alternatif yang lain?

Hukum alam mengatakan, apa yang anda beri dan taburkan, ianya akan menjadi hasil. Sekiranya anda merancang untuk taburkan sedikit usaha, maka, sedikitlah pulangan anda. Sekiranya anda merancang untuk menaburkan bergunung-gunung usaha, maka, hebatlah pulangan yang anda akan terima.

Anda tidak boleh melanggar hukum ini. Mereka yang melanggar hukum ini adalah mereka yang sering ditipu dengan skim-skim piramid, skim cepat kaya, SCAM dan pelaburan yang hanya akan meleburkan wang sendiri.

10: Bina gambaran

“A picture paints a thousand words”. Beri gambaran yang jelas di fikiran anda bahawa matlamat anda telah tercapai. Gambarkan diri anda 1 tahun dari sekarang. Atau, 10 tahun dari sekarang.

Dengan berimiginasi gambaran anda berjaya di masa hadapan, ia juga akan membakar semangat anda untuk mencapai gambaran tersebut. Fikiran manusia dipenuhi dengan gambaran-gambaran dan bukannya perkataan. Penuhi fikiran anda dengan gambaran kejayaan anda di masa hadapan.

Berhati-hati, terlalu banyak mimpi di siang hari tanpa usaha dan perancangan, anda tidak jauh berbeza dengan angan-angan Mat Jenin!

11: Janji pada diri sendiri

Janji pada diri anda sendiri, tidak kira apa rintangan yang akan datang. Tidak kira apa jua kegagalan yang anda hadapi, jangan- JANGAN- JANGAN sekali-kali putus asa! Sekiranya anda terjumpa dengan sahabat karib kejayaan, iaitu kegagalan, usah risau. Kegagalan adalah perintis untuk mencapai apa jua kejayaan. Oleh sebab itulah saya gelarkannya sahabat karib.

Amat jarang sekali sesuatu kejayaan di capai tanpa kegagalan. Lagi banyak kegagalan anda temui, ianya bermaksud lagi hampir kejayaan kepada anda. Jangan putus asa oleh kerana kejayaan mungkin sedang menunggu disebalik kegagalan itu.

Berita baiknya adalah, menempuhi kegagalan adalah menambahkan pengalaman sendiri. Lebih banyak kegagalan yang anda jumpai, maka, lebih banyak anda dapat pelajari. Anda akan mempelajari lebih banyak dari sesuatu kegagalan. Sekiranya anda menjumpai kegagalan, ubah cara anda. Jangan pula ikut cara yang sama oleh kerana cara yang sama akan membawa kegagalan seterusnya!

Kesimpulan

Kesemua formula kejayaan ini perlu di implementasikan setiap satu. Ini adalah “blue print” orang-orang yang berjaya di dunia. Ia menjadi formula kejayaan saya sendiri sehingga hari ini. Tiap-tiap kali saya mempunyai matlamat baru, saya akan rujuk kembali formula ini untuk memastikan matlamat saya tercapai.

Tidak sampai setahun lalu saya menetapkan matlamat saya, dan kini, dengan mengikuti formula yang diberikan, alhamdulillah saya mencapainya.

Kini, anda juga mempunyai formula kejayaan. Implimentasikannya kepada matlamat anda, dan saya yakin anda juga akan mencapai kejayaan dalam apa jua bidang!

Wassalam.

Selasa, 28 Disember 2010

Kenapa Pilih Kerja Sendiri?


Persoalan ini bukan bermaksud untuk membandingkan kerja apa yang bagus, tetapi ingin berkongsi bahawa sebenarnya Rasulullah SAW amat menggalakkan orang mukmin berusaha di atas daya usaha sendiri sebagaimana hadith baginda yang bermaksud, "Tidaklah seseorang itu makan makanan melainkan lebih baik ia makan daripada hasil usahanya sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah Daud 'Alaihis Salam  menikmati makanan hanya daripada hasil usahanya sendiri." (Sahih Al-Bukhari, Hadith No. 1930)

Begitulah pujian dan keutamaan bagi yang bekerja sendiri sama ada berniaga atau bercucuk tanam dan seumpamanya. Pekerjaan yang dibuat itu mesti halal dan tidak melanggar hukum syarak.

Hadith daripada Aisyah, kata beliau yang bermaksud: “Ketika akhir surah al-Baqarah diturunkan, Nabi SAW membacakannya kepada orang ramai di dalam masjid. Kemudian Baginda mengharamkan arak (minuman keras atau memabukkan). Pekerjaan usaha tangannya yang halal itu membawa kepada hasil yang berkat.”


Sebuah hadith daripada Hakim Hizam, katanya: “Aku meminta (sedekah) kepada Nabi SAW, lalu Baginda memberi kepadaku. Kemudian, aku meminta lagi kepada Baginda, lalu diberinya lagi. Kemudian Baginda SAW bersabda bermaksud: “Harta itu lazat dan manis. Maka siapa yang menerimanya dengan hati yang bersih (tidak rakus), dia akan mendapat berkat dengan harta berkenaan. Tetapi siapa menerimanya dengan harta yang nafsu serakah, dia tidak mendapat berkat dengan harta itu dan seperti orang yang makan dan tidak pernah kenyang.” (Hadith riwayat al-Bukhari).

Begitu juga hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri yang katanya, Rasulullah bersabda bermaksud: Siapa yang beroleh harta dengan jalan halal, dia akan mendapat berkat. Siapa yang memperoleh dengan jalan tidak halal, maka contohnya seperti orang makan yang tidak pernah kenyang.”


Untuk memperoleh keberkatan harta, kita perlu memperbanyakkan bersedekah seperti hadith daripada Abu Hurairah: “Seorang lelaki mendatangi Rasulullah SAW, lalu bertanya: “Ya Rasulullah! Sedekah bagaimanakah yang besar pahalanya?” Rasulullah SAW menjawab: Sedekah ketika anda sedang sihat, ketika anda kikir, takut miskin, ketika anda mengharapkan akan menjadi hartawan yang kaya-raya. Maka pada ketika itu janganlah lalai, bersedekahlah. “Jangan ditangguh sehingga nyawa sampai di halkum, baru membahagikan sedekah. Ingatlah, sesungguhnya harta itu memang untuk mereka.”

Untuk dimudahkan rezeki, hendaklah menjalinkan hubungan silaturahim seperti dinyatakan hadith daripada Anas Mal: “Dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, siapa ingin dimudahkan (Allah SWT) akan rezekinya atau dipanjangkan (Allah SWT) umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim (hubungan kasih sayang).”

Motivasi yang anda boleh rasakan bila anda bekerja sendiri ialah:
  • Tiada istilah zon selesa kerana jika anda malas anda tidak akan mendapat apa-apa hasil.
  • Anda menghidupkan Sunnah Rasulullah SAW kerana baginda dari kecil sehingga dewasa bekerja sendiri.
  • Mengasah visi kepimpinan ke manakah matlamat pekerjaan yang anda ingin laksanakan.
  • Membuka ruang pekerjaan kepada orang lain.
  • Peluang untuk melakukan kebajikan kepada kakitangan.
  • Membina karisma semaksima mungkin.
  • Berusaha untuk menjadi mukmin yang kaya agar dapat membantu orang yang lain.
Wallahu'alam.

Jumaat, 24 Disember 2010

Tuntutan Bersedekah


Antara amalan yang mengalirkan kebaikan tanpa henti ketika anda berada di Akhirat nanti adalah sedekah yang anda berikan dengan ikhlas kepada orang lain. Bila bercerita tentang bersedekah ramai di antara kita memandang remeh tentang amalan ini. Sekalipun banyak wang, kita masih berkira untuk menghulurkan RM1 kepada mereka yang memerlukan. Terasa RM1 itu akan mengurangkan perbelanjaan kita jika diberikan kepada orang lain.

Yakinlah bahawa sedekah adalah satu keajaiban. Sebenarnya wang yang anda berikan kepada orang dengan niat membantu kerana Allah, Allah SWT tidak akan biarkan wang itu hilang begitu sahaja. Tetapi Allah SWT akan tambah tanpa anda sedari. Allah SWT memberikan jaminan dengan menggantikannya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 261 :




Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. (Al-Baqarah : 261)

Wallahu'alam.

Khamis, 23 Disember 2010

Berfikir Dengan Akal Tentang Kehidupan


"Gunakanlah akal fikiran kerana ia adalah kehidupan yang dengannya hati akan benar-benar hidup." - Sayyidina Hassan b. Ali.

"Berfikirlah dan berbuatlah sesuatu sesuai dengan tujuan penciptaanmu kerana Allah SWT tidak menciptakanmu dengan sia-sia." - Ali Zainal Abidin b. Hussien.

Besarnya nikmat akal yang diciptakan oleh Allah SWT sebagai penggerak terhadap tindakan yang ingin dilakukan. Jika akal terpandu pada perkara yang baik maka segala tindakan juga akan cenderung kepada kebaikan tetapi jika akal terdedah kepada perkara buruk maka pastinya tindakan juga akan dipengaruhi oleh keburukan.

Kehebatan akal dijadikan oleh Allah SWT adalah untuk berfikir. Semakin banyak berfikir, minda akan semakin aktif dan lebih banyak idea akan dihasilkan. Contohilah kebijaksanaan para nabi dan rasul, minda mereka dipandu oleh ketundukan hati mereka kepada Allah SWT. Itulah yang menjadikan mereka tidak melakukan kemungkaran terhadap Allah Tuhan sekalian alam.

Wallahu'alam.

Rabu, 22 Disember 2010

Impian dan Tindakan



"Untuk mencapai sesuatu yang unggul, kita jangan hanya bertindak tetapi juga perlu berimpian, jangan hanya merancang tetapi juga perlu percaya."- Anatole France

Mengapa perlu berimpian? Kerana impian membuatkan kejayaan yang lebih luar biasa. Impian akan menjadikan tindakan anda lebih konsisten dalam berusaha. Impian akan menanamkan sifat kepercayaan kepada diri sendiri untuk mencapai sesuatu di luar kebiasaan. Hanya bermula dari impian akan membuahkan tindakan yang hebat. Dari tindakan akan membentuk harapan dan juga nilai kepercayaan pada diri.

Wallahu'alam. 

Isnin, 20 Disember 2010

Berdebatlah Dengan Ahli Bijaksana



"Tanda-tanda kebodohan seseorang itu adalah berdebat dengan orang yang bukan ahli berfikir." - Sayyidina Hussein bin Ali

Sangat mendalam kata-kata ini. Mengapa perlu berdebat dengan orang yang bijaksana? Apabila anda tidak tahu, maka ahli bijaksana dapat betulkan anda. Jika anda jahil, maka ahli bijaksana akan berikan anda ilmu. Jika anda terlalu taksub, maka ahli bijaksana boleh menyedarkan anda.

Sekiranya anda menyampaikan kebenaran kepada orang lain, kemudian mereka tahu bahawa apa yang anda sampaikan itu benar namun mereka tetap tidak mahu menerimanya, tinggalkanlah mereka kerana mereka adalah termasuk di dalam golongan sebagaimana yang disebut oleh Sayyidina Hussien bin Ali.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 25:


Wallahu'alam.

Ahad, 19 Disember 2010

Penipuan Insurans/Takaful



Apakah Penipuan Insurans/Takaful?

Komponen utama penipuan insurans/takaful adalah:

  • Niat untuk memperdaya termasuk segala tipudaya/ketidakjujuran yang dibuat dengan sengaja terhadap atau oleh syarikat insurans atau pengendali takaful, ejen insurans atau ejen takaful, atau pengguna untuk mendapatkan keuntungan kewangan yang tidak wajar.
  • Keinginan untuk mempengaruhi syarikat insurans atau pengendali takaful supaya membayar lebih daripada yang sepatutnya.
Bentuk penipuan mungkin berbeza-beza, daripada tuntutan yang sah tetapi nilainya dinaikkan hinggalah kepada tuntutan yang sengaja diada-adakan atau palsu di mana kerugian sebenarnya tidak pernah berlaku.

Bagaimanakah Melindungi Diri Anda Daripada Penipuan Insurans/Takaful?

  • Elakkan daripada membayar premium menggunakan wang tunai. Bayar premium anda melalui cek atau kiriman wang. Seelok-eloknya buat bayaran itu kepada syarikat insurans atau pengendali takaful.
  • Pastikan anda menerima polisi setelah membayar premium pertama anda.
  • Segera periksa polisi insurans anda bagi memastikan perlindungan adalah sama seperti yang anda perlukan. Pastikan premium yang anda bayar dinyatakan dalam nota perlindungan polisi anda. Minta resit sebagai bukti pembayaran premium.
  • Jangan sekali-kali menandatangani borang permohonan insurans atau takaful atau borang tuntutan insurans atau takaful yang kosong.
  • Berasa syak wasangka sekiranya harga insurans atau takaful terlalu rendah daripada syarikat insurans atau pengendali takaful lain.
  • Sekiranya anda terlibat dalam kemalangan, waspada terhadap sesiapa yang menawarkan penyelesaian segera secara tunai atau menggesa anda berurusan dengan bengkel kereta, klinik perubatan atau firma guaman tertentu. Mereka mungkin pihak yang terlibat dalam sindiket penipuan.
  • Bertegaslah untuk dapatkan bil yang terperinci bagi pembaikan dan perkhidmatan perubatan yang diberikan dan semak ketepatannya.
  • Hubungi syarikat insurans atau pengendali takaful anda, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM)/Life Insurance Association of Malaysia (LIAM)/Malaysian Takaful Association (MTA) atau pihak polis secara berhati-hati sekiranya anda telah ditipu atau telah/sedang dipujuk supaya menyertai satu penipuan.
Semua kes-kes penipuan hendaklah dilaporkan dengan serta-merta kepada pihak polis.

Wassalam.

Sabtu, 18 Disember 2010

PruBSN Ummah Bantu Tampung Kos Tunai Haji

Pelan simpanan, insurans boleh selesai masalah di luar jangka

AZIM (kanan) bersama Ahmad Saruji ketika
merasmikan PruBSN Ummah di Kuala Lumpur.

PRUDENTIAL BSN Takaful Bhd (PruBSN) melancarkan produk terbarunya, PruBSN Ummah, satu Pelan Takaful Keluarga pertama di pasaran yang memenuhi keperluan pelanggan untuk menunaikan haji selain mendapat perlindungan takaful dan simpanan serentak.

Ketua Eksekutif PruBSN, Azim Mithani, berkata pengenalan produk takaful inovatif itu menandakan komitmen berterusan syarikat itu kepada pelanggan bagi membolehkan mereka memenuhi keperluan berkenaan menerusi kaedah yang baru dan menarik.

"Salah satu daripada objektif khusus PruBSN Ummah adalah untuk membantu mengurangkan kos menunaikan haji bagi membolehkan bakal jemaah haji membahagikan kos menerusi penyediaan simpanan bagi melengkapkan simpanan Tabung Haji mereka," katanya pada majlis pelancaran produk terbaru itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

JEMAAH haji boleh manfaat pelan perlindungan
PruBSN Ummah ketika berada di Tanah Suci.


Hadir sama, Ketua Pegawai Pemasaran Amanah Raya Bhd (ARB), Ahmad Saruji Abd Aziz. Jelasnya kos menunaikan ibadat haji kian meningkat dari tahun ke tahun dan berdasarkan brosur Lembaga Urusan dan Tabung Haji, ia menelan belanja kira-kira RM10,000 untuk menunaikan ibadat haji bersama mereka.

Jumlah itu katanya akan berganda jika ia diuruskan oleh agensi pengurusan Haji yang lain. Azim berkata, menerusi produk itu, pelanggan boleh membuat simpanan tambahan yang akan membantu mereka mencapai matlamat mereka dengan lebih cepat.

"Apabila tiba masanya untuk menunaikan haji atau umrah, peserta boleh mengeluarkan sebahagian daripada simpanan mereka pada bila-bila masa selepas tahun sijil kelima," katanya.

Selain kemudahan itu, PruBSN Ummah turut menyediakan manfaat lain kepada pelanggan yang didatangkan semuanya dalam satu produk. Ia merangkumi:
  • Badal haji (upah haji)
  • Ganjaran wang tunai kepada pelanggan setia
  • Jaminan kewangan terhadap kematian yang tidak dijangka dan hilang upaya kekal dan menyeluruh
  • Perlindungan terhadap penyakit kritikal, dan
  • Penulisan wasiat.
Selain itu, pelanggan setia yang membayar semua sumbangan mereka sepanjang tempoh takaful, akan diberi ganjaran oleh PruBSN menerusi bonus kesetiaan yang meningkat setara dengan sumbangan mereka.

Elaun haji juga adalah sebahagian daripada bonus kesetiaan itu.

Pelanggan juga boleh memilih untuk menggunakan elaun berkenaan bagi menambahkan perbelanjaan mereka atau menggunakannya untuk menjamin keperluan kewangan keluarga semasa mereka berada di Makkah.

Selain itu, selepas elaun haji itu dibayar kepada pelanggan, bonus kesetiaan akan terus meningkat selagi pelanggan terus menjelaskan sumbangan mereka.

Satu lagi ciri unik PruBSN Ummah ialah ia membolehkan peserta mencapai niat mengerjakan haji jika mereka meninggal dunia dengan tiba-tiba atau mengalami hilang upaya kekal dan menyeluruh.

PruBSN Ummah akan membayar RM3,000 kepada penama yang dipilih oleh peserta atau kepada Tabung Haji Travel and Services untuk melaksanakan haji badal bagi pihak mereka.

Untuk memberi ketenangan minda kepada peserta, PruBSN Ummah akan membayar perlindungan berganda jika mereka meninggal dunia secara tiba-tiba atau mengalami hilang upaya kekal dan menyeluruh semasa menjalankan ibadat haji atau umrah.

Selain daripada manfaat takaful, keluarga mereka juga akan menerima manfaat tambahan khairat kematian berjumlah RM2,000 apabila peserta meninggal dunia.

Sebagai tambahan, peserta juga boleh meningkatkan pelan PruBSN Ummah mereka dengan 'rider Crisis Shield dan Contributor' yang akan menyediakan mereka dengan perlindungan komprehensif terhadap penyakit kritikal utama.

Dengan rider itu, peserta yang mengidap mana-mana satu daripada 36 penyakit kritikal yang dilindungi akan menerima jumlah perlindungan yang relevan sebagai bantuan kewangan untuk perubatan.

Sumbangan tahunan mereka juga dilindungi bagi memastikan mereka dapat terus menabung dan menikmati perlindungan yang diperlukan sepanjang tempoh takaful.

Sempena pelancaran PruBSN Ummah, PruBSN turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ARB bagi menyediakan perkhidmatan penulisan wasiat kepada peserta pelan yang dapat meningkatkan lagi nilai tambah produk itu.

Ahmad Saruji berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan PruBSN dalam aspek pemasaran dan menjual produk ARB terutamanya penyediaan wasiat bagi golongan beragama Islam dan bukan Islam.

"Wasiat adalah penting dalam pengurusan pusaka. Ia adalah sebahagian daripada perancangan kewangan. Adalah benar bahawa dengan mempunyai wasiat bukan suatu perkara yang muktamad, tetapi ia akan membantu dalam menyelesaikan pentadbiran hartanah," katanya.

PruBSN Ummah menyediakan satu keperluan perancangan istimewa kepada umat Islam yang merangkumi kira-kira 60 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

Azim berkata, produk yang direka khas itu akan membolehkan PruBSN menarik minat lebih ramai umat Islam di Malaysia yang kebanyakannya masih belum mempunyai perlindungan takaful atau insurans.

"PruBSN Ummah adalah satu produk yang unggul dan menarik dengan ciri-ciri yang menggabungkan simpanan dan perlindungan dan pada masa yang sama membantu pelanggan memenuhi kewajipan mereka sebagai seorang Muslim.

"Ini adalah produk pertama di dalam pasaran yang menyediakan produk sebegini secara komprehensif," katanya.

Jumaat, 17 Disember 2010

Apa Sumber Inspirasi Anda?

Setiap orang pasti mempunyai sumber inspirasi untuk membina langkah-langkah baru dalam kehidupannya. Sumber inspirasi inilah yang akan memastikan bahawa dirinya akan berusaha sedaya mungkin ke arah itu untuk berjaya. Segala kudrat akan diperah untuk memastikan impiannya tercapai. Saya pasti anda yang sedang membaca sekarang juga mempunyai sumber inspirasi dalam hidup anda.

1. Wang Ringgit


Ada orang meletakkan wang ringgit sebagai sumber inspirasi untuk berjaya. Meletakkan sasaran jutawan adalah kebanyakan inspirasi manusia yang ingin berjaya. Oleh kerana itu ramai yang mula meletakkan minda jutawan dalam diri mereka. Tidak salah meletakkan wang sebagai inspirasi untuk berjaya, cuma yang tidak bagus jika kita hilang punca kerana wang. Jangan menjadi hamba kerana wang. Jika berinpsirasi untuk membantu orang lain dengan wang itu adalah cara yang paling baik kerana dalam Islam sememangnya mengajak umatnya membina kekayaan dengan syarat perlu membantu orang lain iaitu dengan amalan zakat dan bersedekah.

2. Pangkat dan Jawatan




Sebahagiannya pula meletakkan inspirasi kepada jawatan tinggi dalam kerjaya. Mungkin anda sudah berimpian untuk menjadi CEO pada masa akan datang atau mungkin Pengurus Besar dalam organisasi anda. Tidak salah juga anda meletakkan jawatan itu sebagai inspirasi anda ingin lebih berjaya asalkan anda mengikut cara yang betul dan bekerja keras. Semakin tinggi jawatan yang disandang bermakna anda meningkatkan taraf kehidupan anda serta mempunyai tanggungjawab yang besar dalam bersama-sama membangunkan ummah dan bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata.

3. Kembangkan Empayar




Bagi seorang ahli perniagaan atau ahli korporat, perluasan empayar perniagaan ke serata dunia adalah menjadi inspirasi utama. Setiap hari anda akan mencongak bagaimanakah cara untuk melebarkan sayap perniagaan anda. Tidak salah juga anda berinspirasi begini kerana anda akan menjadi contoh kepada orang lain. Lebih-lebih lagi anda menjadi seorang korporat muslim yang taat kepada Allah SWT dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang mukmin sejati.

4. Keluarga Bahagia




Saya melihat 3 perkara di atas akan lebih bermakna jika saya berjaya membina keluarga yang bahagia. Bahkan memang ramai juga orang meletakkan keluarga bahagia sebagai inspirasi utama untuk mereka lebih maju pada masa hadapan. Mungkin 3 perkara di atas mudah untuk anda laksanakan tetapi mendapat keluarga bahagia bukan semudah yang diharapkan. Kerana inspirasi inilah ramai yang berusaha gigih ke arah itu. Wang ringgit, pangkat dan empayar perniagaan yang luas belum tentu menjamin kebahagian keluarga. Bukahkah sebuah keluarga bahagia adalah inspirasi yang lebih hebat?

Wallahu'alam.

Khamis, 16 Disember 2010

Makanan Terbaik Mengikut Al-Quran dan As-Sunnah

Makanan sunnah yang akan dikongsikan di sini amatlah istimewa. Ini kerana makanan-makanan ini telah disebutkan di dalam Al-Quran dan hadith Nabi, tentang khasiat dan kelebihannya. Subhanallah! Hanya Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui atas segala sesuatu.

Firman Allah SWT dalam surah al-An'aam ayat 99:


"Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dan mayang- mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik dan (Kami jadikan) kebun- kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman." - Surah al-An'aam : 99

1. Buah Delima

Fiman Allah: " Dan (Kami jadikan) kebun - kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima yang sama dan yang tidak sama (bentuknya), Perhatikanlah kamu pada buahnya apabila ia berbuah dan ketika masaknya." - Surah Al- An'am ayat 99

Khasiat buah delima:
  • Kaya dengan unsur zat besi. 
  • Proses pembinaan darah merah. Mengurangkan risiko penyakit anemia. 
  • Mempunyai kadar antioksidan yang paling tinggi di antara buah-buahan yang lain.
  • Mengandung potassium yang besar isipadunya.
  • Mengandungi mineral-mineral lain seperti fosfor, kalsium, besi, dan sodium, vitamin A, B1, B2, B3, dan C. Bertindak bersama sodium, potassium mengatur ekuilibrium air tubuh dan menjaga degup jantung agar tetap normal.
  • Meningkatkan kepekaan saraf dan otot agar berfungsi secara teratur.
  • Mencegah edema dan mengurangi kadar gula di dalam darah. 
  • Buah delima juga dapat menghilangkan rasa letih otot dan menguatkan jantung.

2. Kismis

Dalam Tibb An-Nabawi menyebut hadith yang bermaksud: "Sebaik-baik makanan ialah buah zabib (kismis). Ia menghilangkan keletihan, menguatkan urat saraf, meredakan kemarahan, mencerahkan warna kulit dan mengharumkan bau hidung serta mulut." 


Nabi Muhammad SAW bersabda : “Barangsiapa memakan kismis merah sebanyak 21 biji setiap hari sebelum sarapan pagi, maka dia tidak akan tertimpa penyakit kecuali kematian”.



Khasiat kismis:
  • Menguatkan jantung, menghilangkan penyakit, menghilangkan panas dan memulihkan kesihatan jiwa.
  • Kismis dapat menghilangkan kepahitan (hempedu/cairan kuning), menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih. 
  • Kismis juga dapat meningkatkan keupayaan untuk menghafal.


3. Kurma

Firman Allah SWT dalam surah Maryam: Ayat 25-26. "Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenang hatilah kamu."
 Khasiat kurma:
  • Terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu. 
  • Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. 
  • Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak dan pembentukan darah serta sumsum tulang.
  • Makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

4. Habbatus sauda'

Sabda Rasulullah: "Tetaplah kamu dengan Habbatus sauda' ini, kerana padanya terdapat penawar bagi segala penyakit kecuali as-saam (mati)." - Hadith Riwayat Hadith dan Muslim

 
Khasiat habbatus sauda’:
  • Terapi untuk mengaktifkan enzym adenylylclase yang bertanggungjawab terhadap perubahan spesifik dalam peringkat-peringkat usia.
  • Terdapat penawar bagi segala penyakit kecuali As-Saam (mati) - Hadith Sahih Bukhari Muslim.


5. Za'faran

Sayidina Ali pernah menyatakan: "Sesiapa yang mengambil sebahagian za'faran dan su' di satu bahagian dicampur dengan madu, diminum sebanyak dua sudu pada setiap hari, maka ia dikagumi tentang ingatannya, sehingga dituduh melakukan sihir. "




 
Khasiat za’faran / saffron:
  • Sangat kaya dengan vitamin B1 dan B2 (Riboflavin & Tiamin).
  • Membantu menyempurnakan proses penghadaman, menguatkan ingatan, merawat anemia, mengawal tekanan darah dan kolestrol, mengurangkan risiko serangan sakit jantung, mengurangkan keletihan, sembelit, bisa-bisa sendi, penenang dan juga peransang tenaga batin. 
  • Membina daya ketahanan menghadapi pelbagai penyakit seperti asma dan demam biasa.


6. Madu

Firman Allah: "Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat penawar yang menyembuhkan bagi manusia" - Surah An-Nahl ayat 68-69.
 
Khasiat madu:
  • Mengandungi aneka zat makanan seperti karbohidrat, protein, asid amino, vitamin, mineral, dekstrin, pigmen tumbuhan, komponen aromatik dan antibiotik. 
  • Kandungan karbohidrat dalam madu adalah yang tertinggi di antara produk-produk ternak yang lain seperti susu, telur, daging dan mentega. 
  • Penawar bagi kebanyakan penyakit (dengan izin Allah).


7. Zaitun

Firman Allah: "Dari pohon itu (zaitun) yang berasal dari bukit Sinai mengeluarkan minyak dan makanan" - Surah Al-Mukminin ayat 20.



Khasiat zaitun:
  • Penambah zat makanan, mencuci dan membaik pulih perut dan menjadi penawar racun.
  • Membantu pesakit gastrik dan juga yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang.
  • Bertindak sebagai pelicin dan pelembut kepada kulit yang mengalami ekzema dan psoriasis seterusnya dapat meremajakan kulit. 
  • Mengandungi asid lemak tidak tepu yang dikelaskan sebagai “monounansaturated” yang mampu merendahkan kolesterol berbahaya di dalam darah.


8. Buah Tiin

Riwayat dari Abu Zar r.a. bahawa Nabi SAW dihadiahkan satu bekas buah tin. Lalu Nabi SAW mengajak sahabat-sahabatnya makan. Nabi pun turut sama makan. Kemudian baginda SAW bersabda: ”Kalau aku perkatakan tentang buah yang diturunkan dari syurga, nescaya aku katakan inilah dia. Kerana buah-buahan syurga tidak berbiji. Oleh itu makanlah buah ini. Sesungguhnya dia menghentikan penyakit buasir, serta bermanfaat untuk sakit-sakit badan.”




Khasiat buah tiin:
  • Mengurangkan penyakit sesak nafas, membersihkan hati dan limpa, menghilangkan kahak yang berkumpul serta memberi khasiat yang baik kepada tubuh badan.
  • Satu langkah pencegahan untuk melawan racun di dalam badan. 
  • Dikenali sebagai bahan pelancar (laxative), penahan sakit dan unsur perkumuhan air kencing (diuretik). 
  • Tidak mengandungi garam, lemak dan juga kolesterol tetapi ia mengandungi lebih tinggi kandungan galian yang lain seperti kalium, serat dan zat besi.


KESIMPULAN

Setiap makanan mempunyai khasiatnya yang tersendiri. Namun hanya Allah SWT yang layak memberikan kebaikan dan kesihatan kepada kita. Janganlah kita menganggapkan makanan ini yang memberi kita kesihatan. Ia hanyalah sekadar usaha kita untuk mendapatkan kesihatan. Percayalah dengan nama Allah, Insya-Allah akan dapat keberkatan dan kebaikan.

Wallahu'alam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...